Telur mempunyai khasiat yang banyak. Ia mengandungi protin, vitamin A, riboflavin, dan juga mineral. Walaupun begitu, ia agak ditakuti kerana kuning telur mengandungi lemak dan kolesterol yang agak tinggi. Kajian mendapati bahawa sebiji telur sehari tidak akan membawa bahaya kepada kesihatan.Kebanyakan orang suka makan telur. Anak-anak suka makan telur. Ia adalah satu alternatif menu yang mudah. Kalau makan nasi tidak ada lauk, kita goreng telur. Kadang-kadang lauk ada tetapi masih mahukan telur goreng juga. Untuk breakfast juga kita sering masukkan telur dalam menu kita : telur dadar, telur mata kerbau, sandwich telur, telur separuh masak etc etc...
Semasa aku kecil dulu, setiap kali ada kenduri kahwin aku akan membawa balik telur sebagai hadiah daripada tuan rumah. Kenapa telur? Tidaklah aku ketahui. Tetapi kalau telur dari kenduri kahwin, kita berebut-rebut mahu memakannya walhal boleh sahaja kalau kita mahu merebusnya sendiri di rumah. Sekarang ini masih ada lagi yang menghadiahkan telur tetapi sudah tidak banyak. Kadang-kadang sahaja aku terjumpa.
Oleh kerana sukanya orang pada telur ini menjadikan permintaan tetap tinggi dan harga pula makin melambung. Harga telur sekarang ini sudah melebihi 10 ringgit sepapan untuk grade B. Walaupun makin mahal, kita tetap juga membeli telur.
Bila bercerita tentang telur, yang kita makan ialah bahagian dalamnya iaitu telur putih dan telur kuning. Ini tidak pula bermakna yang kita perlu abaikan sahaja kebersihan kulit telur. Kita perlu tahu bahawa telur itu keluar dari mana dan jatuh ke mana. Jikalau anda dapat bayangkan perkara itu, sudah tentulah anda tidak tergamak untuk memecahkan telur itu tanpa mencucinya terlebih dahulu. Apatah lagi kalau dengan jelasnya spesis yang sepatutnya tidak berada di telur itu teramatlah ketara sekali kelihatannya.

Kalau anda penggemar roti canai apatah lagi roti telur, cuba-cubalah skodeng telur-telur di bawah tempat pencanai roti itu. Kalau rupanya seperti di atas, sudikah tekak anda untuk menerima roti canai itu. Bayangkan: mamak mengambil sebiji telur dan dipecahkan(tahi sudah melekat di tangannya). Siap satu roti telur. Datang pula oder untuk roti canai. Tanpa membasuh tangan, tangan mamak itu jugalah yang meleperkan dan menebar roti canai yang anda oder. Siap roti canai berperisa tahi ayam.

Tiada salahnya kalau anda buat permintaan supaya telur dibasuh dahulu ataupun suruh sahaja mamak itu mencuci tangannya sebelum mencanai roti anda. Bukankah kita mempunyai hak? Biarlah dia kata yang kita ini banyak songeh.
















































