Arwah nenek bukan sahaja mempunyai banyak pantang larang tetapi mempunyai banyak petua juga. Ada petua yang diajar nenek masih aku ingat tapi kebanyakannya sudah lebur dimakan masa.
Nenek cakap untuk kekal nampak muda, pagi-pagi ambil air embun di hujung hujung daun dan sapukan ke seluruh muka sambil membaca selawat. Ada juga kadang-kadang aku ternampak nenek melakukan seperti itu. Kadang-kadang. Sebab selalunya bila aku buka mata embun di hujung daun itu sudah kering dipanah matahari. Nenek aku nampak muda? Entah. Masa itu aku tidak pandai menilai.
Nenek juga cakap, bila bangun tidur terus minum air segelas sambil membaca selawat. Lepas tu barulah nak ke bilik air ke, nak gosok gigi ke. Itu juga petua untuk nampak awet muda. Petua yang ini pernah keluar dari mulut sarimah. Seniwati Sarimah tuuu... Bila orang tanya apa petua dia nampak muda tak dimakan zaman, antara jawapannya itulah.. bangun-bangun tidur je minum air. Jangan lupa baca bismillah dan selawat. Cubalah. Aku? Dari lelap mata sampai bangun subuh bergelas-gelas aku minum air. Dah memang habit macam tu. Tambahan pula dengan cuaca panas macam sekarang.
Memasak pun banyak petuanya juga. Kita selalu bertanya macamana nak bagi daging cepat empuk ataupun daging ayam kampung cepat empuk. Banyak petua yang dapat aku pungut. Antaraya:
masukkan sudu dalam masakan
( yang ini aku tak berapa pekenan. Kang tak pasal-pasal segala bahan sudu tu berpindah dalam gulai)
masukkan nenas dalam masakan. Bila dah empuk, keluarkan
(kira okay gaklah)
masukkan betik
( tak lembik ke dia nanti?)
masukkan beberapa biji kurma
(yang ini bagus ni)
masukkan panadol
(Weh.. nak bagi lagi pening ke apa)
Petua aku pula senang je. Masuk daging dalam periuk lepas tu rebuslah lama-lama sampai empuk. Kalau ada pressure cooker lagi bagus.
Kadang-kadang bila kita menggoreng ikan atau ayam, ia melekat-lekat kat kuali. Korang tahu petua tak bagi dia melekat? Senang je. Panaskan minyak dalam kuali. Bila panas, masukkan asam keping dua tiga keping. Lepas tu masukkan ikan atau ayam. Gerenti tak melekat.
Lain-lain petua:
-Nak hilangkan bau nasi hangit - masukkan dua tiga keping roti
-Nak kurangkan rasa masin masakan - masukkan ubi kentang
-Mengatasi nasi lembik - masukkan dua biji telur ayam dalam periuk. Biarkan seketika. Pastikan telur dibasuh dulu.
-Ulam kekal ragup. Rendam ulam selama beberapa minit dalam air yang telah dicampurkan dengan sedikit cuka dan perahan limau nipis. Biarkan seketika barulah diangkat.
Yang ini petua untuk mendapatkan badan yang langsing tanpa perlu berbelanja besar. Dua biji lobak merah dan sebiji timun diparut dan diperah airnya. Kalau ada juicer tak payah parut. Gunakan juicer saja. Campurkan dengan sebiji limau nipis dan bancuh sehingga sebati. Minum dua kali sehari. Amalkan sehingga mencapai berat badan yang ideal.
Sekian dan salam jumaat. Kalau ada petua tu, kongsi-kongsi ler..