Followers

jom klik

TADIKA AULAD HAS BEEN MOVED TO ANOTHER LOCATION. CLICK HERE IF YOU WISH TO GO TO TADIKA AULAD

Thursday, October 29, 2009

Bila Panggilan Sudah Sampai

yeeeeee h'aaaaaa





Masa mengejar aku. Aku pulak mengejar masa. Akhirnya aku yang letih tercungap-cungap.



Malam besok majlis nikah kakngah.
Sabtu kenduri.
Tadi dapat panggilan mengenai pergi haji.
Sepatutnya pergi 14 November
dah jadi 4 November.

Kenduri di sebelah lelaki 7 November.
Perancangannya kami ke Kedah 6 hb
dan bermalam semalam di sana.
Nampaknya
kami akan menghantar wakil sahaja.
Kesian kakngah.


So
Confirm
Aku akan berangkat ke
Tanah Suci
Rabu depan
4 November.

Mungkin aku tidak akan bersiaran lagi
sehingga aku balik.

Semuga Allah permudahkan
perjalanan.

Salam.




Sunday, October 25, 2009

KONTROVERSI



Tadi sebelum isya' semasa aku membuat sesuatu berkaitan majlis hujung minggu ni, tiba-tiba anak aku AbdurRahman menimbulkan satu soalan yang membuat aku tersentap.

Mak, tadika mak ada kontroversi ke

Aku berhenti membuat kerja, memandangnya dan bertanya balik.

Ada apa Man?

Tadika ada kontroversi ke tadi.

Aku mencari-cari jawapan di dalam otak, bertanya-tanya pada diri sendiri apa benda yang berlaku kat tadika aku siang tadi. Setahu aku tak ada apa-apa yang menimbulkan kontroversi.

Kontroversi apa pulak ni Man oi.

Eh eh silap..... Hahaha.. tadika mak konvokesyen ke tadi.

Kahkahkah... adik beradik lain ketawa. Mahu aku lepuk jugak budak ni kang.



Konvokesyen. Okay, berjalan lancar. Layan sajalah gambar di bawah ni. Sikit saja aku letak. (Ada ke aku boleh terlupa nak cek bateri flash kamera aku. Tak puas hati betul dengan foto-foto yang aku ambil).





Anak-anak di atas sedang membaca surah fatihah sehingga Al Kafirun,
Yaasin sehingga ayat sepuluh
dan doa selepas membaca Al Quran.
Agak-agaklah kan, ada tak parents yang tak boleh hafal
Yaasin sampai ayat ke sepuluh.
Agak-agaklah.....



Gambar di atas ni pula semasa mereka membuat gaya
untuk fashion show. tengok budak yang pakai cermin mata tu.
Berderai jugalah tawa ibu bapa.




Little 'bears' dari Aulad Mesra.







Si Ashley dengan anak-anak yang membawa binatang belaan.
(Mampuih aku .. letak gambaq dia tengah beraksi ni...)






Acara kemuncak!!!!!








Ni anak sapa la ni.........


Sekian laporan penuh kontroversi untuk hari ini.

Saturday, October 24, 2009

KONVO 2009

Besok Ahad 25 Oktober hari Konvokesyen Tadika Aulad. KONVOKESYEN. Bunyi glemer kan? Akan glemer jugakah persembahan anak-anak? Kita tengok besok.

Tahun ni tahun kedua majlis ini diadakah di dewan utama ESSET, KWSP di Sungai tangkas. Tahun-tahun sebelum ini kami buat di Dewan Anwar Mahmud UKM. Tahun lepas permohonan untuk menggunakan dewan UKM tak lulus sebab tengah diselenggara. Tahun ini semasa mengemukakan booking, UKM masih belum bersedia juga. Minta-minta tahun depan dah boleh. Bukan apa, sewa ESSET ni mahal bukan main. Tergigil jari jemari bila menyain cek.

Yang hadir untuk majlis besok cuma anak-anak enam tahun yang akan graduate sahaja. Anak-anak berumur empat dan lima tahun kena tunggu giliran tahun akan datang. Sebab? Tak boleh ramai-ramai sangat. Kalau ramai yang datang, nanti cikgu-cikgu pitam. Kalau cikgu pitam, prinsipal juga akan turut pitam. Kalau cikgu-cikgu dan prinsipal pitam, siapa yang nak kendalikan majlis?

Itu belum sebut lagi mengendalikan ibu bapa yang ghairah melihat anak-anak mereka tamat pra sekolah dan akan memasuki fasa baru dalam kehidupan mereka. Selalunya ibu bapa ini akan meluru ke depan pentas mengambil foto anak-anak yang sedang membuat persembahan, menjadikan depan pentas itu medan jurugambar tak bertauliah. Suasana akan menjadi sedikit bising. Persembahan anak-anak, orang belakang tak berapa nak dengar dan tak berapa nak nampak. Kesian anak-anak. Mengendalikan anak kecil bukannya senang tetapi mengendalikan orang tua lagilah susah.


Semalam aku ke centre melihat latihan terakhir anak-anak ni. Yati S mengeluh pelakon utama tak datang sebab demam. Risau kalau-kalau besok tak datang. Kalau tak datang, kau je lah naik atas pentas tu yati oi..


Besok, seramai 120 orang murid enam tahun akan menjadi graduan. Selamat mengharungi dunia yang lebih luas anak-anak!! Tapi tadika belum habis lagi ya. Kena datang lagi sehingga pertengahan bulan sebelas. Konvokesyen tahun ini diawalkan sebab tarikh lain sudah dipenuhi dengan acara penting dalam diari aku.

Selamat bersilat wahai cikgu-cikgu.

Thursday, October 22, 2009

MINAH JENIN




Dah lama aku berangan. Aku berangan nak ada tadika macam ni. Besar, spacious. Murid paling ramai 30 orang. Ratio guru murid, 1:6. Masa belajar dari pukul 7:30 pagi sampai 4:00 petang. Murid gerenti excelent. Kalau aku charge RM600 sebulan kat Bangi ni agak-agak ada orang nak hantar anak tak..

Wednesday, October 21, 2009

Cat's Eyes


Mata kucing ada?

H'a?

Mata kucing ada tak!

Aku belek-belek muka si Jordan. Tidak ada tanda-tanda bercakaran. Mata tetap ada dua biji.

Ada ni!! Tak ada apa-apa pun.

Gula batu?

Gula batu?

Ya.. gula batu ada tak.

Ada. Apehal.

Rebus mata kucing campur gula batu sikit.

Nak kena cungkil dulu.

Cungkil apa pulak.

Mata si Jordan ni.

Ek ele.. pagi-pagi ni buat lawak pulak dia. Buat air mata kucing la. Adik dengan Usen tu batuk tu. Nak buat ubat.

Hik..hik..



Monday, October 19, 2009

ALAT KOMUNIKASI

Bahasa adalah alat komunikasi. Bahasa menyampaikan maksud. Mungkin ia dituturkan, mungkin ia ditulis, mungkin ia hanya diisyaratkan sahaja melalui tubuh.

Bertutur dalam bahasa ibunda belum tentu kita mahir dalam bahasa kita. Ada pelajar yang gagal mendapat keputusan baik dalam matapelajaran BM. Tetapi mempelajari dan mengetahui bahasa asing adalah satu kelebihan. Semasa aku di U dulu aku mengambil bahasa jawa sebagai subjek elektif. Selepas satu semester aku boleh membaca kitab jawa yang ditulis dalam tulisan jawa. Tulisannya bergelung-gelung macam tulisan India. Kemudian kitab itu hilang. Kamus bahasa jawa yang aku fotostat dari penyarah juga hilang. Sedikit-sedikit keupayaan aku membaca tulisan jawa juga hilang.

Untuk mahir dalam bahasa asing kita perlukan praktik. Belajar secara teori saja tidak mencukupi. Menuturkannya penting untuk mendapatkan kemahiran dan keyakinan. Pernah seorang bapa menyuarakan kenapa anaknya belum pandai-pandai bercakap dalam bahasa Inggeris. Tadika hanya beroperasi 3 jam lebih sehari dan waktu selebihnya dihabiskan di rumah. Untuk mendapatkan hasil yang bagus, bahasa itu patut juga dituturkan di rumah. Ia bukan sesuatu yang kita perolehi semalaman.


Anak aku kakngah menggunakan bahasa isyarat kerana dia anak istimewa. Walaupun begitu, aku tidaklah berapa mahir dengan bahasa isyarat ini kerana jarang-jarang mempraktikkannya. Ini adalah kerana kakngah bukan bisu total. Tapi bakal suaminya tidak boleh bertutur langsung. Akan adakah halangan komunikasi? Tidak kerana bahasa sesuatu yang boleh dipelajari. Yang membezakan cuma kemahiran. Aku akan mahir bila mempraktikkannya.


Hari Jumaat malam Sabtu 30 Oktober adalah majlis akad nikah kakngah. Ramai yang ternanti-nantikannya kerana majlis ini adalah majlis istimewa yang menyaksikan pasangan kurang upaya menamatkan zaman bujang mereka. Lafaz nikah akan diucapkan dengan menggunakan bahasa isyarat dan di terjemahkan melalui penterjemah yang juga merupakan guru kakngah semasa di sekolah dulu.

Sebagai ibu aku gembira kerana anak aku menemui jodohnya. Namun ada rasa sedih berbaur. Kakngah akan ke utara mengikut suaminya nanti meninggalkan kami. Pasti kami akan merinduinya.


Sunday, October 18, 2009

Dah berapa puluh tahun ni!!

Pagi tadi suami aku mengemas almari. Ya, bukan aku tersilap tulis. Memang suami aku mengemas almari.

Dan terjumpa beberapa barang-barang yang sentimentol termasuk yang ini:

Muda nya aku.

Apa jua




Semalam kami diberi taklimat terakhir sebelum berangkat ke tanah suci. Penerbangan awal pada 20 Oktober. Penerbangan kami belum pasti tarikhnya. Mungkin 14 November. Mungkin juga 15 atau 16. Bagi mereka yang memilih untuk pergi di pertengahan atau dipenghujung, tarikh muktamad akan diberitahu seminggu dua ini. Semuga Allah memberi kemudahan kepada semua urusan kami.

Semasa taklimat semalam, masih ramai lagi yang berada di dalam senarai menunggu. Peritnya bila berada dalam senarai ini adalah belum ada ketentuan dan kepastian. Mereka berada di ambang pergi dan tidak pergi. Sekiranya Allah sudah menetapkan mereka sebagai tetamu pada tahun ini, insyaAllah mereka tetap akan pergi juga.

Di antara kata-kata ustaz semalam ialah membuat persedian fizikal sebelum berangkat. Menyahut saranan itu, pagi tadi kami berjoging lagi di stadium seksyen 15. Cuaca pada mulanya mendung dan hujan tetapi alhamdulillah beransur baik.

Biasalah, selesai berjoging kami singgah pula mengisi perut untuk menggantikan lemak-lemak yang dah cair. Kami ke satu restoren yang agak baru juga dibuka di tepi tasik cempaka. Restoren nampak kelas. Interior deco akay dan aku bagi 6 markah daripada 10.


Makanan yang disediakan agak okay juga. Aku makan roti cicah sup ayam. Suami pula makan roti cicah kari ayam. Rasa sup ada sikit masin. Rasa kari aku tak tau tapi aku tengok suami aku makan macam berselera saja.

Suami mengeluarkan sesuatu yang liat digigit dari mulut dan meletakkannya di tepi pinggan. Aku tengok macam rupa mee.


Cuba tengok apa ni, kata suami aku.

Aku tengok.

Ooo menu baru rupanya. Kari ayam berperisa getah gelang. Itu baru seperempat. Aku tak pasti mana yang tiga perempat lagi pergi. Mungkin menyorok dalam mangkuk kari ayam di meja buffet itu.

Kami meninggalkan restoren itu dengan mendapat harga diskaun.

Friday, October 16, 2009

Mencari yang sesuai supaya kaki tak sakit



Hampir aku tersungkur saat aku melangkahkan kaki sebaik memakir kereta. Aku pandang ke bawah kasut mencari-cari benda yang aku tersepak. Rupanya kasut aku yang sudah ternganga macam mulut buaya. Boleh pula aku tidak perasankannya semasa aku mengambil kasut.

Selipar jepun ada dalam kereta, saran suami.
Kalau nak cari cobbler pun ada dekat-dekat bank islam tu. Dekat-dekat chiplee pun ada katanya lagi.


Beberapa kali ke bank islam dan beberapa kali ke chiplee sebanyak kali itu jugalah aku menepuk dahi, la.. lupa bawa kasut. Lama-lama kasut itu aku campak dalam tong sampah.

Membeli kasut bukan mudah bagi aku. Susah kerana tidak berjumpa yang benar-benar berkenan di hati. Kasut tumit tinggi? Those days were over. Nanti ada pula yang mengata mak nenek manalah yang terkedek-kedek dengan kasut tiga inci tinggi. Tak pasal-pasal kaki aku terkehel.

Aku cari yang selesa. Yang tak ada tumit. Yang cover depan dan kalau boleh belakang juga. Yang ni lah yang susah nak cari ni sebab style semua sepesen.

Kan mak dah ada yang macam ni.
Dah koyak.

Belilah yang macam ni.

Taknaklah, runcing sangat. Kalau tersepak kaki orang boleh demam seminggu.

Kalau tak pun yang macam ni.

Ala.. macam budak-budak je.

Aku masuk dari satu kedai ke satu kedai, tak jumpa-jumpa. Raya haritu aku pakai saja sandal yang aku beli di bandar hilir. Sandal kulit harga 20 ringgit. Itu pun dah lusuh sebab hari-hari aku lanyak.

Pergi Sogo minggu lepas ada satu kasut yang aku pekenan. Aku tunjuk kat salesgirl, mintak saiz. Dia tengok kat cekerol dia.

Saiz ni dah tak ada lah kak.

Tu satu sebab lagi yang aku malas cari kasut. Dah jumpa yang aku suka, tak ada saiz pula. Kalau tak pun, jumpa yang suka, harga sampai dua tiga ratus.

Akhir-akhirnya, aku beli jugalah sepasang di Central shoes.

Okay ke ni.

Okay lah mak. Cantiklah daripada kasut yang mak pakai tu.

Mak beli yang ni boleh tak

Oo please no..no..

Apasal pulak, matching dengan baju per
(hehe saja menyakat. Aku pun tak hengen)

Thursday, October 15, 2009

wedding deco english style

Dalam kesibukan, sempat juga aku menghadiri majlis kenduri kahwin anak kepada kawan suami aku. Kawan satu sekolah semasa di KK dulu. Majlisnya dibuat di dewan kat Shah Alam. Puas juga kami berpusing-pusing mencari jalan ke dewan tersebut. Kami bayangkan saudara mara dari kampung mesti payah nak datang kalau buat kenduri kat dewan ni. Orang kl macam aku ni pun susah nak cari, apatah lagi yang sesekali datang.

Bila dah sampai, kami tercari-cari pula tuan rumah. Maklumlah, dah berpuluh tahun tak jumpa. last sekali bertemu semasa tingkatan lima dulu. Tentulah sekarang banyak berlaku perubahan fizikal: perut dah boroi (bagi yang tak jaga makan), rambut dah putih, muka dah tak comel lagi dan dah ada kedut sana sini.

Sebelum kami mengambil makanan, suami bertemu dengan beberapa bekas kawan sekolah. Ada yang masih kenal kerana terdapat lagi sisa-sisa iras rupa di wajah masing-masing. Ada yang nak kena introduce dulu. Aku cuma tercegat je di sisi sambil tersengeh-sengeh.


Decorations majlis, english style. Aku ada mengambil beberapa photo menggunakan henfon tetapi tak berapa cantik. Tapi deco tu cantik lah. Terpeleot leher aku memerhatikan sekeliling. Ada pulak tetamu spesial: bekas MB selangor si Muhammad tu dan juga Aziz Singah.

Dewan vs Rumah. Masing-masing ada kelebihan dan kelemahan. Semua ikut selera dan keperluan masing-masing. Majils kenduri kakngah nanti kami buat di rumah saja. Pasang beberapa kemah di jalan dan dua kemah di halaman rumah. Tak ada aircond. Yang ada, kipas. Deco adalah ala-ala kampung. Takde english style ke hape ke. Membazir je. InsyaAllah kami buat yang simpel. Tetamu tetap dijamu dengan hidangan yang gerenti lazat. ( Ikut kata keterer lah. Kalau tak sodap jangan ngumpek pula yo)

Aku akan buat satu stesen untuk blogger makan. Kat bawah kemah di halaman rumah. Nanti aku akan letak nota reserve for bloggers di meja tu. Korang chatlah puas-puas. Aku tak sempat nak layan habis-habisan.



Lupa nak cerita. Petang Sabtu lepas aku terima kunjungan dari Umie E, blogger yang tinggal di bandar baru bangi ni. Rumah dia kat fasa empat tu je rupanya. Umi datang dengan dua orang anaknya dan seorang rakan pada anaknya. Aku cuma hidangkan biskut raya hehe.. Terima kasih umi kerana datang ke rumah kakpah. Hope to see u again. Kalau terserempak tengah beli ikan ke, ayam ke, sayur ke, dah kenal dah......

Tuesday, October 13, 2009

Buat la tajuk apeapepun


Aaaaaaaaaaarrggghhhhhhh !!!!!!!!!!!
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
Astaghfirullahalazim........

Saturday, October 10, 2009

MANO ADO !!!!

Pagi tadi, Sabtu, orang yang nak pergi haji kena datang ke pejabat tabung haji untuk mengambil gelang besi, beg dan macam-macam( Osah botul macam-macam. Selipar gotah pun ado). Dalam surat arahan dah disebut dah, datang jangan habih satu rumah dihangkut, datang sengsorang je. Oleh sebab kami ni orang yang patuh pada arahan, suami aku je lah yang pergi. Baik aku duduk kat rumah memain dengan si faris. (Suami aku cakap, ciak miak jugak dengan bebudak. Pejabat TH bandar baru bangi tu sesak dengan orang besar dan orang kecik)

Tak sampai setengah jam suami aku telefon. (sebab dah selalu pergi memana bedua-dua ni kenalah calling calling bila yang sorang lagi tak ada kan). Suami aku cakap, stanby..standby. Apehal pulak nak suruh aku standby kan. Rupa-rupanya ada orang yang sama beratur kat TH tu cakap jemaah haji akan diberi suntikan H1N1 pagi tu. So standby jelah untuk aku drift ke TH sekiranya betul. Menggelupur aku masuk bilik air.

Tapi... tak de pun. False alarm je.


Ini keratan sokabar hari ini.
Aku ni kadang-kadang lomah nak baca sokabar ni. Kang kalau ada orang kata sokabar buat laporan tak betul, marahhh.. Tu yang menteri tu pun main cakaaaaapp je.
Mana ada suntikan H1N1. Vaksin tu pun tak ada. Belum datang lagi. Tabung haji pun pening kepala tau tak bila orang asek tanya ada vaksin H1N1 ke tak de. Aku agak klinik-klinik swasta pun pening jugak sebab orang asek telefon bertanyakan tentang vaksin ni. Orang ni termasuklah suami aku dan jawapannya macam tu macam tu jugaklah. Tak ada. Belum ada.
Jadi, siapa yang memandai-mandai kata tabung haji bagi suntikan H1N1 secara percuma kepada jemaah haji ni. Cuba cerita sikit..

Suntikan yang kami kena ambil ni ada tiga: 1. Meningitis 2. Pneumoccal 23-Valent 3. Influenza. Agaknya bila sebut suntikan influenza ni lah diaorang ingat suntikan H1N1 agaknya. Tolonglah.. bukan.

Kalaulah ada, kalaulah... aku bedualah orang yang pertama belolah (tengok dictionary tijah) ngulurkan lengan untuk dicucuk-cucuk.

Anak Hyper

Aku terdengar cucu neighbor aku terjerit-jerit menangis. Kemudian kedengaran pula suara neighbor aku cuba memujuknya. Lagi dipujuk, lagi kuat anak itu melolong. Lama-lama senyap juga.

Tak berapa lama kemudian henfon aku berbunyi.

Pah, kak M ni. Tadika kau ada kosong lagi tak. Nak masukkan si Im ni. Tak tahanlah Pah. Lasak nau.

Kecik lagi si Im ni kak.

Dah tiga tahun lebih.

Next year je lah kak. Sesi dah nak habis ni. Bulan depan dah nak cuti.

Takleh tumpang-tumpang eh..

Takleh kak. Tahun depan umur dia akan masuk 4 tahun kan?. Tahun depan je kak.

Okay la hehehe...



Anak ini memang hyper. Malam kelmarin aku pergi open house di rumah neighbor di hujung jalan. Dia ada sama dan dia tak duduk diam. Berpusing keliling rumah, kejap duduk kejap bangun, kejap pegang itu kejap pegang ini. Nenek dia pun terpaksalah tak duduk diam juga.

Parents yang ada anak hyper seperti ini sering bertanya samaada anak mereka boleh diterima atau tidak. Memang mereka ini perlukan special attention. Kami cuba sedaya upaya untuk menangani extra energy yang ada pada mereka.

Ada yang sampai hujung tahun pun masih merangkak bawah meja. (hehe.. apa macam ashley. Tapi dia ni masuk kelas Mie. Empat tahun)

Kepada parents yang ada anak empat tahun dan nak masuk tadika, sila daftar segera. Kami ambil 15 orang saja. Ada tinggal lagi beberapa tempat.

Thursday, October 8, 2009

TERMINATOR II



Beyond water. Sistem Pemulihan Air Bio-aktif, Sistem Penapisan, Penulenan dan Pengaktifan yang termaju di pasaran masa kini.

Itu katanya lah.

Kita akan katakan yang barangan kita yang terbaik. Dah memang adat macam tu. Takkan kita nak angkat orang lain punya.

Dah banyak tahun aku guna beyond water. Nak kata excellent, aku tak berani cakap. Aku dah pakai macam-macam dan rasa airnya lebih kurang saja. Aku tak kesah brand apa pun. Asal air yang keluar dari paip itu bersih, tak berkeladak, tak berkuman seperti yang di claim oleh banyak syarikat dan tidak mengembangkan anak tekak bila ia meluncur jatuh ke perut melalui kerongkong, sudah memadai. Di bandar baru bangi ni air memang jelas kotor. Air mesti kena tapis.

Sejak ramadhan lagi beyond water aku buat hal. Air yang keluar dari saluran penapis tersangatlah kecil dan mengambil masa yang cukup lama untuk menadah penuh satu jag. Ultra 1 yang menyimpan tabung Penapis Seramik 3 Peringkat dengan Perak Tersteril, aku cuci selalu seperti yang disarankan. Aku call upline. Dia kata sudah sampai masanya aku menukar terminator II, tabung peringkat dua yang mampu menyingkirkan sehingga 99.9% pencemar berbahaya dalam air seperti herbisid, pestisid, klorin, kloromin, klorofom, bahan kimia industri dan pelbagai hasil sampingan seperti sebatian kimia organik meruap, trihalometana dan sebagainya. ( Aku bayangkan Arnold Schwarzenegger duduk di dalamnya untuk memerangi semua bendaalah ini).

Okaylah. Mintak upline oderkan dan tolong pasangkan sekali. Aku beritahu bibik aku supaya tadah air untuk buat simpanan kerana nanti ada orang nak datang servis beyond water tu.
Seperti yang dijanjikan, petang semalam upline datang dengan kawan yang nak buat servis ni. Kawan upline aku ni datang suami isteri ( apasal aku rasa macam aku kenal je diorang ni?) .

Dia buka penutup. Dia cuba buka cap Ultra 1. Tak boleh. Dia menggunakan seluruh tenaga lelakinya. Tak boleh juga. Tak apa, saya ambil alat, katanya. Dia cuba buka guna alat. Tak boleh juga. Aku tengok peluh menitik-nitik dari dahinya. Aku tanya bibik siapa yang bersihkan ultra 1 ni. Bibik aku cakap, pagi tadi wak yang bersihkan.

(Wak Muji sering aku panggil kalau ada kerja-kerja pembaikpulih yang perlu dilakukan di rumah ni. Sekarang ni dia tengah betulkan jenang tingkap bilik air yang reput)

Mulalah aku membebel. Yang kamu suruh wak kenapa. Kan ibuk dah cakap dah ada orang yang akan datang betulkan penapis ni. Wak bukannya tahu. Ni dia dah pulas penutup ni kuat-kuat, nak bukak pun tak boleh. Kan ibuk dah ajar dah bila tutup cukup dia berbunyi klik dua kali. Tak boleh pulas lebih dari tu. Nanti ceramik boleh pecah. Bla..bla..bla..

Siti terkebil-kebil. (Siti ni dah kerja dengan aku lebih sepuluh tahun)

Memang tak boleh bukak pun. Sampai azan maghrib dah berbunyi, dia masih terkial-kial. Akhirnya dia bawa balik beyond water aku tu. Nanti saya cuba tengok macamana, katanya.

Harga asal untuk menggantikan Terminator II yang berharga empat ratus lebih (tak termasuk upah servis) mungkin akan bertambah seketul dua lagi disebabkan "kepandaian" orang.

( Wak!!!!! kalau rosak, kita tolak je
upah betulkan tingkap ye!!
)


Sebelum diorang balik aku sempat bertanya.

Kita pernah jumpa ke. Macam kenal je.

Dulu saya ada hantar anak saya di Aulad Jasmin. Anak saya sekarang dah tingkatan dua di MRSM.

Ooo.. ye ke.

Anak saya cakap, nasib baik ayah hantar dia tadika di Aulad. Kalau tak bahasa Inggeris dia tak sebagus sekarang. Saya ada anak ni empat tahun. Atuk dia suruh hantar kat Aulad tahun depan.

Surut perasaan bengkek aku bila mendengar komplimen itu.

Wednesday, October 7, 2009

Tidur yang tergencat

Tadi semasa relek-relek sambil meluruskan badan dan melonggarkan sendi-sendi yang tersimpul, aku terima satu sms. Pelik nau bunyi sms ni.

buat apa tu datin. malam ni jadi ke. ini lam.

Aku yang dah mula nak terlelap macam bingung-bingung memikirkan apa benda yang orang ni cakap. Maka aku balas.

Err.. tak berapa paham. sapa ni.

Sekejap lepas tu satu sms masuk lagi.

ala, buat-buat lupa lah tu. kan hari ni datok pergi bangkok. dah janji kan malam ni. c@#*rlah dulu . Dah lebat sangat.

Mendidih betul darah aku. Bedebah ni samaada tersilap nombor atau sengaja nak memainkan aku. Dengan jari tergigil aku tekan huruf2 di henfon.

celaka kau. Allah masukkan kau dalam neraka jahanam.

Dan dia jawab balik.

maaf. eh.. ni bukan datin fauziah ke.



Datin fauziah ke atau bukan, soalnya ada kumpulan manusia ni yang tak kenal dosa dan pahala. Mereka ni tak takut lansung neraka jahanam. Buatnya diorang ni mampus sebelum bertaubat, kekallah kena bakar dek api neraka.

Mata aku yang mengantuk tadi terus segar bugar. Ces!!!!!

Yang Mana Satu Pilihan


Kalau aku balik melaka, selalunya aku akan singgah membeli belacan dan cencaluk sekiranya stok di rumah dah habis. Aku bukanlah penggemar sambal belacan dan cencaluk yang tegar tetapi kalau bibik aku buat sambal belacan pasti aku akan bedal. Dapat cicah dengan pucuk ubi atau ulam-ulam, tak payah ada lauk lain pun tak mengapa.

Suami aku sensitif dengan bau belacan dan bau cencaluk ini. Selalunya bibik aku akan goreng atau bakar dulu belacan sebelum dibuat sambal. Dia akan pastikan suami aku tak ada di rumah semasa dia melakukannya. Kalau tidak dengan hidung kembang kempis suami aku akan membebel bebel bertanyakan bau apa yang busuk ni. Begitu juga kalau ada terhidang sambal cencaluk. Dia akan tolak piring berisi cencaluk itu jauh-jauh kerana tidak tahan dengan baunya. Yang peliknya, kalau kami membuat kenduri kendara dia akan pastikan sambal cencaluk ada dalam menu.

Kenapa? Sebab sambal cencaluk aku spesial. Orang yang merasa sambal cencaluk aku akan teringat-ingatkannya hingga ke akhir zaman (kehkeh). Cencaluk yang aku buat belen rasa cencaluk dengan asam limau, cukup hirisan cili dan hirisan bawang. Ada pula kepingan kepingan petai. Nak tahu sedap ke tidak, korang cuba lah.


Ramai orang tak suka makan belacan dan cencaluk. Sama jugalah ramai orang yang tak suka makan budu dan tempoyak. Itu sendiri sendiri punya sukalah, kan.

Bercakap pasal budu ni aku teringat satu peristiwa lama dulu. Masa tu aruah emak aku masih ada dan masih sihat. Aku balik dari KL membawa sebotol budu. Budu tu kawan aku dari Trengganu yang bagi. Aku tak suka budu. Aku bawa balik kampung konon-konon nak bagi emak dan abah rasa. Masa nak makan tengahari aku pun bercadang nak buat sambal budu ni. Kawan aku dah ajar macamana nak buat. Sebaik aku buka penutup botol, keseluruhan isi perut yang ada dalam botol tu menyembur keluar. Habis terpercik ke dinding dapur, ke siling, ke baju dan atas kepala aku. Emak juga terkena simbahannya. Jenuh aku membersihkan dapur pada haritu. Bau? Tak payah cakaplah.

Apa apa pun, belacan ke, cencaluk ke, budu ke, tempoyak ke.. semua itu adalah pembuka selera. Kalau suka, makan. Kalau tak suka, pergi main jauh-jauh.

Monday, October 5, 2009

Bilo Nak Bayar Ni..

Orang yang ada pendapatan tetap tiap-tiap bulan, orang kata makan gaji. Bagi yang macam aku ni kerja sendiri, nak kata apa ek? Makan diri? Yang pastinya, mereka yang makan gaji tu duit masuk dah tentu dapat. Perkiraannya juga dah tahu. Banyak ke sikit ke, tergantunglah pada kelulusan dan pangkat.

Tak macam aku yang kerja sendiri ni. Duit masuk ada naik turun. Ada masa, dapat untung lebih. Ada masa, ngam-ngam. Ada masa pulak macam tenggelam timbul.

Beberapa hari sebelum hari raya tempoh hari, orang yang makan gaji ni dah dapat gaji awal. Gaji bulan lepas ada lagi belen, dah dapat pula gaji bulan berikutnya. Raya memanglah banyak nak pakai duit dan orang yang makan gaji ni amatlah mengalu-alukan gaji awal. Dapatlah menampung perbelanjaan untuk beraya.

Bagi yang berhati-hati, mereka akan beringat untuk mengenepikan sejumlah wang untuk menampung perbelanjaan sementara menunggu gaji yang berikutnya pula. Ni baru awal bulan tapi dah ada yang merungut duit dah tak ada. Nak tunggu hujung bulan lama lagi ni.

Memanglah.
Harini baru 5 haribulan.
Bagi korang yang makan gaji, harini baru 5 haribulan.
Tapi bagi aku yang kerja 'makan diri' ni,
harini dah 5 haribulan.
Ramai lagi yang masih
belum bayar
yuran tadika/taska ni
.


Ado sapo-sapo nak nolong?

Friday, October 2, 2009

Anggur Au Five

Aku pernah melihat pokok anggur di cameron highland. Anggur hijau. Masa itu buah-buah anggur masih kecil. Jadi tak dapatlah nak tahu samaada anggur itu manis atau masam. Aku tak merasa pelik buah anggur ini boleh hidup di CH kerana cuaca di sana mungkin menggalakkan ia hidup subur dan menghasilkan buah.

Semasa aku ke AU5, ke rumah kakakku, aku lihat pokok anggurnya sudah mengeluarkan buah. Banyak pula tu.





Ini pokok anggur yang sedang berbuah di depan rumah kakak aku di AU5. Rasa pelik pula bila anggur boleh hidup dengan cuaca di negara kita ini. Anak buah aku memberi sebatang benih anggur merah yang dibawa dari Perlis. Aku tanam di belakang rumah. Boleh hidup kah? Aku tengok abah membelainya setiap hari.

Ada sesiapa yang nak menanam pokok tamar? Di depan surau AnNur ada sebatang tetapi tak pernah berbuah.

Thursday, October 1, 2009

Mengadu kat boss baru tau

Minggu lepas aku pergi metro kajang. Barang-barang yang nak dicari tu nak kata banyak tak de lah banyak. Nak kata sikit, kira banyak pulak. Jadi aku hangkut anak-anak aku tiga orang. Kakngah pun kata nak cari jam tangan.

Tau je lah kalau perempuan ni bila masuk shopping kompleks. Lain yang nak dibeli lain yang dibelek. Aku sempat meround ke tempat henbeg tengok-tengok kalau ada yang pekenan. Kalau ada yang pekenan mahu je aku sambar sebijik. Anak aku membebel-bebel cakap yang henbeg aku kan ada lagi. Ala, nak jamu jamu mata pun takkan tak boleh.

Kat tepi eskeletor ada kiosk jual pouch dan sling bag lelaki. Aku ajak anak aku singgah. Aku cakap kalau buat hantaran okay tak. Aku tengok orang lelaki pun ada juga yang pakai bag ni pergi kerja. Anak aku cakap, mehlah kita tengok dulu.

Aku tunjuk kat satu bag. Amoi tu turunkan dan aku belek-belek. Anak aku juga belek-belek. Masing-masing tak pekenan sebab nampak macam buruk je. Kemudian aku dongak lagi ke atas. Aku cakap dengan anak aku yang tu nampak okay . Anak-anak aku mengiyakan. Aku suruh amoi kedai tu turunkan beg yang aku tunjuk. Aku nak tengok.

Tau apa amoi tu cakap? Dengan muka toye dia bagitau, yang itu mahal. Itu kulit. Harga dia satu ratus lebih.

Ayo. Mulut takda insuran ma. Agaknya selekeh sangat ke aku. Apa-apa pun, tak baiklah kan. Biarlah customer yang decide nak beli ke tak nak. Sanggup beli ke tak sanggup. Aku pun takde hadap sangat nak beli bag tu.

Anak aku paut tangan aku ajak blah. Anyway, benda tu tak masuk dalam senarai pun.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...