Followers

jom klik

TADIKA AULAD HAS BEEN MOVED TO ANOTHER LOCATION. CLICK HERE IF YOU WISH TO GO TO TADIKA AULAD

Sunday, May 31, 2009

Bukan Aku Yang Mahu Begini

Cerita atuk.

"Petang tadi kat kampus semua orang over friendly. Setiap orang yang jumpa abang senyum senyum je. Bila abang masuk dewan kuliah, students pun senyum senyum tersengeh-sengeh. Apa terlebih hensem ke aku hari ni." (hik..hik..)

"Habis kuliah abang jalan nak pegi opis. Orang masih senyum-senyum bila selisih dengan abang. Lepas tu kan, bila naik tangga abang terpandang kaki abang. Abang tengok kaki seluar abang terlipat sampai kat betis. Dah lah terlipat, senteng sebelah pulak tu. Rupanya abang terlupa nak betulkan kaki seluar lepas semayang zohor. Patutlah orang asek tersenyum-senyum je."


WAKAKAKA.............. (perasan hensem konon)

Pagi tadi aku dan atuk pergi joging kat stadium seksyen 15. Setelah berpusing banyak round (sambil dihiburkan oleh irama dangdut yang dikareokekan oleh suara sumbang yang datangnya dari deretan rumah kedai sebelah stadium. Fullblast pulak tu.) kami berhenti mengambil napas dan menghilangkan penat. Baru aku terperasankan tshirt yang dipakai oleh atuk.

Kah...kah..kah..
Bang, abang pakai baju terbalik lah. Yang depan ke belakang. Yang belakang ke depan kah..kah..

He he.. patutlah leher abang rasa tercekik je.

Saturday, May 30, 2009

ADA MAKNA TERSEMBUNYI

Jangan percaya dan terima bulat-bulat setiap jawapan kepada soalan yang diberikan. Kena kaji dan selidik terlebih dahulu.

"Kau jadi datang ke tak jadi ni!!"
"InsyaAllah"
(Sebenarnya tak datanglah tu)


"Kau dah kat mana sekarang ni"
"On the way.. on the way"
(Sebenarnya masih kat rumah lagi baru nak pakai baju)
ataupun

"Dah nak sampai dah ni"
(Sebenarnya separuh jalan pun belum)


"Kau nak tunggu aku kul berapa"
"Aku datang kul 3"
(Sebenarnya pukul tiga tu baru stat injin kereta)


"Tshirt yang saya oder ni bila boleh siap"
"Dua minggu lagi siaplah"
(Sebenarnya dia kata "kau oder je lah. Pastu kau tunggu je lah" )


"Adik, kemas billik tu"
"Kejap"
(Sebenarnya tunggulah habis main game ni. Petang kang baru kemas)


"Hello.. hello.. hello..kau tak dengar ke apa aku cakap!!!"
"Tak dengar.. tak dengar... line aku tak clear lah"
(Sebenarnya dia kata "kau bla je lah. Aku malas nak layan kau lagi ha. Aku ada keje lain nak buat)
.
.
.
.
.
.
.
Haih... cuti dah mula dah ni.
Kemana kita nak jenjalan ni tuk.
Ha? nak pergi Istanbul?
(Sebenarnya atuk kata uwan duduk je lah dendiam kat rumah main ngan faris tu. Atuk ada fieldwork ni.)
Haihhh!!!!!

Friday, May 29, 2009

CAKAP LAH BETUL BETUL

"bos! ada jual rel langsir ka"
"Ala..lu mau lua laun ka tiga laun"
"Dua daun"
"Sikijam 'a. Saya kasi angkat itu rel"






"Kaka. Sudah lama tada mari. Mau beli biras ka"
"Tak mau."
"Sini biras mura-mura juga kaka"
"Aku beli kat tesco. Lagi murah"
"Ayoyo kaka"
" Nak cari sirih lah. Ada jual sirih ka"
"Ada. Berapa kaka mau."
"Macamana kira?"
"Satu ringge sepulo helai juga"









"Cikgu Ratipah"
"Hmmm...(bila masa plak aku tukar nama nih)"
"Ini bolang untuk kaleling kontes. Manyak hadiah ma. Kasi awak punya studen masuk"
"Tinggal je lah borang tu."


.
.
.
.
.
.
.
Rasa-rasanya diorang ni lahir di malaysia, rakyat malaysia, tapi kenapa cakap melayu tak pandai-pandai? haihhh.....


Thursday, May 28, 2009

D KOPAYO

Masa kecik dulu nenek akan terjerit-jerit kalau aku nak panjat pokok kopayo.

"Ekau jangan ngengado nak manjek pokok kopayo tu. Ambek pongolan tu ha. Kait". Itu jerit nenek.

Aku suka makan buah kopayo. Manis. Pucuknya juga sedap dibuat ulam. Ada sebatang dulu tumbuh belakang rumah aku ni. Pokok tu jadi bantut sebab pucuknya asek dibuat ulam. Cecah dengan sambal belacan atau sambal gesek, pergh sedap.

Buah kopayo juga elok dimakan untuk menyelesaikan masalah pembuangan, hik..hik.. Kalau makan sebiji gerenti berkejar ke bilik air.

Semalam abah memberi cadangan.
"Dah lamo bona tak makan rondang kopayo. Kok jumpo kopayo boli sobijik buek rondang"
Maka aku pun belolah pergi kedai mencari buah kopayo yang masih mengkal. Dapat sebijik. Tapi bila nak masak pada sebelah petangnya, kopayo yang mengkal tadi dah berubah warna pula kemerah-merahan. Tapi masih worait lah.

Sebenarnya entry kali ni aku nak perturunkan ilmu membuat rendang kopayo.

bahan-bahan:
sebiji buah kopayo yang mengkal
cili api secukup pedas.
(Siapa yang kuat makan cili api, bubuhlah agak semangkuk he..he. Siapa yang tak tahan pedas, ambil agak 10 biji. Tapi kalau tak pedas mana nak kow)
santan pekat dari sebiji kelapa
2 batang serai
segenggam ikan bilis
kunyit
garam

cara:
Racik buah kopayo seperti gambar di bawah.


Masukkan santan, kunyit, cili api yang dah ditumbuk, ikan bilis dan serai yang sudah dititik ke dalam kuali. Dalam bahan di atas tak ada bawang, Jangan memandai nak taruk bawang pula. Bila sudah mendidih dan kuah agak pekat, masukkan kopayo yang telah dihiris tadi.


Masak sehingga kuah pekat dan hampir kering.

Hasilnya:


Inilah rendang kopayo. Siapa yang belum pernah buat, cubalah. Sedap. Tapi cari yang mengkal ye. Akak punya kopayo ni dah macam nak masak je. Tapi sodap. Abah makan sampai keluar selemo errr.. hingus sebab terlebih cili api hehe..

.
.
.
.
.
.
.
Apa? Korang tak tahu buah kopayo tu apa? La.. ingatkan tahu. D kopayo is d betik lah. Akak kecik-kecik dulu mana tahu cakap betik ni. Kita orang kampung cakap kopayo.

Sekian, selamat mencuba.

Soyong yang tidak So Young

Ini cerita masa aku di tingkatan tiga.

Waktu itu period sains. Semua murid termasuk aku ke lab sebab ada experiment. Soyong belum masuk lab. Soyong tu nama cikgu sains aku. Nama sebenar aku dah terlupa. Mungkin Soh Yong. (Tak mungkin so young)

Oleh sebab cikgu belum masuk, budak-budak mulalah bising. Budak lelaki yang memang rata-ratanya nakal-nakal mulalah usik itu usik ini. Tonyoh itu tonyoh ini. Ala.. budak kampung macam kami ni bukan selalu dapat tengok benda-benda macam tu kat rumah.

Kami tak sedar soyong masuk. Agaknya kesabarannya tercabar bila tengok kami macam keling karam. Aku lihat dia mencapai pembaris kayu yang panjang satu meter tu dan mengetuk si nizar. Kena tepat-tepat di kepala, belakang telinga. Aku lihat darah menitik-nitik. Muka soyong pucat. Kami semua senyap tidak berdecit.

Besoknya abang-abang si nizar datang berkumpul depan opis guru besar.
(Agak-agaklah, kalau peristiwa itu berlaku masa sekarang, masuk paper front page tak)
.
.
.
.
.
Aku teragakkan peristiwa ini bila seorang classmate aku masa sekolah di batu kikir dulu terjumpa blog aku dan menghantar email. Dah berpuluh tahun tak jumpa. Lepas LCE masing-masing bawa diri.

Tuesday, May 26, 2009

Kuku panjang

Tadi masa tusyenkan budak-budak tiga orang tu.
(Seperti biasa bibik aini jadi assistant aku)

Bibik aini : twenty four plus thirty six. Berapa.

Nabilah terkial-kial menaikkan jari-jarinya.

Bibik aini : Naikkan jari kiri two. Naikkan jari kanan four.

Nabilah menaikkan jari-jarinya.

Bibik aini : Yo Olloh...

Aku terperanjat beruk sekejap mendengar suaranya yang agak kuat.

Bibik aini : Lho.. ini apaan ini kukunya panjang persis taiger. Yo Olloh.. emaknya tak diperhatiin apa. Ini kalau dicakar itu cat (sambil menunjuk pada kucing aku si jordan) mauk matik. Nanti bilang saja sama emak kamu minta dipotong kukunya.

Nabilah terkebil-kebil dan mengangguk-angguk.





Moral of the story: Rajin-rajinlah periksa kuku anak tu. Kalau dah panjang, potong hik..hik..


Kena Kelentong Lagi

Masa aku menuju ke pasaraya bintang di warta, seorang perempuan menahan aku. Seperti terpukau aku memberhentikan langkah dan beralih ke boothnya yang terletak di tengah ruang orang berjalan.

(Kenapa ruang untuk orang mundar mandir di kebanyakan shoping kompleks dipenuhi dengan gerai-gerai kecil. Di situlah orang nak jual kopi, minyak, alat-alat solek, tudung, baju dan macam-macam yang tak perlu aku ceritakan kat sini. Aku terpikir satu je. Kalaulah berlaku kebakaran di kompleks tu, kan ke gerai-gerai tu perangkap maut.)

"Kak, cuba akak berdiri tegak. Depa tangan akak mcam ni. Lepas tu akak pusingkan badan akak ke belakang. Pusing badan je kak. Kaki tak yah pusing."

Aku buat macam yang disuruh dan aku pusing setakat yang aku mampu.

"Cuba akak pegang ni pulak" dia menunjukkan sebungkus benda dan menyuruh aku menggenggamnya.

"Sekarang akak depa tangan macam tadi. Pusing badan akak macam tadi jugak".

Aku pusing dan kali ni pusingan yang aku buat itu memang lebih daripada yang mula-mula aku buat tadi.

"Akak tau tak apa yang akak pegang"

"Tak tau". Manalah aku tau apekebendanya.

"Ni garam himalaya. Bila akak pegang, energi yang ada dalam garam ni berpindah ke dalam badan akak. Tu yang buat badan akak jadi lembut"

Aku mengangguk-angguk.

"Akak rendam ngan air. Ambil sikit campur dengan air satu cawan. Hari-hari akak minum. InsayaAllah boleh buang toksid yang ada dalam badan akak. Pakcik saya amalkan. Sekarang dah tak ada darah tinggi lagi dah"

"Akak tau tak, bla..bla..bla.. beli la .... pastu belah la.... bla..bla.. takda bala cari bala...bla..bla.."

Aku seluk henbeg keluar seratus ringgit. Sampai sekarang garam tu terjelepuk kat dapur. Kang aku masukkan dalam gulai kang mahu pulak semua orang terlebih energy.

Senang sangat ke ni nak kena kelentong ngan orang?


Monday, May 25, 2009

Banyak Cakap ke Cakap Banyak...

Ada telinga, dengar. Ada mata, pandang. Ada mulut, jaga pertuturan.

Dulu aku tak faham kenapa cik konit yang rumahnya sebelah rumah mak tua, tidak bercakap dengan nenek, emak, mak tua, malahan dengan semua kaum keluargaku. Aku kecil waktu tu. Aku juga tidak dibagi bermain dengan anak-anak cucunya.


Pada zaman persekolahan juga sering berlaku pergeseran dengan kawan-kawan. Sekejap-sekejap, tak kawan. Sekejap-sekejap tak kawan. Tapi bergaduh dengan kawan kawan paling lama tiga hari saja. Lepas tu salam, minta maaf, dah berkawan semula.


Di opis juga begitu. Ada-ada saja yang tidak kena. Bila kita meluat dengan perangai seseorang, kita potpet potpet hal dia. Lepas tu bila orang yang kita potpetkan itu mendengar balik apa yang telah kita potpetkan maka terjadilah bermasam-masam muka. Nanti berjalan kalau bersentuh bahu pun buat-buat tak kenal saja.


Di kalangan adik beradik pun begitu juga. Memang betul pepatah yang mengatakan air dicincang takkan putus tapi bila dah luka tu parutnya tetap ada. Aku selalu memberi nasihat pada anak-anak supaya sentiasa menjaga tali persaudaraan. Masing-masing keluar dari perut yang sama, benih yang sama. Keakraban adik beradik itu biarlah sampai ke akhir hayat. Susah senang sama-sama lalui.


Semua akibat mulut. Kita kena berhati-hati bila mengeluarkan perkataan. Dalam keadaan yang memerlukan kita memberi teguran, tegurlah secara berhemah. Jangan menegur secara menyombong diri. Kita juga bukan orang yang sempurna. Kita juga banyak cacat cela. Aku selalu mengingatkan diri sendiri: Kalau aku tak suka orang buat aku begini begini, tentu jugalah orang tak suka aku buat dia begini begini. Semua orang mempunyai perasaan. Tak kiralah dia dari kalangan hartawan, orang biasa macam kita, kuli, bibik dan sebagainya. Selagi dia manusia, selagi itulah dia mempunyai perasaan.


Kalau kita sakit hati dengan seseorang dan tak tahu cara nak memberitahunya secara berhemah, baik senyap saja. Ada mata, pandang. Ada telinga, dengar. Kalau tak mahu dengar, masukkan ke telinga kira dan keluarkan ke telinga kanan. Buat kerja sendiri. Kita tak ganggu orang, orang pun tak ganggu kita. Jangan sekali-kali sakitkan hati orang.

Sekian bebelan aku pada pagi isnin. (Korang tau tak isnin tu nama bapak mertua aku.)


Masa aku menunggu atuk buat lasik di mid valley tempoh hari aku melihat gelagat hantu dua ekor ini dari dalam klinik. Hantu betina berumur dalam lingkungan 13 tahun. Yang jantan pula dalam 15 tahun. Memang sakit mata memandang. Dalam hati ni memang rasa-rasa nak bagi pelempang sebab buat tak senonoh depan khalayak ramai. Tapi dalam hati jelah......

Sunday, May 24, 2009

KENDURI

Salam.
Lama betul tak buat entry. Macam dah berkurun pulak. Penat buat kenduri ni. Tak percaya tanya diri sendiri yang dah pernah buat kenduri. Dua tiga malam penat belum habis lagi. Tapi alhamdulillah semuanya berlangsung seperti dirancang. Cuaca baik, tak hujan dan tak juga panas sangat.


Mak mentua kena turun padang jugak. Sebagai sukarelawati tu. Tak kesahlah mak eh. Dapat juga menempel masuk dalam tenet ni. Satu dunia boleh tengok.


Ni Faris tengah potong rambut.


Cuba teka siapa datang masa kenduri. Haha.. dari jauh kakpah dah nampak van ezza lalu. (Van baru ke Za. Lupa nak tanya). Ezza datang dengan suami. Nong datang dengan suami. Terima kasihlah sebab datang dari jauh semata-mata nak ke rumah kak pah ni. Pada Ezza, thanks for the bag. Ezza buat bag untuk bisnes ke. Pada Nong, thanks for the cake. Famili suruh sampaikan terima kasih juga. Sedap kek tu. Habis kena ngap sekali hadap.

Pb datang dengan anak-anak. Thanks for coming. Kakpah mintak maaf banyak-banyak sebab tak dapat nak layan habis-habisan. Lain kali kita jumpa lagi ye just for borak-borak. Tijah!!!!! ekau mano tak datang. Osah kau ni. Acik yang malu-malu kucing tu memanglah malu nak jumpo akak ni.


Bersama Nong. Kak Nong? he..he.. muda benau lagi. Panggil Nong je dah la.
Ni bersama dengan Ezza pulak.

Gambar dengan Pb terlupa nak ambil. Kakpah cilok je lah dari blog si Ezza. Hehe.. maap je la Za ye.



Kakngah dan tunangnya. InsyaAllah hujung tahun kenduri lagi. Nanti kakpah jemput.


Sekian.

Wednesday, May 20, 2009

You are english, I am melayu

Harini nak tukar stail menulis. Atuk tak suka kalau akak tulis macam ni. Dia kata macam budak-budak. Tapi tak kesahlah kan sebab atuk tu nak mantau akak sekarang ni tak boleh. Dia tengah edjas mata dia lepas buat lasik ni.

Sebenarnya kan, akak ni tertanya-tanya gak kat diri sendiri. Blog ni kan blog tadika ke blog kakpah. Agaknya siapa yang masuk sini mesti terkonpius. Tapi tak kesahlah kan. Akak ni memang suka bercakap. Kang cakap pasal tadika je kang korang boring pulak. Akak cakaplah pasal macam-macam @ rojak. Nantilah. Anak akak tengah buat satu web untuk tadika je. Nanti bila dah siap, tadika pindah situ. Akak tinggal kat sini.

Pandang belakang jap. Kang atuk ngintai pulak apa yang akak tulis ni. Hah, dia dah lolap tu. Siap tutup dengan bantal lagi mata dia. Silau. Mintak mintak dia tak bacalah entry ni hik..hik..

Kakpah nak cerita pasal satu kegemaran orang perempuan. Orang perempuan ni suka sangaaaat kalau rumah dia cantik kan. Akak taulah, ramai antara korang ni yang suka beli impiana ke atau anjung seri. Akak memang tak mis beli majalah ni. Suka belek dekorasi rumah orang yang cantik-cantik. Lepas tu berangan nak buat kat rumah sendiri. Selalunya berangan je lah. Nak buat tak menjadi.

Dulu akak cukup minat kat stail bali ni. Kalau beli apa-apa mesti nak kaitkan dengan bali. Masa raya lepas, ada pulak kawan ni yang beriya-iya mengajak akak pergi tengok kedai Kay. Kawan akak cakap kat kedai dia ni banyak perabot english style. Akak cakap akak tak heranlah english english ni. Akak ni peminat bali totok. Tapi oleh sebab tak nak menghampakan ajakan kawan (cewah...) akak pun ikut jugak lah.

Sampai sampai je kat kedai dia, umang ai.. kelabu bijik mata. Cantik cantik banget. Terus bertukar 360 darjah ketotokan akak. Sempat rembat dua rak yang sangkut kat dinding tu. balik-balik je rumah haritu atuk belum balik opis lagi. Akak sorok rak tu dalam setor. Lepas makan malam tu barulah akak urut-urut belakang atuk.

"bang, dah muak lah dengan bali ni. Tahun ni nak tukar tema lah. Nak tukar english pulak"
Lebih kurang macam tu lah akak cakap.

Atuk kalau jawab, senang je. 'hmmm'. Maknanya oraitlah tu. Akak pun apa lagi, belolah masuk setor keluarkan rak yang akak beli tu. Weekend tu atuk dengan abah akak bertungkus lumus memasang rak tu kat dinding.

Mulai hari tu bermulalah projek akak. Korang kalau pergi kedai kay ni kan, mesti terpesona. Betul akak cakap. Kalau tak caya, cuba layan gambar-gambar ni.









Tu baru sikit je tu. Kalau minat korang pegilah masuk kedai kay .

Kay, berapa persen kau nak bagi aku ni hehe.. Diorang ni tanya berapa kali bayar kau boleh bagi.

Ha, don wori lah. kalau sapa minat nak beli lemari ke, rak ke, rojer ajelah kat akak ni. Apa macam Jah (wink..wink..) poso dah tak lamo lagi. Rayo dah dokek.

Ehmm.. apasal lah akak rasa akak dah tukar profesyen nih.

Tuesday, May 19, 2009

LASIK

Abah tak percaya bila aku kata aku kena pakai cermin mata. Masa tu aku di remove class. Dulu kalau dari sekolah rendah nak masuk menengah aliran Inggeris, kena masuk remove class dulu selama satu tahun. Lepas tu baru naik tingkatan satu. Kalau ikut umur memang rugi satu tahun. Aku tak rugi sebab aku masuk darjah satu semasa aku berumur lima tahun.

Masa tu kalau budak pakai cermin mata orang kaitkan sebagai budak cerdik dan kaki buku. Bila ada orang yang kata begitu, hidung aku kembang kempis jugalah. Tapi realitinya, aku cuma biasa-biasa saja.

Sejak itu aku dan cermin mata tidak dapat dipisahkan. Semasa zaman sekolah sahaja, cermin mata aku tidak terkira banyaknya. Bila pecah, ganti. Bila patah, ganti. Bila power dah kurang, ganti.

Bila aku bersekolah di Johor Bharu, aku seolah-olah menyalahgunakan fungsi cermin mata aku. Terlalu banyak sangat godaan dari kawan-kawan. Tengok kawan pakai frame bulat, aku perkenan. Tulis surat pada abah minta duit sebab nak tukar cermin mata. Tengok kawan pakai frame empat segi, aku perkenan. Tulis surat lagi pada abah lagi mintak duit nak tukar cermin mata. Pada tahun 70han dulu frame semua besar gedabak. Bila pakai, tertutup hampir separuh muka. Tapi masa tu kira fesyen lah.

Aku dan kawan-kawan selalu buat cermin mata di bazar tepi sungai Seget. Masa tu Johor Bharu belum membangun macam sekarang. Air sungai Seget ketika itu hitam legam dan baunya meloyakan. Tidak tahulah bagaimana rupanya sekarang ini sebab aku dah bertahun-tahun tak turun ke JB.

Dipendekkan cerita, aku bercermin mata dari aku budak berumur sebelas tahun sehinggalah aku dah tua macam ni. Bila terlalu lama, memang merimaskan. Terutamanya bila tersalah letak cermin mata ketika mengambil wudhu ataupun mandi ataupun tidur. Berkelintau mencari satu rumah. Habis anak kena kerah mencari cermin mata yang terlupa letak di mana. Pernah sekali aku memarahkan diri sendiri kerana terlupa letak. Aku turun naik turun naik mencari. Masa tu yang ada di rumah cuma bibik. Bila dia bertanya apa yang aku cari, aku beritahulah yang aku sedang mencari cermin mata aku. Bibik mengekek-gekek ketawa, 'tu yang atas kepala ibuk tu apa!!'

Oleh kerana boring, bosan, rimas sebab berpuluh tahun pakai cermin mata sampaikan aku dah tak tahu frame pesen apa yang aku nak pakai, aku ambil keputusan untuk buat lasik. Keputusan itu aku ambil hampir tiga tahun yang lepas. Dan sejak itu aku lepas bebas dari cermin mata.



Petang tadi aku ke ExcelView lagi di Mid Valley. Kali ini aku datang ke klinik itu sebagai pengiring kepada suami aku yang juga akhirnya mengambil keputusan untuk membuat lasik. Prosesnya cepat dan tidak menyakitkan.

Monday, May 18, 2009

Tak Payah Makan Ikan Kolam

Dulu aku mengajar di SMK Sungai Rawang. Lama dulu sebelum aku berhenti. Untuk ke sekolah ini aku akan melalui pekan Sungai Pelek. Dan dari pekan sungai pelek menuju ke sekolah aku akan melintasi beberapa buah rumah yang ada membela babi. Tempatnya memang hampir benar dengan pekan.

Aku dan beberapa kawan yang berulang alik dari B.B.Bangi menumpang van cikgu Mat Nor. Mungkin kerana nak menjimatkan petrol cikgu Mat Nor lebih suka menggunakan aircon semula jadi. Cermin tingkap setiasa terbuka. Setiap kali melintasi tempat ternakan babi ini kami terpaksa menutup mulut, hidung dan menahan nafas kerana tidak tertahan dengan bau busuk kandang babi.



Beberapa tahun lepas suami aku membawa studentsnya untuk membuat fieldwork di Sekamat Seremban. Didapati buangan dari ladang-ladang ternakan babi banyak yang mengalir ke sungai. Semasa membuat kajian, suami bertemu secara tidak sengaja dengan seorang apek yang sedang membawa beberapa tong kecil di motosikalnya. Apabila suami bertanya apa yang dibawanya , apek itu memberitahu yang tong kecil itu telah diisi dengan najis babi yang diambil dari kolam najis di ladang ternakan babi.

"Mau bikin apa dengan ini taik, apek"

"Mau kasi ikan makan"

"Mana ikan mau kasi makan"

"Saya punya kolam ikan. Ada manyak ikan talapia."



Tadi aku ke kedai. Di muka hadapan Kosmo terpapar berita ikan keli diberi makan sisa babi. Apa erti sisa babi tu, pikirlah sendiri. Siapa yang suka makan ikan kolam @ ikan darat tu, berhati-hatilah. Kalau was was baik tak payah beli. Banyak lagi ikan lain yang boleh kita makan. Ikan bilis pun kalau kena cara masaknya, sedap juga. Orang NS selalu buat sambal gesek ikan bilis. Caranya, ambil cili api campak dalam lesung. Tumbuk lumat. Ambil bawang merah campak dalam lesung dua tiga biji. Ambil ikan bilis segenggam, basuh, campak dalam lesung. Tumbuk. Tumbuk. Tumbuk. Lepas tu perah limau nipis ke kasturi ke. Belenkan pedas, masam dan masin. Pergh.. tak payah masak lain dah. Makan dengan nasi panas-panas. Gerenti berpeluh.

See, tak payah lah makan ikan kolam ni. Makan pucuk ubi lagi bagus. Cecah dengan sambal gesek tadi. Kecik hati mak mertua sebab dia lalu lalang kita buat tak tahu je.


Sunday, May 17, 2009

ARFAN DA N FARIS

Malam tadi sebelum isya' secara naluri aku menjengah ke muka pintu. Ada kereta berhenti di luar pagar. Dan dua orang kanak-kanak berdiri di depan gate. Suamiku bertanya samada aku ada tusyen. Semalam sabtu. Sabtu aku tak ada tusyen. Suami menyuruh aku memberitahu budak yang datang itu supaya datang hari isnin saja.

Aku perhatikan terus kanak-kanak itu dan baru aku perasan yang ia adalah Arfan anak muridku tahun lepas yang ada aku ceritakan halnya di dalam entry aku sebulan lalu. Aku tekan remote gate dan Arfan masuk tersengih-sengih sambil menghulurkan sejambak bunga yang aku kira dibuatnya sendiri.

"Selamat hari guru ummu" katanya malu-malu.

Aku memeluk dan menciumnya kerana masih mengingati aku dan sanggup merengek ibu bapanya (aku agak) untuk menghantarnya ke rumah aku semata-mata untuk memberi cenderahati itu.


Terima kasih Arfan. Ummu juga sayang Arfan. Jangan lupakan ummu bila sudah menjadi orang yang berjaya. Kek yang Arfan bagi tu sedap. Ibu buat ye...


.........................................

Faris dah makin tembam


Ada yang bertanya bila nak buat kekah faris. Kekah Faris Sabtu 23 mei ni sekali dengan bertunang kakngah. Kawan-kawan yang selalu menjengah di sini kakpah jemput datang memeriahkan majlis. Ada kambing dan ada lembu. Majlis bermula jam 11.30 hari. Makan-makan mula jam 12.00 sampailah lauk habis keh..keh.. Kalau ada yang sudi nak datang, beri confirmation kat ruang komen. Nanti kakpah emailkan alamat. Ni ajak betul betul ni. Bukan ajak-ajak ayam.

Saturday, May 16, 2009

Potong Kambing

Tengahari tadi ke Taman sri gombak, kenduri aqiqah anak cucu kawan. Dia potong kambing sekor dan dimasak kari. Aku tengok suami makan bukan main beriya. Aku tak makan daging kambing.

Semasa makan, kami sempat berbual-bual dengan bapa kepada kawan aku tadi. Orangnya hampir sebaya dengan abah. Kelakar dan gurau sendanya seperti dulu juga. Memang tak kekok kalau berbual dengannya dan memang tak kering gusi juga dibuatnya. Ada-ada saja bualnya yang membuatkan kami ketawa.

"Kencing manis macamana pakcik", tanya suami.

"Okay, kontrol. 6.5 je" jawabnya.




Teringat kami pada pertemuan yang lalu, entah beberapa tahun yang lalu. Dia bercerita.

"Haritu pakcik pergi buat checkup kat hospital. Doktor nak test air kencing" dia menjeling jeling isterinya di sebelah.

"Pakcik takut kena masuk sepital. "sambungnya.

"Pakcik kau tu memang penakut" sampuk isteri.

"Sebab takut kan, pakcik tukar air kencing pakcik degan air kencing makcik kau". Mengekek dia tergelak. Kami pun ikut sama tergelak.

"Nasib baik makcik kau tak pregnant. Kok tak, susah pakcik" Kami tergelak lagi bersambung-sambung.




Kami balik dari kenduri tadi dengan membawa empat beg 'berkat'. Antara isiya: daging kambing dan rendang. Ingat malam ni tak payah masak tapi balik-balik je kena serbu dengan anak-anak. Dah habis licin. Err.. apa nak masak malam ni ? Ape kate kite makan kat luau je tuk!!


Friday, May 15, 2009

Aku Masih Ingat Padamu


Cerita sekolah lagi
sempena hari guru
.
.
.
dulu
ada seorang guru
yang mengajar sains
.
.
perempuan
manis
kecil molek
baik
pandai mengajar
.
.
.
kami namakan dia
Miss Zero Zero One
kerana masa itu cerita James Bond tengah meletup-letup
dan dia tidak tahu digelar begitu

di manakah kamu sekarang?
masih wujud kah?
atau sudah berhijrah?
tapi aku masih ingat padamu
Selamat Hari Guru
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
Miss Ooi

Thursday, May 14, 2009

GURU KESAYANGAN

Kalau ada yang tanya siapakah guru kesayanganku, aku akan jawab 'abah'.

Abah masuk belajar di Maktab Perguruan Sultan Idris pada tahun 1942. Sama batch dengan Ghafar Baba. Beberapa bulan selepas belajar, abah berhenti sekejap sebab perang. Habis perang, abah sambung balik sehinggalah tamat mendapat sijil perguruan.

Pada zaman abah dulu budak-budak belajar sampai darjah enam sahaja. Tak ada sekolah menengah. Habis darjah enam, masuk pula sekolah khas untuk menentukan arah tuju. Abah dapat tawaran ke MPSI. Kira terer jugalah abah.


Bila aku berumur lima tahun, abah sudah pun menjadi guru besar. Oleh sebab emak sibuk ke sawah, abah membawa aku ke sekolah. Aku masuk darjah satu semasa umur baru lima tahun. Masa tu abah ajar aku BM. Aku belajar apa yang budak-budak darjah satu belajar. Kalau nak tahu, masa tu masih ada lagi papan batu. Mungkin ramai yang tak tahu dan tak kenal.

Tahun-tahun selepas itu aku ikut abah berpindah ke sekolah di mana abah menjadi guru besarnya. Abah menjadi guru besar aku dari aku darjah satu sehingga darjah enam. Dan abah juga menjadi guru BM aku.

Jadi, pada tahun-tahun permulaan aku mengenal huruf, angka, menulis, mengira dan juga ilmu-ilmu yang lain, abahlah guru utama aku. Memang patut kan kalau aku sayang abah lebih?

Sekarang umur abah dah 85 tahun. Masih lagi memungut pencen di bsn. Memang jasa abah banyak dalam melahirkan insan bijak pandai. Dan sampai sekarang gelaran cikgu masih melekat pada nama abah.

Abah!! selamat hari guru.

Wednesday, May 13, 2009

BERJUMPA SULTAN

Assalamualaikum,


Mari kita jumpa sultan. Joni memberi tau saya. ok, kata saya. Kami pun naik van kecil yang buruk milik Joni. Kami pusing pusing di lorong lorang Paya Kumbuh, dan sambil menjengahkan lehenya keluar, Joni kata sultan tiada.

mana istana sultan, tanya saya. Itu, kata Joni. Mana, kata saya; itu, yang ada pagar tu... ooo, saya kata, walaupun sebenarnya tidak dapat memastikan mana satu istananya.


Nov. 2006, kami sekeluarga pergi ke tempat asal usul isteri saya, Hajjah Latifah Hanim Bt. Hj. Muin, di Baruh Gunung, Paya Kumbuh, Sumatra. Joni ialah suami kepada adik kepada ipar Latifah. Dia punyai sebuah kedai hardware dan terlibat dengan beberapa projek construction.

Oleh kerana usaha tadi tidak berjaya, maka Joni mengajak saya jumpa sultan sebelah petang. Pada pusingan yang pertama melalui lorong yang kami lalui pagi tadi, Joni kata, ha, ada. Lalu dia keluarkan satu fail daripada begnya.

Dia menunjukkan kertas dari fail tersebut. Bila saya tengok, apa yang terkandung dalam kertas tersebut ialah technical details mengenai sesuatu. Saya tahu, Joni tidak berkemampuan menyediakan sesuatu seperti ini.

Saya tanya, siapa yang buat ini, dia kata sultan la.

Bila saya nilai sekali lagi barulah saya faham, bukan dia ajak saya jumpa sultan,

tetapi untuk jumpa consultant.

hamirdin.blogspot.com

Peluh Bacin

Sana sini orang kata panas. Duduk dalam rumah, panas. Berjemur lagi lah panas. Baru mandi dah berpeluh balik. Dah busuk balik. Bayangkan orang yang malas mandi atau yang tak sempat mandi dan berpeluh-peluh sampai baju boleh diperah. Bau hapak tengik memang tak boleh dikiralah.

Semalam aku ke Melaka. Mak saudara meninggal. Semasa di perkuburan hari sedang panas terik. Air peluh meleleh dari pangkal rambut ke hujung kaki. Memang panas walaupun aku berpayung. Tetapi melihat mayat di liang lahad dan juga bacaan talkin pak imam menginsafkan aku bahawa ada dunia yang lebih panas dari apa yang kita rasa sekarang ini.

Mengingatkan aku juga semasa aku masih anak-anak kecil di sekolah rendah. Masa itu letrik belum masuk ke kampung. Kipas tak ada macam sekarang. Yang ada cuma tiupan angin dari luar rumah. Ataupun kertas suratkabar yang aku lipat-lipat dan aku kibas-kibas untuk mendapatkan angin. Kadang-kadang aku gunakan tudung periuk juga. Bila aku cakap dengan mak "panas..panas.." mak akan selamba menjawab, kat neraka lagi panas. Terkedu sekejap.
Lepas tu aku malas nak mengadu. Kalau tak tahan panas aku pergi bercempera dalam sungai.

Aku rasa orang sekarang ni lebih beruntung. Kipas ada. Aircond ada. Untuk mereka yang tak ada aircond tu duduk saja tepi peti ais buat-buat terlupa barang apa yang nak diambil dari dalam peti ais tu. Apa-apa pun anggap je lah cuaca panas ni satu dugaan. Kalau redha dengan dugaan ni mungkin akan diberi ganjaran dariNya.


Tuesday, May 12, 2009

Bila Bibik Cakap Omputih

Imah datang memberitahuku tentang perbualannya dengan bibik aini.

"Kak Aini, timun ni dah basuh ke belum"

"Udah. Udah di steril"

"Hah? sterile?"

"Iya... impres lagi"

"Mak, dia cakap impres tu yang tak tahan tu. Sebenarnya dia nak kata fresh" Kah..kah..kah..




Pada masa yang lain aku memberitahu keluarga ketika kami duduk di meja makan.

"Mak tanya aini lauk asam pedas malam tadi ada lagi ke tidak" kik..kik..

"Habis tu?"

"Aini cakap, udah limit"

"Apa yang limit?"

"Limit " aku cakap sambil menggoyangkan tangan menunjukkan tanda sudah habis.

Wakahkah.....

Kami ketawa lagi. Nasib baik tak tersedak. Rupa-rupanya banyak unsur lawak di sekitar kami.

Saturday, May 9, 2009

Ibu Ratu Hatiku

Dah dua tahun lebih mak pulang. Aku rindu pada mak. Sempena hari ibu ini rinduku makin membuak-buak. Hanya kenangan bersama emak saja yang menjadi ubat. Aku doakan mak baik-baik saja di sebelah sana. Aku sentiasa doakan. Semuga Allah terima doa aku itu.

Rumah baru mak tak jauh dari rumah kita. Mak pun tau kan? Tapi rumah kita dah tak ada penghuninya. Dah tinggal begitu saja. Abah dah tak duduk di situ lagi. Mula-mula emak pergi dulu, abah tak mahu berjauhan dari emak. Emak taukan yang abah mengulang ke rumah mak sampai berbelas hari? Hari-hari abah ke situ. Abah bawa yasin dan air satu jag. Abah bacakan yasin. Air yang abah bawa itu abah jirus ke tanah di atas tempat tidur mak. Mak terasa sejuknya kan?

Aku kesian pada abah. Abah tak pernah berpisah dengan emak. Mula-mula abah tak dapat menerima kenyataan yang emak sudah tak balik-balik lagi. Dulu bila mak pergi hospital berminggu-minggu, mak balik. Bila mak pergi lagi berminggu-minggu, mak balik. Tapi mak balik dari hospital yang terakhir kali, mak balik sekejap saja. Sekejap sangat. Lepas tu mak pergi lagi. Pergi tak balik-balik. Abah sedih. Aku pun sedih.

Aku kesian bila abah tinggal seorang diri di rumah besar itu. Aku pujuk abah supaya tinggal bersama aku. Lama-lama abah mahu juga. Itupun setelah setahun tinggal berseorangan. Mak ada balik ke rumah kita? Mak janganlah bersedih bila rumah itu sudah tidak berpenghuni. Kami selalu kembali ke situ. Kemas-kemaskan rumah. Tentu emak pun tak mahu abah tinggal seorang kan? Kesian abah. Tak ada orang nak uruskan makan pakai dia.

Mak, semalam kami balik lagi ke rumah kita. Bila aku ke bilik air, aku terbayang ketika mak dimandikan. Mak terbaring kaku di atas usungan yang diletakkan di luar bilik air itu untuk dimandikan. Mak senyum. Seolah-olah emak katakan pada aku yang akhirnya mak tidak menderita lagi. Aku gosok badan mak semasa memandikan emak. Aku gosok perlahan-lahan kerana aku tak mahu mak berasa sakit. Sudah lama sangat mak sakit. Berbelas tahun. Sabarnya mak menanggung derita itu. Tidak sekalipun aku mendengar mak mengeluh. Mak tersenyum saja. Mak, aku rindukan senyuman mak itu. Senyumlah lagi mak. Datanglah dalam mimpiku.

Semasa aku mengemas di dapur, aku terbayangkan mak di situ sedang menggulai lauk. Aku suka masakan emak. Emak masak sedap. Sedap sangat pada tekak aku. Emak pun tahu apa yang aku suka makan. Bila emak masak ayam, mak akan ketepikan bahagian pehanya untuk aku. Kalau emak masak udang galah, emak akan tinggalkan yang besar-besar untuk aku. Emak akan tengok aku makan penuh selera.

Bila aku dah beranak pinak pun aku selalu merengek nakkan masakan mak. Bila aku nak balik ke kampung, aku akan menelefon emak: Mak, tolong masakkan sambal tempoyak daun kayu. Ataupun, mak tolong masakkan ikan sungai dengan bacang. Ataupun, mak tolong masakkan ikan dengan daun pucuk gelugur. Aku bukannya bermaksud untuk menyusahkan emak tapi aku terlalu suka sangat dengan masakan emak. Terlalu rindu bila sudah lama tidak merasa air tangan mak. Dan seperti biasa mak tak pernah mengecewakan aku. Mak akan setia menanti melihat aku makan.

Bila mak sakit, mak sudah tidak dapat masak lagi. Makan minum mak bibik yang buatkan. Dan kadang-kadang aku juga yang buatkan sekiraya aku balik menjenguk mak. Tapi tak sama kan mak? Mak masak sedap. Bibik masak biasa biasa saja tapi aku tengok mak dah tak kesah. Makan mak pun dah tak banyak. Tapi kadang-kadang bila kami sebok di dapur, mak pun nak datang tengok juga. Mak nak tolong-tolong juga walaupun mengupas kulit bawang. Tapi nak kupas bawang pun mak dah tak boleh buat. Tangan mak tergigil-gigil.

Semasa masuk bilik solat untuk solat zohor, aku terbayangkan mak bersembahyang sama. Aku masih teringat masa-masa awal emak diserang penyakit. Semasa solat di sebelah emak, badan mak tergigil-gigil dan bergoyang-goyang. Kemudian baru kita dapat tahu rupanya emak diserang parkinson. Sejak itu emak sentiasa ditemani mardopa. Tanpa dadah itu badan dan tangan mak akan menggigil tidak berhenti-henti Aku kesian melihat emak begitu.

Di bilik solat itu jugalah mak dibaringkan untuk kali terakhir sebelum mak dibawa pergi jauh meninggalkan kami. Aku sentiasa di sisi emak. Aku baca yasin dan alQuran dalam suara yang serak dan sedan. Kejap-kejap aku buka kain yang menutupi muka mak. Aku tenung, aku peluk dan aku cium. Aku buat sepuas-puasnya sebab aku tahu aku takkan dapat lagi mencium mak. Aku baring di sebelah emak. Aku peluk mak. Aku peluk mak puas-puas sebab aku tahu aku tidak akan dapat lagi memeluk mak.

Semasa mak dikafankan, aku setia duduk di sisi mak. Aku bantu memakaikan pakaian mak yang cantik putih bersih itu. Aku menangis perlahan-lahan. Bukan tidak redha. Cuma aku tahu yang aku akan menanggung rindu tak berkesudahan. Aku seka air mata yang meleleh bila mahu mencium mak buat kali terakhir kerana orang kata tak baik bila air mata jatuh menimpa kulit orang yang sudah tidak ada. Sakit. Air mata aku tak tumpah ke atas kamu kan mak?

Bila emak sudah siap dikafankan dan mahu disembahyangkan, aku peluk lagi mak untuk kali terakhir. Aku tak mahu lepaskan mak sehinggalah angah mengangkat bahuku. Payah benar untuk aku lepaskan emak. Sebab aku tahu aku sudah tidak dapat memeluk emak lagi selama-lamanya. Ah.. rindunya aku padamu mak.


Bila aku melihat kerusi roda yang tersandar di tepi dinding aku bayangkan mak duduk di atasnya. Berbelas tahun mak duduk di atas kerusi roda itu. Adakalanya mak terjatuh, terduduk di atas lantai bila mak cuba-cuba bangun sendiri. Tentu sakit. Menambah sakit yang sedia ada. Tapi mak tetap senyum juga. Tabahnya hatimu mak.

Pada satu pagi raya aku bersalam dengan emak. Aku mintak ampun pada mak atas segala apa juga kesalahan yang aku dah lakukan. Kalau-kalau aku ada menyakitkan hati mak. Mak cakap perlahan-lahan " tak ada apa salahnya kau". kemudian mak sambung lagi "Mak ni dah tak ada gunanya lagi dah". Mak!! hati aku menjerit bila emak cakap macam tu. Aku peluk mak erat-erat. Mak ratu hatiku dunia dan akhirat. Macamana mak boleh beranggapan begitu.


Mak, di hari-hari akhir mak, mak macam dah berserah. Mak dah penat menangani parkinson. Mak juga penat menangani osteoporosis. Mak juga penat menangani darah tinggi. Yang terakhir, mak diserang penyakit kulit yang jarang-jarang dihidapi orang. Penyakit itu rupanya bukan menyerang kulit luaran saja tetapi juga organ dalaman. Hampir setahun juga mak mengidapnya.

Semasa mak menerima rawatan di pantai mak seakan tahu yang masa mak sudah hampir sampai. Mak selalu memandang aku dengan pandangan yang tidak berkelip-kelip tidak mahu melepaskan. Bila aku tanya kenapa, emak kata tak ada apa-apa. Tapi hati aku selalu tidak sedap rasa. Aku kesian tengok mak yang tidak boleh bernafas sendiri. Aku kesian tengok mak tak boleh berkahak sendiri. Tekak mak sentiasa dirodok untuk mengeluarkan kahak. Kadang-kadang mak kata, sakit. Sayunya hati aku mak. Tapi kahak terpaksa dikeluarkan. Aku kesian tengok mak tak boleh menelan makanan. Perut mak ditebuk untuk memasukkan susu. Sayunya hatiku mak. Tangan yang selalu memasakkan untuk aku, tidak lagi boleh menelan makanan walaupun aku suapkan. Hati aku sayu tapi aku tak mahu tunjukkan pada mak. Aku tak mahu mak cepat mengalah. Tapi mak tahu yang mak akan pergi.

Semasa mak dikeluarkan dari hospital, aku temankan mak di dalam ambulan. Mak ingat kan? Kemudian bila sampai di rumah kita mak dibaringkan di atas katil yang abah sediakan. Emak baring di situ, menunggu masa. Tidak lama mak. Belum sempat subuh mak dah pergi meninggalkan aku dan abah. Emak pergi dengan aman. Emak tinggalkan derita emak. Pergilah mak. Aku akan jaga abah macam mak jaga abah. Mak berehatlah di sana. Aku doakan kesejahteraan mak. Abah juga.

Mak, Selamat hari ibu. Mak lah ibu aku dunia dan akhirat. Aku tetap akan merinduimu. Jenguk-jenguklah aku dalam mimpi.

Anakmu.



Friday, May 8, 2009

Untuk Siapa Yang Memahami

aku mengangkat gagang telefon dan meletakkannya ke telinga. Nombor di tekan.

Untuk pertanyaan, tekan satu. Untuk bayaran bil, tekan dua. Untuk lain-lain, tekan tiga.

Tittt.. tekan 1

Pertanyaan untuk bla bla tekan satu. Untuk bla bla tekan dua. Untuk bla bla tekan tiga.

Tittt.. tekan dua

Untuk kes urgent, tekan satu. Untuk kes kurang urgent tekan dua. Untuk kes tak urgent langsung, tekan tiga.

Titt... tekan satu.

Untuk kes urgent yang perlu tindakan segera, tekan satu. Untuk kes urgent yang tidak perlukan tindakan segera, tekan dua. Untuk kes urgent yang tak perlu tidakan langsung, tekan tiga.

Titt... tekan satu.

Pegawai kami sedang sibuk. Anda akan dilayan sebentar lagi.

Tralalala...tralala...tralala... (ada musik untuk halwa telinga)

Pegawai kami masih sibuk. Anda akan dilayan sebentar lagi.



Arrrgggggghhhhhh!!!!!!!!!!!!


Kenapa setelah bersusah payah tak ada orang nak melayan aku!!

Wednesday, May 6, 2009

Datang Dari Mana

Aku memberi tusyen percuma kepada beberapa murid yang lemah di rumah. Aku buat sebelah malam dalam pukul 8:00 sehingga 9:00. Aku ambil berkumpulan. Ambil dua tiga orang, bila sudah pandai aku pencenkan dan aku ambil yang lain pula.

Bibik Aini aku jadikan asisstant aku. Aini ni kadang-kadang memang blur tapi dia belajar tinggi juga lah. Habis sekolah menengah. Dia belajar untuk dapatkan diploma sekerat jalan saja sebab masalah kewangan. Cakap orang putih pun bolehlah sikit-sikit.

Semalam, aku berhenti sekejap untuk solat isya'. Aini ambil alih untuk mengajar budak-budak itu. Selesai solat dan sedang melipat telekung aku terdengar;

"Three plus four, how many"

Senyap.

"Cepat. How many"

Senyap juga. Aku agak yang ditanya sedang mengira.

"Eight"

"Apa? Eight? Dari mana datangnya eight"

Senyap.

"Dari mana? Dari Arab? "

Boleh tahan juga bibik aku ni.


Tuesday, May 5, 2009

Macam Mano Nak Buek

Pagi tadi selesai sarapan, aku berbual-bual dengan suami. Ada satu cerita yang buatkan kami ketawa mengekek-ngekek.

Umrah tahun lalu, suami balik kemudian dan terpaksa rescheduled penerbangan kerana menjaga emaknya yang sakit di hospital Nur. Hampir sebulan juga suami mengerjakan umrah. Lebih kurang sama macam orang mengerjakan haji. Alhamdulillah emak mertuaku akhirya dibenarkan keluar dari hospital.

Perkara lucu itu berlaku semasa suami dan mertua berbaris untuk lalu di bawah mesen pengimbas di lapangan terbang Jeddah. Di hadapan mereka ada satu kumpulan jemaah dari Indonesia. Ada seorang pakcik selang beberapa orang di depan suamiku yang kelihatan begitu gelisah. Nampak tangannya macam terketar-ketar.

"Parkinson kot' aku tanya suami.

"Taklah. Tangannya macam ni ha." suami mengajukkan sambil mengoyang-goyangkan tangannya. Aku ketawa.

Mesen pengimbas berbunyi tit..tit.. bila kawan pakcik itu yang berada di hadapannya melintasi mesen. Lagilah pakcik itu panik. Tambah-tambah lagi bila dilihatnya pegawai bertugas menghampiri kawannya tadi dan meraba-raba tubuhnya. Pegawai itu menyuruh kawan pakcik tadi menanggalkan tali pinggang kerana besi kepala tali pinggang itu yang membuatkan mesen itu berbunyi. Memerhatikan kawannya membuka tali pinggang, pakcik itu pun turut sama membuka tali pinggang seluarnya.

"Terkial-kial dia ", kata suami.

"Lepas tu?"

"Kawan dia tadi tu masuk balik semula bawah mesen tu. Okay, dah tak berbunyik lagi. Lepas tu giliran pakcik tu pulak. Bila dia nak masuk je pegawai tu suruh dia letak beg dia kat tempat nak scan bag-bag tu" kik..kik..kik.. suami ketawa.

"Kan tadi dia tanggalkan tali pinggang. Bila dia lepaskan tangannya dari pegang seluar sebab nak letak bag, seluar dia srottt... melorot ke bawah" Kah..kah..kah..

"Dia tak sedar yang seluar dia dah menggelongsor sampai ke lantai" wakakakaka....

"Nampak spende la" aku tanya.

"Dia pakai seluar cerut" kahkahkahkah......

"Dia boleh tak perasan lagi tu. Kawan dia yang kat depan bukannya nak bagitahu. Lagi diorang ketawakan dia"

Hahaha.. ponek porut den togolak.



Beberapa tahun dulu aku menghadiri majlis kenduri kawin saudara kepada staff aku di Beranang. Kami sampai dah lewat. Tetamu dah tak berapa ramai lagi dan ibu pengantin pun tengah duduk relek-relek di bawah kemah. Staff aku yang ada bersama di bawah kemah ketika itu bangun menyambut aku dan suami. Dia memperkenalkan aku kepada ibu pengantin. Aku menghulurkan tangan untuk bersalam. Ibu pengantin bangun dari duduknya untuk menyambut tangan yang aku hulurkan.

Ketika dia bangun, kain yang dipakainya melorot jatuh ke tanah.

"Eh..eh.. jatuh lak kain ni ha..." tapi orang yang ada di situ sudah berdekah-dekah ketawa. Aku dan suami juga ketawa. Nasib baik lah pakai baju kurung. Boleh juga cover cover.

Apa yang akan anda lakukan sekiranya perkara terlondeh ini berlaku pada anda.......

Monday, May 4, 2009

Aku Kenal Dia

Tengahari tadi aku ke kedai membeli bahan-bahan untuk makan malam. Sedang aku membelek-belek ikan siakap aku perhatikan dari ekor mataku ada seseorang yang juga sedang memilih ikan sedang memerhatikan aku. Aku mengangkat muka menoleh ke arahya. Dia tersenyum dan aku membalas senyuman itu.

"Macam kenal. You look familiar" tegurnya ramah. Aku perhatikan wajahnya. Ada sisa-sisa paras zaman remaja yang masih tertinggal di wajah itu. Aku juga ingat-ingat lupa.

"Budak stf?" Aku mengagak.

"Ha.. betullah tekaan I. Kak tipah kan." Aku mengangguk-angguk sementara otakku masih mencari-cari nama dari kotak memoriku untuk ku padankan dengan orang yang berdiri di depanku itu. Kupanjangkan tangan menjangkau dulang-dulang ikan di depanku untuk mencapai tangannya, bersalaman.

"Dont you remember me? Kimo. One year your junior," katanya. Mungkin keterlupaanku terbayang jelas di muka.

"Ah.. yes, now I remember you "

Kami bertukar-tukar maklumat, bertanyakan itu ini. Dan bila akhirnya kami berpisah apabila tugas kami membeli ikan dan sayur selesai, kami bertukar-tukar nombor telefon dengan janji untuk menghubungi satu sama lain. Agak pelik juga kerana kami tidak pernah terserempak sebelum ini.


Dalam perjalanan balik ke rumah, aku merentasi masa ke zaman silam. Aku pernah tinggal di dorm yang sama dengan Kimo. Budaknya agak gila-gila juga, lebih kurang macam aku. Satu peristiwa yang aku masih ingat ialah bila Kimo menjerit pada satu subuh sepiee menyuruh ayam yang tengah gila berkokok balik masuk reban.
"Woi.. ayam pondan pegi balik lah masuk reban!!! Orang nak tidur lah. Balik!!!" lebih kurang macam tu lah. Padahal dia tak perlu pun masuk campur sebab hal ayam berkokok tu tak ada kena mengena dengan dia pun.

Ceritanya, pada awal tahun semasa aku di tingkatan enam atas, sekumpulan budak tkc telah datang menyerah diri membuat pre U di sekolahku. Semasa orientasi kami kenakan mereka agak cukup-cukup juga. Pada malam sebelum kejadian ayam berkokok itu, aku dan beberapa kawan telah menyuruh lima orang budak tkc datang berkokok di dorm kami sebelum subuh. Sama ada memang mereka ni sporting ataupun takut pada kami yang senior ni, tepat-tepat sebelum azan subuh diaorang masuk berkokok depan pintu dorm. Betul-betul berkokok. Tak berhenti-henti sebab diorang tak boleh berhenti sebelum kami kata berhenti.

Bila Kimo menjerit suruh balik masuk reban , masing-masing mencicit lari. Kami yang agak terpisat-pisat sebenarnya terlupa untuk menyuruh ayam-ayam itu berhenti berkokok.

Aku tak pasti sama ada Kimo masih ingat peristiwa itu. Aku terlupa pula mahu bertanya.

Sunday, May 3, 2009

Pantang Larang

Orang dulu-dulu memang kuat berpantang. Itu tak boleh buat. Ini tak boleh buat. Kalau buat, nanti ada ada saja akibatnya.

"Ni apo monyanyi kek dapo ni. Dapek laki oghang tuo baghu tau" leter nenek bila aku melalak sambil mengupas bawang.

"Ha.. duduklah ateh bantal tu. Bobisul buntut tu padan muko kau" leter nenek lagi bila aku buat bantal sebagai kusyen. Masa kecil dulu aku kurus kering. Kalau duduk atas lantai tulang tongkeng akan bergesel dengan papan lantai. Berkeriut-keriut. Dulu-dulu mana ada kusyen bagai. Ambil je lah mana yang sempat dan selalunya bantal kekabu yang menjadi mangsa.

"Jangan bojalan bawah ampaian tuuuuu!!!. Pendek umo" jerit nenek bila aku terbongkok-bongkok di bawah ampaian baju. Entah apa yang aku cari. Air dari kain yang disidai masih menitik-nitik hinggap di atas belakang.

"Dah..dah.. boronti tu. Sokgi potong. Apo pulak potang-potang ni motong kuku. Pendek umo tau tak!!" La, pendek umur lagi. Sebab tak nak melawan cakap nenek, aku simpan semula pisau lipat yang aku buat untuk memotong kuku. Nenek sudah mula mahu memasang pelita untuk menyambut malam.

"Jangan duduk kek muko tanggo. Nanti tak laku". Aku memang suka duduk kat tangga di bahagian depan rumah. Seronok menengok orang lalu lalang. Nenek suka menghalang aku dari duduk di situ. Selalunya aku degil. Buat tak peduli saja. Bila nenek membebel-bebel, aku pekakkan telinga.




Semasa aku kecil, ongah jorah dan alang leha masih muda lagi. Kejap-kejap diorang mengandung dan bersalin. Aku suka tengok budak kecil. Bila emak atau nenek pergi menziarahi mereka yang baru bersalin, aku akan ikut. Aku tengok mereka yaang bersalin ni akan duduk bersimpuh dengan sopan di atas tilam. Bayi di sebelah. Rambut di ikat tegang-tegang sampai nak tercabut akarnya. Kaki seperti biasalah, bersetokin. Nenek kata orang bersalin tak boleh berjalan-jalan. Nanti bentan. Kena duduk diam-diam. Boleh berjalan kalau nak pergi buang air sahaja.

Aku lihat juga yang mereka ini hanya makan nasi putih agak-agak setengah pinggan dan berlaukkan ikan kering atau ikan masin. Minum air putih sahaja. Tak ada sayur. Aku tanya emak kenapa mereka makan ikan masin saja. Tak muak ke hari-hari makan ikan masin. Emak kata orang bersalin memang macam tu. Tak boleh makan macam-macam.


Semasa aku bersalinkan kaklong, yang ada untuk menjaga aku dalam masa berpantang ialah suami aku saja. Tak ada emak. Tak ada nenek. Pantang larang orang bersalin yang selalu aku pelajari dari emak dan nenek terngiang-ngiang di dalam kepala. Adakah aku nak kena makan nasi berlaukkan ikan masin saja. Di mana nak aku cari ikan masin.

Selesai melahirkan kaklong aku bertanya pada Dr Potter (tak ada kena mengena dengan Harry Potter) apa benda-benda yang aku tak boleh makan semasa dalam pantang.
Orang putih tu jawab senang saja, "You can eat anything you want". Dia bagi aku ceramah pendek menjelaskan yang aku baru sahaja menggunakan segala energy yang ada dalam tubuhku. Aku kena ganti semula energy tersebut dengan makanan yang berkhasiat. Aku boleh makan ayam. Nenek kata makan ayam tak boleh sebab nanti gatal. Aku boleh makan sayur. nenek kata sayur sejuk. Aku boleh makan ikan. Ikan gatal juga, kata nenek. Jadi, aku ikut nasihat Dr Pottter. Aku bedal semua.

Bila aku mendapat surat dari abah beberapa belas hari selepas bersalin (Dulu tak ada henfon. Tak ada internet) aku jawab pertanyaan emak yang disampaikan melalui abah dengan mengatakan, ya.. aku berpantang. Ya.. juga pada pertanyaan adakah aku makan jamu yang dikirimkan. Yulk! jamu serbuk itu. Rasanya bagai rempah kari. Aku makan beberapa kali sahaja dan selebihnya aku simpan berbulan-bulan dan buang begitu saja bila aku berkemas-kemas mahu pulang ke malaysia.

Bila aku mendapat anak seterusnya, aku sudah terbiasa begitu. Dua tiga minggu selepas bersalin aku dah keluar rumah. Tapi selalunya minggu pertama emak ada menemankan aku. Dan dia akan paksa aku minum air kunyit yang pahit dan payau. Paksa aku makan ikan haruan yang akan mengembangkan tekakku setiap kali aku menelannya. Tapi dia tidak pula berleter bila aku tidak duduk bersimpuh sopan di atas tilam.



Semalam kaklong ke UM ambil exam. Baru dua minggu bersalin. Kaklong tengah buat masters dalam pendidikan awal kanak-kanak . Nak buat macamana. Kaklong malas nak buat pada waktu lain. Bila pukul dua kaklong belum balik-balik, aku menelefon.
"Ya ya.. on the way. Dah kat Putrajaya ni"
"Apasal pulak melencong ke situ"
"He..he.. ada kenduri kawin kawan abang isyam"
"Uk ala.. awak gi kenduri?"
"He..he.. makan sikit je. Nasi putih. Lauk pilih-pilih je. Minum air mineral"

Hmmm... melawan toke nampak!!!!!!!.....

Friday, May 1, 2009

Jawab Tag Sakura

Terima satu tugasan dari sakura. Ah.. sonang yo.

1) Anda perlu printscreen wallpaper anda.

Nak tengok wallpaper akak yo. Hah, silo lah belek.


2) Kenapa anda suka wallpaper anda?

Suka ke. Tak de la suka sangat. Gambar tu ambil masa raya haritu. Tengah buat-buat aksi gitew... Rasa-rasa nak tukar yang lain pulak lah.

3) Siapa yag kena tag seterusnya?

Akak taknak dengki kat sapa-sapa tapi nak sangat lah nak tengok wallpaper si:
ashley
acik lupakanje
tijah (jah, kau bolum buek tag yang ni kan?)
KTS
Juliet

Itu je lah. Akak nak dengki kat diorang ni je.


"Cara untuk membuat
printscreen wallpaper ....
tekan button yg ada tulis Print Scrn / SysRq...
biasa nye kedudukan button tu kat sebelah atas kanan
buka Photoshop or Paint dalam Accesories..
paste kat situ..pastu save...then upload le ke blog"


Sekian.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...