Emak aku dulu kalau masak dia tak suka kalau aku sama-sama menyibuk di dapur. Bagi dia, adanya aku mengusik itu ini, bertanya itu ini, tambah melambatkan kerja dia. Sebab tu aku sampai dah kena pinang orang pun tak pandai masak. Tambah-tambah pula masa aku banyak habis di sekolah berasrama. Tapi memasak ni satu seni. Campak itu campak ini, bagi kaler , bagi rasa, jadilah ia. Tapi tengok tangan jugalah yang mencampak-campak tu. Tak kena gaya, mahu habis seperiuk masuk dalam tong sampah.
Ada satu resepi mak aku yang memang aku suka. Emak aku kalau masak memang tak lari dari masak lemak cili api. Hari-hari masak lemak cili api. Jadi, bila dia masak lain daripada yang lain, memang aku tibai sampai dua tiga pinggan.
Dulu bila aku tanya apa nama resepi yang dia masak, mak aku cakap;
Ontah!!.. Buh yo lah apo-apo.
Sampai sekarang resepi yang emak aku cakap
Ontah, buh yo lah apo-apo itu aku bagi nama
TENGGIRI MASAK KICAP BERSANTAN
Semasa aku berlegar-legar di rumah Kak Zakie aku dapati dia menyertai kontes main masak-masak yang dianjurkan oleh
SINAR RAUDHAH. Tergerak pula aku untuk sama-sama meraikannya. Lagipun sudah lama juga aku tak buat acara masak-masak di rumah aku ni. Dengan terpampangnya banner kontes ini, maka dengan resminya aku join.
TENGGIRI MASAK KICAP BERSANTAN(Resepi ori dari emak aku)
Empat keping ikan tenggiri sederhana besar
Santan dari sebiji kelapa
2 biji terung (di potong ikut suka) atau bendi
1 atau 2 biji tomato dibelah empat
3 biji cili hijau dibelah dua
1 biji bawang besar di belah empat
4 ulas bawang kecil dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
Halia secukupnya, dihiris
2 kuntum bunga lawang, kayu manis, beberapa biji buah pelaga dan bunga cengkih
1 sudu besar cili kering yang sudah dikisar1 sudu besar kicap pekat
4, 5 sudu besar kicap cair (boleh tambah sekiranya perlu)
asam keping
Cara:
Lumurkan ikan yang telah dibersihkan dengan sedikit garam dan kunyit. Goreng tetapi jangan sampai garing.
Ketepikan.
Ambil sedikit minyak menggoreng ikan tadi, tumiskan bawang kecil, bawang putih, halia dan rempah 4 sekawan. Kacau sehingga naik bau. Masukkan cili kering. Tunggu sehingga cili masak. Masukkan kicap pekat dan kicap cair. Kacau. Masukkan santan. Tunggu sehingga mendidih baru masukkan ikan. Masukkan pula terung atau bende. Apabila terung atau bende hampir empuk, masukkan asam keping dan bawang besar.
Bila sudah hampir masak, masukkan tomato dan cili hijau. Kacau sebentar dan matikan api. Jangan lupa rasakan garamnya semasa sedang masak tadi.
Kalau ada belimbing buluh, gantikan asam keping dengannya. Rasanya lagi terangkat.
Sekian.