Followers

jom klik

TADIKA AULAD HAS BEEN MOVED TO ANOTHER LOCATION. CLICK HERE IF YOU WISH TO GO TO TADIKA AULAD
Showing posts with label perasaan.. Show all posts
Showing posts with label perasaan.. Show all posts

Saturday, February 11, 2012

Cubalah selagi ada keupayaan

Mencuba sedaya upaya. 
Kita ingin membuat sesuatu tetapi berhenti sekerat jalan. Alasannya, tidak boleh.  Sedangkan kita belum lagi mencuba ke tahap maksima. Ataupun kita rasa kita telah mencuba yang sepatutnya tetapi masih juga tidak dapat melakukannya. Ia membuat kita mengalah. Merasa kalah. Malah dikalahkan oleh perasaan sendiri.

Tak boleh mak!!

Kenapa pulak tak boleh. Belum cuba lagi dah kata tak Boleh.

Dah cuba dah.  Tak boleh.

Will power kena kuat. Kena cekalkan hati.

Itu kata anak aku yang tak boleh meninggalkan makan nasi walaupun badan dah naik berkilo-kilo.  Perancangan menurunkan berat badan sehingga sepuluh kilo masih tinggal pada tahap perancangan. Malah dalam tahap perancangan, sempat lagi menambah lemak-lemak yang telah sedia terkumpul.

Mencuba sedaya upaya.
Begitu juga aku. Mencuba untuk mengupdate blog tetapi tidak berjaya kerana draft hanya tertulis dalam otak.  Aku cuba untuk melakarnya dalam bentuk tulisan tetapi tidak berjaya.

Apasal mak tak update.

Ntah.. dah rasa malas.

Mungkin aku tidak mencuba sedaya upaya untuk keluar dari kemalasan dan mencatat sebaris dua. Sekurang-kurang memberitahu bahawa aku masih menghirup udara kurniaanNya di pentas dunia ini.

ibundo

Wednesday, December 28, 2011

Pilihan tepat tidak semestinya dapat

Kalau kita diberi peluang untuk memilih, sudah tentulah
kita pilih yang baik-baik
kita pilih yang cantik-cantik
kita pilih yang elok-elok
kita pilih apa-apa saja yang menguntungkan kita

Tapi peluang memilih belum tentu lagi menentukan pemilikan kerana
belum tentu kasut yang kita berkenan itu ada saiznya
belum tentu baju yang kita suka itu ada warnanya
belum tentu makanan yang kita masukkan ke dalam mulut itu kita telan masuk ke dalam perut
belum tentu benda yang kita hajatkan itu dapat kita genggam

Ada kalanya kita tidak dapat apa yang kita hendak
Ada kalanya kita dapat apa yang kita tidak hendak

Oleh itu, tak  payahlah korek sehingga ke akar umbi dan tanya kenapa
Ia adalah di luar bidang kuasa aku.

ibundo

Friday, December 16, 2011

Semuga di hujung jalan beronak yang kamu lalui ini menunggu sebuah cahaya terang benderang

Jauh dia mengelamun. Aku membiarkan dia sendirian tenggelam dalam rasa gundah gelananya. Dari raut wajah yang murung dapat aku rasa kesedihannya yang melaut tidak bertepi. Telah lama benar dia menahan perasaan. Bertahun-tahun.

Kalau ini jalan yang dipilihnya, aku redha. Siapalah aku untuk menidakkan segala ketentuanNya. Tetapi sebagai ibu aku impikan yang lebih baik.
Sebak dia berkata-kata. Aku usap tangannya lembut menahan getar perasaan aku sendiri. Sedih aku melihatnya seperti itu. Sedih aku kerana aku hanya pendengar setia yang tidak dapat untuk menggalas sama kesedihannya sebagaimana ia menggalasnya.

Kau jangan hanya melihat kekurangannya dik. Lihat juga kelebihan yang ada pada dirinya. Aku percaya di antara keburukan itu ada kebaikan.  Di antara kegelapan itu terselit cahaya yang bersinar. Cuma dia tidak nampak. Dengan doa kamu, muga-muga dia dapat melihat dan menggapainya.
Aku cuba memujuk hatinya yang rawan. Air jernih mula mengalir deras mengikut alur garisan pipi yang sudah ternyata kelihatan. Dia menggenggam jari jemariku erat dan kemudian melepaskannya bersama sebuah keluhan berat.  Matanya yang sudah tidak bersinar lagi memandang aku sayu.

Tapi aku sedih kak. Sedari kecil dia menduga aku begini. Nasihat aku dipandang sepi. Peluang yang aku sediakan untuk memperbaiki kekurangan tidak diperdulikan. Aku risaukan hidupnya nanti kak sekiranya aku sudah tidak ada lagi.

Dik, senjata yang paling baik adalah doa kamu sebagai seorang ibu. Doakanlah yang baik-baik untuknya.  Mungkin sekarang hatinya tebal untuk melihat susah payahnya hidup ini. Mana tau? Jalan yang dipilihnya ini adalah permulaan kepada sebuah pemahaman. Tanggungjawab baru yang dipikulnya sebagai permulaan kepada erti kehidupan. Kamu tidak boleh berputus asa dik.

Sendunya kedengaran terputus-putus dan tangannya yang cengkung berurat kasar menyeka air mata yang mengalir dengan tudung hitamnya yang kusam. Bahunya kulihat sedikit bergetar mungkin kerana menahan sebak dihati.

Biarlah dik.  Biarlah dia belajar melalui pengalaman. Pengalaman akan mendewasakannya. Hujan ribut dan badai yang dialami akan surut dan berhenti juga sudahnya. Percayalah dik, pelangi tidak akan muncul tanpa hujan. Di hujung sana akan  menunggu warna warni yang sungguh indah. Kamu peganglah kepercayaan itu dik.  Pegang kuat-kuat. Ia akan menjadikan kamu lebih tabah. DIA tidak akan menduga kamu sebegini sekiranya DIA tidak menyayangi kamu.

Tapi aku bagaikan tidak dapat menerimanya kak.

Kamu cubalah menerimanya perlahan-lahan. Kalau kamu boleh menerima kesalahan dan kesilapan orang lain, tidak ada sebabnya kamu tidak boleh menerima kesilapan anak kamu sendiri. Pujuklah hati kamu.  Sejukkanlah hati kamu dengan zikrullah.

Dia mengangguk-angguk.  Mungkin kata-kata aku termasuk ke dalam sanubarinya. Kesihan dia.  Banyak sungguh dugaan yang diterimanya kebelakangan ini.  Aku berdoa semuga segala kepayahan dan musibah yang dihadapinya kan menjadikan dia lebih beriman.  Semuga dosa-dosa lampaunya diampunkan.

Aku tengah mencuba kak.  Mencuba untuk menerima.



  Semuga hidup ini tidak sentiasa diselubungi sedih dan sendu.
Senyum dan ketawa adalah satu terapi yang baik.
(gambar kenangan semasa di beijing tempoh hari)



ibundo

Thursday, November 17, 2011

kalau pahala kamu dah habis, ambillah pula dosa aku

Aku tinggalkan bibik berbaris dikaunter bayaran. Aku letakkan duit 70 ringgit di tapak tangannya dan kemudian aku berlalu ke kedai sebelah untuk membeli beberapa bungkus nasi lemak. Tidak berapa lama kemudian dia datang mendapatkan aku.

Buk! tak cukup lagi lapan ringgit.

Rendahnya nilai duit sekarang.  Aku cuma mengambil 5 atau 6 ekor kerisi, 3 keping tenggiri, tak sampai 10 ekor sotong, beberapa ekor udang saiz sederhana besar yang kalau ditimbang memang tak sampai setengah killo pun, dan copot sana sini sayur-sayuran.

Duit aku semakin kecil. Sekecil jumlahnya. Aku teringatkan ibu bapa yang masih berhutang dengan aku enggan melunaskan yuran anak-anak mereka. Sekarang sudah sampai ke penghujung sesi. Masih ramai yang tidak menjelaskan yuran bulan september, malah ada yang tidak menjelaskan hutang pendaftaran awal tahun yang masih berbaki. Kebanyakan mereka ini adalah dari tadika aku di taman mesra.

Begitulah. Orang nampak duit aku masuk ribu riban tapi orang tak nampak yang tak masuk pun ribu riban dan keluar pun ribu riban. Bila pihak aku mengingatkan mereka tentang hutang-hutang ini, mereka terus tidak datang menghantar anak-anak ke tadika sebaik sahaja habis exam tengah bulan oktober lepas. Lumrah manusia begitu?

Mengingatkan aku juga pada rumah yang kami sewakan. Awal tahun 2000 kami sewakan rumah dengan sewa 800 sebulan. Pada mulanya dibayar tetap. Kemudian mula liat bayar sewa sehingga beberapa kali aku ke rumah itu mengingatkan tentang sewa yang tidak dibayar.  Janji mereka, akan dibayar. Namun, sebaik kami pulang dari menunaikan haji tahun 2002, rumah yang disewakan itu sudah kosong tidak berpenghuni.  Mereka lari membawa hutang sewa selama sepuluh bulan. Jumlahnya membolehkan aku pergi haji lagi sekali.

Aku semacam serik. Serik dengan perangai parents di Mesra. Serik dengan penyewa yang tidak mahu membayar sewa. Masalah tetap berulang-ulang. Rumah sewa yang disewakan masih juga orang yang tinggal di situ liat untuk membayar sewa.

Bukankah nanti di akhirat hutang piutang itu tetap akan kita tuntut?

Harga barang? Kita semua merungut dengan harga barang yang melambung-lambung. Bukan begitu?

ibundo

Tuesday, August 16, 2011

One step at a time

I always remind my staff not to give multiple instructions to the children.  Give one at a time, a new one after the previous is done. Most of the children cannot absorb many instructions at one go and the one that sticks to their minds is the last one said.

Lately I am having a hard time figuring out things that have been instructed by my brain. Thing that should has been easy has become harder to accomplish. My brain tells me to do something but somehow unconsciously I  do that 'something' not like what it is supposed to be done.  And it really pissed me off.

Like today, I stormed out under the blazing sun to get something done only to realize that I had brought the wrong 'thing'. And that realization came to me after I had spent times doing several other things. And when it came to the final one, well.. I really felt like knocking my head off.

Things had to be done by today and of no choice, I went home to get the one that I had mistakenly left behind and came back again to finish what I had started.  I did all that races under the blazing sun, in that unbearable heat.  Today is really hot ma.......

Maybe, I have to take one at a time too.

ibundo

Monday, September 27, 2010

Raja Katak

Salam.

Hujan sudah lama reda tapi bunyi katak yang mengiung-ngiung masih membingitkan telinga. Kolam ikanku bukan sahaja menjadi tempat ikan-ikan aku berenang-renang ketepian dan berenang-renang ke tengah tetapi juga menjadi tempat katak-katak hodoh itu membiakkan baka mereka. Sudah aku cuba membiarkan ikan aku kebuluran tanpa aku tebarkan makanan dengan harapan mereka akan melahap berudu-berudu yang jelek dan meremut itu. Yang nyata, katak-katak hodoh itu terus menerus membiak, mengiung-ngiung dan membingitkan telinga aku.

Aku?
seolah seekor robot yang bergerak tanpa otak. Rasa lompong dan kosong memenuhi setiap ruang dalam diri. Menjadikan aku membuat apa yang aku buat tanpa berpikir kerana pikiran aku juga kosong. Sebab aku mengosongkan fikiran selompong-lompongnya supaya aku tidak payah untuk berpikir-pikir lagi. Sedangkan sebenarnya banyak perkara yang patut aku pikirkan. Ah, payahnya.




Untungnya katak-katak hodoh itu. Tidak perlu berpikir sebaliknya terus mengiung-ngiung menjeritkan zikir-zikir mereka terhadap yang agung.

.
.
.






Kehadiran anak-anak ini sentiasa membuat aku tersenyum. Tadi sebelum aku meninggalkan tadika, hajar berlari mendapatkan aku dan memeluk aku..

hmmm.. sayang ummu, katanya.

Memang ramai orang yang sayangkan aku tapi aku tidak dapat memuaskan hati semua orang, bak kata perumpamaan;
Perut kenyang lapar tak hilang.

kakpah

Friday, April 9, 2010

SinYaPaWauTa BaAlifBaYa

Salam Jumaat.





Gambar ni aku ambil beberapa jumaat lepas di tadika. Ya.. aku bawak D60 kulu kilir.

Ummu!!! ada siput ba alif ba ya..

Ummu!! Danish usik.

Nanti dia kena basuh tangan dengan tanah ek ummu ek..


Ya Allah, kenapalah ada insan yang tergamak meletakkan bayi yang bakal menjadi anak-anak comel seperti ini bersama sampah-sampah sarap.

Aku berlari menerkam dengan senjata di tangan.

Tepi.. tepi... ummu nak ambil gambar.

Beberapa orang anak sudah siap sedia berposing. Setelah siap aku snap snap snap masing-masing riuh;

Nak tengok, ummu. Nak tengok!!!!

Laa.. gambar siput je.

.
.
.

Semalam semasa aku menjenguk-jenguk tanaman di keliling rumah aku terjumpa beberapa ekor spesis ini. Daun-daun anak terung yang baru mula nak membesar dirobek-robek. Begitu juga dengan daun-daun pokok bunga aku yang melebar, habis di cacatkan. Di antara sampai hati dengan tidak, aku mengambil batu dan memenyekkannya sampai keluar isi perut. Bukankah ia makhluk perosak?

Semalam juga aku mendapat tahu ada seseorang yang amat aku kenali mahu menjadi seperti siput babi ini. Malah lebih teruk. Kalau siput ini hanya merosakkan tanaman tetapi seseorang ini menjadi perosak rumah tangga orang dan bakal menghiris perasaan seorang wanita bergelar isteri dan menghancurkan perasaan beberapa orang anaknya.

Patutkah aku penyekkan dia dengan batu sungai yang ada di rumah aku ini.......

Friday, February 19, 2010

Hari-hari Yang Berlalu

Dah Jumaat?
Baru lagi rasanya CNY, dah seminggu.
Baru lagi rasanya tahun baru, dah nak habis bulan dua.
Baru lagi rasanya aku pergi tesco minggu lepas, harini dah nak kena pergi lagi.
Baru lagi rasanya semalam, dah hari ini...

Haih.....


kakpah

Friday, July 24, 2009

AKHIRNYA TERPENYEK JUA



Tajuk di surat khabar tadi:

2 beradik maut lepas meragut
JENAYAH ragut yang dilakukan pasangan dua adik beradik semalam akhirnya mengundang padah buat mereka sendiri. Seleps meragut seorang mangsa wanita di persimpangan lampu isyarat Persiaran Kerjaya, Shah Alam, kedua-dua mereka maut dalam kemalangan.


Ramai orang bertepuk tangan, memadankan muka dua peragut ini. Mati katak. Penyek seperti digelek treler. Hidup pun menyusahkan orang lain. Kita penat-penat cari rezki untuk hidup, mereka ini senang-senang merampasnya.

(dendam aku pada peragut yang merampas henbeg aku yang berisi berK2 bertahun-tahun yang lalu masih utuh terpendam dalam hati. Aku selalu mendoakan perutnya mendidih macam timah yang menggelegak di atas api)


Aku simpati pada ibu yang melahirkan kedua adik beradik itu.

Tuesday, June 2, 2009

Jangan Suka Kira Duit Orang

Bila aku teringinkan sesuatu dan duit selepuk tak ada untuk digunakan membeli benda yang aku inginkan, aku akan ketepikan sikit-sikit setiap bulan. Ada kalanya duit tu ada tapi rasa macam membazir pulak kalau digunakan selepuk macam tu sebab ada benda lain yang lebih penting dan diperlukan.

Jadi, aku kumpul.. kumpul.. Tak kiralah berapa lama. Kadang-kadang berbulan. Kadang-kadang bertahun. Bila dah cukup dan aku dapat benda yang aku idamkan, ada pula suara-suara yang mengatakan duit aku macam sampah. Tak sakit hati ke.




Sejak kecil abah sudah mengajar aku menabung. Dulu-dulu abah buatkan aku tabung buluh. Tabung tu digantung kat tepi dinding dalam bilik mak dan abah. Bila ada duit belanja lebih, abah suruh aku masukkan dalam tabung itu. Dah penuh, abah akan pecahkan tabung dan kami mengira sama-sama jumlah duit yang ada. Kemudian abah bawa aku ke pejabat pos untuk menyimpan duit itu. Dulu pejabat pos ada mengeluarkan buku wang simpanan. Sebab dulu bank tak banyak dan orang lebih suka berurusan dengan pejabat pos.

Aku simpan dan simpan sampai duit dalam buku simpanan itu menjadi beratus-ratus. Dulu-dulu kalau seratus ringgit tu dah kira banyak dah. Bila aku bersekolah di Johor Bharu, abah beri aku pegang buku simpanan itu. "Buat belanja kalau sesak" kata abah. Bila aku balik kampung masa tingkatan lima abah minta buku sebab dia nak tengok. Aku bagi. Abah geleng kepala bila tengok duit dalam buku tinggal belas ringgit saja. He..he.. aku buat belanja pergi shoping kat Singapura. Masa tu Woodland barang murah-murah. Rugi tak beli....







Sabtu lepas semasa ke mesen ATM di Petronas atuk jumpa wang ini. Terjelepok atas lantai. Atuk ambil je dan letak kat tabung masjid. Semuga pahala diberikan pada yang kehilangan.

Monday, May 25, 2009

Banyak Cakap ke Cakap Banyak...

Ada telinga, dengar. Ada mata, pandang. Ada mulut, jaga pertuturan.

Dulu aku tak faham kenapa cik konit yang rumahnya sebelah rumah mak tua, tidak bercakap dengan nenek, emak, mak tua, malahan dengan semua kaum keluargaku. Aku kecil waktu tu. Aku juga tidak dibagi bermain dengan anak-anak cucunya.


Pada zaman persekolahan juga sering berlaku pergeseran dengan kawan-kawan. Sekejap-sekejap, tak kawan. Sekejap-sekejap tak kawan. Tapi bergaduh dengan kawan kawan paling lama tiga hari saja. Lepas tu salam, minta maaf, dah berkawan semula.


Di opis juga begitu. Ada-ada saja yang tidak kena. Bila kita meluat dengan perangai seseorang, kita potpet potpet hal dia. Lepas tu bila orang yang kita potpetkan itu mendengar balik apa yang telah kita potpetkan maka terjadilah bermasam-masam muka. Nanti berjalan kalau bersentuh bahu pun buat-buat tak kenal saja.


Di kalangan adik beradik pun begitu juga. Memang betul pepatah yang mengatakan air dicincang takkan putus tapi bila dah luka tu parutnya tetap ada. Aku selalu memberi nasihat pada anak-anak supaya sentiasa menjaga tali persaudaraan. Masing-masing keluar dari perut yang sama, benih yang sama. Keakraban adik beradik itu biarlah sampai ke akhir hayat. Susah senang sama-sama lalui.


Semua akibat mulut. Kita kena berhati-hati bila mengeluarkan perkataan. Dalam keadaan yang memerlukan kita memberi teguran, tegurlah secara berhemah. Jangan menegur secara menyombong diri. Kita juga bukan orang yang sempurna. Kita juga banyak cacat cela. Aku selalu mengingatkan diri sendiri: Kalau aku tak suka orang buat aku begini begini, tentu jugalah orang tak suka aku buat dia begini begini. Semua orang mempunyai perasaan. Tak kiralah dia dari kalangan hartawan, orang biasa macam kita, kuli, bibik dan sebagainya. Selagi dia manusia, selagi itulah dia mempunyai perasaan.


Kalau kita sakit hati dengan seseorang dan tak tahu cara nak memberitahunya secara berhemah, baik senyap saja. Ada mata, pandang. Ada telinga, dengar. Kalau tak mahu dengar, masukkan ke telinga kira dan keluarkan ke telinga kanan. Buat kerja sendiri. Kita tak ganggu orang, orang pun tak ganggu kita. Jangan sekali-kali sakitkan hati orang.

Sekian bebelan aku pada pagi isnin. (Korang tau tak isnin tu nama bapak mertua aku.)


Masa aku menunggu atuk buat lasik di mid valley tempoh hari aku melihat gelagat hantu dua ekor ini dari dalam klinik. Hantu betina berumur dalam lingkungan 13 tahun. Yang jantan pula dalam 15 tahun. Memang sakit mata memandang. Dalam hati ni memang rasa-rasa nak bagi pelempang sebab buat tak senonoh depan khalayak ramai. Tapi dalam hati jelah......

Friday, May 8, 2009

Untuk Siapa Yang Memahami

aku mengangkat gagang telefon dan meletakkannya ke telinga. Nombor di tekan.

Untuk pertanyaan, tekan satu. Untuk bayaran bil, tekan dua. Untuk lain-lain, tekan tiga.

Tittt.. tekan 1

Pertanyaan untuk bla bla tekan satu. Untuk bla bla tekan dua. Untuk bla bla tekan tiga.

Tittt.. tekan dua

Untuk kes urgent, tekan satu. Untuk kes kurang urgent tekan dua. Untuk kes tak urgent langsung, tekan tiga.

Titt... tekan satu.

Untuk kes urgent yang perlu tindakan segera, tekan satu. Untuk kes urgent yang tidak perlukan tindakan segera, tekan dua. Untuk kes urgent yang tak perlu tidakan langsung, tekan tiga.

Titt... tekan satu.

Pegawai kami sedang sibuk. Anda akan dilayan sebentar lagi.

Tralalala...tralala...tralala... (ada musik untuk halwa telinga)

Pegawai kami masih sibuk. Anda akan dilayan sebentar lagi.



Arrrgggggghhhhhh!!!!!!!!!!!!


Kenapa setelah bersusah payah tak ada orang nak melayan aku!!

Tuesday, April 28, 2009

TAKUT

Kecik dulu aku selalu tidur di rumah nenek. Rumah nenek rumah limas. Ada bahagian depan, tengah dan bahagian dapur. Masa tu dapur nenek dapur kayu. Bila nak hidupkan api, nenek guna umpan getah sekerap. Kemudian bila dah ada bara, nenek tiup dengan buluh kecil yang dah dipotong pendek sepanjang satu kaki. Nenek panggil buluh itu teropong. Bila nenek masak, asap akan keluar berkepul-kepul. Dinding dan atap jadi hitam penuh dengan jelaga. Belanga, cerek dan kuali juga jadi hitam. Nenek bersihkan belanga dan cerek yang hitam dengan pasir sungai. Nenek gesek pasir gunakan sabut kelapa. Tak ada berus dawai macam sekarang.


Aku suka tidur di rumah nenek sebab nenek suka bercerita. Nenek suka cerita hantu. Memang takut. Tapi bila nenek berhenti bercerita aku suruh sambung lagi sebab seronok. Seronok dalam takut. Masa tu aku ingat semua cerita itu cerita benar tetapi bila aku dah besar aku dapat rasakan bahawa semua cerita nenek itu adalah cerita rekaan semata-mata. Tak ada kena mengena dengan yang hidup ataupun yang telah mati.


Bilik air di rumah nenek nun jauh di bawah. Kalau malam-malam terasa hendak melepaskan hajat, terpaksalah turun ke bawah berpandukan cahaya pelita yang malap-malap ataupun lampu suluh. Memang terasa susahnya terutama selepas mendengar cerita yang menakutkan dari nenek. Walaupun nenek ada menemankan, dia tetap menakut-nakutkan aku sambil tergelak-gelak.




Takut. Aku memang penakut orangnya. Aku rasa semua orang juga ada perasaan takut ini. Bezanya cumalah degree ketakutan yang ada pada setiap orang. Sebenarnya aku nak menyentuh sedikit pasal rasa takut tetapi menyeleweng sekejap ke kisah silam.


Rasa takut memang dah ada sejak lahir lagi. Dan rasa takut itu berubah-ubah mengikut fasa kehidupan yang kita lalui. Bayi akan menangis bila diambil oleh orang yang mereka tidak kenali. Toddler akan menangis juga bila diajar tidur berasingan daripada ibu bapa. Kanak-kanak tadika ramai yang takutkan bayang-bayang dan kegelapan. Anak-anak yang masuk ke sekolah juga takut tidak mendapat kawan.


Anak-anak gadis takut tidak mendapat pacar. Ada juga yang takut tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan semasa, tidak diterima dalam kumpulan. Ada juga yang takut tidak dapat memenuhi kehendak ibu bapa yang mengharapkan mereka berjaya cemerlang dalam pelajaran. Pendek kata, alam remaja berserabut dengan ketakutan. Ketakutan yang dihadapi oleh remaja itu sendiri dan ketakutan yang dialami oleh ibu bapa kepada remaja-remaja tersebut.

Aku, dalam umur sebegini masih berasa takut. Takut menghadapi hukum alam. Dan yang paling aku takut, aku pergi dengan amalan yang tidak cukup untuk dijadian bekalan.


Friday, April 24, 2009

PENING PENING LALAT

Pening. Satu perkataan yang pendek tetapi mempunyai makna yang pelbagai.


"Kepala aku ni tetiba pulak pening" sambil memicit-micit dahi.
"Makan je panadol" kawan kita memberi saranan.

Pening tersebut menunjukkan sakit kepala yang mungkin disebabkan oleh cuaca panas, ketegangan, terlalu banyak berfikir dan sebagainya. Selalunya ia akan beransur pulih bila kita makan panadol ataupun berehat seketika.




"Pening aku tengok perangai kau ni lah"

Pening ini pula lebih kepada fikiran yang berserabut terutamanya apabila melihat sesuatu yang tidak disukai atau yang tidak kita perkenan. Bila kita tengok di atas meja kita melambak dengan fail-fail yang mesti kita siapkan, kita pening juga. Pening yang ini tak perlulah makan panadol. Membazir saja.





"Kau tengoklah budak tu. Pening ke hapa" kita tujukan percakapan ini untuk seseorang sambil memutar-mutarkan jari telunjuk di sisi kepala kita.

Pening yang ini pula merujuk kepada orang yang tidak berapa benar atau tidak berapa cukup. Istilah lain, ada skru yang longgar di kepala orang itu. Pening yang ini juga tidak perlukan panadol.





Pening.
Apasal anda ingat aku tengah pening. Aku tak pening. Pening lalat pun tidak. Anda pandai je nak speku kan. Aku siap pergi tesco lagi tadi. Beli barang tiga trolley lagi tu. Seperti biasa trolley tu yang berjalan senget macam ketam dan menyusahkan aku memegang stereng. Mungkin betul jugak cakap acik haritu. Mungkin akulah penyebab trolley tu semua jalan senget macam tu sebab terlebih muatan ha..ha..


Taklah. Aku tak pening. Aku tengah bergembira sekarang ni. Gembira sebab aku mendapat satu anugerah yang tidak ternilai. Muhammad Faris Hafizin, uwan sayang kamu.

Monday, April 20, 2009

Orang Menyusahkan kita atau Kita menyusahkan Orang.

Selalu-selalulah kita berdoa supaya kita tidak menyusahkan orang. Walaupun anak kita sendiri. Iman kita ni tak adalah sekuat mana pun.


Dah banyak dah aku lihat yang anak tidak dapat menjaga emak sebagaimana emak menjaga anak. Yelah, sakit ajal maut semua ketentuanNya. Kita tak mahu anak jatuh ke dalam kategori yang menderhaka. Aku lihat sendiri bagaimana seorang anak menengking ibunya kerana siibu tidak terkencing di lubang yang diarahkan. Terpaksalah anak mencuci lantai yang telah dinajisi itu. Aku lihat juga ada air meleleh di pipi si ibu. Bukannya dia yang meminta untuk sakit.


Aku lihat juga sedara di sebelah suamiku menahan ibunya daripada makan dan minum. Hanya diberi sedikit sedikit sahaja. Sebabnya sianak tidak mahu ibu terkencing dan terberak berciciran. Ya, bukan siibu yang meminta untuk sakit.


Aku berdoa supaya aku tidak melalui saat-saat seperti itu sebelum hayatku diambil. Aku tidak mahu menjadi ibu yang menyusahkan anak.




Kita jangan suka menyusahkan orang. Ada orang yang saja-saja suka menyusahkan kita. Misalnya kalau tak ada duit dia datang jumpa kita. Kita bagi. Nanti bila tak ada duit dia datang lagi. Macamlah kita ternak duit. Macamlah kita kuis-kuis batu tepi jalan kita dapat duit. Macamlah kita main petik je duit tu kat belakang rumah.

Kita cari duit dengan keringat. Walaupun kerja dalam bilik aircond tapi nak keluar rumah tu tak ke berpeluh-peluh. Tambah-tambah lagi kena musim panas macam ni. Ada duit lebih sikit-sikit tiap bulan, kita kumpul. Kita nak pergi haji, pergi umrah nak guna duit. Ataupun kita kumpul nak beli gelang setebal satu inci kat poh kong. Ataupun nak beli netbook yang boleh kita hayak ke sana kemari supaya kita senang nak post entry. Senang-senang pulak orang menyusahkan kita nak pinjam duit.


Bila kawan kita datang bertamu di rumah, kita alu-alukan. Kita suka bila kawan kita datang. Boleh kita berborak-borak bertanya khabar bagai. Tapi bila datang tu janganlah berlama-lamaan. Janganlah sampai dah jejak azan maghrib tak tahu nak balik. Kita tuan rumah takkan nak halau. Bila kita ajak solat dia jawab pula takpelah, dah nak balik dah ni tapi tak balik-balik juga. Kita janganlah buat macam tu. Bila kita bertamu ke rumah orang, ala-ala kadar je lah. Bila dah sampai waktu kita kena balik jangan teragak-agak. Balik. Tak baik menyusahkan tuan rumah.

Satu lagi, bila kita ke rumah orang dan semasa kita sampai tu tuan rumah dah bersiap-siap nak keluar. Tak payahlah masuk. Katakan saja yang kita akan datang lain kali. Tapi ada juga yang tak ada perasaan. Dia dah tahu kita nak keluar tapi tetap nak jumpa juga. Kejap je, katanya lah. Kejap dia tu dah naik setengah jam. Kadang-kadang lebih. Kita ni dah resah gelisah. Anak-anak pun pun asek bagi signal. Jangan. Jangan menyusahkan orang macam tu.



Kalau kita tak suka orang menyusahkan kita, orang juga tak suka kita menyusahkan mereka. Pikir-pikir dan renung-renungkanlah.

Saturday, March 14, 2009

Esok Yang Belum Pasti

Dulu
anak-anak masih kecil kecil. Setiap kali aku dan ayah mereka bersiap-siap mengenakan pakaian cantik, semua sibuk bertanya;
'mak dan ayah nak pegi manaaaa'.
Belum sempat aku nak menjawab, mereka akan berkata lagi;
'nak ikut...nak ikut'.
Dan terus berlari keluar mengenakan kasut dan masuk ke dalam kereta.

Walaupun aku sebenarnya hanya pergi ke kedai sekejap membeli barang keperluan rumah.

Sekarang
Aku dan ayah mereka berpakaian cantik untuk keluar. Anak-anak akan bertanya juga,
'mak dan ayah nak pergi mana'
Kalau kebetulan aku nak ke majlis kenduri kahwin aku akan jawab;
'Nak gi kenduri.'
Anak-anak akan jawab balik,
'Ooooo' dan terus dengan pekerjaan mereka.
Tidak ada lagi jeritan 'nak ikut..nak ikut..'

Kadang-kadang aku ajak juga.
'Dik, mak nak pergi tesco. Nak ikut?' Si bongsu akan diam seketika berpikir dan menjawab
'Tak nak ar..'
Yang selalu menemani aku ke tesco, kirin dan imah. Itupun sebab mereka mahu membeli keperluan untuk dibawa pulang ke asrama.

Jadi, sekarang ini aku mempunyai banyak masa untuk berdua-duaan dengan suami aku. Macam merpati dua sejoli.

Tadi
Pagi tadi kami ke Sebatu berjumpa Haji Midon atas urusan. Haji Midon nampak terlalu berusia. Walaupun berumur 76 tahun dia nampak lebih tua dari abah. Abah sudah 86 tahun dan masih boleh memandu kereta dari bangi ke kuala pilah dan dari kuala pilah ke bangi.

Bila aku dan suami sampai ke rumahnya, yang ada hanya mereka suami isteri dan beberapa orang tukang indon yang sedang memperbaiki rumahnya. Aku bertanyakan mana anak-anaknya yang lain. Jawabnya, yang seorang di sini, yang seorang lagi di sana, yang lain di sanun. Lapan semua anaknya. Yang tinggal di rumah yang besar itu cuma dia suami isteri.

Buat aku berpikir di sepanjang perjalanan pulang dari rumahnya,
'adakah satu hari nanti aku seperti pasangan itu? Hanya aku berdua yang menghuni rumah kami?'

Wednesday, March 11, 2009

Rezki Yang Terbazir

Kalau anak-anak tidak menghabiskan makanan di dalam pinggan mereka, kita selalu berkata : Orang yang miskin dan susah di dunia ni bukan main ramai. mereka nak cari makan tersangatlah susah. Kamu senang-senang saja membazir makanan.

Realitinya begitulah. Kita senang saja membazir rezki. Cuba perhatikan saja semasa jamuan kenduri kawin. Sekarang ni kenduri kawin semua pakai layan diri. Buffet. (Tak macam dulu-dulu. Lauk pauk dihidang.) Perhatikan mereka yang mengambil makanan. Selagi ada tempat kosong dalam pinggan, diletak diletak diletak lagi sampai penuh. Lepas tu bila makan, tak habis. Terbongkang daging seketul dua. Begitu juga ayam. Sayang.... Tentu tuan rumah rasa sayang tengok makanan untuk menjamu orang terbazir begitu saja.

Sepatutnya bila mengambil makanan tu, ambillah agak-agak boleh habis. Kita mesti habiskan makanan yang ada di dalam pinggan. Kalau makan nasi, setiap butir nasi itu rezki. Kita tidak tahu butir yang mana yang membawa berkat. Masa aku kecil dulu, aku selalu ikut mak dan abah ke surau. Aku selalu perhatikan telatah seorang atuk. Atuk ni kalau selesai makan, dia akan curahkan air minumannya ke dalam pinggan. Dia akan ratakan air itu di sekeliling pinggannya dan kemudian menghirupnya. MasyaAllah. Masa tu bila aku tengok dia buat macam tu aku rasa geli. Agaknya dia yang gelihati tengok jahilnya aku.

Bagiku, slogan kfc 'hingga menjilat jari' tu tersangatlah betul. Jangan bazirkan rezki walaupun yang terlekat di jari jemari.

Satu masa dulu, semasa kakngah belajar di sekolah vokesyenal khas di shah alam, ada satu perjumpaan ibu bapa. Selepas perjumpaan itu, kami dijamu dengan makan tengahari. Selesai mengambil makanan aku dan suami duduk di bawah kemah yang disediakan. Tak lama selepas kami duduk, datang seorang perempuan duduk di sebelah aku. Aku tengok pinggannya sarat dengan lauk pauk sehingga tak nampak nasi. Tengah-tengah aku makan, perempuan itu memasukkan seketul ikan ke dalam pinggan aku.

"ambillah.. saya punya banyak"
Menyirap darah aku. Ini perempuan entah siapa aku tak kenal. Tiba-tiba je nak kongsi makanannya dengan aku. Tapi aku ni orangnya tak pandai marah. Aku kuiskan je ke tepi pinggan. Tapi dengan suami aku jangan buat main. Kalau dia tak suka dia cakap terus.

"Ni apehal pulak masukkan makanan dalam pinggan orang? " Agak keras juga lah suara suami aku tu. Perempuan tadi dengan selamba mengambil balik ikan dari dalam pinggan aku. Aku tak tengok rupa dia macamana. Mungkin merah padam atau muka tak reti bahasa. Aku tak tau. Tapi selesai je makan, dia cepat-cepat blah. Makanan dia masih melambak dalam pinggan.

Aku ada tengok seorang ustaz makan. Kalau ada butir-butir nasi jatuh di atas meja semasa dia makan, dia akan kutip dan masukkan semula ke dalam pinggannya. Selesai makan, dia akan memasukkan jarinya satu-satu ke dalam mulut untuk menelan saki baki makanan yang melekat di jari jemari. Orang yang tidak biasa memang rasa jijik dan geli. Tetapi apa pula yang nak dijijik dan digelikan?

Kita patut bersyukur dengan rezki yang melimpah ruah. Jangan membazir rezki itu. Kalau kita rasa kita tak boleh makan banyak, ambillah sekadar yang boleh kita habiskan. Jangan sampai sifat tamak menguasai kita. Kenangkanlah mereka yang makan nasi berlaukkan air dan garam. Kenangkanlah mereka yang mungkin tak merasa makan nasi pun tetapi hanya makan ubi kayu sahaja. Kenangkanlah juga anak-anak afrika yang tinggal kulit dan tulang berperut buncit kerana tak cukup makanan dan zat. Bak kata Nabil, lu pike la sendiri...................

Wednesday, March 4, 2009

TREASURE WHILE YOU CAN

Semalam semasa pelajaran science, aku berbincang dengan anak murid tentang living things. Aku menyuruh mereka memberi contoh yang ada di sekeliling mereka. Aku juga meminta mereka memberi sifat kepada benda hidupan. Semua berebut-rebut mahu memberi jawapan. Antara jawapan mereka: orang, ada nyawa, membesar, mati.

Pasti. Yang hidup akan mati. Dan kita melihat kematian yang cukup banyak. Termasuk kucing kesayangan, pokok tanaman, semut , lipas, burung..............

Lewat pagi semalam aku menerima satu panggilan dari emak saudara. Seorang lagi kaum kerabat pulang ke rahmatullah. Bapa saudara yang kami panggil pakngah Dibong. Dia dua pupu emak. Nenek emak adik beradik dengan neneknya. Bagi kami di negeri sembilan, pertalian persaudaraan itu masih dianggap dekat.

Seingatku, semasa aku anak-anak kecil aku begitu takut untuk menghadapi kematian sekiranya berlaku di kalangan keluarga terdekat. Aku membayangkan aku tanpa abah dan emak. Membayangkan itu sahaja membuatkan aku terketar. Dan aku sentiasa berdoa walaupun di luar solat supaya hayat emak dan abah dipanjangkan.

Moyangku meninggal semasa aku masih kecil. Diikuti pula oleh nenek. Semasa nenek meninggal dunia aku sudah masuk sekolah menengah. Lama juga aku dapat bermanja dengan nenek. Kemudian pak tua pula mengikut. Beberapa tahun selepas itu mak tua pula pergi meninggalkan kami. Aku merasakan kehilangan pak tua dan mak tua kerana begitu rapat dengan mereka.

Emak pulang dua tahun lepas. Pemergian emak menghancur luluhkan perasaan. Tapi aku bersyukur kerana emak dipinjamkan kepadaku begitu lama. Banyak kenangan bersama emak yang terpahat dalam kotak memori. Kenangan yang tidak padam walau diulit usia.

Kematian maklang pula meruntun perasaanku. Maklang meninggal tanpa dapat kulihat jasadnya. Maklang pergi tahun lepas di Houston. Kenangan semasa berpelukan kali terakhir masih bermain-main di dalam fikiran. Aku rapat dengan maklang. Dari kecil lagi aku sering bersamanya. Dia umpama emak kedua bagi aku.

Setiap kali aku menatap wajah abah, aku bayangkan kehilangan lagi. Tetapi percaturannya, tidak semua yang tua itu akan pergi dulu. Kita tidak tahu bila ajal akan datang bertandang. Yang pasti, aku mesti mencium pipi abah setiap kali usai solat. Kita tidak akan tahu bila kita tidak lagi akan dapat memeluk tubuh orang yang kita sayangi. Bila kita tidak dapat menyentuh tangan mereka untuk bersalaman. Bila hidung kita tidak lagi dapat mencecah pipi mereka.

Lazimnya, kita tidak dapat merasai perasaan kehilangan sehinggalah kita benar-benar merasai kehilangan itu.



Monday, February 23, 2009

PENYAKIT

JANGAN CARI PENYAKIT

adalah ungkapan yang sering kita gunakan sekiranya kita tidak mahu membuat sesuatu yang akan mendatangkan susah kepada kita.

Tidak siapa yang mahu sakit. Kita tidak suka sakit sebab ia sakit. Bila kita sakit kita susah hati. Bila susah hati, kita tension dan membuat kita lagi sakit.

Kita tidak suka sakit sebab ia akan menyusahkan kita. Kalau kita ada anak kecil, kita tidak boleh melayan anak dan suami dengan baik kalau kita sakit. Kalau anak pula sakit, kita tidak senang duduk juga kerana menjaga anak kita yang sakit. Kalau suami sakit? Tanggunglah sendiri hahaha.. isteri misali tidak akan membiarkan suaminya terlantar sakit.

Bagi yang berkerja, adakalanya penyakit ini dialu-alukan kerana bila sakit boleh dapat mc satu dua hari. Bagi yang berkerja dan tidak sakit, ada kalanya berpura-pura sakit pula dan membeli mc untuk mendapatkan cuti. Orang jenis ini boleh dikategorikan sebagai orang yang berpenyakit malas. Orang yang berpenyakit malas ini akan membuat alasan walaupun sebesar kuman untuk mendapat cuti. Amaran kepada orang yang berpenyakit malas: jangan cari penyakit.

Penyakit ini ada yang berjangkit ada yang tidak berjangkit.
Bagi penyakit yang tidak berjangkit, kita akan mengidapnya sendiri-sendiri. Orang lain tidak perlu susah hati untuk mendekati mereka yang sakit ini. Tidak menular.

Tapi lain halnya dengan penyakit yang berjangkit. Kalau kita sakit mata, janganlah dekat dengan orang. Kesian pada orang yang kita dekati itu. Berjangkit.
Kalau kita sakit campak, janganlah kita dekat dengan orang. Kalau orang dekat dengan kita suruh dia pergi jauh-jauh. Berjangkit.
Kalau kita sakit beguk, jangan jalan-jalan ke pasar malam. Orang ramai di pasar malam. Nanti sakit beguk kita berjangkit dengan orang lain. Dah tua-tua ni ada kah sesiapa yang kena beguk lagi? Kalau tak ada, kita bagi misalan ini pada anak-anak kita. Jangan bawa anak kita yang kena penyakit berjangkit ini merayau-rayau di khalayak ramai. Berjangkit. Kesian pada orang yang dijangkiti itu.

Misalanlah anak kita kena chicken pox. Suruhlah anak kita duduk di rumah sahaja. Kalau tidak ada orang yang nak menjaga anak kita di rumah, kita cutilah bergilir-gilir dengan suami. Kalau cuti sudah habis, kita hantarlah anak ke kampung sekejap minta tolong nenek jagakan. Chicken pox berjangkit.


Kalau anak kena chicken pox dan dihantar ke sekolah juga, nanti kawan-kawan di sekolah akan dijangkiti. Mesti ibu bapa kapada kawan-kawan itu tidak suka kalau anak mereka dijangkiti penyakit itu. Ibu bapa yang tidak suka akan membebel dengan cikgu. Kenapa benarkan budak yang ada penyakit berjangkit ini datang ke sekolah. Masalahnya, cikgu tak benarkan tapi ibu bapa yang tidak prihatin dihantarnya juga anak yang belum sihat itu ke sekolah.

Waaaaaaaaaaaaaaaaa...... aku bukan nak berleter. Berleter ni satu penyakit jugak. Aku ni susah hati sebab budak-budak tadika ni lepas sorang, sorang kena chicken pox. Tak tahu siapa yang mulakan. HUDA bukan yang pertama. Ada yang membawa virus itu tetapi menyorok. Belum kering betul-betul dah disuruh ke sekolah. Dua tiga hari selepas Huda kena, ada lagi dua tiga orang budak lain yang kena. Sampai sekarang dia menyerang seorang demi seorang. Kelas aku je hari ini tiga orang tak datang. Dua orang lagi dihantar balik kerana ada symptom. Aduyaiii..........

Haritu aku tanya seorang budak ni kenapa tak datang tadika. Dia jawab:
"Saya kena chicken chop"
Kawan yang mendengar marah sebab dia salah cakap:
"Eh... ada pulak chicken chop. Chicken pop lah!!! "
Bantai korang lah.


Wednesday, February 11, 2009

Bila Rindu Melanda.

Manusia sering dilanda rindu. Rindu pada seseorang. Rindu pada keadaan. Rindu pada tempat. Rindu pada masakan. Lis ini akanberterusan kerana perasaan rindu tidak ada sempadan.

Aku masih rindukan mak walaupun emak sudah beberapa tahun meningggalkan aku. Aku rindu pada pandangannya. Aku rindu pada senyumannya. Aku rindu pada suaranya. Aku rindu segala-galanya yang ada pada emak.

Tatkala aku mendengar suara Sudais mendayu-dayu membaca alquran, aku terlalu rindu untuk melihat kaabah. Rindu untuk mengerjakan umrah. Rindu untuk menziarahi maqam rasulallah saw.

Begitulah. Bila rindu sudah bertapak kita tidak boleh mengelak.

Aku menerima email daripada ibu Arfan, salah seorang anak murid aku tahun lepas. Antara kata-katanya: Arfan sangat rindu pada ummu. Dia selalu bercakap tentang ummu. Dalam seminggu mesti dia ada menyebut tentang ummu. Aku balas emailnya dan menyuruh Arfan menelefon aku.

Isnin lepas aku terima panggilan daripada Arfan. Anak itu sungguh teruja. Dia bercerita tentang sekolah barunya. Bercerita tentang kawan barunya. Bercerita tentang rutinnya sebagai ketua darjah. Aku harap rindunya pada aku sudah terlerai.


Arfan. Semuga membesar menjadi anak soleh yang bijak.


Rindu. Sebuah perasaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...