Salam
Sebagai rutin biasa, pagi khamis itu aku ke Jasmin dan ke Mesra. Aku memberitahu pembantu aku supaya mengambil alih kelas aku, JannatunNaiim. Dari pagi, hari Khamis adalah seperti hari-hari biasa.
Sehinggalah aku mendapat panggilan dari salah seorang guru aku semasa aku masih lagi di Kajang. Waktu itu lebih kurang jam 11.40.
kakpah kat mana. Cepatlah datang kat klinik kesihatan ni. Yaya pengsan.
kenapa? aku dah mula cemas.
kak mah (bukan nama sebenar) jumpa yaya dalam van.
Aku memecut unser dengan kaki yang menggeletar. Debaran jantung aku tak tahulah macamana nak cakap. Sesampainya aku di pusat kesihatan aku lihat sebuah ambulan ngiong..ngiong.. keluar dari pintu besar. Aku memakir kereta dan berjalan menuju kumpulan guru-guru aku yang sudah mula bergerak menuju ke kereta mereka.
Masing-masing menangis. Setelah menerangkan begitu begini, kami terus ke hospital kajang.
cerita nana:
Bapak yaya yang datang hantar dia ke taska harini. Pagi ni tugas saya yang sambut. Dia elok memain dengan kengkawan. Bila van kak mah datang, saya yang masukkan semua budak2 dalam van. Yaya duduk kat belakang.
cerita nanu:
Masa van kak mah sampai ke tadika, saya ada di gate menunggu budak-budak. Kak mah harini datang agak awal. Cikgu lain belum sampai. Kak mah berhentikan van depan gate. Budak-budak turun. Lepas tu kak mah parking van dia di tempat biasa. Kak mah tak terus turun. Dalam lima menet jugak dia dalam van tu. Saya nampak dia tengah telipun.
cerita nana lagi:
Habis tadika tadi saya nak masukkan budak-budak yang balik ke taska ke dalam van. Haziq tak mahu masuk ke belakang. Saya tanya kenapa. Dia kata ada orang tengah tidur. Kak mah tanya, ada orang? Saya masuk terus ke belakang. Saya jumpa yaya di situ. Saya angkat, kak mah sambut. Kak mah berlari masuk ke tadika beri yaya pada kak kiah. Kak nanu telipun mak yaya. Kak kiah, kak siah dan kak nanu terus bawak yaya pegi pusat kesihatan. Saya dengan kak bibi ikut dari belakang.
cerita kak kiah:
Masa kak mah bagi yaya pada saya, saya ingatkan dia kena sawan kak. Rupanya dia tertinggal dalam van kak mah dari pagi sampai waktu balik. Apasal lah dia tak cek van kak. Sepatutnya sebelum dia turun, dia cek dulu. Pastikan semua budak dah turun.
cerita kak mah:
(Kak mah sampai ke hospital setelah selesai urusan menghantar budak-budak yang menaiki vannya. Bukan budak-budak tadika aku saja tetapi budak-budak sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah tahfiz.)
(kak mah meraung) Aku tak tau macamana ni boleh berlaku, kakpah. Lama jugak aku dalam van sebelum aku turun sebab telipun seseorang. Aku pandang dari cermin depan, aku tak nampak sesiapa pun kat belakang. Dah tu aku main turun je. Selalunya aku cek sampai belakang. Boleh pulak hari ni aku tak cek.
cerita yam:
Semalam masa balik yaya bukan main melambai-lambai lagi. Selalunya tak macam tu.
cerita mak yaya:
Dia nak ikut saya pergi kursus kak. Menangis-nangis dia nak ikut saya. Saya tak bagi. Kalaulah saya bawak....
Yaya adalah nama panggilan manja untuk Aliyah Humairah. Dia berada dalam jagaan aku sejak bayi dan kami lihat dia membesar di depan mata kami. Kekesalan terhadap apa yang berlaku tetap kami tanggung dan aku tahu banyak jari yang menuding ke arah aulad.
Andainya, van yang membawa anak-anak ini adalah van dari luar, operatornya tidak ada kena mengena dengan aulad, orang akan menyalahkan pemandu.
van ini,
walaupun dia mengangkut anak-anak sekolah sekeliling bandar baru bangi
walaupun dia operator mengangkut anak-anak sekolah
tapi
last stopnya di aulad
dan dia guru aulad
orang akan nampak
yang salahnya
aulad.
kami masih tertanya-tanya bagaimana boleh terjadi
kerana
dari taska ke tadika perjalanannya tidak sampai 5 minit
kerana
tadika dan taska
hanya bersebelahan simpang
Hanya Allah yang mengetahui kerana DIA yang menentukan. Kami semua memohon keampunan dari ibu dan bapa yaya dan berterimakasih yang melaut kerana meredhakan pemergian yaya sebagai ketentuan dariNYA.
Sekian.
kakpah