Dari rumah aku, kelihatan rumah maklang sudah mula di panjat belukar. Semak samun mengelilingi rumah. Dan dicelah-celah semak itu kelihatan buah rambutan yang sedang masak ranum berjuntaian dari setiap dahan pokoknya. Geram. Berbekalkan kegeraman itu kami meranduk semak dengan pengelan dan kereta sorong.
Jaga-jaga tahi lembu!!!, jerit suami aku. entah dari manalah lembu masuk dan menaburkan baja.
Langkah perlu berhati-hati. Pengamatan juga perlu berhati-hati supaya buah rambutan yang dikait tidak tercebur dalam baja lembu yang berbaur dengan air hujan yang mencurah semalam dan pagi tadi. Tugasan dibahagi-bahagi. Ada yang mengait buah rambutan. Ada yang memanjat pokok duku langsat. Selebihnya memungut dan memasukkannya ke dalam kereta sorong.
Banyaknya nyamuk!! rungut yang memungut.
Papp!.. belepuk sana belepuk sini dan kedengaran jeritan kegelian bila melihat darah yang dihisap sinyamuk.
Suasana memang riuh dan nostalgia tinggal di kampung semasa kecil dulu kembali menerpa.
Ini adalah sebahagian daripada hasil kutipan kami pada hari ini. Kenyang. Kenyang sungguh. Buah duku langsat yang manis, buah dukong yang manis, buah rambutan yang manis, semuanya menjadi habuan kami yang memang mengambil peluang cuti panjang ini untuk pulang ke kampung sambil memungut buah-buahan yang masih ada.
Gambar di bawah ini pula adalah gambar belakang dapur rumah aku. Ada pokok duku langsat di situ. Cucu buah aku sedang mengait buahnya. Di belakang dapur inilah tempat abah memasak gula anau satu masa dulu.

Besok kami akan pulang ke bangi. Penuhlah belakang kereta dengan buah. Mungkin penuh juga dengan semut dan kerengga yang mengikut buah-buah rambutan.
ibundo