Followers

jom klik

TADIKA AULAD HAS BEEN MOVED TO ANOTHER LOCATION. CLICK HERE IF YOU WISH TO GO TO TADIKA AULAD
Showing posts with label kenangan. Show all posts
Showing posts with label kenangan. Show all posts

Wednesday, July 27, 2011

Bau yang tidak hilang

Setelah berkali-kali mencuci tangan dengan handwash, jari-jari aku masih berbau durian. Betapa kuatnya penangan bau durian ini.

Ada sebekas durian yang telah siap dikopek di dalam peti ais. Abah yang kopek masa durian tengah melambak haritu.  Aku keluarkan dan buang bijinya untuk buat tempoyak. Abah cakap kalau buat tempoyak jangan biarkan lama-lama di luar.  Nanti terlalu masam. Cukup satu hari saja, lepas tu masukkan ke dalam peti ais.

Emak dulu kalau buat tempoyak, dia akan bubuh sedikit gula pasir dan garam.  Aku ikut cara mak. Emak biarkan dua tiga hari sampai dia betul2 jadi tempoyak. Lepas tu baru simpan dalam peti ais.  Aku ikut cara mak tapi aku tak cakap dengan abah.  Nanti dia kecil hati.  Aku cukup takut kalau abah kecil hati.

Semalam abah tanya bila aku nak balik lagi untuk ambil buah durian di kebun. Aku cakap hisyam yang akan balik sabtu ni sebab aku tak ada masa nak balik.  Dia minta ambilkan durian yang belum gugur sebab dia teringin nak makan gulai durian tua. Aku memberi tahu abang aku supaya tolong ambilkan dalam dua tiga biji.
Durian tua sedap kalau dibuat gulai lemak cili api atau pun lemak putih.

Dulu-dulu masa tak ada kebun durian, buah durian adalah antara buah yang mahal untuk dimakan. Kadang-kadang buah durian yang sudah masak pun dijadikan lauk. Lauk? Mungkin ada yang heran. Timbul juga keinginan aku untuk mencurahkan santan yang baru diperah ke dalam semangkuk durian tembaga, dihiriskan nipis dua biji bawang merah dan memasukkan lima enam biji cili padi yang telah dihiris. Apabila digaul rata, cukup rasa lemak, manis dan pedasnya. Kemudian ia dimakan bersama nasi panas semasa makan tengahari. Emak aku selalu buat begini setiap kali musim durian.  Nenek aku pun. Pelik kan?


sambal tempoyak kawin budu.


Jari-jari aku masih berbau durian dan aku tidak dapat elak daripada terus menghidunya.

ibundo

Tuesday, March 29, 2011

BENTENG HANYA TINGGAL BEKAS

Tun Perak tidak seperti yang aku kenal dulu-dulu. Hutan batu yang memayunginya merimaskan aku. Manusia yang berbondong-bondong, jeritan dan pekikan enjin yang tidak berhenti-henti menambah ketidak-selesaan. Aku bayangkan langkah-langkah aku bertahun-tahun di Tun Perak dan kini bekas tapak itu berterbangan ditiup zaman.

Jalan Tun Perak.  Aku melaluinya pagi tadi dan imbasan-imbasan lalu datang menerjah minda. Datang dan pergi.





Kemudian di sungai wang;
Sewaktu aku di Subway menggigit roti italian yang membungkus hirisan turkey dan sayuran serta sos berbagai rasa, aku terpandang sepasang manusia pelik yang masuk menuju ke kaunter. Pandangan aku sukar untuk dialihkan. Sesungguhnya kecantikan itu begitu sabjektif dan hanya dinilai oleh mata yang memandang. Tapi tolonglah aku untuk memahami dari sudut mana penilaian itu sekiranya pipi yang halus mulus ditebuk kiri dan kanan untuk dicucuk dengan subang.  Kaki kanan yang gebu di warna warnikan dengan ukiran ukiran dari pangkal peha sehingga ke hujung kaki. Lengan kanan juga di ukir sebegitu rupa.

Begitu juga dengan yang lelaki. Badan penuh dengan ukiran.  Telinganya ditebuk dan berlubang besar. Dibubuh pula cincin yang boleh muatkan ibu jari untuk memantapkan lubang itu. Sungguh biadab mereka mengubah ciptaan Ilahi.




Aku rindukan kuala lumpur seperti dulu. Kini aku berasa sungguh terasing apabila berada di situ.


 kakpah

Monday, March 28, 2011

Nasi Briyani Arab

Sekiranya menaiki bas dari kota Mekah ke Madinah atau pun dari Madinah ke kota Mekah, selalunya bas akan berhenti di satu tempat di tengah-tengah padang pasir untuk berehat, makan-makan ataupun menyahut panggilan alam.  Kesempatan juga diambil untuk bersolat di musolla yang disediakan.

Apa yang mahu aku sentuh di sini ialah tentang nasi briyaninya yang sedap.  Teramat sedap.  Berasnya panjang dan lembut. Dan walaupun sepinggannya terlalu banyak untuk dimakan seorang, tapi oleh kerana sedapnya membuat kita tidak sedar yang kita terus menyuap dan menyuap sehingga habis.

Lauknya simple.  Cuma ayam roast dan kadang-kadang kalau nasib baik ada juga ikan goreng yang digoreng gitu-gitu saja tanpa lumuran kunyit atau garam.

Bila berada di rumah sendiri, kadang-kadang aku teringat-ingat akan kelazatan nasi briyani itu. Dan membuat air liur berkecuran.


Tengahari tadi aku dan suami makan nasi briyani arab di seksyen 9.  Baru kali ini kami mencuba.


Walaupun rasanya tidak sama seperti nasi briyani yang aku katakan tadi, tapi nasinya yang panjang dan lembut dan rasa yang tidak pula mengecewakan, sekurang-kurang dapat melepaskan rindu.

Ceritanya:
Ibuk tak makan di rumah?
Tak.. ada kenduri.

Dan dalam kereta beberapa minit selepas meninggalkan rumah menuju ke dewan di Putrajaya;
Haji Ramli ni baru tahun lepas mengahwinkan anaknya kan. 

Haah.

Ni anak yang mana.

Suami menghulurkan kad undangan. Cuba tengok nama pengantin.

Aku tengok dan tak kenal.  Aku tengok alamat rumah.  Dia dah pindah duduk di bandar baru bangi ke.

Suami tidak menjawab tetapi tertoleh-toleh. Kemudian dia memberhentikan kereta di tepi jalan.  Mengambil kad dari tangan aku serta membelek-belek.

Ni haji ramli mana ni.  Bukan kawan abang ni.

Haji ramli yang ini abang kenal ke.

Tak kenal.  Habis camno?

Seganlah nak pergi kalau tak kenal tuan rumah.

Kalau macam tu jom belanja ai makan lah.  Ni dah pakai lawa-lawa takkan nak balik makan kat rumah.


Begitulah ceritanya bagaimana aku makan nasi briyani arab tanpa dirancang dan membuatkan aku teringat-ingat akan nasi briyani di tengah-tengah padang pasir itu.
(teringat juga nasi briyani yang dimasak oleh isteri Abu Ahmad yang menjamu kami ketika kami bertandang ke rumahnya di Mekah)


kakpah

Tuesday, June 23, 2009

Kenangan Megusik Jiwa



Melihat sawah padi mengingatkan aku kembali ke zaman aku bebas berlari di atas batas sawah mengejar pepatung dan belalang. Ada kalanya kakiku tercebur di tepi batas atau jatuh terduduk sehingga badan disaluti lumpur.


Terbayang juga saat aku mengekori si pembajak sambil menangguk ikan yang sedang menggelupur di dalam selut yang tebal. Ikan-ikan itu aku kumpul di dalam baldi dan emak kemudiannya membuat gulai lemak cili padi atau di pais di dalam daun pisang.


Terbayang juga susuk tubuh emak terbongkong-bongkok menanam padi di petak sawah. Dan apabila padi menguning emak dan abah menyabit tangkai-tangkai padi dan mengumpulkannya untuk dibanting. Aku lihat emak dan abah menggunakan kudrat mereka membanting tangkai padi ke tepi tong kayu untuk meleraikan padi dari tangkainya. Dan apabila sudah penuh terkumpul padi itu dimasukkan ke dalam guni untuk dibawa pula pulang ke rumah. Aku hanya sebok berlari ke hulu ke hilir sambil meniup serunai yang aku buat daripada batang padi.


Terbayang juga akan emak, abah dan mak tua membuat emping. Dulu kami ada lesung kaki yang panjang. Kami akan bergilir-gilir memijak lesung. Kadang-kadang kami gunakan lesung ini juga untuk menumbuk padi baru. Enak dan wanginya nasi itu. Untuk makan nasi beras baru ini, emak akan menjemur padi itu terlebih dahulu. Apabila padi masak barulah ia ditumbuk di dalam lesung ini. Kalau tidak dijemur, beras akan hancur. Tapi selalunya abah akan menghantar padi ke kilang mesen padi sahaja. Tidak larat untuk ditumbuk sekiranya dalam kuantiti yag banyak.



Semasa aku ke Kedah baru-baru ini aku lihat sawah padi yang cukup banyak. (Sawah padi yang dikerjakan emak dulu sudah tinggal semak sahaja sekarang ini. Tidak ada siapa yang mengerjakannya). Melihat sawah itulah yang telah mengembalikan kenangan masa lalu. Orang yang aku tanya itu mempunyai sawah seluas 7 ekar. Tapi menurutnya dia sendiri tidak makan nasi hasil sawahnya. Semuanya diambil oleh pemborong. Dia sendiri membeli beras.


Di manakah keseronokan membuat emping dan makan beras baru?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...