Followers

jom klik

TADIKA AULAD HAS BEEN MOVED TO ANOTHER LOCATION. CLICK HERE IF YOU WISH TO GO TO TADIKA AULAD
Showing posts with label cerita. Show all posts
Showing posts with label cerita. Show all posts

Tuesday, December 14, 2010

Soya Jeli



Biasalah. Lepas joging pergi cari makan. Sebab pagi sebelum bejoging kami cuma alas-alas perut saja dengan air secawan.

Pergi ke restoren yang agak terkenal di seksyen sembilan mengadap ke seksyen lapan. Aku oder air soya panas. Datang air soya panas satu gelas besar. Dalam hati aku puas aku nak menghabiskannya.

Aku kacau-kacau air soya dan hati aku berkata lagi; ada jeli. Dalam menu tadi tak ada pula kata ada jeli. Aku cuba kaut jeli dengan sudu tapi tak dapat sebab licin.

Aku terus makan laksa kari. Hirup air soya. Makan laksa kari. Hirup lagi air soya. Hirup.. hirup.. lama-lama air soya aku dah tinggal suku gelas. Mangkuk laksa kari aku tolak bawah hidung suami aku sebab aku dah tak boleh nak makan lagi.


Aku ambil sudu dan cuba mengeluarkan jeli yang masih ada dalam gelas. Dapat. Tapi tekak aku sudah mulai kembang.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.


Suami aku mula kepoh gamit-gamit si nepal. Kepoh lagi suruh panggil bos. Kepoh lagi pada bos suruh tengok apa ada dalam gelas. Bos pucat (err.....).

Akhirnya, minum semua free. Cuma bayar laksa kari saja dua mangkuk. Tapi tekak aku tetap kembang separuh hari.



Sunday, November 7, 2010

Kalau kail panjang sejengkal


Salam.

Semasa mahu keluar berjoging pagi tadi aku lihat ada kail tersandar di tepi dinding dekat pintu masuk.

Siapa pulak yang mengail ni.

Man, malam tadi, jawab suami aku.

Man memang suka memancing. Entah sungai mana dia pergi, aku pun tak tahu. Dulu ada aku tanya dan dia ada menyebut di mana tapi biasalah, kalau benda yang kita tak mahu simpan dalam otak, sekejap kita lupa. Seingat-ingat aku, sepanjang-panjang dia pergi memancing tidak seekor pun ikan yang dia bawa balik kerumah.

Mana ikannya Man.

Dapat kecik je. Man campak balik dalam sungai.






Dalam kereta semasa ke stadium seksyen 15 tadi untuk beraktiviti joging-joging mingguan, suami bercerita. Aku dan Imah pasang telinga walaupun cerita itu sudah berpuluh kali kami dengar.

Kawan ayah, Mustaffa Kamal ada sorang anak yang suka memancing. Mustaffa ni sudah menjadi aruah (alfatihah untuknya). Dia dulu pensyarah di jabatan geografi UM.

Satu hari anak dia ni ponteng sekolah dan kawan ayah ni melilau mencari anak dia. Dulu di tepi sungai depan ukm tu, yang sekarang ni taman perumahan seksyen tiga tambahan tu, ada lombong. Kawan ayah pergi cari anak dia di situ sebab dia syak anaknya ni pergi memancing kat lombong tu.

Memang betul pun anak dia kat situ. Dia terserempak dengan anaknya yang dah bersiap-siap nak pulang. Kawan ayah keluar kereta dan nak marahkan anak dia ni.

Tapi kan, suami aku ketawa. Anak dia tunjukkan ikan hasil tangkapannya. Kawan ayah cakap pada ayah; 'Din.. aku ni kaki pancing. Bila aku tengok dia tunjukkan ikan yang dia tangkap tu, cair aku. Tak jadi aku nak marah'.

Petang tu emak dia masaklah ikan yang anak dia dapat tu. Sebelah malamnya si anak berbisik pada emaknya; 'Sebenarnya mak. Ikan tu saya beli dari orang yang sama-sama memancing tadi sebab saya tahu ayah mesti marah pada saya'.

Begitulah tamatnya cerita suami aku. Sampai di stadium, berjoginglah kami sampai berpeluh-peluh. Dan seperti biasa, selepas berjoging singgah pula restoren kampuchea makan ban kuong.


Sekian cerita saya pada hari ini. (Teragak pulak nak makan ikan siakap kukus....)

Saturday, July 31, 2010

macam-macam

Salam.

Macam-macam yang dirancang untuk Sabtu ini. Oleh kerana banyak sangat rancangan, pertemuan dengan bloger terkenal dan termasyhur ini terpaksa ditunda ke lain hari. Mintak maap banyak-banyak sebab terpaksa mungkir janji.

Dah lama tidak melawat ibu mertuaku. Paling akhir bertemu dengannya ialah apabila ibu mertuaku melawatku hehe.. lebih kurang tiga minggu yang lepas. Bila husband ajak pergi menjenguknya aku kenalah ikut. Dalam perjalanan sempat singgah mengisi perut yang lapar di seksyen 9 dan menapau dua bungkus mee kari untuk dibawa ke BTR. Takkan pergi dengan tangan kosong.

Nampaknya ibu mertua sehat-sehat saja dan semasa sampai di rumah adik, diorang ni baru balik dari berjoging. MIL aku sedang duduk berlunjur sambil memicit-micit kaki. Ye lah.. eksesais tetap perlu tak kira umur berapa pun. Dia cakap dia kena hayak berjalan tak sop stop. Bila on the way balik je nyetop kat kedai makan roti canai dan minum teh tarik.

Lebih kurang pukul dua belas aku dan husband beredar kerana ada kenduri kahwin di shah alam. Bekas classmate aku zailand mengahwinkan anak perempuannya. Dah berbelas tahun juga aku tak berjumpa dengannya. Dia pun nampak dah macam mak datin. Tapi biasalah bila jadi tuan rumah, tak dapat nak melayan kita lama-lama. Bercakap sekejap, bersalam, berpeluk lepas tu dia halau aku masuk ke dalam dewan.

Faiz, zailand dan makcik bloger

Dalam dewan ada tiga orang lagi member ketat aku sedang makan. Dah lama betul tak berjumpa dengan diorang. Bila berjumpa sekejap, macam tak puas. Maka banyaklah memori lama yang menari-nari dalam kepala.



ex-classmates masa kat tun fatimah dari form four sampai upper six. Dua orang dah jadi nenek. Dua orang lagi anak belum ada yang kawin. Kalau nak tau dengan diorang nilah aku meronda sampai singapura setiap kali dapat meloloskan diri dari kandang haha...
(Dah tua-tua dah kita kan. Dah lebih setengah abad.)

Walaupun sekejap, dapat jugalah melepas rindu. Duduk majlis orang tak boleh lama-lama sebab orang lain pun nak duduk makan juga. Lagipun suami masing-masing dah macam resah gelisah aje ala-ala bagi signal cepatlah balik cepatlah balik. Akhirnya kami berpisah jua buat kesekian kalinya.

Setelah menyelesaikan solat zohor di masjid shah alam, kami menuju ke sogo pula. Kami tidaklah pula menyangka yang kuala lumpur dibanjiri kenderaan dan manusia pada petang tadi. Tapi oleh sebab dah sampai, kami terpaksa redah jugaklah. Nasib baik aku dapat apa yang aku cari.

Sampai di rumah hari dah pukul enam lebih. Kereta kirin tak ada di garaj. Rumah juga senyap tak ada suara faris. Siti kata mereka ke alamanda. Tidak lama selepas aku balik, diorang pula balik.

Kaklong kata masa kat alamanda dia ternampak seseorang macam tijah. Betul ke jah kau kek alamanda potang tadi....

Sekian cerita merapu aku kali ni.

kakpah

Tuesday, March 23, 2010

Jamu Mak Dara

Bohonglah kalau ada perempuan kata dia tak mahu kelihatan cantik. Cemburu kecantikan perempuan lain dan mengigau untuk cantik seperti orang itu, perkara biasalah.


Semalam aku ke metro point, kajang. Semasa makan laksa Serawak di Secret Recepi aku terpandang seseorang sedang mundar mandir di depan mata aku. Tahi lalat di tepi hidung itu tak menafikan bahawa orang itu Halimah Shuib toke jamu makdara.

Memandangkan umurnya dah lebih 60 tahun, kira mengancam lagilah. Solid lagi.


Ingat nak tanya petua tapi segan pulak hehe..

p/s gambar atas tu hasil gugel. Dia dengan anaknya. Aku potong anaknya, tu yang tinggal sekerat tu. Maap ye makdara!!!


kakpah

Saturday, March 13, 2010

TAKE AWAY, PLEASE!!!!!!

Satu lagi cerita tentang abu Ahmad, kawan bangsa arab yang duduk di pinggir kota mekah tu.

Semasa berkunjung ke rumahnya tempoh hari, isterinya menghidangkan sejenis kopi arab. Memang pekat dan pahit tetapi oleh kerana tidak mahu memalukan tuan rumah dan juga memalukan diri sendiri, aku teguk juga sampai habis. Bila aku meletakkan cawan (err.. cawan ke. Ia cuma mangkuk kecil besar sedikit daripada tuang kuih lompang), anaknya mengisi semula sampai penuh. Aku biarkan dulu lama-lama atas meja baru aku minum kembali takut nanti bila habis diisinya semula sampai penuh lagi.

Sambil itu dia bercerita tentang minum kopi dah teh semasa di malaysia.

If you ask for take away, they just put the tea or coffee into a plastic bag and tie it with a string. It is funny. We dont do it here.

gambar ihsan pakcik gugel


Semasa di Mekah, kami sering juga singgah di kedai-kedai tepi kaki lima membeli teh panas. Memang tidak pernah lagi berjumpa teh yang kami beli itu dibungkus dalam plastik. Teh di isi dalam cawan kertas seperti dalam gambar di bawah. (Tolong abaikan kotak buat pengalas tu. Kotak tu kami cari sendiri sebab kami minum duduk lepak-lepak tepi masjid).



Yang di bawah ini pula siap dengan tray sekali. Sila abaikan juga mee segera di belakang tu ahaks..

Kita sendiri tidak sedar kekurangan kita.

Kedai makan di tempat kita ini sudah banyak yang menyediakan bekas minuman yang cantik dan canggih walaupun kita tidak dapat nafikan yang kita masih lagi membeli minuman untuk di bawa pulang yang dibungkus dalam plastik.

Moral of the story: Kalau nak beli air bungkus, pastikan bawa tupperware dari rumah.

kakpah

Friday, March 5, 2010

Geligeleman!!!!!

Masa abah mengajar di tanah rancangan masa aku sekolah rendah dulu, aku selalu ikut kengkawan pergi masuk paya cari ikan. Masa tu aku sering terserempak dengan ular air. Mulanya disangka ikan belut tetapi bila ia meluncur laju mengeliut-ngeliut, kami lari naik ke tebing. Emak akan membebel marah bila aku bercerita tentangnya.

Semasa selalu mengikut emak ke sawah, aku sering juga terjumpa dengan spesis ini. Ada yang kurus macam lidi bewarna hijau yang emak kata tu ular lidi. Ada yang hitam. Ada yang kuning. Pernah paktua menembak mati ular sawa yang melengkar kekenyangan di dalam reban ayamnya.

Aku geligeleman melihat ular. Aku takut melihat ular. Aku tak suka tengok ular.

.
.
.
.

Tapi dua tiga hari ni aku rasa macam nak mengular saja atas katil. Buat itu ini tak kena. Buat itu ini takde mood. Ish..ish..

kakpah

Tuesday, February 23, 2010

Tungguuuuu Sekejapppp.......

Dik, pinggan ni bawak turun ke dapur

Ok..ok.. nanti jap
.
.
.
Man, kemas billik ni

Ok..ok.. nanti jap
.
.
.
Sen, pegi mandi cepat. Dah nak magrib ni

Ok..ok.. nanti jap.



Budak-budak ni kalau tak di leter sampai besoklah dia punya kejap.
Kita yang tua-tua ni selalu macam tu jugak. Kalau buat kerja selalu tertangguh-tangguh. Kejap lagi jadi besok. Bila dah sampai besok, jadi minggu depan. Lama-lama kerja tak siap-siap.


Omak e, bilo nak masak ni. Porut dah lapar tahap gaban ni

Kojaplah apak e. Tongah siapkan entry ni

Setengah jam lagi.

Omak e !!!! apak e poi makan kek kodai yo lah!!!


kakpah

Tuesday, May 19, 2009

LASIK

Abah tak percaya bila aku kata aku kena pakai cermin mata. Masa tu aku di remove class. Dulu kalau dari sekolah rendah nak masuk menengah aliran Inggeris, kena masuk remove class dulu selama satu tahun. Lepas tu baru naik tingkatan satu. Kalau ikut umur memang rugi satu tahun. Aku tak rugi sebab aku masuk darjah satu semasa aku berumur lima tahun.

Masa tu kalau budak pakai cermin mata orang kaitkan sebagai budak cerdik dan kaki buku. Bila ada orang yang kata begitu, hidung aku kembang kempis jugalah. Tapi realitinya, aku cuma biasa-biasa saja.

Sejak itu aku dan cermin mata tidak dapat dipisahkan. Semasa zaman sekolah sahaja, cermin mata aku tidak terkira banyaknya. Bila pecah, ganti. Bila patah, ganti. Bila power dah kurang, ganti.

Bila aku bersekolah di Johor Bharu, aku seolah-olah menyalahgunakan fungsi cermin mata aku. Terlalu banyak sangat godaan dari kawan-kawan. Tengok kawan pakai frame bulat, aku perkenan. Tulis surat pada abah minta duit sebab nak tukar cermin mata. Tengok kawan pakai frame empat segi, aku perkenan. Tulis surat lagi pada abah lagi mintak duit nak tukar cermin mata. Pada tahun 70han dulu frame semua besar gedabak. Bila pakai, tertutup hampir separuh muka. Tapi masa tu kira fesyen lah.

Aku dan kawan-kawan selalu buat cermin mata di bazar tepi sungai Seget. Masa tu Johor Bharu belum membangun macam sekarang. Air sungai Seget ketika itu hitam legam dan baunya meloyakan. Tidak tahulah bagaimana rupanya sekarang ini sebab aku dah bertahun-tahun tak turun ke JB.

Dipendekkan cerita, aku bercermin mata dari aku budak berumur sebelas tahun sehinggalah aku dah tua macam ni. Bila terlalu lama, memang merimaskan. Terutamanya bila tersalah letak cermin mata ketika mengambil wudhu ataupun mandi ataupun tidur. Berkelintau mencari satu rumah. Habis anak kena kerah mencari cermin mata yang terlupa letak di mana. Pernah sekali aku memarahkan diri sendiri kerana terlupa letak. Aku turun naik turun naik mencari. Masa tu yang ada di rumah cuma bibik. Bila dia bertanya apa yang aku cari, aku beritahulah yang aku sedang mencari cermin mata aku. Bibik mengekek-gekek ketawa, 'tu yang atas kepala ibuk tu apa!!'

Oleh kerana boring, bosan, rimas sebab berpuluh tahun pakai cermin mata sampaikan aku dah tak tahu frame pesen apa yang aku nak pakai, aku ambil keputusan untuk buat lasik. Keputusan itu aku ambil hampir tiga tahun yang lepas. Dan sejak itu aku lepas bebas dari cermin mata.



Petang tadi aku ke ExcelView lagi di Mid Valley. Kali ini aku datang ke klinik itu sebagai pengiring kepada suami aku yang juga akhirnya mengambil keputusan untuk membuat lasik. Prosesnya cepat dan tidak menyakitkan.

Tuesday, April 21, 2009

Rusa Baru Kembang Ekor

Anak rusa nani
baru kembang ekor
apa dosa kami
lalu tidak tegur

Satu lagu kanak-kanak yang telah lama aku tahu. Masa aku kecil-kecil dulu aku dan kawan-kawan selalu terpekik terlolong menyanyikan lagu ini. Tapi biasalah kanak-kanak. Pandai menyanyi saja tanpa faham akan maksudnya.


Ada beberapa perkara dalam lagu ini yang boleh dibuat perbincangan.
Pertama:
Kadang-kadang kita berhadapan dengan situasi canggung bila ada orang yang kita kenali tiba-tiba sahaja tidak mahu bertegur sapa dengan kita. Kitapun terpikir-pikir, apalah salah yang sudah kita buat sehinggakan orang itu memandang kita pun dah tak mahu lagi. Yelah, manusia biasa seperti kita ini tidaklah sesempurna mana dan mungkin kita melakukan kesilapan yang tidak kita sedari. Kalau ada orang yang tak mahu menegur kita lagi, kan kita akan tertanya-tanya akan kesilapan kita?


Kedua:
Lagu ini juga mengingatkan aku perihal rusa yang mempunyai tanduk yang cantik bercabang-cabang. Ada satu cerita kanak-kanak yang mungkin anda sudah biasa dengar atau baca iaitu perihal rusa yang sombong kerana perasan dia cantik. Ini boleh kita kaitkan juga dengan perempuan-perempuan cantik atau yang perasan diri cantik tetapi sombong tak tentu pasal. Megah kerana dia dianugerahkan dengan rupa yang sempurna serta memandang rendah pula akan orang yang tidak cantik dan jelek. Padahal yang cantik itu bukan hanya pada paras rupa. Yang kekal cantik adalah hati kita.


Ketiga:
Sebenarnya inilah yang aku nak celotehkan. Tiba-tiba je aku teringat yang pada satu masa dulu aku selalu makan daging rusa. Semasa aku kecil, abah selalu pergi memburu. Abah selalu masuk hutan bersama-sama dengan geng-geng memburunya.

Masa aku dalam darjah tiga, abah dipindahkan menjadi guru besar di sekolah air hitam di bahau. Air hitam ialah tanah rancangan felda yang baru diterokai. Semasa kami berpindah ke sana tempat itu masih dipenuhi semak samun dan sedikit hutan. Kami tinggal di kuarters guru yang disediakan. Bayangkan, kalau mahu makan ayam denak abah cuma perlu mencangkung di belakang rumah dan menunggu sehingga ayam denak keluar. "Pang!... abah akan tembak ayam denak.

Kalau mahu makan daging pelanduk, abah akan masuk sedikit ke dalam hutan. Kalau jumpa, abah tembak. Kadang-kadang abah pasang beberapa perangkap. Selalunya perangkap ini akan mengena. Abah bawa balik pelanduk yang telah masuk dalam perangkap dan menyimpannya di dalam sangkar. Bila teragak nak makan pelanduk, abah sembelih.

Oleh sebab kawasan di sekelilingnya masih hutan, abah dan pakcik Bakar dan pakcik Malek selalu masuk ke dalam hutan mencari rusa. Kalau abah masuk hutan, bila dia balik mesti dia membawa binatang buruan. Kalau tak dapat rusa, dapat kijang atau pelanduk sekurang-kurangnya.

Daging rusa rasanya sedap. Manis. Kalau dapat rusa, abah akan membahagi-bahagikan dagingnya di antara kawan-kawannya. Daging yang banyak itu tidak habis dimakan oleh kami bertiga. Emak selalu buat gulai lemak atau rendang. Daging selebihnya emak salai. Pada masa itu mana ada peti ais. Letrik pun tak ada.

Entah kenapa pula pagi-pagi ni aku teringatkan daging rusa. Dah lama dah ni tak makan daging rusa. Sekarang ni susah nak dapat. Orang pun tak senang-senang lagi memburu seperti dulu.

Ishh... buek rondang daging ruso sodap ni.....

Friday, April 17, 2009

BEGITU BEGINI

Pagi tadi sesampai saja di pintu pagar tadika, beberapa anak murid aku berlari menerpa menghulur tangan mengajak salam. Aniq merebut bag di tanganku. Hakim pun berebut sama.

"Eee.. bagi lah kita bawak"

"Kita yang ambek dulu"

"Dah..dah.. jangan berebut. Aniq pegang tangkai sebelah, Hakim pegang lagi sebelah" Aku meleraikan.

Begitulah selalu pagi-pagi. Masing-masing berebut-rebut nak bawakan beg yang berisi buku-buku aku ke kelas.

"Ummu, henbeg ummu tak nak letak dalam kelas ke" Amirah yang terlepas peluang untuk merebut bag aku tadi merengek menepuk-nepuk henbeg aku pula.

"Ha, yang ni biar ummu yang pegang. Dalam ni ada bom. Nanti meletup!!" Aku mengekek sengaja menyakatnya.

"Apa lah ummu ni. Mana boleh bom letak dalam henbeg" katanya sambil menepuk-nepuk lengan aku.



Bila aku masuk ke kelas selepas loceng berbunyi aku lihat di atas meja aku ada sebungkus donat. Belum sempat aku mahu bertanya, Alia berkata,

"Ummu, atas meja tu donat untuk ummu. Saya belikan."

"Kamu yang beli ke ataupun kamu suruh emak kamu yang beli"

Alia cuma tersengeh-sengeh. Hmm donat.. memang aku cuba larikan diri daripada memakan donat ini tetapi bila anak murid yang bagi takkan nak tolak pula. Budak kecil pun pandai terasa hati. Bila tiba waktu rehat dan masing-masing tengah menikmati mihun goreng, alia bertanya lagi kenapa aku tak makan donat yang dia bagi. Aku katakan yang aku belum cukup lapar.

"Ummu bawa balik ye. Nanti ummu makan kat rumah" Aku bagi alasan. Dia mengangguk-angguk.

Ada-ada saja yang dibawa oleh anak-anak murid aku. Kadang-kadang air kotak. Kadang-kadang kuih karipap. Kadang-kadang cekodok pisang. Milo 3 in 1 sepeket kecik itupun diaorang bagi aku juga , suruh aku buat air dan minum depan diorang.


Aku meninggalkan kelas setengah jam lebih awal. Period terakhir adalah amali solat dan aku meminta pembantuku mengambil alih kelas.

"Ummu nak kemana?" masing-masing sibuk bertanya.

"Ummu nak pergi tesco"

"Ha?.. ummu nak pergi disco?"

La.. takkan penyakit pekak badak dah berjangkit kat kelas aku pulak.

"Bukanlah.... ummu nak pergi tesco lah...."

"Nak salam.. nak salam.. Nak cium..." Selepas berebut-rebut bersalam dan berciuman (habis pipi aku bertepek-tepek dengan air liur dan air hidung) akupun keluar balik ke rumah ambil kereta.



Di tesco aku mendapat panggilan dari seorang kawan. Aku kalau boleh cukup aku nak mengelak daripada bercakap dengan dia ni di telefon. Tapi masa aku mengangkat telefon, namanya tak keluar di screen. Aku jawab sebab aku ingat panggilan dari parent.

"Pah, kak Jah ni. Kau kat mana pah."

"He..he.. kat malaysia"

"Kik..kik.. pandai lah kau buat lawak ye pah. Bla..bla..dah lama tak buat sale..bla..bla.. nak beli barang ke...bla..bla..ada ofer ni.. bla..bla.."

"Haah.. okay."

"Bla..bla.. rugi .. bla..bla.."

"Okay.. okay"

"Bla..bla.. kakjah boleh belikan bla..bla.."

"Okay.. nanti saya bagitau la.."

"Kakjah boleh hantar ...bla..bla.."

Dah sepuluh minit dia potpet potpet. Bila lah nak sudah bercakap. Aku cakap aku tengah sibuk dia tak paham-paham juga. Kang aku terus matikan henpon dia kata aku kurang asam pula. Aku gunalah trik selalu.

"Apa?... H'a?... Tak dengar..tak dengar... line tak clearlah kak"

"Kau ni asek line tak clear je. Tukar je talipun tu. Duit banyak-banyak buat apa"

"Apa kak?.. tak dengar lah. Putus-putus ni... " Tup aku putuskan talian.


Aku terus memenuhkan barang-barang ke dalam trolley. Trolley yang seperti biasa berjalan senget macam ketam, membuatkan lenganku sakit sebab nak kontrol stereng. Bilalah tesco nak ganti trolley yang baik-baik nih.

Thursday, April 16, 2009

Sila Dengar Baik-Baik.

"Oi pak Aji, betulkan pagar ke!!"

"Ha? Sapa yang kena langgar. Kat mana. Teruk ke!!"

Lain yang orang cakap lain pula yang dia dengar. Kalau ada adegan pekak badak seperti ini di kaca tv mesti ada orang yang mengekek-ngekek ketawa. Kesian dia. Dahlah pekak, dibadakkan pula.


Di alam realiti berapa kerapkah anda bertemu dengan orang seperti ini. Mungkin selalu. Mungkin kadang-kadang. Mungkin tak pernah langsung.


Untuk orang yang ada sound problem ini, kita mempunyai perasaan yang berbeda-beda terhadap mereka. Ada kalanya kita rasa simpati. Ada kalanya kita rasa lucu dan menjadikannya satu bahan ketawa. Ada kalanya pula kira rasa geram kerana orang yang kita lawan bercakap itu tidak dapat mendengar dengan betul apa yang kita katakan.


Satu tengahari aku memberitahu bibik.

"Siti, petang ni tak payah masak nasi. Aku nak buat meehun sup"

"Ya buk!!"

Tentu ramai yang berkata beruntungnya kakpah dapat bibik yang "ya buk.. ya buk.." gitu.
Bila aku masuk ke dapur selepas asar aku lihat ada periuk tengah terjerang di atas tungku. Aku jengah isinya.

"La.. apasal masak bubur pulak ni!!"

"Kan tadi ibu yang suruh masak bubur"

pek..pek..pek.. aku menepuk dahi. Bila masa pulak aku suruh masak bubur. Aku rasa aku cakap yang aku nak masak meehun sup. Aduh.... ni kes sound problem ke kes IQ problem ni. Tolong bagi habaq sat.

Thursday, April 9, 2009

Tuah Itu Kepunyaan Siapa?

Aku pelik betul. Tiap kali ada acara cabutan nombor bertuah mesti nombor aku tak kena cabut. Memang dari zaman sekolah sehinggalah ke zaman beranak pinak. Sebab tu kalau aku ke majlis dan ada pula cabutan nombor bertuah (sekarang orang dah panggil rezeki untuk siapa. Lagi sedap nak sebut) aku memang tak kesah kerana dah tahu dah memang nombor aku tak kena panggil.

Sehinggalah lebih kurang tujuh lapan tahun yang lalu sewaktu aku menghadiri satu majlis, dengan tak disangka-sangka nombor aku disebut-sebut. Aku dah nak balik pun masa tu dan kawan yang bersama aku masa tu menyinggung tangan aku:
"Dia panggil nombor engkau la".

Selepas itu setiap kali ada acara rezeki untuk siapa, aku pun dapat rezeki juga. Tak mis. Dan aku ingat tuah aku sudah berubah sepenuhnya. Rupa-rupanya panas tak sampai ke petang kerana tengahari je dah hujan. Tuah aku berubah semula 360 darjah. Jeritlah nombor banyak mana pun, mesti tak ada untuk aku.

Macamana kita nak tahu kita ni ada tuah ke tidak ye. Tak macam ayam, tuah nampak kat kaki. Tapi bertuah ayam pun akan kena sembelih juga.

Kita tak boleh nafikan setengah orang mempunyai rezeki yang amat murah. Selalu mendapat ganjaran yang datang dari sumber yang tak disangka-sangka. Kadang-kadang kita rasa cemburu juga apasal asek dia yang dapat padahal kita juga mempunyai peluang yang serupa. Itulah rezeki namanya. Rezeki dia bukan rezeki kita.

Tahun lepas anak murid aku memberi aku satu kejutan.
"Ummu, semalam kan ayah saya dapat hadiah kereta" kata puteri gunung ledang dengan bangganya.
(Sebenarnya nama dia puteri nurul aishah. Aku suka menyakat dia dengan panggilan puteri gunung ledang. Tiap kali aku panggil dia dengan nama itu dia kan meregus..
"Ala ummu ni... kita tak suka tau....")

"Ayah awak dapat hadiah kereta? Dapat kat mana?" Aku pun dah teruja nak tahu. Ish.. kereta kat rumah dah berderet, dapat sebijik lagi. Tak boleh jadi. Mulalah setan mengapi-apikan aku dengan rasa cemburu.

"Dekat petronas......"

Waktu tu kan petronas ada menganjurkan satu peraduan yang memberikan banyak hadiah lumayan dan di antara hadiah itu ialah kereta. Dalam hati aku mestilah dia dah menang peraduan yang itu.

"Ayah dapat dua bijik!.."

Eh.. eh, dua bijik? Keterujaan aku megendur. Biar betul budak ni. Sebijik aku boleh percaya tapi kalau dua biji?

"Dua? Betul ke ni"

"Betul ummu. Kereta tu besar macam ni........". Dia meletakkan kedua-dua tangannya ke depan, tapak tangan saling hadap menghadap. Jarak di antara kedua tapak tangan lebih kurang enam inci.

Ek ele... kereta mainan rupanya. Tapi itupun rezeki juga kan. Orang yang tak ada rezeki, habuk pun tak dapat.

Friday, April 3, 2009

LAWAK DI HARI JUMAAT

Satu masa satu ketika.

Krrringggggggggggggg.....

Telefon di rumahku berbunyi. Bibik pembantu rumah merangkap pembantu tadika merangkap tukang kebun merangkap operator, berlari mendapatkan telefon. Kedengaran suaranya bertanya itu ini (terlupa pula yang bibik juga merangkap penyiasat persendirian).

"Bukkkkkkkkk! Ada telpon dari Indon" jeritnya.

Aku bergegas mendapatkan telefon takut nanti kalau lambat-lambat banyak pula orang yang memanggil tu kena bayar bil. Maklumlah bukan dekat-dekat. Bibik memberikan gagang kepadaku.

"Assalamualaikum, ya.. mahu bicara sama siapa?" (Tolong baca dengan bahasa Indonesia ye!). Kenalah cakap stail diorang sebab diorang tu bukannya faham sangat bahasa dan lagu kita ni. Kalau aku cakap "ye, nak cakap same sape?" gerenti dia tak faham.

"Woi kakpah!!!!.. apo kau cakap skema bona ni. Aku lah ni. Endon." Suara di sebelah sana gagang menjerit masuk menusuk ke dalam telinga aku. Kurang asam punya bibik. Dia ni mengenakan aku atau aku yang silap paham ni.

"Bibik!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!" Aku memanggil bibik untuk meminta penjelasan sebaik aku meletakkan gagang.

"Siapa yang telefon tadi bik!.."

"Tak tau. Katanya dari Indon. "

Memang sahlah. Bukan telinga aku yang silap.

Thursday, February 19, 2009

AYOYO AMMA

Entry ini aku dah pernah buat masa aku mula-mula buka blog dulu. Tapi masa tu tak ada orang yang baca. Aku nak buat lagi sekali kerana aku suka cerita ini. Ada tahap lawak antarabangsa.


Dulu masa aku belajar kat UKM aku ada beberapa geng rapat. Selalu study sama-sama, pergi kuliah sama-sama, makan sama-sama dan blablabla sama-sama.


Satu hari semasa di dewan kuliah, sementara menanti kedatangan pensyarah, kami pun bukalah cerita cerita zaman sekolah. Masa tu kami ada berempat. Salah satu topik yang kitorang bincang ialah tentang sukan. Masing-masing bercerita tentang kejaguhan masing-masing. Ada yang kata dia tere main bola jaring, ada yang kata dia tere main bola tampar dan sebagainya lah. Aku pun tak kurang juga mahu menunjukkan kehebatan. Sememangnya aku masa sekolah dulu pernah dapat gelaran olahragawati sekolah.


Salah seorang kawan aku ini bernama Sapiah. Nama glemer dia Sap (pronounce as sep). Jadi kami panggil dia Sap. Dari mula kami bercerita, dia hanya ternganga saja mendengar. Tengah kami asek maksyuk bersembang, sap menyampuk:

"Ei Nim (masa student dulu kawan panggil aku Anim). Apasal ha, bila kita mula nak berlari kat garisan tu, orang yang jaga garisan tu kata ayo mak, gesek, go . Kenapa dia cakap ayomak ha? Apa benda yang dia suruh gesek?"


Kitorang bertiga tergelak terbahak-bahak. Habis semua mata menoleh pada kami. Heran. Yang si Sapiah ni masih blur, tak tahu kitorang tergelak pasal apa. Dia tersengeh-sengeh saja.

"Apasal kau orang gelak. Betullah aku cakap"


Lagilah kitorang tergelak nak pecah perut. Tambah pula tengok muka tak ada perasaan dia tu. Blur seblur blur nya.


Bila ketawa dah reda sikit aku cakap,

"Wei Sapiah! engkau ni nama aje belajar kat universiti. Orang tu kata On your mark, Get set, Go lah bukannya ayomak, gesek, go. Ngok!!"


Hari tu pensyarah mengajar, kami tak ada konsentrasi langsung. Sap masih dengan muka selamba dia walaupun kena kutuk tak habis-habis.


Begitulah ceritanya. Sap sekarang ni cikgu. Entah-entah dah jadi guru besar.

Sunday, February 8, 2009

Pediculus Humanus



Pediculus humanus
.
Tidak ramai yang tahu makna perkataan tersebut. Tapi menyebut perkataan kutu, ramai yang akan geli geleman mendengarnya. Kutu adalah parasit jenis serangga yang hidupnya menghisap darah di kulit kepala manusia.

Aku teringat kepada Letchumi, rakan sekolah semasa di tingkatan satu. Semasa kami duduk di tepi padang sekolah setelah selesai latihan sukan, aku terpandangkan kutu yang merayap-rayap di celah-celah tocangnya yang berbau minyak kelapa. Kutu itu bukan satu tetapi cukup untuk membuatkan aku geli geleman lantas melarikan diri jauh daripadanya. Di manakah kamu sekarang Letchumi. Adakah kamu telah menjadi bos yang tersandar di belakang mercedes ataupun masih di ladang getah meneruskan tradisi turun temurun.

Kutu bukan sahaja sukakan kepala yang kotor, malah yang bersih juga. Kadang-kadang ia menjadi satu masalah yang sering melanda pusat asuhan kanak-kanak. Ia mudah berjangkit dari satu kepala ke satu kepala. Sekiranya seorang kanak-kanak mempunyai kutu dan tidak diatasi sebelum dihantar ke taska, alamatnya, tak cukup tanganlah pengasuh taska untuk membuang serangga yang menjijikkan itu. Wabak kutu yang selalu melanda taska ini membuat kepala aku pening juga.

Aku teringat kisah emak saudaraku dan pembantu rumahnya pada tahun tujuh puluhan. Pembantu rumah yang baru digajinya mempunyai kutu yang teramatlah banyaknya. Mak saudaraku mengambil towel dan sheltox. Disemburnya kepala budak tu dengan sheltox sebelum membungkusnya dengan towel. Bergelimpangan kutu mati. Mula-mula aku risau juga tapi lepas itu aku tengok budak tu okay saja. Tak ada pula weng weng. Amaran: dont do this at home, he..he..

Kutu embun? Kutu embun ini pun satu masalah. Aku sampai sekarang tak paham kenapa orang suka jadi kutu embun. Kutu embun ini hidup macam kelawar. Mereka tidur siang sehingga jejak ke kaki malam. Sebelah malam pula dia berjaga dan merayap hingga embun menitik. Bila habis merayap, mereka mungkin akan melepak-lepak pula. Melepaklah di mana-mana. Di kedai kopi 24 jam ke, di tepi padang ke, di mana-mana ke. Jadi, dia dapat tiga title: kutu rayap , kutu lepak dan kutu embun. Aku cuba untuk faham tetapi tidak dapat memahami apakah keseronokan yang dicari mereka ini.

Bob kutu? Aku tau nama ini pun sebab dia selalu berlakon dengan apek saiful. Tapi aku heran juga kenapa nama dia kutu sebab secara fisikalnya kalau dibandingkan amatlah jauh berbeza.

Ha.. kutu yang ini aku rasa ramai orang suka. Dengar pun tak ada yang geli geleman.
Main kutu
. Makcik-makcik dan adik-adik kat opis tu cukup suka main kutu tu. Tak kiralah sebulan lima puluh ringgit ke, seratus ringgit ke, janji dapat sepuluh orang. Bila dapat duit kutu, shopping sakan kita.

Main kutu ni bukan terhad pada duit saja. Macam-macam. Kutu pinggan, kutu penapis air, kutu periuk etc etc. Aku kan dulu kutu direct selling ni, aku tahu lah. Ada tu yang main kutu ni nyorok-nyorok dari suami. Tahut kena marah. Tapi takkan lah marah pula kan? Duit sendiri. Lagipun yang nak dibeli tu untuk kegunaan bersama juga kan? Kan? Kan?


Thursday, February 5, 2009

hello..hello..saya nak buat pengaduan




"Ummu, najihah kan, dia bawak mainan"

"Ummu, sarah tak nak kawan dengan saya..."
"Ummu, zahid tak bagi pinjam pensel"

Kadang-kadang naik rimas juga dengan kaki pengadu ni. Sebab musabab pengaduan itu dibuat ada kalanya tak munasabah langsung tetapi masih juga nak mengadu. Sabau je lah aku ni. Anak-anak yang suka mengadu ni sebenarnya nak kan perhatian. Dia suka kalau kita bagi attention pada dia. Ada tu pula sebab dia tak boleh kena usik sikit. Ini selalu berlaku pada anak manja ataupun anak tunggal ataupun anak yang mempunyai adik beradik yang jarak-jarak. Aku kata, selalu berlaku. Tak bermakna akan sentiasa berlaku.

Ada budak yang tak boleh melihat aku keluar sekejap dari kelas. Aku nak ke bilik air ke, nak pergi fotostat ke. Dia akan datang mencari.
"Ummu, najwa kan.. dia berjalan... Dia tak buat keje.."
Macamlah yang mengadu tu tak berjalan. Macamlah yang mengadu tu buat keje. Sabau je la aku ni.

Di kalangan anak-anak kita ada juga yang kaki mengadu ni. Masa anak-anak aku kecik dulu, kadang-kadang tak tahan juga telinga ni asek menerima aduan. Itulah. Inilah. Kadang-kadang tu berubah juga rupa kita ni jadi naga yang berasap-rasap telinga dan mulut keluar api yang menyambar-nyambar.

"Asek nak mengadu je..."tengkingan daripada seekor naga jadian. Terperosok sekejap kepala anak kita masuk ke dalam cengkerang.

Kalau anak-anak mengadu tu, pandai-pandailah settlekan. Jangan berat sebelah. Kaji betul-betul. Jangan terima aduan bulat-bulat. Kena lonjong-lonjongkan sikit ataupun tebar jadi roti canai.

Aduan ni tidak semuanya negatif. Ada aduan yang baik dan boleh diterima akal. Dan ada aduan yang memangnya perlu kita buat.

"Hello encik MPKJ (kalau kat kajang ni lah), pokok kat depan rumah saya dah tinggi sangat. Rantingnya dah kena kat dawai letrik)"
"Hello encik Bomba, pokok kat depan tadika saya ni ada sarang lebah. Boleh datang buang?"
Ish.. ingat tugas bomba ni mengawal kebakaran je ke. Semua dia boleh buat. Aku cakap pasal bomba kat bangi ni lah. Tak taulah bomba kat seremban tu. Ada sekali dulu bomba datang ngiung..ngiungg.. dan berhenti kat rumah jiran aku sebelah ni. Berlari kitaorang anak beranak keluar nak melihat apa ke bendanya yang berlaku. Rupa-rupanya ada musang masuk dalam rumah dia. MasyaAllah.. bomba juga yang kena panggil.

"Hello encik polis. Rumah depan saya ni kosong tetapi malam-malam saya nampak ada lampu kelap kelip"
Ha, kita kena prihatin juga dengan keadaan sekeliling kita. Kalau keadaan yang mengesyakkan memang patut pun kita busy body sikit.

Kita hidup ni pun taklah sentiasa happy. Perasaan kita ada pasang surut. Bila sesekali kita rasa sedih dan hiba dan hendak meluahkan perasaan yang terbuku, kita luahkan pada kawan.

"Aku ni kan kiah, dah sebulan dah bla..bla...bla.."

Dengan penuh perasaan sambil mengesat-ngesat air hidung dan air mata kita meluahkan isi hati kita. Bukan apa. Kita rasa kita percaya pada kawan kita tu. Sebab dengan dialah kita pergi shopping. Dengan dialah kita keluar makan. Dengan dialah kita bergelak ketawa.

"Kau jangan cerita dengan orang tau kiah"
"Tak lah. Aku tak cerita kat oranglah. Takkan aku nak cerita pulak"

Kita hanya manusia biasa. Kita tidak nampak tanduk yang tumbuh di kepala kawan kita tu. Kita tak nampak juga giginya yang menyeringai sampai ke telinga. Hmm adatlah. Tapi tak semua kawan macam tu. Kawan sejati akan tutup rahsia kita sampai bila-bila. Sekarang ni ada lagi ke kawan sejati ni.

Awas dengan pengadu yang seorang ini.
"Bos, masa bos tak ada kan, si tijah tu dah lah datang keje lambat. Pastu belum pukul sembilan lagi dah keluar minum. Duduk kat opis ni bukannya dia buat keje. Dia main blog, bos.."

Haha.. hati-hati. Kawan-kawan juga. Jangan beri kepercayan hundred persen. Tingggalkan ruang untuk anda berasa curiga. Kalau anak-anak kecil mengadu kita boleh terima. Kalau yang dewasa ni mengadu apa motifnya. Lu pike lah sendiri.



Monday, February 2, 2009

Apabila tamu datang bertandang

Letih. Tidak selesa. Dengan batuk berkokol-kokol dan hidung mengeluarkan mucus berterusan menjadikan setiap pelosok anggota merasa sakit-sakit. Penyakit tidak pernah diundang tetapi ia tetap bertandang.

Bertamukan kesakitan buat minda kita merawang-rawang adakah kita sedang diuji ataupun sedang menerima balasan ke atas kesilapan. Kala inilah kita diperingatkan bahawa cipataanNya itu tidak ada yang kurang kerana apabila ditarik sesuatu daripada kita menjadikan kita tidak keruan.

Pertama kali aku merasa sakit yang seakan-akan memisahkan roh dari badan ialah ketika aku mengerjakan haji kali pertama. Aku masih muda ketika itu dan anak-anak masih kecil. Pada masa itu jemaah haji belum diberi suntikan meningitis kerana penyakit itu belum lagi menyerang jemaah sebelumnya. Aku sudah mula merasa tidak selesa sebelum berangkat ke padang Arafah. Segala-galanya tidak selesa hinggalah akhirnya aku ditempatkan di kemah kakitangan perubatan. Aku dimandikan dengan air batu sebab suhu badan yang terlampau panas. Suami setia di sisi dan sesekali aku mendengar kakitangan itu menyuruh suami memeriksa sama ada terdapat bintik-bintik pada badanku. Aku ketika tu hanya berserah. Berserah pada takdir yang bakal menimpa. Aku terkenangkan anak-anak yang masih kecil dan memerlukan kasih sayangku. Ketika dalam keadaan itu aku menghitung-hitung amalan yang telah aku lakukan. Cukupkah untuk menemankan aku.

Ternyata aku mengalami heat stroke bukan penyakit yang membawa maut itu. Ternyata juga Dia masih mahu melihat aku membelai dan membesarkan anak-anak.

Memang penyakit tidak pernah diundang. Tidak siapa mahu mengundang kesengsaraan. Taraf kita sekelumit pun tidak ada persamaan dengan para nabi dan pilihanNya. Kita hanya orang biasa yang tetap akan mengeluh ketika kita diuji.

Semasa aku hamilkan kakngah semasa kandungan berusia satu bulan, akan mengidap german measles. Rubella macam yang orang selalu sebut. Aku ingat ia cuma ruam biasa tetapi badan terasa amat bisa. Aku mendapatnya daripada suami dan suami mendapatnya dari kawannya semasa dia membuat kajian lapangan di USM. Setelah doktor mengesahkan bahawa ia bukan ruam tetapi rubella, aku jadi tidak keruan lagi kerana aku memang sudah tahu implikasi daripada penyakit itu. Doktor menyuruh aku menggugurkan kandungan. Aku tidak mahu. Suami juga tidak mahu. Aku teruskan kandunganku dalam debar. Setelah sembilan bulan kakngah lahir dengan anggota luaran yang lengkap. Tidak ada cacat cela. Pemeriksaan seterusnya baru mengesahkan bahawa jantung kakngah berlubang dan kakngah cacat pendengaran.

Kami pasrah. Itu dugaan buat kami. Dugaan juga buat kakngah. Apabila kakngah berada dalam sekolah rendah, dada kakngah dibelah untuk membetulkan keadaan jantungnya. Alhamdulillah selamat. Kakngah berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat dan dia belajar sehingga berjaya mendapatkan diploma.

Penyakit tidak diundang. Bila ia datang menyapa, kita terpaksa menerima kehadirannya. Aku rasa emak seorang yang tabah kerana dapat melayan sakit yang datang bertamu berbelas tahun. Mak melayan osterioperosis, parkinson, darah tinggi sehingga memerlukan emak duduk di kerusi roda selama berbelas tahun itu. Aku tidak nampak emak bersungut. Ada tidaknya emak katakan kakinya bengkak sebab duduk lama sangat. Aku nampak emak sentiasa juga tersenyum.

Setahun sebelum mak pergi mak mengalami sejenis penyakit gatal-gatal berair dan doktor mengatakan penyakit itu jarang-jarang sekali ditemui. Emak ku lihat sabar juga walaupun berkali-kali keluar masuk hospital. Dan pada saat-saat akhir hayatnya paru-paru mak pula berair. Emak tidak boleh menelan makanan dan perut emak terpaksa ditebuk. Tekak emak sentiasa dirodok dengan tiub untuk mengeluarkan kahak dan lendir. Emak kulihat masih sabar juga walaupun sesekali aku lihat ada air meleleh di bibir mata emak. Akhirnya emak pergi lantas menamatkan penderitaan yang emak tanggung berbelas tahun.

Penyakit tidak diundang. Apabila ia datang membuatkan kita rasa resah gelisah. Kita tidak dapat tidur lena jika yang sakit itu anak-anak kita. Malah kita tidak akan dapat memejamkan mata sekiranya anak tidak dapat tidur kerana ketidak-selesaannya. Anak kita itulah permata. Anak kita itulah nyawa. Simpati kita kepada mereka yang mempunyai anak yang ditamu dengan penyakit serius.

Aku batuk terkokol-kokol lagi. Hidung terus mengeluarkan cecair. Seluruh pelosok badan tetap lesu. Tapi aku bayangkan penderitaan emak, penderitaan mereka yang bertarung untuk hidup. Apalah sakitku ini kalau dibandingkan dengan sakit mereka. Tidak ada secubit pun persamaannya. Redhalah dengan tetamu ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...