Sesiapa yang belum mengenali yousof kalo, cubalah klik u tube quran recitation by him. Pasti anda juga terpesona. Terpersona terutama sekali kerana umurnya yang masih muda benar. Masih kanak-kanak. Insyaallah dia akan menjadi seorang imam besar satu masa nanti.
Sebenarnya aku tidak ada topik tertentu untuk ditulis. Yang ada dalam otak aku cuma fragment of ideas yang tidak tahu untuk aku cantumkan. Semuanya berterabur. Imbasan-imbasan semasa berada di tanah suci datang silih berganti sehinggakan tidak tahu yang mana satu untuk aku utamakan. Segala yang aku lalui masih segar di ingatan dan mendengar suara Yousof Kalo ini sudah cukup untuk membawa aku mengingati alunan suara merdu imam-imam masjidil haram seperti Maahir, Jahni dan Sudais.
Kota Mekah sentiasa dalam perubahan. Pembinaan bangunan di sekeliling masjidil haram masih belum berhenti. Malah masjidil haram sendiri masih dalam proses pembesaran. Debu dan habuk berterbangan walaupun tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Kami cuba untuk kurang menyedutnya dengan memakai mask setiap kali keluar dari hotel. Namun usaha cuma datangnya dari kita tapi ketentuannya dari yang Satu. Imah batuk-batuk dan demam beberapa hari setelah menjejakkan kaki ke tanah haram. Kirin demam sehari sebelum bertolak ke madinah. Alhamdulillah aku hanya batuk-batuk beberapa hari sebelum pulang ke tanah air.
'kawan saya cakap jangan pergi ke mekah sekarang ni sebab banyak habuk', kata seorang sahabat semasa aku masih di tanah air sebelum bertolak.
Dan aku memberitahunya bahawa mekah akan sentiasa berhabuk. Kalau nak ditunggu sehingga tidak berhabuk, sampai bila pun tak akan pergi.
Abeer garden tempat aku menginap semasa menunaikan umrah ramadhan lepas, sudah tidak ada lagi. Sudah diruntuhkan untuk diganti dengan bangunan baru. Hotel Qasar Arrayan (yang menghala ke perkuburan maala) tempat aku tinggal semasa haji 2009 juga sudah diruntuhkan. Aku melihat model masjidil haram yang bakal dibina semasa aku melawat muzium 2 haramain. Besar sungguh. Dari pintu masuk masjid menuju ke kaabah adalah teramat jauh. Jauh mata memandang dan jauh juga kaki melangkah.
Mungkin pada tahun-tahun akan datang jarak kita untuk ke masjid bukan lagi sejauh 100 meter atau 200 meter atau 300 meter. Mungkin beratus-ratus meter lagi lebihnya. Ataupun kita boleh mendapat hotel yang berhampiran tetapi dengan kadar bayaran pekej yang lebih tinggi.
Sekian.
ibundo