Followers

jom klik

TADIKA AULAD HAS BEEN MOVED TO ANOTHER LOCATION. CLICK HERE IF YOU WISH TO GO TO TADIKA AULAD
Showing posts with label aktiviti aulad. Show all posts
Showing posts with label aktiviti aulad. Show all posts

Tuesday, April 9, 2013

Rancangan Tergendala

Kita merancang.  Belum tentu apa yang dirancang itu menjadi kenyataan.
Memang sebelum ini pun sudah timbul kerisauan.  Nampaknya apa yang dirisaukan itu memang benar-benar berlaku.

Semalam petang aku dihubungi oleh pihak mpkj yang menguruskan hal-hal tempahan stadium di seksyen 15 bandar baru bangi. SPR mengarahkan supaya semua tempahan stadium dibatalkan berkuatkuasa hari ini sehinggalah selesai PRU. Sukan tahunan Aulad yang dijadualkan ahad ini 14 April dengan sendirinya tertangguh ke satu tarikh yang akan ditentukan.
Pastinya selepas pilihanraya kerana kebanyakan yang terlibat membantu sukan turut terlibat dalam pilihanraya.
Pastinya bukan dalam bulan Mei sebab dalam bulan itu aku sedang sibuk dalam urusan menerima menantu.
Insyallah kami cuba mencari satu tarikh dalam bulan Jun selepas naik dari cuti sekolah.
Yang pastinya lagi, sukan kali ini tidak dapat dilangsungkan di stadium seksyen 15 kerana tempahan semuanya sudah penuh sehingga bulan 9.
Ohh.. pening.




Kesian anak-anak yang semuanya memang sudah begitu teruja untuk bersukan.
Ada juga yang menyarankan supaya mencari tempat lain.  Susah.  Sukar untuk membuat tempahan dalam masa sebegini suntuk. Padang awam? Terpaksa buat lane larian. Waktu sekarang ni tak ada siapa yang nak disuruh buat. Padang sekolah? Pun terpaksa ditempah.
Argh... pening.

ibundo


Wednesday, July 18, 2012

Aulad Junior Masterchef

Pagi tadi Aulad Centre harum dengan bau cookies. Sebab? haha.. itu chef besar sudah buat satu cooking class dengan anak murid.


Kalau kita buat cookies apa bahan mesti ada?
Tepungggggg!!!..... bergema satu sekolah
Lagi?
Gulaaaa!!!!!!!!!
Lagi?
Telurrrrrr!!!!!!
Lagi?
Majerin!!!!!!!!
Lagi?
Senyap.  Tapi ada satu suara berkata dengan penuh konfiden.
Sadinnnnnn!!!!!!

Haha.. kita buat cookies nak oi.  Bukan buat sandwich.



Maka selepas itu berlakulah sesi timbang menimbang, pukul memukul, gaul menggaul, bentuk membentuk, bakar membakar dan akhir sekali makan...






Kami perkenalkan bahan.
Kami tekankan kebersihan sebelum memegang bahan dan adunan.
Kami juga memberitahu akan bahaya oven yang panas. (Dalam aktiviti ini guru yang melakukan tugas bakar membakar)
Kami tekankan juga sifat tolong menolong, bantu membantu. H'a.. nanti ibu-ibu yang di rumah tu kalau buat biskut raya jangan lupa ajak anak-anak membuatnya juga.  Mereka seronok.



Mereka seronok membuatnya walaupun rupa cookies tak adalah secantik mana.


Kejap-kejap ada yang menjengah ditangga dapur;
Ummu.. belum siap ke.  Saya dah tak sabar nak makan ni.
Boleh bawa balik tak? Saya nak bagi emak, ayah, adik, abang dan saya. Saya nak lima.

Yang habis dimakan lebih daripada separuh.  Dapatlah bawa balik dua biji seorang.

Laa... dua biji je cikgu? ,kata suara yang tak puas hati.

Haha.. nantilah kita buat cupcake pula ya...

Sekian.

ibundo.

Wednesday, November 9, 2011

Hepi hepi together

Rasa macam dah lama tak masuk sini. Bukan rasa lagi.  Memang dah lama. Pertama sebab mood menulis makin pudar.  Kedua sebab sibuk berjimba di dapur. Ketiga sebab agak sibuk dengan anak teruna aku yang akan bertukar status menjadi tunangan orang. Ish.. baru lagi rasanya aku main kejar-kejar dengan dia keliling rumah. 11.11.11, begitulah tarikh yang dipilihnya. Sebelum sebelum ini anak aku yang dipinang orang.  Sekarang aku nak meminang anak orang pula.

Dalam pada sibuk sibuk, sempat juga aku membawa anak-anak aulad outing ke mcD.  Acaranya simpel: makan-makan dan happy happy together.  Kenapa pergi mcD dan bukan tempat makan yang lain. Orang lain sibuk boikot mcD, aku pula bawa anak-anak ni pergi makan di situ. Jawapannya juga simpel: Nak jaga anak-anak dua tiga orang, mak bapa macam tak cukup tangan.  Apa lagi nak jaga anak-anak yang berpuluh orang.  Di mcD outlet bangi di warta ada disediakan tempat khas untuk mereka yang membuat tempahan banyak. Tempatnya di bahagian atas. Orang lain tak kacau. Jadi, tempat tu memang 'ana yang punya'. Kami buat hiruk pikuk di situ, tak ada orang yang komplen. Anak-anak pun senang nak dikawal.

Tempat lain? belum pasti kami boleh kontrol mereka ni. Dan alhamdulillah, parents paham.  Anak-anak pun enjoy sakan, termasuklah dengan cikgu-cikgu sekali.

Harini satu trip.
Besok satu trip lagi.



 Jenama Aulad vs Mc D.



Tengok je lah muka ceria masing-masing.  Bukan tak pernah mereka ni pergi mcD dengan ibu dan ayah masing-masing. Pernah.  Selalu.  Tapi pergi ramai-ramai dengan kawan dan naik bas pula, membawa satu perasaan yang berbeza.

Layan je gambar di bawah ni. Kalau ada parents yang mahukan gambar ni, bagitahu ummu ye!!









Kenangan bersama cikgu.





 Gambar di bawah khas untuk mama Tariq.


Sekian. 

ibundo

Sunday, July 3, 2011

Taman burung kuala lumpur

Malamnya mesti aku susah nak tidur. Keesokannya pula, pagi-pagi lagi aku dah terbangun.  Tak payah emak berleter suruh mandi, aku dengan sendirinya masuk ke bilik air. Dan pagi itu emosi aku mestilah berada di tahap tinggi paling maksima.

Begitulah selalunya bila abah memberitahu yang esok pagi kita akan ke kuala lumpur.

Semalam tadika mengadakan trip ke taman burung. Kanak-kanak yang teruja untuk pergi lawatan bersama kawan-kawan mereka agak ramai juga.  Saja seronok-seronok naik bas dan seronok-seronok jenjalan dengan kawan-kawan. Tapi ada juga di antara murid yang tidak ikut serta kerana sudah pernah pergi dan tidak mahu pergi kerana tidak berkenan dengan harga pekej.

Aku memberi masa yang agak panjang untuk mereka berfikir sama ada mahu anak mereka pergi atau tidak. Sekiranya nama diberi selepas hari khamis, aku tidak boleh melayannya lagi kerana terpaksa menguruskan jumlah kanak-kanak dan juga dewasa kepada pihak taman burung selewat-lewatnya pagi jumaat. Juga mahu menguruskan jumlah bas untuk membawa anak-anak ini.

kakpah, ni ada parent ni nak masukkan nama anak dia.  Dia kata anak dia melolong nak ikut trip.
Cikgu aku telefon pada petang jumaat.

kakpah, ada sorang lagi nak masuk.  Menangis-nangis nak ikut.
Cikgu aku telefon pada petang jumaat.

Ummu, ada sorang lagi ni. Meraung nak ikut.
Cikgu aku telefon pada petang jumaat.

kakpah, ada mak murid sorang nak pegi.
Cikgu aku telefon pada pagi sabtu, hari lawatan.

Aku dah tahu dah.  Anak-anak ini kalau jenis yang tak kesah, dia takkan kesah kalau ibu bapa mereka tak benarkan mereka pergi.  Tapi kalau anak-anak jenis yang kesah sebab nak merasa keseronokan, mereka akan merengek ibu bapa mereka sehingga ibu bapa mereka itu dah tak tahan lagi mendengar rengekan mereka.

Sudahnya, kami ke taman burung dengan 4 buah  bas.


Dah nama pun taman burung.  Di sini cuma ada burung dan orang.















Outing untuk keluarga ini juga.

Dua orang budak yang masa kecilnya dulu tak puas naik buai.


Makanan dibawa ke amphiteater sebab kumpulan kami tak muat untuk diletakkan di restoren.

Selesai makan kami bersiap-siap naik bas untuk pulang. Aktiviti untuk hari semalam adalah tersangat meletihkan terutama untuk kaki tua aku. 

Sekian

ibundo

Thursday, March 10, 2011

Jangan Suka Bermain Api

Siapa dah besar nanti nak jadi ahli sains!!!

Semua angkat tangan.

Siapa dah besar nanti nak jadi polis!!!

Semua angkat tangan.

Siapa dah besar nanti nak jadi askar!!!

Semua angkat tangan.

Siapa dah besar nanti nak jadi cikgu!!!

Semua angkat tangan.

Siapa dah besar nanti nak jadi ahli bomba!!!

Semua angkat tangan.


Aku tak pasti budak-budak ni sebenarnya paham ke tidak apa yang ditanya.
Teringat pula masa sekolah dulu.  Bila ditanya tentang cita-cita, dengan spontannya aku akan jawab;
I want to be a doctor. 
(Apa??? habuk pun tara?)






Apa-apa pun, mereka hari ini sungguh gembira kerana dapat tengok api menjulang.


Dapat main air..



dan dapat naik kereta bomba



Kami ke Balai Bomba Bandar Bangi pagi tadi.  Budak-budak kata;
Seronokkkkkkkk!!!!!


kakpah

Friday, November 12, 2010

Pereka kasut

Salam jumaat.

Setelah dua entri yang panas dan yang tidak memberangsangkan minda langsung, maka hari ini kita buat aktiviti bersama anak-anak. Cuti sekolah dah tak lama lagi. Eloklah anak-anak di sibukkan dengan aktiviti berfaedah sementara ibu-ibu sibuk berfb dan berbloging (hiii..)

Kali ini kita cuba membuat selipar jepun keluaran tempatan. Mana tahu ia menjadi sumber inspirasi untuk anak-anak menjadi pereka terkenal seperti jimmy choo.

Mula-mula, cari manila kad (kenapa manila? mungkin asalnya dari kampung cklah?) yang agak tebal. Nipis pun tak apalah. Kemudian buat bentuk asas seperti tapak selipar. Pandai-pandailah.


Nampak tak garisan yang dibuat di atas tapak itu. Buat seperti itu dan kemudian ambil cutter dan buat lubang mengikut tanda yang dibuat.

Ambil kertas warna mengikut kesukaan. Gunting kertas itu untuk mendapatkan ini. Buat sepasang. Kertas itu dua panjang dan dua pendek. Yang pendek untuk dilekatkan pada sebelah yang nak dimasukkan ibu jari. (Sila abaikan guntingan yang agak senget)



Masukkan ke dalam lubang yang telah dibuat tadi. Setelah siap, dapatlah sepasang selipar seperti ini.


Bila sudah tahu asas, bolehlah mereka pelbagai bentuk.


Selamat berhujung minggu. Aku nak balik melaka makan nasi minyak

Sunday, February 7, 2010

AKTIVITI HUJUNG MINGGU BERSAMA ANAK

Boring? Tak tahu apa nak buat hujung-hujung minggu ni? Dan anak-anak pula cukuplah ligat berlari ke sana ke mari.

Hah, jom buat aktiviti bersama ummu.

Ada penyepit baju tak. Kalau tak ada, tak apa. Kertas manila pun boleh. Kertas manila pun tak ada? La, ambil je lah apa-apa kertas yang agak keras. Kotak pun boleh. Janji kertas tu tak berterbangan bila ditiup angin kipas.

Okay, potong kertas keras tu menjadi square agak-agak lebar 2 inci. Potong sepuluh keping. Kalau malas nak potong kertas, ambil je lah penyepit baju kat penyidai tu. Tulis di atasnya no 1 sampai 10. Siap?

Okay, cari pula benda yang boleh dibuat sebagai pembilang. Butang ke, batu ke, gula-gula ke, kacang ke, guli ke, apa-apalah....
Masukkan benda-benda ni dalam bekas. Kalau tak sayang correlle, bagilah mangkuk correlle tu.

Bila semua bahan dah cukup, buatlah aktiviti ni. Aktiviti ni untuk anak yang dah kenal angka 1 sampai 10. Bagi anak-anak yang belum kenal, ibu kenalah bagi kenal dulu. Boleh juga kalau ibu tulis di atas kertas lain angka 1 - 10 ini mengikut urutan.

Bagi anak yang sudah mengenal angka, suruh dia susun angka-angka mengikut urutan menaik atau menurun. Bagi yang belum mengenal, suruh anak menyusun angka-angka mengikut contoh yang ditulis ibu.

Lepas tu, suruh anak meletak jumlah objek yang bersesuaian dengan nombor. Contoh, tengoklah gambar di bawah. Maaplah gambar tak terang. Guna kamera cikai je.







Selamat beraktiviti.

kakpah

Friday, August 14, 2009

COLORING CONTEST

Beberapa minggu lepas seorang adik dari UKM menghubungi aku berkenaan peraduan mewarna antara tadika sempena pesta konvo. Aku memberi kata setuju tetapi menghadkan peserta seramai 30 orang sahaja kerana hati sebenarnya penuh kerisauan dengan H1N1. Aku memilih anak-anak dari Center sahaja. Senang nak urus.

Zarwati memilih beberapa murid dan menghubungi ibu bapa meminta persetujuan. Kami nyatakan syarat yang anak-anak mesti dipakaikan mask. Tak boleh tidak.

Semalam, Khamis 13 Ogos bas dari UKM datang menjemput kami tepat jam 8.15 pagi. Anak-anak memang sangat teruja. Maklumlah, kanak-kanak. Mereka tidak berapa tahu yang dunia sekarang sedang resah dengan serangan wabak yang tidak tahu dimana penghujungnya. Di dalam bas mereka bising bertanya 'jauh ke ummu', 'bila nak sampai ummu', 'kenapa kita pakai tutup hidung'. Macam-macam.


Dipendekkan cerita, peraduan bermula jam 10.30 pagi. Anak-anak sudah mula resah sebab lama menunggu. Untuk menhilangkan boring, penganjur memberi belon dan membuat sedikit game.







Peraduan ini ditaja oleh A&W. Kertas lukisan untuk diwarnakan juga disediakan oleh mereka. Foto di bawah, anak-anak sudah bersiap sedia untuk mewarnakan lukisan. Ada beberapa ibu bapa yang datang memberi sokongan kepada anak-anak mereka.


Selesai melukis, anak-anak dijamu dengan makanan yang disediakan oleh pihak penaja, A&W.
'Kata ada badut, ummu'

Aku nak cakap apa. Dia orang janji ada badut A&W. Tapi sampai sudah makan, hidung badut pun tak nampak. ( Tahun lalu A&W bagi burger. Tahun ni bagi nugget je?)



Keputusan peraduan:

Ada tiga hadiah utama, nombor satu, dua, tiga. Ada lapan hadiah saguhati.
Anak-anak Aulad mendapat empat hadiah saguhati dan dua hadiah utama.




Aisyah mendapat tempat kedua.

Anis mendapat tempat pertama.

Alhamdulillah. Perhatikan: anak-anak ini dah tak ada mask lagi. Haih... masing-masing mengeluh panas dan rimas. Macamana tak panas, aktiviti dibuat di dataran gemilang. Duduk di bawah kemah yang tak ada kipas. Cuma harapkan angin yang bertiup. Malangnya angin tak bertiup langsung.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...