Followers

jom klik

TADIKA AULAD HAS BEEN MOVED TO ANOTHER LOCATION. CLICK HERE IF YOU WISH TO GO TO TADIKA AULAD
Showing posts with label aku. Show all posts
Showing posts with label aku. Show all posts

Friday, July 5, 2013

Habit

Setiap orang mesti ada habit. Habit baik, habit buruk.
Kalau dah ada habit tu, selalulah benda tu dibuat berulang-ulang.
Kalau habit baik takpe jugak tapi kalau habit buruk?
Ada orang suka belanja orang.  Asal ada duit lebih je belanja orang.
Asal belanja orang je maknanya ada duit lebih lah tu.
Takpe.  Kita pun suka kan kalau kena belanja.
Yang payahnya habit buruk ni.
Macam:
Korek hidung tak selindung-selindung dan taiknya diselet kat mana-mana jari dia boleh landing.
atau kentut merata-rata tak kesah dalam majlis atau luar majlis
atau buang sampah macam satu alam ni tong sampah dia
atau letup-letup jari orang yang tengok pun annoyed
atau... ah macam-macam lah.
Anak aku dulu ada sorang yang suka kembang-kembangkan hidung.
Tengah baca buku kembangkan hidung
Tengah bercakap kembangkan hidung
Tengah makan pun kembangkan hidung
Almost setiap waktu la.
Aku cakap, awak ni kembang-kembangkan hidung ni nanti lubang hidung tu tambah besar. Hidung tambah kembang macam buah jambu. Nanti dah besar tak ada orang yang nakkan awak sebab hidung tu dah tutup satu muka.
Aku pun tak perasan bila dia berhentikan habit tu.
Sedihnya banyak habit buruk ni susah nak diberhentikan. Macam dah jadi darah daging.
Perasaan tak ada orang kejap-kejap kejip mata.
Ada juga yang angkat-angkat bahu.
Ada juga yang suka terkehelkan tengkuk.
Susah nak berhenti tu

Aku pun ada habit buruk jugak tapi taknaklah beritahu.
Mungkin ada lebih dari satu.
Tapi ada satu habit aku ni yang membawa padah dan lepas tu aku tobat tak buat lagi.
Aku ni kalau pergi joging aku akan bawak beg.  Beg buruk je lah.  Dalam beg tu aku letak wallet, cermin mata, henfon dan kadang-kadang tab.
Aku bawak wallet sebab nak singgah pasar ataupun pasar tani lepas joging.
Aku bawak cermin mata sebab nak baca sms.
Aku bawak tab sebab nak buka fb. Selalunya lepas joging hasben aku ajak minum-minum di kedai kampuchea.  Sementara menunggu makanan sampai, bolehlah berfb kejap.
Satu hari sebulan lepas kita orang pergi joging di tasek cempaka bawa myvi imah.
Memang dah jadi habit aku, letak beg bawah tempat duduk.
Aku cuma ambil henfon.  Tab tinggal kat rumah tengah caj sebab habis bateri.

Balik dari joging, cermin kereta sebelah seat belakang pecah.
Beg aku kena ambil.  Dalam beg ada wallet yang berisi lima nam ratus, kad-kad, ic dll. Ada cermin mata.
Masa tu juga aku call bank bank minta stopkan kad kredit dan kad atm.
Uish... dua tiga hari jugalah aku bekejar sana sini untuk uruskan benda-benda yang hilang.
See..
habit buruk tu.  Tinggalkan beg bawah seat kereta.
Dan memanglah lepas tu aku tobat tak buat lagi.

Anda ada habit buruk? Habit baik?

ibundo@kakpah

Tuesday, July 2, 2013

Bukit Broga

Beberapa sabtu yang lepas, aku ke Broga.
Anak-anak aku, anak menantu, beriya-iya ajak aku naik bukit Broga.
Mula-mula aku taknak. Takut tak tedaya naik bukit.  Naik tangga tinggi sikit saja dah termengah-mengah. Ini kan pula nak mendaki bukit yang aku pasti tak bertangga.
Tapi lama-lama aku termakan juga akan pujuk rayu mereka.
Maka pagi-pagi lagi kami dah bersiap.  Siap dengan torchlight kerana nak meredah semak dipagi buta itu.

Kami singgah di Petronas untuk solat subuh. Tau-tau sajalah surau petronas.  Kecik muat untuk tiga empat orang sekali solat. Berpusu-pusulah di surau sebab masing-masing menunggu giliran. Dan masing-masing aku rasa menuju ke tempat yang sama.

Tiba di lokasi, hari masih gelap.  Kereta masuk ke tempat parking di dalam kebun kelapa sawit itu tanpa henti. Ternyata tempat itu menjadi tumpuan ramai pada hujung minggu. Ia boleh menjadi tempat tarikan pelancong kalau dipromosikan bersungguh-sungguh.

Cadangan pada mulanya untuk menikmati pemandangan matahari terbit dari atas bukit tidak menjadi kenyataan. Kami lihat matahari terbit dari celah-celah daun kelapa sawit saja, gara-gara menunggu imah yang lambat sampai. Apa-apa pun ia lebih menyenangkan aku.  Aku nampak jelas di mana aku nak pijak dan menukis.

Mendaki bukit bukan kerja yang mudah buat aku. Beberapa kali aku berhenti menarik napas dan meredakan penat. Kesian anak-anak aku yang terpaksa melayan kepenatan aku dan menjaga takut aku tergolek-golek ke belakang. Aku rasa bukan setakat kaki aku saja yang bekerja kuat pada ketika itu.  Jantung aku pun. Tapi all in all, it was a good exercise.

2 orang staff aku turut sama memeriahkan majlis..


Aku mendaki tak sampai ke puncak pun. Tak larat den hai. Sampai bukit pertama aku berenti dan duduk di situ menunggu dua tiga orang lagi yang naik keatas.
Ramai.  Memang ramai orang.  Foreigner pun ada. Mereka yang suka aktiviti lasak memang gemar datang ke tempat-tempat macam ni.
Aku berpikiran: Kalau bukak gerai nasi lemak mesti laku.
Kebanyak orang yang datang pasti belum breakfast.  Bila turun semula ke bawah, hari dan meninggi.  Perut dah berkeroncong.  Memang elok benar-benarlah makan nasi lemak bagi menampung tenaga yang dah hilang hehe.

Proses turun lagi mencabar daripada mendaki.  Aku terpaksa gunakan segala otot yang ada pada kaki. Tapak kaki kena mencengkam (dah tabiat walau pun dalam kasut), lutut kena bekerja lebih, betis menahan. Hadei.. mulut aku aseklah berkata tobat.. tobat.. takde le aku nak buat keje ni lagi.
Bila aku berhenti sekejap melepas lelah, aku membelek-belek tapak kasut aku. La.. dah haus rupanya.  Patutlah aku rasa macam meluncur aje bila aku pijak tempat yang tak bertakuk.

Sampai bawah,  orang dah berduyun-duyun pulang tapi masih ada juga yang baru nak naik.
Kami singgah di Semenyih makan nasi lemak.
Dan seminggu aku merana sakit-sakit badan.
Anyway, I'm proud at this age I'm still fit to climb up a hill.
Yes!!!

Nak pegi manjat bukit broga lagi mak!
Banyak kojo lain nak buek. Takdo nak asek manjek bukit yo (hikhik)

kakpah@ibundo

Sunday, December 9, 2012

Kamu sehat?

Sehat ke kak.
Sehat, alhamdulillah.

Dari luaran memang nampak sehat. Cergas sama seperti biasa.
Masih mampu menghambat kucing yang berjengket-jengket menguis apa yang ada dalam bakul sampah.
Masih mampu mengemop lantai atas bawah dalam dan luar.
Masih mampu turun naik tangga kerana mengambil sesuatu di atas atau berkejar ke bawah melihat siapa yang tidak berhenti-henti menekan loceng pagar.
Masih mampu membawa unser yang umurnya sebaya dengan perkahwinan kaklong ke hulu ke hilir.
Juga masih mampu main masak-masak di dapur sambil bersilat berkungfu.

Luarannya begitulah.
Cuma aku saja yang tahu:
Aktiviti fizikal itu mebuatkan

jantung aku bedegup laju dan ada kalanya berentak tidak normal dap dup dap dup dap dap dap.... dup
ankle aku ada masanya sakit ketika kaki memijak bumi
tulang di lutut aku macam bergeser ketika turun naik tangga sambil bernafas termengah-mengah
badan terasa lemah tidak bermaya

Satu malam, terkejut dari tidur dan selepas melepaskan hajat di bilik air aku terasa macam dunia aku berpinau. Aku cuba berbaring tapi ia tidak pergi. Aku tahu kalau aku berkeadaan begitu aku tidak boleh duduk diam memikirkan tentangnya.  Lagi aku akan panik, lagi aku akan terasa semacam disedut ke alam lain. Aku menyebokkan diri aku di kala orang lain diulit mimpi dengan turun ke bawah  naik semula ke atas tanpa tujuan sebenar. Aku berwudhu dan bersolat. Aku habiskan masa yang agak panjang untuk beristighfar, berzikir padaNya supaya umur aku dipinjamkan lagi. Alhamdulillah..

Satu malam yang lain, juga terkejut dari tidur dan selepas melepaskan hajat, aku terduduk di atas katil melayan dada aku yang terasa panas. Aku tarik nafas dalam-dalam dan cuba untuk tidak memikirkan yang bukan-bukan.

Sehat ke kak?
Sehat, alhamdulillah.
Aku bandingkan diri aku dengan diri dia yang baru saja dalam sebulan menjalani pembedahan membuang fallopian tube.
Aku bandingkan diri aku dengan diri dia yang sudah 6 tahun mengidap penyakit kencing manis tegar.

Aku?
Di samping darah tinggi yang terkawal ini, aku rasa sudah sampai masanya untuk aku membuat thorough medical check up lagi.

Sekian.
ibundo

Monday, November 26, 2012

One of the many chapters in my life

Terasa macam terkejar-kejar bila maid tak ada.
Kalau dulu bila weekend sempat pergi joging di taman tasik cempaka tapi sekarang hari-hari aku joging di dalam rumah sampai badan kadang-kadang rasa macam terapung-apung tak jejak bumi. Begitulah kalau dah terlalu manja bila kebanyakan pekerjaan rumah ada orang yang bantu.  Mungkin tidak kurang juga orang yang 'memadankan' muka aku. Memang padan muka aku. Dan orang yang 'itu' memang menanti masa saja untuk mengetawakan aku. Ah.. ada aku kesah?

Rutin orang di dalam rumah aku juga terpaksa selari dengan  ketiadaan maid.
Tolong mak masak.
Tolong basuh pinggan mangkuk.
Tolong lap pingan mangkuk dan susun dalam almari.
Tolong basuh kain sidai kain.
Tolong nyapu.
Tolong buang sampah.
Tolong basuh bilik air.
Kain baju masing-masing lipat, gosok sendiri.
Bilik kemas sendiri.
Bla..bla..bla...
Kalau tengok dari mata kasar memang kami boleh hidup sendiri.
Kalau tengok dari mata halus, badan tua aku rasanya susah nak terima. Penat sangat rasanya. Apatah lagi aku terpaksa berlari ke sana ke sini menguruskan tadika dan juga melawat hafiy yang masih di hospital.

Bercakap pasal tadika, tengahari tadi ada seseorang menelefon aku nak datang berjumpa pasal pendaftaran.
Dalam kelamkabut dia bercakap dan dalam kelamkabut aku bersiap-siap nak balik, aku dengar macam dia cakap:
kakpah.. saya ani orang gemuk nak datang jumpa jap.

Kejap lepas tu aku dengar orang bagi salam. Aku tengok dia tak gemuk pun. Nama kat nametag dia pun bukan ani.

Lepas layan kejap (macam dia pun cepat nak balik je), sempat aku tanya mana dia dapat nombor telefon aku.

kak ash yang bagi.

Puaslah jugak aku nak mikirkan siapa si ash ni.
Lepas dia balik, aku terbayang-bayang dalam kepala yang aku ni macam kenal je akan dia ni.
Ash yang dia maksudkan mesti si budak ashley dekat perdana tu. (macamana boleh aku tak ingat?)
Ani orang gemuk yang aku dengar dia cakap tu mesti dimaksudkannya kucing oren gemuk...haha..
Betulkan KOG!! Tadi tu kau kan?

p/s
Memang kecik kecik dulu aku suka hisap-hisap kepala ikan dan sedut-sedut manisnya kepala udang.
Err.. baru sekarang kesannya?

ibundo


Tuesday, March 1, 2011

Cerita boring jangan baca

Hajat besar.  Cita-cita tinggi.  Tapi terlupa untuk mengukur dengan kemampuan diri sendiri. Sudahnya aku keletihan dalam bilik 18 degreesC yang bukan sahaja menyebabkan aku kejap kejap terlari ke kamar kecil malah menahan punggung daripada berkematu kerana duduk dari pagi hingga ke petang. Mata berpinau memandang screen berjam-jam dan merangkak ke petang otak juga sudah jam tahap kritikal.

Aku mohon pulang sebelum selesai dan tidak berkesempatan bergambar-gambar. Dan dalam cuaca yang memberi amaran hujan akan turun, aku meredah keluar dari situ dan terus menyusur ke highway.  Disambut pula dengan arus kenderaan yang tersekat-sekat.

Jangan tanya aku ambil kursus apa. Aku tengah gila berkursus. Tapi mengenangkan daya tahan fizikal dan mental aku yang kian berkurangan aku sudah  mula berpikir sepuluh kali sebelum aku meneruskan niat aku untuk mendalami 'special needs children'.  Rasa macam aku tak mampu.

Sampai di rumah, terkejar-kejar pula bersiap untuk wedding anak kawan aku di taman Tun.  Selesai maghrib di rumah, kami bertolak dan setelah sesat barat kami sampai juga di majlis. Tetamu baru selesai makan dan kami menyambung.  Keletihan aku terubat juga bila dapat bertemu beberapa orang kawan sekolah.

Begitulah sabtu aku.
Dan ahadnya aku melayan sengal penat seluruh badan.
Semalam, isnin, aku bertambah sengal bila tanaman murid aku banyak kena baham oleh arnab jiran. Ada yang gondol terus.



Nanti tak pasal-pasal pula aku buat rendang arnab dan bagi jiran aku makan. Tentu bawang putih mengangguk-angguk bersetuju.

Monday, August 3, 2009

Penyakit Orang Tua

Tadi usai solat subuh aku lihat abah memegang lututnya sambil terkial-kial bangun.

'kenapa bah'

'sakit plak lutut abah ni ha bilo nak bangun"


Sakit lutut sering dikaitkan dengan penyakit orang tua. Badan sudah dipakai lama dan minyak pelincir sudah habis tempoh. Banyak kali aku melihat perempuan berbadan besar yang terpaksa meletakkan tapak tangan di atas sejadah, menonggekkan punggung dan perlahan-lahan menaikkan badan sambil tangan mencari-cari badan saudara mara di sebelah untuk dijadikan pautan. Pemandangan seperti itu meruntun rasa simpati.


Semalam aku menghadiri majlis qeqah anak cucu jiran sebelah. Perempuan yang hadir kebanyakannya makcik-makcik bloggers (sila abaikan) seperti aku. Duduk bersimpuh di atas karpet empuk belum menjanjikan duduk yang selesa. Sambil membaca yasin dan tahlil, aku jeling-jeling yang lain-lain juga sama seperti aku. Kejap-kejap bersimpuh ke kiri. Kejap-kejap bersimpuh ke kanan. Kejap-kejap bersila. Ada yang aku nampak dah berlunjur terus.

Janganlah aku kena sakit lutut ni. Susah aku nak naik tangga.

Monday, July 13, 2009

Satu Lagi Nikmat Sudah Kena Tarik

Bila banyak sangat perkara yang nak diingat, aku selalu terlupa untuk mengingat kesemuanya. Jadi aku memilih untuk menulis perkara yang hendak aku lakukan pada hari itu di atas nota.
. BIMB
. TNB - bayar bills
. CPS
. Chiplee - beli marker
- scissors
- glue
- color papers
- receipt books
. Singgah fasa 4 beli makanan kucing, ikan, rabbit
. Cuci gambar faris



Sebelum aku keluar rumah aku sudah tulis kesemuanya. Oleh kerana destinasi pertama pergi bank, aku terus menuju ke bank islam. Untuk yang seterusnya aku kena refer nota yang aku tulis. Aku buka henbeg, kelebek sana, kelebek sini, kelebek sana lagi, kelebek sini lagi.....

"Cukuplah pandai engkau tipah oi..." aku memarahi diri sendiri. Nota itu tertinggal di atas meja dalam bilik. Terlupa nak ambil semasa aku keluar rumah.



Wednesday, April 1, 2009

Perempuan Yang Bengang

salam.

"Prrraaangggggggggggggg.........."
Bergegar isi bumi. Gelap. Seisi keluarga masih dipertengahan solat maghrib.

"On kan balik main switch" ayah memberi arahan selesai solat. Adik terlompat-lompat menaikkan balik switch yang dah turun. Kuat sungguh petir petang itu.

Seperti biasa sebelum melabuhkan tirai malam, aku ke laptop.

"Eh, apasal tak boleh dapat line ni"

"Tak dapat line? Cuba tengok wire tu connect betul ke tak?" suami.

Aku menggodek-godek wayar. Cuba lagi. tak dapat jugak. Cuba lagi sebab tak mahu cepat mengalah. Tapi tak dapat jugak.

"Lampu modem ni tak menyala satu la. Alamak, rosak la ni kena petir tadi" Aku merungut-rungut.

Begitulah ceritanya kenapa aku lama tak update. Semalam suami beli modem tapi tak boleh sambung juga sebab aku buta IT. Suami aku pun. Kami ingat, beli, pasang, terus dapat line.

"Mak, apasal lama tak update blog." Kirin sms petang semalam.

"Rosak kena petir. Ayah dah beli yang baru tapi tak boleh dapat jugak"

"La, mak kena pegi kat web prolink register dulu."

"Mana mak tau"

"Mak ambik nombor dia kat instructions dalam kotak dia tu, pas tu mak enter la"

Dah aku memang tak reti apa-apa. Aku tahu menekan huruf-huruf kat keyboard je. Lepas tu pulak keyboard aku pun dah rosak sebab asek kena tekan je. Kena pakai keyboard lain. Ishh.. leceh betullah. Pergi kedai order keyboard baru. Bila dah sampai dan gantikan keyboard yang rosak ni, masih tak boleh detect juga. Budak tu kata bukan masalah keyboard. Masalah plate dia pulak. Nak betulkan dia kata kena 700 ringgit. Mahalnya. Aku dahlah bengang modem rosak kena petir.

"Mak dah dapat masuk web dia ke belum"

"Dah, tapi nakkan id dan password"

"Mak masukkan id ni. Eh, tapi password lupa lah. Mak cuba-cuba je lah password yang ni..."

Dah la aku bengang. Si Kirin ni buat aku bengang lagi. Cuba tak dapat. Cuba lagi tak dapat jugak. Lama-lama aku giveup.

"Awak balik la besok tolong mak buat ni"

"Kirin besok ada kelas"

Hmmmmmmmmmmm.........

Begitulah ceritanya kenapa aku tak update.

"Aku pakai celcom broadband. Senang." Cakap kawan aku bila aku merungut pasal aku tak boleh main tenet.

"Engkau senanglah cakap macam tu. Engkau je yang pakai. Aku ni satu rumah pakai internet. Kena pakai modem dan router sekali harung"



Itupun tak cukup lagi satu port he..he..

Begitulah ceritanya kenapa aku tak update.

Nasib baik Basyir masih tak lupa password. Petang tadi dia dah connectkan line. Dan pada kesempatan ini, aku pun mengetuk jari-jariku semula.

Salam.

Friday, March 27, 2009

Apakah yang ganjil itu tidak normal?

Sebaik kak Nik melepasi pintu besar itu, keadaan sudah lain. Sudah tak seperti biasa. Kak Nik jadi terpinga-pinga dan debaran di dadanya menjadi kencang.


KakNik mengundur ke belakang dan berpusing semula ke arah pintu masuk tadi. Kak Nik mesti keluar. Kak Nik sudah dapat merasakan sesuatu yag tidak kena. Sesuatu yang di luar ruang kenormalan. Tetapi apabila berpaling, pintu tadi sudah lenyap. Sudah tidak ada lagi. Dan kak Nik menggigil di situ. Terbayang dia akan tinggal di alam itu menghabiskan sisa-sisa hidup.


Mereka yang berada di situ semuanya berpakaian putih seperti jubah. Tidak ada yang mundar mandir. Kesemuanya berjalan ke satu arah. Sama seperti orang sedang tawaf. Kak Nik tidak mahu menyerah begitu saja. Dia bertekad akan mencari jalan keluar juga. Teringat dia akan suaminya yang sedang menunggu. Teringat juga kepada anak-anak yang masih memerlukan kasih sayang seorang ibu.




Kami sudah berkumpul di dalam bas, masih menunggu beberapa orang yang belum kembali. Aku lihat Encik Mat suami kak Nik mendaki mata tangga bas sambil matanya melilau ke perut bas mencari-cari.
"Kak Nik belum balik?" Aku dengar dia bertanya.
"Belum" ada yang menjawab.
"Tak sama ke tadi?" orang lain pula bertanya.
"Tadi sama. Lepas tu berpisah semasa nak masuk" jawab encik Mat.

Encik Mat bergegas turun. Mungkin mahu mencari kak Nik. Air mukanya menunjukkan sedikit rasa cemas.




Kak Nik memutuskan untuk mengikut arus ratusan manusia itu. Tiada ada sesiapa pun yang menghiraukannya. Mereka seolah-olah hilang dalam dunia mereka dan mulut mereka sentiasa berkumat kamit menyebut zikrullah.


KakNik berjalan sambil hati tidak berhenti-henti berdoa memohon kasih Allah supaya di keluarkan dari tempat itu. Dunia itu bukan miliknya. Kalau mahu matipun, biarlah di depan suami dan anak-anak. Begitulah fikir kakNik.


Kak Nik tersentak bila ada orang menyapanya dan orang itu pula berjalan menentang arus. Orang itu seorang lelaki berpakaian biasa. Sama seperti yang dipakai oleh orang lelaki melayu.
"Ikut saya. Saya tunjukkan jalan" Itu saja kata lelaki tersebut.


KakNik mengekorinya sehinggalah dia melihat pintu keluar. KakNik meluru ke arah pintu dan terus keluar dari alam yang asing itu. Di luar sudah ada suaminya menunggu. KakNik Berkejar ke arah suami dan termengah-mengah bercerita tentang kejadian sebentar tadi. Suami kakNik memeluknya disertai air mata yang telah mula bergenang.


"Awak dah buat ziarah wida' ke belum" tanya suami kakNik.
"Belum"
"Pergi buat dulu. Saya tunggu"


KakNik teragak-agak mahu melangkahkan kakinya masuk ke masjid Nabawi. Dia menjengukkan kepalanya melalui pintu besar. Memerhatikan ke dalam. Semua sudah kembali normal. KakNik memandang suaminya dan suami menganggukkan kepala. KakNik masuk semula menyelesaikan tugas yang belum selesai.



Peristiwa ini benar-benar terjadi semasa aku mengerjakan haji pada tahun 1987. Banyak lagi peristiwa ganjil yang aku alami semasa berada di kota Mekah dan Madinah. Kalau ada masa aku akan cerita.

Sekian.

Wednesday, March 25, 2009

BUNGA ATAU SAYUR

"Tak ado guno e kau tanam bungo tu. Lobeh baik ekau tanam sayo. Buleh yo kau makan"
(Tak ada gunanya kau tanam bunga tu. Lebih baik kau tanam sayur. Boleh juga kau makan)

Nenek pernah cakap seperti itu masa aku kecil. Masa tu aku tengah mencangkung melihat nenek mengembur-gemburkan tanah untuk menanam anak terung. Sayur memang jarang dibeli. Nak makan pucuk ubi, petik saja daunnya di belakang rumah. Nak makan terung, nenek memang ada tanam. Tangan nenek sejuk. Sayur yang ditanam nenek semua menjadi. Kacang panjang sekali petik saja dapat secekak. Secekak orang tua. Kadang-kadang makan tak habis. Nenek bagi pada wancik Yah atau ongah Jorah.

Bila teragak makan pucuk paku, nenek petik saja di tepi-tepi sungai atau di sawah. Pucuk paku tak payah ditanam. Nanti nenek masak pucuk paku campur udang masak lemak cili api. Kuahnya pekat dan pedas. Kalau tak ada udang, nenek masak dengan ikan bilis saja. Memang sedap.


Satu hari beberapa tahun lepas, aku balik ke kampung bawa pucuk paku yang aku beli di pasar tani kuala pilah. Sekarang ni mana ada lagi pucuk paku di kampung. Sawah dah kering dan sungai juga dah jadi hutan. Bibik emak aku heran bila aku bawa pucuk paku.
"Nak buat apa ni buk"

"Masak la."

"Masak? Boleh dimakan? Di kampung saya daun ni buat makanan kambing ni" Kata bibik dengan loghat jawanya yang tebal.


Emak tak berapa suka tanam sayur. Ada tidaknya mak tanam serai dan cili api saja. Pokok ubi memang tak payah ditanam. Dia tumbuh sendiri. Tumbuh meliar di tepi-tepi pagar.

Aku? Memang ada betulnya kata nenek. Kalau tanam bunga dapat hasil melawa saja. Kalau tanam sayur, hasilnya boleh dimakan. Aku tanam dua-dua. Cantik dapat. Makan pun dapat. Dulu suami aku tak suka kalau aku tanam sayur di belakang rumah. Dia kata menyemak je. Kalau nak makan, beli je kat kedai.

Mula-mula dulu aku ikut jugalah cakap dia. Lama-lama aku pekakkan telinga. Aku kata aku nak buat edible garden. Yang herannya bila dah keluar hasil dia pula yang sibuk suruh petik sebab nak makan yang fresh. (Dia tak tau aku mengutuk dia ni). Meh layan sayur aku. Ni banyak yang dah ditanam semula. Tu yang dah tak berapa nampak hasilnya tu.






Berjasalah kepada bumi dan bumi akan berjasa kepada kamu. Walaupun apa yang kamu usahakan itu cuma seciput he..he..

Tuesday, March 24, 2009

HUJAN LEBAT BERTUKAR RENYAI

Salam. Macam dah bersawang pulak rumah aku ni. Tiga hari tak mengemas. Tiga hari jugak jari jemari aku pijarrr sebab tak dapat mengetuk keyboard. Juliet, jangan nak mengada-ngada mengata aku tak bayar bil. Nanti tak pasal-pasal rumah yang dah renovate tu kena sembur dengan cat ( cakap orang yang baru baik dari gila meroyan).

Hari ni pagi-pagi lagi dah hujan. Latihan sukan kensel. Sukan aulad akan berlangsung tidak lama lagi. Hari sukan ialah pada 12 April 2009 bertempat di stadium seksyen 15 bandar baru bangi. Sesiapa yang ingin menyumbang untuk hadiah cabutan bertuah dialu-alukan sama ada dalam bentuk wang ataupun hadiah. Sesiapa yang nak menyumbang hadiah tu, bagi lah yang besar-besar sikit. Tak mahu yang cenonit hehe...

Semua murid akan mengambil bahagian. Semua murid akan dapat hadiah. Kalah pun dapat hadiah jugak. Tadi sebaik hujan reda, aku ke mydin untuk membeli hadiah saguhati.

Satu peristiwa beberapa tahun dahulu:
Aku ke mydin KL. Aku beli hiasan dan meletakkannya di atas meja. Datang anak aku dibelek-beleknya benda tu.
"Mak beli kat mana ni"

"Kat mydin"

"Hah? maidin ada jual benda ni?"

"Macam-macam kat mydin tu"

"Ni pun maidin jual?"

"Iyyeeee..."

"La...ingatkan dia motong rumput je"

"Oi... mak beli kat pasaraya mydin la, bukan kat maidin. Maidin mana ada jual ni semua. Keje dia motong rumput"

"Oooo... he..he.."


Masa aku sampai kat Mydin hujan masih renyai-renyai. Cari parking penuh pula. Hujan-hujan pun orang bershopping juga? Mungkin mereka seperti aku atau adakah aku seperti mereka? Anyway, satu round pusing tak ada lot kosong. Lama-lama jumpa satu agak jauh dari situ.

Dulu-dulu kalau parking, nanti ticket attendance akan datang letak tiket dan kita bayar di pondok yang disediakan di tepi-tepi jalan. Sekarang agak mudah. Di tempat parking disediakan mesen bayaran tiket letak kereta. Mudah. Senang. Aku pun setuju.


Tapi apa yang aku tidak setuju ialah perkara yang sepatutnya memudahkan pengguna menjadi sebaliknya. Aku dah siap keluarkan siling nak masukkan seringgit tapi sampai di mesen itu aku di sambut dengan kata-kata ini:


Melilau aku mencari mesen lain. Dah lah hujan renyai. Nanti kalau aku demam mpkj nak bayar duit pergi klinik ke.

Sekian.

Monday, March 9, 2009

SEHARI DI KUALA LUMPUR

Aku di kuala lumpur. Semalam dan hari ini. Ketika aku mengambil gambar muara sungai tempat percantuman dua sungai berlatar belakangkan masjid jame', aku terbayangkan masa lalu. Kalaulah kuala lumpur itu boleh bersuara, pasti dia akan mengucapkan selamat datang kerana mengenali aku yang sering menginjak-nginjakkan kaki di atas jalannya semasa muda dulu.

Di seberang sungai itu pada satu waktu dulu adalah Benteng. Di situ berderetan gerai-gerai makanan yang menjual aneka jenis makanan. Tempat makan-makan itu dipanggil Benteng. Lewat petang saja disitu sudah dipenuhi penjaja. Kerusi meja diletak bersahaja di tengah-tengah jalan. Mereka yang balik berkerja lewat petang akan singggah di situ menjamu selera. Ada yang datang kembali pada waktu malam untuk menikmati makanan di situ. Aku sering makan kerang rebus bercicahkan sos kacang.

Sekarang? Tempat itu telah diambil alih oleh stesen masjid jame' dan beberapa bangunan lain. Agaknya di manalah perginya peminta sedekah yang sering meminta-minta semasa pelanggan sedang menjamu selera di situ. Sudah ada rumah batukah mereka?

Sedang kami mengambil gambar, lalu seorang pelancong bertanyakan arah ke Central Market. Ini satu lagi tempat yang nostalgik. Aku sering mengikut maklang ke pasar ini membeli sayur, ikan, ayam dan pelbagai barangan basah. Masih kedengaran hingar bingar penjaja di dalam pasar itu. Masih terasa kelembapan lantai yang basah dengan air hanyir ikan. Maklang membimbit bakul sambil berjalan dari gerai ke gerai. Aku mengikut. Kadang-kadang membantu maklang membawa barang yang tidak muat di dalam bakul.

Sekarang? Tempat itu sudah bertukar rupa. Ada sesiapa yang belum pernah ke sana? Tapi aku rasa tidak ada yang ke sana semasa ia masih lagi sebagai sebuah pasar basah.

Melalui jalan dari Chowkit ke jalan tengku abdul rahman mengingatkan aku beberapa perkara lagi. (Aku sering melalui jalan ini semasa aku kecil bersama pak tua dan mak tua. Pada masa itu Jalan Tengku Abd Rahman masih bernama Batu Road.) Masa aku remaja shopping kompleks tak sebanyak sekarang. Belum ada Sogo dan sebagainya. Yang ada pada waktu itu, Campbell shoping kompleks dan Pertama. Tidak lama lepas itu baru ada Ampang shoping kompleks. Hanya itulah tempat kami membeli belah selain Globe dan Selangor Emporium. Selangor Emporium sudah lama bungkus diganti dengan kedai hiasan rumah (dah lupa pula namanya tapi ia berhadapan dengan tandas awam di sebelah collesium). Globe pun sudah bungkus juga. Semalam bila aku lalu di depannya aku lihat namanya sudah bertukar.

Semalam aku lalu, aku tengok Pertama seakan-akan mati. Akupun sudah berpuluh tahun tidak memasukinya. Padahal di situlah dulu aku mencari lee, levis atau amco dengan harga tidak sampai 30 ringgit. Kesihan peniaga. Terpaksa bersaing dengan kompleks perniagaan moden dan canggih yang tumbuh macam cendawan. Aku? Selera juga telah berubah.

Semasa kami berpusing-pusing sekitar kampung baru, aku teringat pula akan pasar malam kampung baru. Bila abah, emak dan aku naik ke kuala lumpur, kami pasti akan ke pasar malam itu. Aku masih kecil juga. Dulu di situ ada seorang anak muda meminta sedekah. Dia buta. Aku terpegun melihatnya kerana butanya memang langsung tidak ada belahan mata sedikitpun. Licin, kulit semata-mata. Abah menghulur beberapa sen dan memimpin tangan aku pergi.

Di kampung baru berhampiran masjid, ada sebuah rumah yang kami sering pergi satu ketika dulu. Rumah Pak Yazid. Tiap-tiap minggu pak yazid akan memberi ceramah agama. Kami datang dari bangi untuk mendengar ceramahnya. Masa itu anak baru seorang. Pak Yazid kelakar orangnya. Dia sering menyelitkan unsur-unsur jenaka bila dia berceramah. Antara jenakanya yang masih aku ingat ketika dia bercerita tentang jin;
"Jin makan tulang tapi ada jin makan burger" dia senyap sekejap bagi laluan pada unsur saspen.
"Jins samsudin" Dia gelak dan orang semua gelak sakan.

Hari ini, pagi ini, jalan raja laut tutup. Ada perhimpunan MaulidurRasul di dataran merdeka. Kami malas ke sana. Semalam sudah penat menapak jalan TAR hingga ke masjid India.

Thursday, February 12, 2009

PHOBIA...................


Otak kolotku selalu mengatakan yang mainan ini adalah gila. Tapi orang tetap suka termasuklah anak-anakku.
"Apa yang korang suka sangat naik mendaalah tu"
"Seronoklah mak. Jom lah naik mak. Jomlah.."
"Brrrrrr....(suara tergigil). Takdo kojo den nak naik bondo tu do. Kang elok-elok naik mak ni bonapeh la'i, turun kang dah kogheh jongkeh omak kau ni" si emak ni kalau nak menangkis cakap anak, lidah secara otomatik kelu nak cakap kelumpur.

Aku dah naik sekali. Orang kata, cukuplah sekali dalam seumur hidup. Sekali yang cukup menjerankan. Masa tu aku ke Dysneyland Florida. Anak baru satu dan masih baby lagi. Darah masih muda. Melihat keseronokan mereka yang menaiki roller coaster ini membuat aku merengek mengada-ngada mahu naik juga. Aku mencubanya bersama suami.

"waaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa......." bila saja benda itu meluncur turun.
"waaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa......." bila dia berpusing.
"waaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa......." bila dia terbalik dan berhenti di atas puncak.
"waaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa......." bila dia jalan reverse.
Bila berhenti, kepala aku weng weng.
"waaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa......" aku tak mau naik lagi.

So, anak-anakku. Janganlah nak memandai ajak emak ni naik roller coaster. Tengok pun mak dah semput.

Tiga tahun lepas, ada sepupu datang dari Jakarta. Kami jadi pemandu pelancong. Salah satu agenda ialah naik cable car ke Genting Highland. Aku dah tahu yang aku ni memang tak gemar benda-benda macam ni tapi oleh sebab nak memenuhi permintaan orang, aku turut sajalah. Sebelum naik, kami sempat membeli sedikit jajan kononnya untuk dimakan di dalam cable car sambil menikmati pemandangan.

Fuuuhh... tingginya. Cable car lalu atas pucuk pokok. Aku pandang ke bawah. Sayuuuuuppp..
Aku pandang ke depan. Jauuuuuuhhh lagiiii nak sampai. Bukan kepala lutut saja yang gigil, gigi pun dah ktrrrrrr..... Jajan yang dibeli tak lalu nak makan. Aku tengok makcik-makcik Indon tu pun pucat semacam. Termasuklah laki aku sekali hahaha... Tobat. Lepas tu anak aku ajak naik lagi. Tobat. Itulah kali pertama dan terakhir. Orang kata jangan tak merasa.

Pergi Pulau Sentosa anak aku ajak naik cable car juga. Merentas laut lagi tu.
"Ekau nak naik, naik lah. Omak tak relo. Omak lobeh relo jalan kaki".

Lagi dah tuo ni banyak menda lagi yang aku phobia. Lately aku phobia naik kapalterbang. Cek in je dada aku dah dab dub dab dub. Kapal terbang naik je, aku tutup mata baca apa yang patut. Buat nya cuaca tak elok dan k.terbang terhoyong terhayang...aduyai... tension aku dibuatnya. Ada beberapa kali terkena 'air pocket'. Lagilah aku kecut bila kapal terbang menjunam beberapa saat. Tension. Tobat juga tak nak naik kapal terbang tetapi yang ini aku tobat sambal belacan.

Cuti lepas anak-anak ajak pergi pulau Pangkor. Pulau? Kena naik feri tu.
"Mak okay ke naik feri" anak aku tanya concern.
"Boleh..." Cakap seorang emak yang perasan konfiden.
Tup..tup.. rancangan percutian terpesong ke cameron highland pula.
"Ala.. kata nak pergi pulau Pangkor" anak-anak merengek tak puas hati.
"Mak kata mak tak boleh naik feri. Nanti darah tinggi mak naik" Defend seorang ayah. Si emak cuma diam sambil menyorokkan muka di bawah bantal. Bila anak-anak masuk bilik mahukan kepastian daripada emak, emak pura-pura tidur hehehe..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...