Followers

jom klik

TADIKA AULAD HAS BEEN MOVED TO ANOTHER LOCATION. CLICK HERE IF YOU WISH TO GO TO TADIKA AULAD
Showing posts with label UMUM. Show all posts
Showing posts with label UMUM. Show all posts

Wednesday, March 6, 2013

Demam PRU

Tenggelam timbul tenggelam timbul.
Teringat ke zaman kanak-kanak semasa tak hingat dunia terjun tiruk bersama kawan-kawan seangkatan menjunam ke dalam sungai depan rumah. Bukanlah depan rumah betul.  Kena menyeberang jalan yang lebarnya tak berapa langkah, masuk dalam kawasan rumah maktua, turun bukit sikit dan terus sampai ke tebing sungai.
Bedeburrr..bedeburrr.. lompat dari atas tebing.  Kemudian tenggelam timbul tenggelam timbul dalam air.

Aku sekarang macam tu jugalah.  Ada masanya aku timbul. Ada masanya aku tenggelam tak timbul timbul. Lemas dalam kerja yang menimbun.

Baru tadi dapat panggilan dari seseorang.  Perempuan.  Katanya dia dari NGO. Ntah iya ntah tidak.  Manalah aku tau.
Katanya; Anak puan sipolan sudah mendaftar sebagai pengundi?
Sepatutnya dia boleh cek je tak payah susah-susah tanya aku.  Klik dalam internet, dia boleh cari.
Tapi aku jawab jugalah, sudah.
Dia nak cakap dengan anak aku.  Aku jawab dia tak ada.
Dia tanya lagi aku siapa.
Aku jawab mak dia.
Kemudian dia tanya pula, sebagai rekod boleh ke dia tau yang aku nanti nak undi BN ke PKR.
Weh.. lebih-lebih lah sudah.
Aku jawab;
Mana boleh saya bagi tau saya nak undi siapa.  Kan undi tu rahsia.
Sebagai rekod saja, jawab dia lagi dengan tak malu walaupun dah kena sergah dengan aku.
Takda..takda.. rekod makkod. Itu hak saya. Saya tak perlu nak bagitau awak...

Terus dia letak talipun.

Yang pak jib ni pun bilalah nak bubar parlimen ni.  Parents anak murid aku asek tanya bila nak sukan bila nak sukan. Aku ni tengah kelam kelibut nak tentukan tarikh sukan. Booking stadium 14 April.  Buatnya time tu pilihan raya kan ke haru biru. Nak buat Mei tak boleh sebab anak aku nak kawin bulan Mei.

Ooo pak jib.  Cepatlah buat keputusan.

ibundo

Monday, September 17, 2012

Bergolak

Dua hari ni perut aku menggelodak. Habis urat temurat dalam perut aku dijerut-jerut. Kejap-kejap ke kamar kecil.  Keluar tapi berlari semula ke situ. Bagai habis tenaga aku diperah dan diperas.
Mahu saja aku marahkan minah indon yang memandai-mandai bagi aku petua untuk mengeluarkan angin-angin yang katanya telah lama banget menghuni setiap lorong urat yang berliku-liku dalam tubuh.

Waduh... banyak bener angin kamu buk. Nah.. lihat sini.  Dan sini. Dan sini.. Berketul-ketul ya.

Aku angguk-anguk sambil lelap-lelap mata kerana enak sangat dipijit.

Burpppp!!! ... burpppp!!!... burpppp!!!..
Bukankah angin itu sepatutnya keluar dari mulut aku.  Bukan dari mulut dia? Bukankah aku yang dikata banyak angin.  Bukan dia? Sesungguhnya keajaiban ada di mana-mana.

Nanti pulang, ibu ambil serei 3 batang, halia sebesar tapak tangan, air 5 cawan, ibuk rebus sampai airnya menjadi 3 cawan. Nanti bila mauk minum, ibuk campur aja dengan madu secukup manisnya. Bisa buang angin buk.

Mungkin tergoda dengan cerita bahawa neneknya yang berumur 90 tahun masih bisa mengangkat guni beras, aku rebus air seperti yang disarankan.

Iya.. bener  deh neng. Angin yang menyorok dam urat aku udah keluar tapi sekarang berpesta-pestaan dalam ruang perut aku. Mahu diapain ini.....




ibundo

Tuesday, January 17, 2012

MAJLIS

Bau tengik busuk meghahang menusuk rongga hidung sebaik aku menguak pintu bilik aku untuk turun ke bawah. Aku cari-cari dari mana arah datangnya bau. Aku tinjau bakul sampai di luar bilik dan menguis-nguis dengan hujung telunjuk. Tidak terjumpa pula sampah basah yang membawa bau tersebut. Aku kembang kempuskan lubang hidung menghala sana sini. Masih tak tahu dari mana datangnya.

Aku menuruni tangga dengan lubang hidung yang masih dikembang kempuskan dan menghala ke arah bau yang lebih kuat.  Sah... bau tersebut datang dari tong sampah aku yang sudah tak tertampung-tampung lagi banyaknya. Bau busuk sudah melimpah ruah sehingga memasuki ruang dalam rumah aku.

Siti!!!! Tutup semua pintu.  Jangan bagi bau busuk masuk, aku jerit sebelum aku melangkahkan kaki terus ke tadika.

Sudah seminggu lebih sampah tidak dipungut.  Tong sampah penuh.  Kemudian sampah yang makin bertambah dan makin bertambah terpaksa dilonggokkan pula di luar tong.  Datang pula kucing-kucing yang hanya tahu untuk menyelongkar dan merabak-baraikan plastik-plastik sampah. Sudahnya sampah terlambak di atas jalan.  Bibik aku jugak yang kena pungut, sapu dan bersihkan.  Nasib baik ada tong extra di taska yang tidak digunakan.  Bibik bawa balik dan isi sampah sampah basah dalam tong.

Sampah yang berusia satu minggu sudah tak berupa sampah lagi. Berair dan mengeluarkan bau yang cukup busuk.  Plastik hitam sudah tidak kelihatan hitamnya kerana dibaluti ulat-ulat yang merembik-rembik.  Semuanya gemuk-gemuk kerana terlebih baja.  Itu bibik aku cakap sebab dia yang membersihkan sampah.  Kalau aku yang nampak, mesti sebulan aku tak lalu makan.

Wahai majlis perbandaran.. Sampai bilalah kemelut sampah ni nak berakhir. Bau busuk yang aku sedut ni dah menusuk-nusuk macam jarum peniti ke dalam kepala.

ibundo

Wednesday, November 2, 2011

Sejuk sudah

Ada seorang kawan aku yang suka mengambil semua perkara sebagai sesuatu yang serius. Yang remeh temeh pun boleh membuatkan dia tidak tidur berhari-hari mengenangkannya. Aku selalu memberi nasihat, kalau nak sedih, sedihlah.  Kalau nak menangis, menangislah. Kalau nak melayan perasaan, layanlah. Tapi janganlah sampai ia menganggu kehidupan sehari-hari kerana kita ada rumahtangga yang mahu diuruskan.  Kita ada kerja lain yang meminta perhatian.

Bagilah satu hari.  Satu hari itu sahaja.  Sehari itu pun dah mencukupi. Layanlah perasaan sepuas-puasnya dalam sehari itu. Kau nak menangis, kau nak menonggeng, kau nak meraung, kau taknak bercakap dengan orang bla..bla .bla..habiskanlah dalam sehari tu. Bila bangun keesokan harinya biarlah mentari yang menyapa itu membawa semula keceriaan yang lupus seharian semalam.

Aku gunapakai nasihat aku itu untuk diri aku sendiri.
Terima kasih pada sekelian yang telah memberi aku kekuatan. Ada masa-masanya kekusutan yang kita alami tidak dapat kita kongsikan dengan orang lain selain dari keluarga kita sendiri.



Salah satu cara aku untuk tidak terlalu melayan fikiran adalah dengan membizikan diri aku di dapur dan masak apam labu ini yang tersangat sedap. Tunggukan kemunculan resepi di dapur ibundo.


ibundo

Tuesday, November 1, 2011

Sejuklah kau wahai hati

Allah turunkan dugaan dengan cara yang bermacam-macam.

Ya Allah.. tabahkanlah hati aku menerima dugaanMu.
Aku redha.....


ibundo

Wednesday, October 26, 2011

Secawan kopi suam

Kopi sekarang banyak yang dibungkus dalam sachet, 3 in1. Kita cuma perlu masukkan dalam mug dan curah air panas menggelegak. Hitam kopi berderun keluar dari sachet dek kepanasan.

Aku suka bandingkan dengan dulu sebab dulu kalau emak membuat seteko air kopi, baunya yang semerbak itu akan memenuhi ruang dapur sampai ke ruang depan. Malah aku teramat suka menghidu bau kopi serbuk yang masih berada dalam balang. Wangi.  Wangi yang enak dan mengasyikkan. Kalau emak melihat perlakuan aku itu, dia akan menepuk tangan aku; jangan.. nanti jadi candu. Namun sekiranya emak tidak nampak dan kebetulan aku diarah membuat air kopi, yang pastinya aku akan hidu dulu kopi itu sebelum mencurahkannya ke dalam teko.

Sekirannya kita menunaikan umrah melalui pekej, selalunya kita akan dibawa ke satu shopping kompleks di Jeddah sementara menunggu masa untuk penerbangan balik. Masuk saja di bangunan itu, hidung akan diterjah dengan bau keenakan kopi yang di bakar dan dikisar di satu kedai minuman air kopi di situ. Kami akan minum secawan seorang sambil berangan-angan mahu membuka satu kedai kopi seperti itu di bangi. Dan angan-angan tetap tinggal angan-angan.

Aku bukanlah pencinta kopi. Bukan juga menjadikan kopi sebagai minuman kemestian. Aku cuma minum secawan apabila aku teragak dan keteragakan aku itu adalah dalam satu kali sebulan. Cukup. Sebab kalau aku minum kopi, degup jantung aku makan menjadi laju. Bila laju aku akan menjadi tak tentu arah. Bila tak tentu arah ia akan melonjakkan tekanan darah aku pula.

Ngantuklah, kata driver sebelah aku.

Kita berhenti kejap dekat RnR air keroh nak lelapkan mata, sambungnya.

Ni sebab tak dapat kopi lah ni, sambungnya lagi.

Ada orang memang tidak boleh ketinggalan kopi. Kopi panas yang masih berasap-asap sedap dihirup, sedap diminum.

Kopi panas?
Kopi panas yang secawan di rumah aku ini sudah menjadi suam-suam kuku.  Tak lama lagi sejuk dan tak ada orang yang mahu minum.

ibundo

Thursday, October 6, 2011

Dari Pandangan Mata

Aku pandang dua tiga kali.
"Bila masa pulak mata kau coklat?", dan dia cuma gelak-gelak sambil angkat-angkat bahu.

"Well!!!", katanya dengan nada megah.
Maknanya kau paham-paham sendiri sudahlah.

Lain masa aku dulu. Zaman yang anak-anak aku cakap zaman kolot. Padahal aku rasa zaman aku dah tersangat maju dah. Walaupun keretapi tanah melayu ketika itu masih mempunyai kerusi keras dan tempat letak kepala berupa besi yang kalau kamu tersengguk tertidur membuatkan kepala gedegang di besi itu menyebabkan mata terus segar bugar kerana terperanjat, aku rasa megah dan sangat maju kerana aku boleh pergi balik ke sekolah bila tiba musim cuti tanpa menyusahkan mak dan abah.

'Dulu-dulu mana ada ni', katanya menyambung.

Memang tak ada. Tapi memakai cermin mata besar gedabak yang menutup hampir separuh muka kamu adalah teramat cool masa itu. Cuba tengok film star era itu.  Semua pakai cermin mata besar yang boleh dibuat cermin muka kerana kebesarannya. Aku mencari-cari foto lama.  Foto semasa aku di sekolah.  Foto semasa aku di U.  Aku sengih-sengih tekup mulut bila melihatnya. Dan aku bayangkan wajah uji rashid.

"Macam-macam warna ada." dia menambah.

"Tapi dah tak nampak ori. Nampak macam orang putih pakai kain pelikat."

Hik..hik..hik.. kami ketawa.

"tak apalah .. sekali sekala".  Dan selepas itu aku dah tak nampak lagi dia memakai contact lense itu.

Zaman canggih manggih ini banyak sangat benda tiruan. Kadang-kadang kita tak dapat nak bezakan yang mana satu ori yang mana satu yang tak ori. Aku boleh saja mengatakan bahawa mata faris sememangnya biru seperti yang aku tunjuk dalam n3 sebelum ini, padahal aku sudah touch up sana sini.


Dan orang di sebelah imah kalau dilihat dari raut muka boleh diandaikan sebagai kakaknya padahal ia adalah aku yang telah aku 'mudakan' berpuluh tahun.


ibundo

Monday, October 3, 2011

kata kunci

Tadi masa dalam kereta aku terdengar perbualan di antara seorang ustaz dengan dua orang DJ ikim.  Aku sebut 'terdengar' sebab konsentrasi aku bukan pada rancangan itu. Jauh ke tempat lain. Lebih menjurus pada apa yang aku nak masak petang ni dan apa yang patut aku beli untuk menambah bahan masak yang tidak cukup.

Mungkin perbincangan berpusat kepada perkahwinan kerana ustaz itu berkata; sebelum berkahwin seorang lelaki itu mestilah sudah mempunyai tiga kunci. Pertama kunci rumah.  Tak kiralah rumah itu rumah sendiri atau rumah sewa.  Kedua kunci pejabat.  Maknanya lelaki itu mestilah sudah mempunyai perkerjaan.  Tak kiralah kerja sendiri atau kerja dengan kerajaan/swasta. Ketiga pula, kunci kenderaan. Sekurang-kurangnya dia mempunyai kenderaan walaupun hanya sebuah moto kapcai.

Aku teringatkan tiga kunci tersebut sebaik aku mula mengetuk keyboard untuk n3 ini. Kerana apa yang aku mahu sebut di sini berkaitan dengan kunci juga tetapi kunci rumah alamaya.

Mungkin ada di antara kita ataupun kawan-kawan kita yang mengalami rumah  terkunci dan dipintu masuk tertulis blog not found bla bla...  Kita tak boleh masuk.  Orang lain tak boleh masuk. Boleh sesiapa yang mahir dalam hal ini memberitahu sebab-sebabnya? Baru-baru ini beberapa kawan aku mengalami perkara seperti itu dan membuat aku menggelabah juga takut-takut pintu masuk ke rumah aku pun di letak amaran seperti itu.

Mungkinkah antara sebabnya:
akaun email kita tidak aktif?
atau kita log in dengan menggunakan free wi fi di tempat-tempat yang terdedah pada hackers?

Tolong kongsi pengetahuan.
Terima kasih.

ibundo

Thursday, September 29, 2011

Tolonglah nyah dari aku

Datangnya tak kira masa. Bila dia datang malam, aku tak boleh tidur. Bila dia datang ketika aku tengah nyenyak tidur, aku terpaksa berjaga melayannya. Memang datangnya aku tidak undang tapi dia tetap menjengah.

Kerapkali dia datang waktu siang juga. Aku terhegeh-hegeh juga melayan walaupun mata aku kuyu sebab tak cukup tidur malam. Tapi dia tak peduli.  Dia tetap juga bertandang. Dan aku terpaksa juga mengambil berat tentang dia.  Itu semua membuat kepala aku pening.

Ada kalanya dia menggatal. Memang cukup gatal sehingga membuat bulu roma aku meremang. Terasa macam aku nak garu-garu kegatalannya dengan garpu. Tapi tak sanggup. Aku mengokol-ngokol serta berkahak dengan harapan dia tidak menggatal berterusan.




Err.. ada sesiapa tahu petua nak hilangkan batuk ni?

ibundo

Thursday, September 15, 2011

Hidup tidak sentiasa cerah dan tidak pula sentiasa mendung

Pagi-pagi sebelum subuh, sudah menderum lori sampah lalu. Aku menjeling melalui tingkap ke arah mereka yang terbongkok-bongkok membuka tong sampah orang, mengutip plastik-plastik yang jelas berbau merahang dan menghumbankannya ke dalam lori. Air-air sampah pasti menjejes-jejes di atas jalan raya. Kalau tak disiram dengan air, bau itu pasti pula menerobos masuk ke hidung orang yang lalu berhampirannya.

Semasa kami sama-sama kecil, sepupu aku pernah berkata sambil kami bemain-main; Aku nanti bila besar nak jadi drebar steamroll. Memang dia terlalu minat dengan jentera-jentera berat. Kalau ada buldozer mengorek tanah atau steamroll menggelek batu tar di jalan raya, dia akan melongo memandang penuh  minat. Memang kesudahannya belajarnya pun tidak setinggi mana dan akhirnya bekerja sebagai pengimpal besi.

Kita selalu menasihati anak-anak supaya belajar tinggi-tinggi supaya nanti dapat menjawat jawatan yang tinggi-tinggi juga. Disebabkan dunia ini dunia materalistik dan semuanya memerlukan wang yang banyak maka kita nilai kebahagian hidup itu dengan wang ribu riban kalau tak juta-juta. Kita tidak mahu anak-anak kita hidup susah tanpa wang tetapi tidak juga mahu anak-anak kita menjadi hamba wang semata-mata.

Kita? Masa di sekolah mungkin kita mempunyai cita-cita yang lain daripada apa yang kita dapat sekarang.  Mungkin juga kita capai apa yang kita cita-citakan. Dan tidak kurang juga yang mengharap supaya hidup masa kini akan menjadi lebih baik pada masa akan datang. Masih ada masa untuk memperbaiki segala yang kurang kerana peluang untuk memperbaiki diri memang tersangat banyak untuk kita terokai.

Tersangat kurang yang mahu menjadi pengutip sampah.  Tanyalah siapa saja.  Pengutip sampah tidak termasuk dalam senarai cita-cita masa depan. Tetapi tanpa mereka hidup kita akan menjadi tidak selesa kerana sampah-sampah yang terlonggok di depan pagar rumah kita terbiar tidak ada sesiapa yang memungut. Walaupun pekerjaan itu nampak tidak mempunyai taraf, sebenarnya ia adalah satu pekerjaan khidmat masyarakat yang sangat mulia. Kita berterima kasih pada mereka.  Kita doakan supaya mereka dapat mempertingkatkan hidup mereka ke taraf yang lebih baik.

ibundo

Wednesday, September 14, 2011

Megi dan perempuan

Tiba-tiba sebelum isyak tekak aku teragak nak makan megi. Aku bagitau hasben aku dan dia pula sama nak makan megi juga. Maka selepas sembahyang kami pun makan megi kari semangkuk seorang.

Dulu masa aku sekolah asrama, abah selalu kirimkan aku megi.  Bukan tak boleh beli sendiri tapi kalau abah/mak yang kirim, duit poket tak keluar.  Lagipun abah akan hantar sekotak besar yang berisi berpeket-peket mee megi. Aku kedekut.  Aku sorok dalam loker, celah-celah baju.  Cuma kawan baik aku je yang aku ajak kongsi makan.

Biasanya kami makan masa studi tengah-tengah malam.  Letak megi dalam tipuware dan curah dengan air panas yang dimasak pakai heater. Heater itu pula kami sorok-sorok pakai sebab warden marah kalau dia tahu. Kalau nak air panas kena ambil di dining hall.  Tapi siapalah yang nak ikut cakap warden seratus peratus kan. Jadi, megi tu kami makan bogel-bogel macam tu saja.  Takde sayur.  Takde telur. Takde cili api. Takde benda apa-apa pun.

Malam tadi kami makan megi yang cukup bahan tambahan. Slarp slurp kami makan. Makan bual makan bual. Bila tak semena-mena mata kanan aku pijar terkena percikan kuah megi, aku berkejar ke sinki membasuhnya. Ia seolah-olah satu amaran yang aku telah melihat sesuatu yang tak sepatutnya aku lihat. Mungkin. 

Sebab sebelah pagi semasa aku membayar bil di TNB aku melihat seorang perempuan cantik yang berpakaian lengkap dari kepala sampai ke kaki tetapi tidak lengkap.  Ia berpakaian menutup segalanya tapi tak tertutup. Berbaju lengan panjang dan labuh menutupi punggung tetapi jarang menampakkan kutangnya yang bewarna merah. Memakai seluar panjang sampai ke tumit tetapi melekap menampakkan bentuk.

Memang aku pandang dari atas ke bawah.  Memang hati aku berkata-kata.

Kepada adik-adik dan anak-anak, berhati-hatilah bila berpakaian supaya tidak mendatangkan dosa juga pada mereka yang memandang.


Dah lama maryam tak interfrem.

ibundo

Friday, August 12, 2011

Jangan asek nak kena baham je

Tiga ekor cougar terhendap-hendap di sebalik semak, memerhatikan dua ekor burung unta meragut-ragut makanan. Dan tanpa sebarang notis, ketiga-tiganya berlari menerkam burung unta yang jelas terperanjat dan bertempiaran lari sekuat hati. Panjang langkah burung itu, menggunakan kedua kakinya yang sememang panjang. Tetapi pantas lagi larian sang harimau. Selepas jauh berlari, seekor burung unta dapat menyelamatkan diri sementara seekor lagi tewas dibaham. Walaupun akhirnya rebah, si burung unta sempat melawan hingga ke akhir nyawa.

Begitulah yang aku perhatikan di rancangan animal planet.  Kesian pada mangsa.

Apa kurangnya kehidupan seharian kita. Pemangsa sering terhendap-hendap untuk mencari mangsa. Kalau tak kita yang jadi mangsanya, orang lain.  Kalau tak orang lain, mestilah kita. Ada kalanya kita kalah tapi tak kurang juga yang melawan balik.




Setelah hampir satu tahun, sebelum sesi sekolah 2011 bermula dan sekarang sesi 2011 dah hampir tamat, akhirnya mainan yang aku tunggu-tunggu itu sampai juga.  Itupun setelah puas bertekak, mengugut akan diambil tindakan dan mendengar bermacam-macam alasan yang minda aku tak boleh terima.

Dah siap puan

Awak tengok balik simen yang awak buat tu. Agak-agak awak puas hati tak. Saya tak akan release final payment selagi hati saya tak puas.

Okay.. okay..

Dibuat balik simen.  Aku tengok kira okay walaupun tak hundred persen puas hati. Petang semalam dia telefon mintak duit. Okaylah duit orang tak akan aku nak tahan lagipun aku tengok dah boleh lulus.  Yang aku tak tahan tu petang-petang buta tu suruh aku pergi bank masukkan duit sebelum bank tutup.  Banyak lah cantik.

Petang macam ni saya tak laratlah nak keluar.  Nak masak lagi. Bla..bla..bla..

Okay..okay.. saya datang ambil
Bedesup dia datang dari Ampang nun.

Memang.  Keadaan menjadikan aku keras hati. Hasben aku kata aku sekarang dah berani melawan balik.  Macam kes berikut.

Satu ribu dapat berapa riyal?

Bla..bla..

Okay, 1200 riyal berapa ringgit?

990

Wang bertukar tangan. Ada 2 keping seratus riyal dan 2 keping lima ratus riyal.

Besarnya!!!!!! Kecikk tada ka.

Tada la kaka.

Ni nanti arab marahlah bagi 500.  

Tada marah punya.

Mana kau tau tak marah? Engkau kat sini.  Beli air dua tiga botol takkan nak bagi 500.

Duit kici tada la kaka.

Okay..okay.. Nah ambil balik riyal kau.  Bak sini duit 990 aku.

Aku tengok dia pot pet pot pet sesama dia dalam bahasa yang aku tak paham. Kemudian dia ambil not 500 riyal dan diganti dengan not 100 lima keping.

Bagi 500 satu keping boleh ka kaka.

Mmmm.... ada pun!!!!!!!.
Aku ambil not 500 riyal sekeping dan selebihnya not 100 riyal. Okaylah tu.

Kita ni kalau main angguk-angguk saja dan menerima tanpa membantah, yang susah kita. Sedangkan kita ada hak. Kan gitu?

Sekian ngomelan aku pagi ni.

ibundo


Friday, July 22, 2011

???????


ibundo

Friday, July 8, 2011

Mak tani

Buk!.. pinjam duit.

Berapa ringgit?

30 juta.

Hampir tersembur air yang aku tengah minum.

Ala buk.. saya nak beli sawah.  Nanti ibuk potonglah gaji saya bulan-bulan.

Senangnya engkau cakaaaaap!. Ibu ni petik duit kat belakang rumah?

Itu perbualan antara aku dengan bibik dua tahun lepas.  Pastinya aku bukan jutawan yang ada duit puluh-puluh juta rupiah untuk dipinjam-pinjamkan. Tapi akhirnya hajatnya untuk membeli sawah menjadi kenyataan juga apabila berjaya mengumpulkan sejumlah wang. Pagi tadi aku menghantarnya ke bank untuk urusan penghantaran wangnya ke indon. Anak lelakinya akan menguruskan pembelian sebidang tanah sawah. Aku tengok mukanya berseri-seri dan senyum lebar sepanjang hari.

Sampai juga hajat saya buk. Sekurang-kurangnya ada hasil kerja saya.

Aku teringat akan sawah peninggalan emak aku di kampung yang kering kontang dan dipenuhi belukar.  Sudah lama tanah sawah itu terbiar begitu saja.  Tiada siapa yang mahu mengerjakannya.  Bukan tanah sawah emak aku saja tapi sawah orang lain juga.

Kita duduk kampung je lah buk.  Biar saya tanam sayur.

Bela je lah sayur kat belakang rumah kita ni!

Ingat lagi cerita aku mula bercucuk tanam di belakang rumah? Tanaman sudah mula membesar dan mula mahu menampakkan hasil.

 Terung belum berbuah.  Belakang terung tu pokok selasih.



Kacang panjang gila daun. Tiap pagi aku akan mengintai kalau-kalau ada mengeluarkan buah dan mula bersungut-sungut memarahi pokok kacang kerana tak mahu berbuah.

Siti!! kau petik je daun kacang ni buat sayur. Biar dia botak.

Tahu-tahu pagi tadi aku ternampak sebatang kacang panjang (gambar bawah). Ni mesti sebab dia gerun dengar aku nak botakkan dia ni..


Ada sesiapa yang tak pernah tengok bunga roselle? Pokok roselle aku ada tiga batang.  Dua dah mengeluarkan bunga.  Satu masih baby.  Lepas ni aku tak payah beli sirap kat tesco lagi dah.  Tak payah juga beli jem untuk sapu kat atas roti.

 Kesian kat pokok pandan aku ni. Togel tak sempat nak berdaun.



Sekian cerita sawah dan sayur aku pada hari ini. Aku ni memang suka merapu. Sabau jer lah pada yang datang membaca.  Tak dapat ilmu?  Memang bukan blog ilmu pun haha..


ibundo

Tuesday, July 5, 2011

Manglish

Cik!.. blutut ado tak ni?

Ontah. Manolah acik tau dio belutut ko, besiku ko, bekaki ko, bekopalo ko.  Ekau pakai yo lah.

Itu jawapan yang mak sedara aku bagi bila sepupu aku, anaknya yang tak berapa nak betul itu bertanya samaada henpon yang dia bagi ada bluetooth ke tak ada.

Semasa melihat bird show di taman burung sabtu lepas, telinga aku disajikan dengan kata-kata dalam bahasa inggeris yang aku tak berapa nak paham. Yelah, takkan announcer nak cakap bahasa melayu sebab penontotnya pun dari pelbagai bangsa. Dan ramai juga tourists. Yang tu aku pahamlah. Tapi slangnya terlebih-lebih sehingga aku tak boleh tangkap apa butir yang dia cakap. Aku tertanya-tanya juga orang putih di depan aku tu paham ke tidak.

Aku bukanlah nak kata yang aku ni pandai sangat cakap omputih dan slang aku slang perasan omputih.  Sebab kadang-kadang bila aku cakap omputih dengan faris atuk si faris tu mengomen;

eh!! ingat cakap bahasa tamil tadi.



Kadang-kadang aku dapat call dari salesman. Entah macamana diorang dapat nombor henpon aku sebab aku dah pesan dengan staff kalau ada salesman nak nombor henpon jangan bagi.

cigu.. can i sell dis kaleling book to your studen.

No.  Against my policy. No selling.

Dis book vely gud ma. Vely gud to de blain.

No.



Kita dah biasa dengan bahasa omputih rojak. Bahasa omputih yang penuh dengan ayo dan la. Bahasa omputih yang bernada melayu.  Bahasa omputih yang bernada cina.  Bahasa omputih yang bernada tamil. Kita tak ada masaalah kalau kita cakap bahasa omputih tersebut di tempat kita. But when you go overseas and stay with those who only know perfect english then you realise that you are really in great trouble.

I we to go to totohe kok ghok plih.... (baca ikut slang kelantan)

What?

Totohe kok ghok!!!.

I dont understand you.  Get out of my car !!

Budak ni duduk belajar kat london. Dia naik teksi dan nak pergi ke tottenham court road.



Seperti yang aku pernah cerita dulu, Abu Ahmad, arab yang tinggal di mekah tak mahu anaknya belajar di malaysia.

Malaysian english is not good. Every sentence ends up with la and its more like ching chong ching chong rather than real english.

Well, itu pandangan orang. Sekurang-kurangnya kita cuba jadikan bahasa omputih sebagai bahasa komersial. Sejak dua menjak ni aku suka dengar orang australia bercakap. Sejak selalu tengok masterchef australia.
Masa hasben aku kat idaho dulu ada kawan aussie yang selalu cakap:
how are you to die?
Lama-lama baru paham yang aussie tu maksudkan:
how are you today?

Sekian kemerapuan aku pagi ni.

ibundo

Wednesday, June 22, 2011

Sunday, June 19, 2011

Tenang yang terganggu

Tiba-tiba dia tercongok di muka pintu, berdiri di belakang perempuan yang tidak aku cam rupanya. Matanya buntang memandang aku tanpa berkelip-kelip. Mulutnya menyeringai menampakkan gigi yang kekuningan.  Menyerejeh air liurnya membasahi bibir mulut terus ke dagu dan menitis pula ke bajunya yang lusuh. Bilik aku dibanjiri bau hapak dan tengik yang keluar dari mulut yang terus ternganga.

Perempuan itu tidak perasan.  Pandangan dia yang tajam seolah-olah amaran untuk aku bersuara, membuat kata-kata aku tersekat di kerongkong. Yang keluar dari mulut aku cuma bunyi yang aku sendiri tidak tahu apa butirnya. Peliknya, perempuan itu cuma berdiri di situ tidak bergerak-gerak.  Memandang aku pun tidak.

Dan entah bila kalanya dia sudah berada di belakang aku. Dicengkamnya  lengan aku sekuat-kuatnya. Kuku-kukunya yang tajam terbenam menembusi kulit, daging dan terus ke tulang temulang. Aku menjerit kesakitan tanpa suara. Sakit. Aku lemas dalam kesakitan yang teramat sangat. Juga lemas dalam kehapakan napas yang terhembus di belakang tengkuk aku.

Astaghfirullahalazim.....
Astaghfirullahalazim.....
Astaghfirullahalazim.....

Peluh dingin membasahi baju aku. Rentak jantung aku laju, deras. Aku bingkas bangun dari pembaringan, duduk terkebil-kebil dalam kesamaran bilik yang hanya diterangi cahaya lampu luar. Dalam kebingungan aku mencari-cari wajah-wajah tadi.  Hilang.  Tapi kesakitan di lengan aku hasil cengkaman kuku-kuku tajam itu masih begitu jelas terasa. Aku gosok perlahan-lahan dan kembali merebahkan diri.  Kali ini betul-betul menghimpit orang di sebelah aku yang berdengkur.

.
.
.
Ni mungkin sebab aku tengok rupa Yus Jambu dalam rancangan maharaja lawak jumaat haritu.
Suami aku cakap aku tidur tak baca doa.

ibundo

Sunday, June 12, 2011

Hati yang parah

Kelmarin pagi-pagi lagi dapt sms dari hasben.

Kenal rozita che wan?

Kenal.  Apehal..

Waa.. kawan ekau ramai yek. Dio masuk sepita.  Kena hepatitis surat kabau kata.

Siapa tak kenal rozita che wan. Wanita cun-mesti-ramai yang tergilakannya. Dengar kabar dia dah keluar hospital dan cuma demam kuning. Semuga dia sehat.


Dulu masa aku kecik , aku tak tahu pun hepatitis tu apa.  Malah tak pernah dengar pun. Ada juga orang kampung aku meninggal sebab badan kuning dan mata putih dah jadi kuning. Tak ada siapa yang kaitkan dengan penyakit. Mula-mula orang sibuklah bercerita itu ini tapi lama-lama cerita pasal itu hilang macam tu saja.

Dulu emak aku ada pembantu rumah orang indon.  Soimah namanya. Banyak tahun juga dia berkerja dan sudah beberapa kali balik ke kampungnya bertemu dengan suami dan anak.  Biasalah orang indon ni.  Mereka sanggup meninggalkan keluarga demi mencari kesenangan hidup.

Tiap-tiap tahun aku perbaharui permit kerjanya. Setiap kali mahu perbaharui, dia akan menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu. Dan pada tahun 2004 semasa mahu perbaharui permit untuk tahun keberapa aku pun tak ingat, medical check up nya tak lulus.  Klinik menelefon mengatakan dia ada hepatitis B dan terpaksa dihantar balik.

Aku bingung.  Kami bingung sebab sebelum itu semuanya okay. Kemudian kami buat spekulasi sendiri.  Hanya tekaan.  Kerana beberapa bulan sebelum itu dia ada pulang ke kampungnya di Semarang bertemu dengan anak dan suaminya.

Dia menangis tidak mahu pulang. Emak dan abah juga merayu supaya dia terus berkerja.  Tapi apakan daya aku.  Kalau fomema tidak lulus, permit tidak boleh diperbaharui. Abah cakap biarlah dia kerja tanpa permit. Aku cakap susah. Takut ditangkap oleh yang berkuatkuasa. Akhirnya dia aku hantar balik juga.  Kasihan.

Hepatitis bermakna keradangan hati dan virus hepatitis boleh menyebabkan kita mengalami masalah ini yang mungkin berakhir dengan kematian jika tidak diberi rawatan sewajarnya.
Virus ini disebarkan melalui hubungan seks, berkongsi jarum suntikan dengan individu dijangkiti atau pemindahan darah. Wanita hamil yang dijangkiti Hepatitis B boleh memindahkan virus ini kepada anak ketika bersalin. HVB dikatakan 100 kali lebih mudah berjangkit berbanding virus HIV.

Dulu aku mempunyai seorang perkerja yang berkahwin dengan lelaki pilihannya walaupun dia tahu bahawa bakal suaminya itu pengidap hepatitis B. Cinta memang betul buta.  Semasa dia mengandung, beberapa kali dia dimasukkan ke hospital kerana  badannya kuning.  Apabila anaknya dilahirkan, anak itu juga mengidap hepatitis.


Ada di antara kita yang kurang memberi perhatian kepada penyakit ini. Pergilah dapatkan suntikan sekiranya belum. Prevention is better than cure. 

Anak-anak yang baru lahir  kadang-kadang kuning juga. Kulit dan mata putih jadi kekuningan disebabkan terlebih bilirubin di dalam darah. Kuning ini dipanggil jaundice dan boleh diubati dengan menjemur bayi di bawah sinaran cahaya matahari pagi. Jangan terlupa nak bawak masuk ke dalam rumah, sudah....


Sekian.  Maaf tak dapat menjawab komen dalam n3 lepas.




kakpah 

Friday, June 10, 2011

susah nak cakap

'saya dah naik komuter dah ni. Tak lama lagi sampai stesen ukm. Saya pakai tshirt hijau lumut.', aku terima sms daripadanya.

Aku tengok jam dan sekejap lagi dah nak masuk zohor.

'Saya solat zohor dulu. Tunggu di bawah dekat teksi stand', aku tekan butang send.

Dulu tugas ni hidayatun yang pegang. Tapi sebab tahun ni dia tersangat bizi kerana banyak benda hendak diuruskan, aku pegang tugasnya.  Harap-harap buat sementara waktu. Tugas itu termasuklah mencari pekerja untuk menggantikan pekerja yang berhenti. Pekerja yang aku tolong carikan ini adalah untuk diletakkan di pasti seksyen 4.

Semasa aku memandu kereta hampir sampai ke stesyen komuter telefon aku berdering.  Terkial-kial aku meraba-raba dalam henbeg aku yang penuh sampah sarap dengan tangan kiri.

'Saya dah sampai puan', suara dia.

'Ok, on the way'.

Bila aku sampai, aku lihat ada seoranng gadis tercangak-cangak sendirian. Aku memberhentikan kereta betul-betul di tepinya.

'Noraini?'

Dia mengangguk  dan aku menyuruhnya memasukkan begnya ke tempat duduk belakang. Kemudian dia duduk di sebelah aku. Di dalam kereta aku bertanyakan itu dan ini.  Dia yang agak ramah menjawab itu ini. Aku juga memberitahunya bahawa kerjanya begitu begini.  Dia faham dan berjanji untuk bekerja sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun.

Aku hantar dia terus ke premis tempatnya tinggal dan berkerja, berkenal-kenalan dengan pekerja yang ada dan juga berkenal-kenalan dengan anak-anak yang tidak berapa ramai yang datang masa cuti sekolah ni.

Sebelah petang lebih kurang pukul enam aku terima panggilan darinya.  Dalam sedu sedan dia berkata yang dia mahu pulang kerana teringatkan emaknya. Adui... dia datang dari tapah, perak.  Bukannya dekat. Umur pun bukannya belasan tahun.  Sudah 22 tahun. Berpisah dengan emak pun belum sampai satu hari. Lidah aku jadi kelu tak terkata-kata. 

Panjangnya intro.  Aku sebenarnya nak menyentuh sikit bab makan.  Semasa dalam kereta aku bertanya sama ada dia dah makan ke belum.  Dia jawab belum.  Aku singgah di kedai Z n I di fasa 4 dan menapau nasi, peha ayam seketul, sayur mayur, dan bungkus ikan tenggiri seketul bersama kuahnya.

Berapa?

Sebelas ringgit kak. Dalam hati aku berkata-kata, mahallllnyaaa..

Aku hulur sebelas ringgit tetapi dia pulangkan balik dua keping duit seringgit. Bila dia tengok aku belek-belek duit tu,dia cakap;

sembilan ringgit je kak.

Rupanya aku yang tersalah dengar.
Ya... rasanya kita selalu meletakkan satu standard dalam minda kita bahawa kalau kita beli makanan di restoren biasa apatah lagi di gerai-gerai tepi jalan, harga tak boleh lebih daripada sepuluh ringgit.  Kadang-kadang kalau kena bayar lapan ringgit pun kita dah rasa mahal walaupun benda yang kita makan tu buat kita kenyang sampai tak boleh nak benapas.

Tapi kalau kita makan di kfc ke, mc d ke atau restoren-restoren mewah, kita tidak pula merungut-rungut kata mahal. Sebab kita dah setkan dalam otak. Makan di restoren begitu harganya mesti begitu.  Makan di restoren begini, harganya mesti begini. Semuanya adalah mainan minda kita sahaja.

Errr.. Sabtu Ahad ni banyak kenduri lagi.

kakpah

Wednesday, June 1, 2011

membakar dan terbakar

Pagi indah.  Mood nak berbloging tetap ada tapi tak tahu nak cerita pasal apa. Otak semacam beku.  Kalau berjoging bagi wap-wap panas keluar alangkah bagusnya tapi sekejap lagi nak hantar adik ke sekolah.

Lampu letrik di jalan masih menyala walaupun dah siang. Berlaku pembaziran di situ.  Mungkin ada yang terlupa memadamkannya.  Buat aku teringat pada lampu jalan di depan rumah aku di kampung. Tiang lampu itu tercacak di situ atas permintaan abah supaya depan rumah terang pada waktu malam walaupun bil letriknya abah kena bayar 10 ringgit sebulan. Bila rumah kampung tinggal, lampu letrik di tiang tepi jalan itu masih terus berfungsi dan aku masih lagi membayar bilnya. Abang aku suruh aku potong saja letrik tu tapi sampai sekarang belum aku buat buat.  Sekurang-kurangnya orang yang melalui jalan itu pada waktu malam tidak kegelapan.

Zaman semasa tiada letrik adalah zaman gelap yang aku tidak lupa. Lampu petik tepi tengah menyala tak ada.  Malam cuma bertemankan pelita atau lampu gasolin. Dengan lampu itulah membolehkan aku masuk sekolah berasrama. Kipas tak ada. TV apatah lagi. Aku menerima keadaan itu seadanya.  Tidak banyak komplen. Lagipun abah tak payah risaukan duit nak bayar bil letrik tiap-tiap bulan.

Tidak seperti sekarang.  Kalau letrik terputus seolah-olah sudah sampai ke penghujung dunia. Dalam rumah kepoh kata panas sebab kipas tak berputar. Nasi kena tenggek atas dapur sebab rice cooker tak boleh pakai. Baju kena cuci dengan tangan sebab washing machine tak boleh buat kerja. Kalau baju berlambak-lambak sebab famili besar macam aku nampakya kena longgok dulu sehingga letrik datang balik. Sememangnya diri kita bertambah manja.

Mereka yang berkenaan pun kena faham juga yang kita terlalu bergantung pada letrik. Kita terlalu manja dengan letrik. Jadi tak payahlah susah-susah naikkan tarif letrik tu. Imajin aku yang mempunyai beberapa premis tadika dan taska. Setiap bulan aku dikenakan tarif berbeza kerana premis itu dikira sebagai premis perniagaan. Itupun dah beratus-ratus ringgit setiap premis.  Bila tarif letrik naik, pastilah bil letrik aku akan turut melonjak sama. Sakit.

Itulah.  Kan aku dah cakap aku tak ada cerita nak tulis. Pasal itu melalut hal letrik. Sebab lepas ni aku kena beringat-ingat bila nak kena pakai oven. Nampaknya aktiviti bakar membakar dalam oven ni terpaksa dikurangkan.  Boleh ke gitu?

kakpah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...