Followers

jom klik

TADIKA AULAD HAS BEEN MOVED TO ANOTHER LOCATION. CLICK HERE IF YOU WISH TO GO TO TADIKA AULAD
Showing posts with label perasaan. Show all posts
Showing posts with label perasaan. Show all posts

Tuesday, May 22, 2012

Tidak puas hati

Aku membelek-belek baju yang baru aku pakai  lima nam kali itu. Terdapat noda-noda putih di bahagian depan seperti terkena percikan air clorox. Dengan rasa tidak puas hati aku tunjukkan bahagian yang bercapuk itu kepada hasben aku.
Apasal tu!
Ntah.. macam terkena percikan clorox je.
Mana datangnya clorox
Beli ar..
Apasal beli clorox.
La.. tu kain buruk lap-lap dapur tu nak kena kasi clorox biar putih balik
Tak usah belikan clorox. Habis rosak baju.

Sudahnya simpati yang aku minta berkesudahan dengan aku yang disalahkan. Memang aku tak puas hati. Aku sayang baju tu. Tapi tak puas hati pun perkara dah berlaku.  Bukannya ia boleh kembali seperti sediakala.

Dalam hidup sehari-hari banyak benda yang membuat kita tidak puas hati.
Tidak puas hati pada diri sendiri kerana sering mungkir janji pada ikrar untuk memperbaiki diri.
Tidak puas hati pada anak-anak yang lepas makan letak pinggan kotor dalam sinki.
Tidak puas hati dengan bibik yang memandai-mandai buang-buang benda tanpa tanya dulu sama ada benda tu berguna lagi ke tidak.
Tidak puas hati dengan Jordan yang sering terkencing tepi tayar kereta.
Tidak puas hati pada drebar van sekolah yang sering mengumpat perihal orang sedangkan orang itu sudah tidak ada kena mengena dengan dirinya.
Tidak puas hati dengan macam-macam hal.

Nothing is perfect
Nobody is perfect

Tak puas hati betul la.
Apa hal..
Orang punya bla..bla.. letak dalam almari tu bla..bla.. hilang bla..bla.. tak tau sapa amek.

Aku kadang-kadang teringin menjadi perfectionist. Tapi cepat sedar diri bahawa aku adalah insan biasa yang tidak lepas dari membuat kesilapan. Dan tidak puas hati kepada sesuatu itu adalah sifat semulajadi  manusia. Mudah-mudahan sifat itu boleh membawa kepada usaha untuk menjadi manusia yang lebih baik.

Nenda.. nak tengok katun.
Ala.. nenda tengah tengok csi ni.
Nak tengok katun.
Kejap ye..
Aish nak tengok katunnnnnnn....
Tengok kat luar ye..
Kat luar tak ada katunnnnnn.

Memang dia tak puas hati kalau tengok aku baring atas katil sambil menonton rancangan kegemaran aku. Akhirnya terpaksa juga aku tekan butang channel 618 rancangan baby tv kesukaannya itu.

Dua minggu kebelakangan ini dia banyak meragam, merajuk, menangis susah nak dipujuk menggambarkan ketidak-puasan hatinya kerana berkongsi kasih bersama Hafiy, si adik baru.


ibundo


Thursday, December 8, 2011

Dendam kesumat

Hidup  bertambah dewasa bersama bertambahnya angka pada umur kita. Betullah kata orang, semakin kita menginjak tua semakin matang cara kita berfikir.  Tindakan kita lebih banyak menggunakan akal fikiran daripada menggunakan hati dan perasaan.

Aku bukan seorang yang perfect. Di sana sini memang banyak cacat cela tetapi semakin jauh hidup ini aku cuba sedaya upaya mungkin menjadi lebih baik. Kalau dulu aku cepat marah, aku kawal supaya ia tidak menguasai aku.  Kalau dulu aku suka berdendam pada mereka yang menyakitkan aku, aku cuba supaya mencampak jauh perasaan itu. Itu sekadar dua contoh.

Kalau nak cerita pasal dendam dan marah, aku masih teringat-ingatkan orang yang membuat aku berkecil hati teramat sangat walaupun perkara telah berlaku lebih 30 tahun dulu. Aku ingat kata-katanya setiap patah dan pada kala itu aku berkata pada hati bahawa aku tidak akan memaafkannya sampai mati.  Bila memikirkannya sekarang, tidak ada untungnya yang aku dapat berdendam sehingga begitu sekali. Manusia ini.. mana ada yang sempurna melainkan pilihanNya. Jadi, diam-diam aku kuburkan dendam aku walaupun dia entah di mana dan entah ingat pada aku lagi atau pun tidak.

Setiap kejadian yang berlaku ada sebabnya. Aku berpegang kepada qada' dan qadar dan pegangan ini membuat aku lebih mudah menerima. Aku pegang bahawa setiap yang berlaku itu adalah ujianNya untuk aku dan tahun-tahun kebelakangan ini aku memang kerap diuji.

Emak tu lembut sangat. Orang buat mak pun, mak diam.

Hati aku memang sudah menjadi terlalu lembut. Rasa dendam itu sudah tidak ada. Rasa marah pudar dengan sekejap masa.

Dengan mak bolehlah nak nangis-nangis mintak maap.  Dengan kami ni, sorilah.

Semua yang terjadi ada sebabnya.  Allah maha mengetahui. Allah mahu aku menjadi lebih baik. Allah mahu orang yang menyakiti aku menjadi lebih baik. Aku redha dengan apa yang telah dilakukan kepada aku. Aku tidak mahu menyimpan dendam.  Semuga Allah mengampunkan dosa-dosa aku.

Wahai anak-anak.  Belajarlah menjadi dewasa bersama dewasanya umur kita. Jadilah orang yang pemaaf sekiranya orang itu benar-benar menyesali apa yang telah dilakukan.

Ada kalanya kita sendiri perlu kepada peluang kedua.


Orkidku yang sedang berkembang cantik. 
Jadikan hati kita secantik bunga yang sedang kembang.



ibundo

Wednesday, November 23, 2011

Bukan sahaja ditikam dari belakang malah diracun

Aku bukan peminat drama tv tetapi kadang-kadang aku tonton juga. Sekiranya cerita berkisar mengenai hasad, kawan makan kawan dan apa saja yang aku tak berkenan, aku akan tengok cerita lain. Walaupun cerita seperti itu merupakan iktibar dan memang berlaku dalam kehidupan manusia, aku tidak gemar menontonnya.

Namun sebuah realiti menghempap diri aku sendiri.  Sebuah realiti yang sering didramakan dalam tv.  Sebuah realiti yang sering didramakan di tv yang aku tidak gemar menontonnya. Dan apabila  ia menghempap diri aku sendiri ia membuatkan rasa marah dan sedih aku berbaur. Rasa sakit dan pahit bersatu. Rasa terkilan dan diperbodohkan berpadu.




Kawan!!!
Sampainya hati kamu. Segala kepercayaan kini menjadi serpihan serpihan yang tidak mungkin akan bercantum semula.

ibundo

Saturday, November 5, 2011

Ekor yang patut aku cantas

Aku jalan selangkah, dia jalan selangkah.
Aku undur ke belakang, dia undur ke belakang.
Aku menapak lima enam tapak, dia manapak lima enam tapak.
Aku pusing sebelah sana, dia ikut.
Aku pusing sebelah sini, dia pusing sebelah sini.
Aku ambil sesuatu,dia tengok.
Aku letak balik.
Aku ambil sesuatu yang lain, dia tengok.
Aku letak balik.
Aku jadi rimas.
Mahu rasanya aku bagi dia pelempang sebijik.

Dan tanduk di atas kepala aku mula membolos keluar meretas tudung hitam aku.
Aku maju pusing ke kiri ke kanan ke kiri ke kanan ke belakang ke depan. Lucunya, dia masih menjadi ekor.
Aku jalan laju-laju, dia jalan laju-laju.
Aku brek, dia brek.
Kemudian aku terus  menonong keluar tetapi sempat berhenti sekejap depan kaunter.

Bos.. you cakap sama itu orang, saya mahu beli barang tak payah ikut-ikut lah. Saya tak suka lah.  You tengok.. saya mahu beli barang pun tak jadi beli. Sapa rugi? You jugak yang rugi.

Cis.. memang aku tak gemar.





Gambar tak ada kena mengena dengan n3. Aku snap insect ni di celah-celah daun di tadika. Apa namanya binatang ni? Ada sesiapa tahu?



Selamat menyambut idil adha kepada semua pembaca dan semuga mendapat haji mabrur kepada hidayatun dan saiful dan juga kepada semua jemaah haji.


ibundo

Thursday, August 4, 2011

Lepek Lepak Lepuk

Lain hulu lain parang. Lain dulu lain sekarang.
Banyak sangat lainnya. Yang pastinya kederat memang dah tak sama.

Penat sangat ke.  
Itu Yah yang bertanya semasa aku ke taska tenghari semalam. Dan aku takut untuk mengangguk mahupun bercakap.  Takut menghabiskan sisa tenaga yang berbaki.  Rasanyalah. Halnya, aku ke jabatan pendidikan dan ke tesco yang letaknya hanya setengah pelaung dari situ, sebelum aku singgah ke taska. Banyak tenaga aku berciciran di sana.

Memang kederat dah tak sama.  Tak macam dulu.

Apasal mak buat kerja duduk atas bangku.

Kaki mak tak tahan berdiri lama.

Aku kupas bawang duduk atas bangku.
Aku buang kulit kentang duduk atas bangku.
Aku  potong sayur duduk atas bangku.

Bangku itu memang aku tak bagi sesiapa alihkan. Biar dia terperosok tepi dinding dapur.  Senang aku mencapainya bila perlu. Tapi seperti biasa aku banyak berdiri juga.  Lagi sedap berdiri daripada duduk kerana duduk seperti membuatkan pergerakan aku terbatas. Dan petangnya mesti aku melepek.

Kenapa mak cepat penat? Dulu takde pun?

Mak dah tua.

Tiada alasan lain yang mahu aku berikan. Memang itu hakikatnya. Sesuatu sudah berubah.
Yang tidak berubah, anak-anak masih perlukan aku untuk menyajikan juadah berbuka yang enak. Yang tidak berubah, hati aku tetap berbunga-bunga untuk menyediakan juadah berbuka puasa yang enak-enak untuk anak-anak aku. Sememangnya mereka ternantikan hidangan berbuka puasa hasil air tangan aku. Dan mereka sedikit mengeluh kerana pada supuluh terakhir ramadhan mereka terpaksa makan hasil air tangan bibik.

Orang yang nak disuruh masak tu kata dia tak sanggup nak masak untuk majlis kita tu.

Tak apalah. Aku buat perlahan-lahan.  Bibik ada.  Anak-anak pun ada. Siapa lagi nak membantu kalau bukan mereka.  Aku sudah dapat bayangkan betapa melepeknya aku. Melepek tahap maksima. Habis tu?  Siapa yang nak layan tetamu..?




Selamat menjalankan ibadah puasa kepada kamu, kamu, dan kamu yang masih sudi singgah di sini. Kederat aku sudah banyak berkurangan walaupun untuk menjenguk-jenguk  kamu di sana.

ibundo

Friday, July 1, 2011

Lambaian

Dari tempat aku menulis, aku dapat melihat daun-daun nyiur di depan rumah jiranku meliuk lintuk dibuai angin. Gerakan lemah gemalai dedaun itu seolah-olah sedang menggamit datang seseorang yang jauh nun di sana. Ia melambai-lambai. Terus menggamit-gamit.



Lambaikan tangan dan sebut nama siapa yang kamu mahu datang kemari.

Sebut nama siapa ayah ?..

Sebut saja nama sesiapa.

Nama kawan boleh?

Boleh..

Maka kami pun melambaikan tangan setelah selesai berdoa di bukit Safa.  Tidak lupa juga berdoa supaya nama yang kami sebut-sebut itu diberi rezki Allah untuk sama menjejakkan kaki mereka di rumahNYA itu.




Sekiranya ada kemampuan, pergilah.  Kita belum kenal erti rindu sebenar-benarnya sekiranya mata belum bertentangan dengannya.  Kita belum kenal erti rindu sebenar-benarnya sekiranya jiwa dan badan belum bersujud di dalam Haram.

Aku sedang menanggung rindu.

ibundo

Saturday, May 28, 2011

Ada kerja taknak kerja. Bila tak ada kerja buat pula kerja yang tak berpaedah.

Jangan dituba ikan di kolam.
Nanti ikan bergelimpangan mati. Orang tak lagi boleh menjala. Orang tak lagi boleh memancing.

Jangan diracun air di perigi.
Orang tidak lagi boleh minum airnya.  Kalau minum buruk akibat.  Mungkin mati.  Mungkin koma.  Mungkin ceret beret.

Jangan ditabur pasir ke dalam beras.
Kalau ditanak berderap derup bila dikunyah. Nak dibuang sayang.  Nak diasingkan pasir dan beras alangkah payah.

Jangan dilanyak padi di bendang.
Padi tu baru nak hidup. Kalau dilanyak macamana dia nak besar.  Kalau tak besar macamana nak tuai hasilnya.  Kalau tak tuai hasilnya macamana nak dapat beras.  Kalau tak ada beras macamana nak makan nasi. Ramai orang tak boleh kalau tak makan nasi.  Hari-hari mesti makan nasi.

Jangan ditebang pokok durian.
Pokok durian dah berpuluh tahun hidup.  Selama hidup tak ada pun menyusahkan orang.  Lagi orang berebut-rebut nak makan isi tembaganya yang kuning adalah.  Kalau ditebang rugi. Tuannya tak ada sibuk pun nak tebang. Orang yang tak berkenaan tak payahlah sibuk pula.


Kenapa nak tuba ikan di kolam.
Kenapa nak racun air perigi.
Kenapa nak tabur pasir dalam beras.
Kenapa nak lanyak padi di bendang.
Kenapa nak tebang pokok durian.

Bukan kah itu dengki namanya.

Orang yang dengki ni letak otak di lutut.
Orang yang dengki ni tak ada hati perut.
Orang yang dengki ni selalu tak takut.
Akan janjiNYA yang melakukan kerja-kerja yang tak patut.


Hello.. ni siapa?  Aku cukup pantang kalau orang menelefon aku tetapi bertanya pula siapa aku.

Nak cakap dengan siapa?

Ni puan latifah ya.

Ya...

Saya ada terjumpa di internet mengatakan puan nak jual taska.  Aku terkedu.  Senyap.


Hello... kalau nak jual saya minat nak beli.

Maaf puan.  Saya tidak ada buat apa-apa iklan di internet. Saya tak ada nak jual taska saya. Rumah tu rumah saya. Kenapa pula saya nak jual.

Tapi suami saya jumpa kat internet ni.  Ada gambar taska dan nombor telefon puan.

Perbualan bersambung beberapa minit dan aku lebih berminat untuk meletakkan telefon saja. Panggilan ini membuatkan masa aku berdetik sepanjang hari dalam aku berkeadaan bengang.

Siapalah punya kerja yang nak meracun periuk nasi aku.
Hujung tahun lepas ada parents yang nak mendaftarkan anaknya tak nampak tadika padahal dia parking kereta betul-betul bawah pokok di depan tadika.
Ada juga limau terbelah yang ditabur di depan gate.  Cikgu aku rasa kakinya berat dan sakit-sakit dan terpaksa berubat. Mungkin kebetulan.  Mungkin tidak. Yang pasti banyak benda yang sepatutnya kami tak nampak tapi nampak.




kakpah

Saturday, May 7, 2011

Sayang Tidak Bertepi

Mak! tengok man ni.  Dia saja je nak cari pasal mak!!
Aku tengok man yang tersengih-sengih.

Mana ada pasal.... Adik tu saja je mak!!
Man mempertahankan diri. Dan tiba-tiba saja aku rasa macam si pasal duduk di kerusi sebelah aku.

Telinga aku sudah lali dengan aduan. Kecil-kecil dulu lagilah kerap mengadu. Aku kena pandai menilai aduan tanpa memihak di mana-mana.  Apabila sudah besar-besar begini aduan lebih mirip kepada gurau senda dan aku menerima aduan mereka sebagai satu bahan gurauan.

Zaman kanak-kanak, aku bebas daripada mengadu kepada emak kerana aku membesar sendirian. Semasa aku di darjah 5 kakak aku sudah habis senior cambridge dan bekerja di kuala lumpur.  Abang aku pula yang setahun lebih tua daripada kakak aku sudah juga berkerja dan pulang sekali sekala. Tidak ada benda yang hendak aku adukan pada emak. Berbanding dengan keriuhan anak-anak aku yang ramai, hidup sendirian seolah-olah anak tunggal adalah amat tidak menyeronokkan.  Tiada siapa yang hendak dilawan bergaduh.




Bila ada anak sendiri barulah sedar betapa susahnya emak aku dulu membela aku.  Menjadi ibu bukan sahaja memastikan anak-anak cukup makan, pakai dan memberi tempat berteduh tetapi memastikan mereka cukup didikan untuk meneruskan hidup di dunia dan juga buat persediaan ke akhirat. Dalam pada itu aku sentiasa berdoa supaya keadaan mental anak-anak aku cukup kuat untuk menerima segala macam dugaan yang dilalui di sepanjang perjalanan hidup ini.

Sepanjang tiga puluh tahun bergelar ibu tidak pernah sekali pun aku merasakan diri sebagai ibu yang sempurna. Mungkin aku bukan ibu yang dimimpi-mimpikan oleh anak.  Bukan ibu yang diharap-harapkan dimiliki. Tapi satu yang aku pelajari.  Walaupun ibu aku juga bukan seorang ibu yang sempurna tapi aku tidak bermimpikan seorang ibu yang lain. Aku amat menyayangi ibu aku sebagaimana ianya. Tanpa dia, tanpa aku. Tanpa aku, tanpa anak-anak aku.

Bohonglah kalau aku katakan aku tidak pernah berkecil hati dengan anak-anak. Semasa kecil, kesilapan anak merupakan kenakalan yang patut diperbetulkan. Apabila besar dan anak-anak sudah pandai menilai baik buruk, yang betul dan yang salah, hati tua aku akan cepat terasa sekiranya mereka melakukan kesalahan. Bukan sahaja kerana perkataan malah tingkah laku juga boleh mengguris perasaan. Tapi aku sentiasa berpegang kepada nasihat dan ajaran iaitu apa saja kesalahan anak-anak, cepat-cepat diampunkan kerana kita tidak tahu bila kala ajal kita akan sampai.

Kalaulah masa boleh diputar ke belakang ke zaman aku kecil dan remaja, sudah pasti aku akan sentiasa menggembirakan hati emak aku. Sudah pasti aku tidak akan melawan cakap emak. Sudah pasti aku tidak mengecilkan hati emak. Mungkin di awal-awal perjalanan hidup aku, aku kurang menjalankan tanggungjawab aku sebagai anak yang baik. Tapi mustahil masa dapat diundur. Yang tinggal hanya kenangan, pengalaman yang membantu aku berhadapan dengan anak-anak pula.

Pada satu pagi raya aku minta ampun pada emak. Ampunkan salah silap aku.  Ampunkan segala perkataan dan perbuatan yang pernah mengguris perasaannya.  Dan emak, seperti kebanyakan ibu yang lain dengan berjuraian air mata mengatakan bahawa aku tidak ada membuat kesalahan apa-apa terhadapnya.  Kalau adapun, sudah lama dia ampunkan.

Sampai sekarang renungan mata emak semasa dia memandang aku di hari-hari akhir hayatnya masih bermain-main di  ruang mata aku. Renungan yang sayu seolah-olah dia sudah tahu yang dia akan meninggalkan segala yang disayangainya di dunia ini.

Aku selalu impikan kasih sayang yang berkekalan daripada anak-anak aku. Aku tidak perlukan harta benda.  Tidak perlu curahkan aku dengan kekayaan dan wang ringgit. Berilah aku kasih sayang yang tidak bertepi. Dan sekiranya aku sudah tiada, hadiahkanlah aku dengan doa-doa demi kasih sayang terhadap aku.

Aku , seperti juga ibu-ibu yang lain, teramat-amat menyayangi anak-anak aku. Buatlah silap apa pun, aku akan maafkan. Buatlah salah apapun, aku akan ampunkan.

Dan seperti yang aku katakan awal tadi, aku tidak pernah mengaku bahawa aku ini ibu yang sempurna. Maafkan emak sekiranya emak membuat silap dan pernah mengecilkan hati kamu wahai anak-anakku.

Selamat hari ibu kepada ibu-ibu di luar sana.


kakpah

Thursday, April 28, 2011

Abnormality

Aku mula merasakannya selepas melahirkan Hussein lebih kurang 20 tahun yang lalu. Mungkin aku tidak dapat menerima tekanan luaran. Anak-anak yang kecil ketika itu dengan Hussein yang masih baby dan Man yang baru saja dapat berjalan. Tambah lagi tiada pembantu rumah untuk hampir satu tahun.

Suami membawa aku berjumpa dengan Dr Shatar kawan satu sekolahnya yang telah menjadi doktor pakar jantung di hospital tawakkal. Masa itulah baru aku kenal akan istilah palpitation, satu keadaan di mana degup jantung berada dalam keadaan tidak normal atau regular. Dr Shatar menasihati aku supaya sentiasa bertenang dan tidak mudah tertekan dengan keadaan.  Kepada suami pula dinasihati supaya mencari pembantu rumah dengan segera.

Walaupun ecg dibuat ketika itu, dr tidak dapat mengesan ketidaknormalan kerana palpitation ini bukannya berlaku mengikut kehendak kita. Pada ketika itu degup jantung aku okay. Dia ada membuat suggestion supaya aku memakai holter monitor iaitu semacam tape rekoder yang dilekapkan ke dada dan dipakai selama 24 jam. Benda itu boleh monitor degup jantung selama 24 jam ataupun katanya kita boleh offkan dan onkan semula bila kita dapati ada abnormaliti dalam degupan jantung.  Tapi aku tak pakai.  Aku pun tak tahu kenapa.  Dah lupa.

Palpitation aku datang dan pergi.  Ada kalanya dua tiga hari aku merasainya dan kemudian baik untuk berbulan-bulan.  Ada kalanya apabila dia datang, aku merasakannya setiap lima atau sepuluh minit setiap kali ataupun setiap satu atau dua jam setiap kali.  Berhenti sehari dua dan kemudian datang lagi. 

Tak kira masa.  Tak kira waktu.  Kalau dia nak jadi, dia jadi. Dan setiap kali datang aku kena kawal. Aku kena perlahankan aktiviti aku.  Kena kosongkan mind yang berserabut.  Kena tarik nafas dalam-dalam.  Kena rehat. (Sebab tu aku tak panjat tangga great wall tempoh hari).

Penyebabnya juga tidak menentu. Ada kalanya tidak ada sebab apa-apa dia berlaku juga.  Tapi yang aku perasan aku memang tidak boleh merasa tertekan atau stress.  Tak boleh susah hati.  Kalau aku susah hati lagilah dia datang bertubi-tubi susah nak berhenti.

Sudah tiga hari degup jantung aku ni tak normal.
Dag dug dag dug.. dagdugdagdugdagdug... dag dug dag dug.....
macam tu lah.




Memang aku tengah susah hati.

kakpah

Saturday, December 4, 2010

Air Batu Campur pun SODAP



Dua lebih tahun yang dulu aku tidak tahu pun blog itu apa. Anak-anak selalu bercerita itu ini dan bila aku tanya kat mana dapat, mereka bagitahu dapat kat blog kawan. Kemudian aku tengok suami aku pula buat blog. Hari-hari tulis kat blog. Pagi bukak blog tengok berapa hit. Sebelum tidur malam pun tengok berapa hit. Memang orang berduyun-duyun masuk blog dia, baik yang suka, baik yang mengutuk.

Bila aku bising-bising sebab bila aku nak berbual orang tak nak layan aku berbual sebab kusyuk buat n3, dia bagi sajesyen aku buat blog aku pulak. Aku tanya nak tulis apa. Dia cakap tulislah pasal tadika.


gambar yang tak ada kena mengena


Maka terkial-kiallah aku create blog aku. Semua buat sendiri dan bila siap, aku banggakan diri tunjuk pada suami dan anak-anak. Memang mulanya aku buat untuk promosi tadika aulad tapi lama-lama blog ini sudah menjadi macam air batu campur.

Tak kesah lah kalau orang nak kutuk aku atau memperlekehkan aku. Bagi aku menulis di sini merupakan satu perlarian. Lari daripada realiti dunia luar. Di sini aku bebas dan merdeka.

Biarpun hatiku rawan, aku tidak tunjukkan rawanku di sini.
Biarpun perasaanku tersentuh, aku tidak tunjukkan pedihnya di sini.
Biarpun aku merajuk, aku tidak tunjukkan rajukku di sini.
Biarpun aku dirundung masalah, aku tidak tunjukkan keluh kesahku di sini.
Biarpun ada orang membenci aku, aku tidak tunjukkan kebencian itu di sini.

Di sini tempat perlarian aku.

Harap maklum,

Tuesday, October 12, 2010

Siapa nak naik, naiklah.. Aku taknak.



Beberapa tahun yang lalu, aku dan beberapa anak aku yang masa itu masih bersekolah, ke kuala perlis dengan menaiki keretapi. Anak-anak aku beriya-iya mengajak kami menaiki keretapi kerana kata mereka belum pernah sekali pun seumur hidup mereka merasa menaiki keretapi selain komuter.

Kena dengan cuti sekolah, kami mulai pengembaraan ke Langkawi dengan menaiki unser dari rumah, meninggalkan unser di Universiti Malaya, menaiki lrt ke KL Central dan seterusnya keretapi tanah melayu terus ke kuala perlis.



Setelah kali terakhir menaiki keretapi pada tahun tujuh puluhan semasa pulang dari sekolah dari JB ke seremban, itulah pula pertama kali aku menaikinya semula. Memang banyak perubahan. Tidak seperti zaman sekolah aku dulu.

Hendak dijadikan cerita, sepanjang-panjang kami bercuti itu hujan turun tidak berhenti-henti. Banjir berlaku di Perlis. Ketika kami mahu pulang semula ke Kuala Lumpur, keretapi yang dijadualkan tiba di kuala perlis untuk membawa kami pulang, tidak dapat datang kerana halangan banjir. Keretapi hanya dapat sampai di kuala kedah sahaja. Kami terperangkap.

Kami bermesyuarat tergempar. Yang bermesyuarat cuma aku dan suami. Anak-anak masih beriang ria. Suami kata, kita kena ke kuala kedah. Kejar keretapi di sana. Sempat ke. Tak tau sempat ke tidak. Naik apa. Kena cari teksi. Kena cari dua buah teksi.

Kami cari teksi. Cari sana. Cari sini. Semua dah penuh.

Mesyuarat lagi. Kita naik bas ekspress terus ke KL. Tidak!!!! Aku menjerit kecil. Jangan sebut bas ekspress dengan aku. Aku fobia.

Akhirnya kami mendapat dua biji prebet sapu yang meredah laju melalui kampung, tepi sawah, tepi tali air membawa kami ke stesen keretapi kuala kedah. Bila aku sampai, keretapi sudah sedia ada di situ tetapi kereta yang membawa anak-anak belum nampak kelibat. Bayangkan susahnya hati kami. Mungkin kesihan melihat air muka kami yang bagai menunggu empangan pecah, keretapi menunggu di situ sehingga anak aku tiba. Adalah dalam 15 @ 20 minit lewat.


Intro yang panjang ini sebenarnya menjurus kepada kebencian dan ketakutan aku kepada bas ekspress. Aku bukan bersikap berlagak. Tapi aku memang tidak sukakannya. Tragedi demi tragedi yang melibat bas ekspress membuatkan aku fobia. Sekiranya ada anak-anak yang terpaksa ke satu-satu tempat yang memerlukan mereka menaiki bas, jantung aku akan berdegup dagdug dagdug sehinggalah mereka sampai ke destinasi.

Bagi aku bas ekspress:

* berlagak di jalanraya. Ramai pemandunya yang merasa gah kerana kenderaan mereka besar dan justeru itu tidak teragak-agak memandu laju di lane tengah atau lane paling kanan.

* membahayakan pemandu lain di jalanraya. Mereka sering menyalakan lampu kepada kenderaan lain yang memandu perlahan di hadapan mereka dengan memaksa kenderaan itu memberi laluan untuk mereka terus memandu laju.

* selalu membahayakan nyawa penumpang

Aku selalu menasihati anak-anak dan juga diri aku sendiri, sekiranya terserempak dengan bas ekspress yang berlagak di lebuhraya/jalanraya, ketepilah... bagi laluan kepada mereka.




Sekitar tahun 78 dulu aku pernah menaiki bas SKS (Seremban KL Seremban) untuk balik ke KL dari Seremban. Sebelum sampai Nilai, bas itu bergesel dengan sebiji kereta. Bas hilang kawalan, merempuh pembahagi jalan, masuk ke jalan bertentangan, berpusing dan terhenti menghadap ke Seremban semula , di tepi jalan betul-betul sebelah gaung. Kereta tadi berpusing-pusing juga dan terhenti tidak jauh dari bas. Nasib kami baik dan umur masih panjang. Tidak ada kenderaan lain yang terlibat.

Kenapa aku fobia dan benci bas ekspress? Itulah jawapannya.


Lihatlah muka-muka sedih yang kita nampak di surat kabar dan kaca tv meratapi orang yang mereka sayang. Aku sendiri terperangkap dalam kesesakan lalu lintas ahad kelmarin apabila pulang dari melaka ke bangi. Takziah kepada keluarga mangsa dan alfatihah untuk mangsa beragama islam.


Tuesday, September 28, 2010

Bukan Michael Jordan

Keluarga aku sukakan kucing, sayangkan kucing. Aku pun sayangkan kucing juga tetapi tidaklah sampai bawa balik ke rumah setiap kali terjumpa anak kucing atau pun sanggup berhabisan ratusan malah ribuan ringgit untuk membeli seekor kucing. Tidak. Bukan tidak suka. Aku cuma malas untuk membereskan kekotoran yang ditinggalkannya.

Tetapi bila kucing ini datang ke rumah dan meminta-minta untuk dimanjakan, anak-anak meminta pekenan untuk membelanya. Maka jadilah ia penghuni tetap di rumah ini dengan memakai gelaran Jordan.

Semasa mula membelanya dulu aku memberi amaran padanya supaya tidak membuang isi perut sesuka hati. Benar. Kalau dia memerut, dia akan pergi jauh dari rumah. Namun kebelakangan ini perangai Jordan yang suka kencing merata-rata membuat aku naik hangen. Di mana dia lalu, dengan dengkinya dia akan menembak di tempat-tempat yang dia pekenan. Kalau lalu di depan pintu, di pintulah. Kalau lalu di tepi rak kasut, di rak kasutlah. Kalau lalu di tepi almari, di almarilah. Ikut sesuka hati dia saja.

Pernah sekali dulu aku tengah mencangkung di belakang rumah menanam pokok cili. Dia datang menggesel-gesel dan tetiba saja peha aku terasa panas. Ada ke aku dikencingnya. Aku kejar dia hingga dia lari lintang pukang.

Semasa aku ke pekan baru baru-baru ini aku mendapat sms daripada farah yang Jordan telah mengencingkan kakak ipar aku yang tengah duduk-duduk berbual-bual di dapur. Siapa yang tak hangen.

Memang aku dah tak tahan dengan perangainya yang kencing merata-rata. Aku tak suka najis bertaburan di dalam rumah. Aku nak buat macamana ye. Ada sesiapa yang nak bela kucing aku?hehe.

Di pekan baru, aku sempat ke rumah abang kepada kakak ipar aku. Dia ada membela 3 ekor kucing parsi yang cantik. Bulunya lebat dan panjang. Memang cantik. Sesiapa penggemar kucing yang melihatnya pasti berasa geram. Aku juga rasa geram. Tetapi bila memegangnya dan memeluknya, bulu panjangnya akan tinggal di tudung dan baju.

err.. sila fokus pada kucing

Yang pasti aku tidak akan membela kucing seperti itu kerana bukankah bulu-bulu yang tertanggal itu dikira najis juga?
.
.
.

Berbalik kepada cerita asal. Macamana nak selesaikan masalah Jordan kucing aku ni. Datangnya tidak diundang. Perginya tidak disuruh. Tapi kalau boleh memang aku hendakkan dia pergi.

kakpah

Tuesday, June 1, 2010

semua besar-besar

Salam.


Impian kita selalu yang besar-besar.

gaji besar
rumah besar
kereta besar
gelang besar
tokeh besar
jiwa besar
badan besar... erkk!!!

Apa salahnya asalkan tidak menyalahi hukum Allah yang Maha Besar.

Beli selai tshirt CH saiz L
tapi bila pakai teramatlah BESAR
seperti baju pinjam.


.
.
.
.
.

Tapi adalah tersangat menyampah pada orang yang suka cakap besar.
Kalau bercakap tak mahu kalah.


Sakit telinga dan sakit hati. Nak buat macamana ek...

kakpah

Sunday, May 2, 2010

Kepenatan Melampau

Salam.



Pada hari buruh semalam, aku sepatutnya berlibur bersama bibik2 aku yang ke KL berjalan sakan sehingga ke malam. Tapi aku BEKERJA di dapur untuk menjamu sepupu dan keluarga yang datang makan tengahari dan untuk adik beradik yaang datang bermesyuarat hal keluarga pada sebelah malam.



Sudahnya aku tergigil keletihan.

Aku impikan badan dibelai di spa 5 bintang dan relek-relek di tempat peranginan jauh dari orang ramai supaya lepas bebas daripada keserabutan otak.

Alangkah baiknya kalau isteri-isteri mendapat cuti dari tugasan rumahtangga sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan. Dan tugas semasa isteri bercuti itu diambil alih oleh suami sepenuhnya. Isteri juga perlu bernafas. Bukan begitu?

kakpah

Wednesday, April 28, 2010

Hati Mesti Cantik






Salam.

Manusia tersangat suka kepada yang cantik-cantik.

paras yang cantik
body yang cantik
anak-anak yang cantik
cucu-cucu yang cantik
baju yang cantik
kasut yang cantik
henbeg yang cantik
rumah yang cantik
kereta yang cantik
duit yang cantik
macam-macam lagi yang cantik





Kenapa mak beli baju warna ni. Tak cantik la....


Kecantikan itu bukankah pada mata yang memandang. Cantik pada kita tak semestinya cantik pada orang. Cantik pada orang tak semestinya cantik pada kita.

Tapi kan.....

Kenapa bila kita ke dapur kita cari yang buruk?

Mak!!! kain buruk mana. Nak lap meja ni...




Janganlah kita pandang rendah pada yang buruk.

kakpah




Thursday, September 24, 2009

Renungan Itu

wak Sahaman (bapa saudara)



pelbagai cerita
pelbagai rasa
pelbagai ungkapan
pelbagai kehilangan
terkumpul
dalam sebuah
renungan





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...