Followers

jom klik

TADIKA AULAD HAS BEEN MOVED TO ANOTHER LOCATION. CLICK HERE IF YOU WISH TO GO TO TADIKA AULAD

Monday, September 29, 2008

APA ITU RAYA

Raya maknanya mesti ada baju baru. Belum masuk bulan puasa lagi anak-anak dah sibuk menyoping baju raya. Masa anak-anak kecil-kecil dulu, membeli baju raya adalah satu aktiviti yang memenatkan. Mana tak penatnya, mana nak pilih baju lagi, mana nak memerhatikan anak-anak lagi. Ada kalanya menjaga mereka macam main galah adang sebab anak-anak tak tahu duduk diam.

Dulu kami shoping di globe silk store. Selain murah, semua boleh dibeli(melainkan kasut) tanpa perlu pergi ke mana-mana lagi. Masa itu aku sendiri menjahit baju untuk anak-anak perempuanku. Aku beli kain cotton sahaja. Murah. Lagipun mereka belum pandai nak komplen. Untuk anak lelaki t.shirt dan seluar murah-murah pun banyak. Membeli kasut juga memeningkan. Kami yang memilih ini pening, apatah lagi jurujual. Suruh ambil yang ini, cuba, tak muat pula. Ambil yang lain, tak ada saiz. Untuk 6 orang anak (masa tu masih 6), berpeluh juga jurual tu melayan kerenah kami anak beranak.

Kemudian bila dah berduit sikit, kami pindah shoping di Jusco Taman Maluri. Anak-anak perempuan masa tu dah boleh diharap menengok-nengokkan adik-adik lelaki yang masih tak duduk diam.

Sekarang ni bila semua dah besar, anak-anak tidak mahu shoping dengan kita lagi. Minta duit saja lepas tu, pergi beli sendiri. Lagipun pusat membeli belah dah banyak di kawasan Kajang . Tak perlu lagi bersusah payah ke KL melainkan memang sengaja nak menyusahkan diri.

Raya maknanya mesti ada duit raya. Bila raya dah nak dekat, kita kena pastikan duit raya untuk anak-anak dah ada. Duit raya dah macam menjadi satu kemestian. Dari mana asal usulnya trend ini, tak tahu lah. Tapi semasa kecil dulu abah aku tak adalah pula bagi aku duit raya. Ada tak adanya, masa ke surau untuk sembahyang raya, pakcik Kasim akan berjalan ke setiap sudut bagi duit pada budak-budak. Dapatlah dua puluh sen. Bila dah tingkatan dua aku dah tak layak lagi dapat duit raya. "Ekau dah bosa. Tak payah". Sampai sekarang ni pakcik Kasim masih lagi meneruskan tugasnya mengagihkan duit raya di surau tersebut. Cuma nilainya dah naik ke lima puluh sen.

Masa kecil, anak-anak aku yang masih berfahamkan raya maknanya "duit raya", akan meround keliling kawasan perumahan kami, ketuk gate orang walaupun tak kenal mereka. Bila balik ke rumah, mereka akan berkumpul adik beradik dan mengira berapa banyak mereka dapat untuk hari tu. Bangganya masing-masing. Kadang-kadang ketidakfahaman mereka ini memalukan kami. Bila jalan raya ke rumah kenalan atau saudara mara, dan mereka ini pula tidak menyediakan duit raya, dengan selamba anak aku cakap "tak de duit raya ke" ataupun"tak kan tak ada duit raya". Tuan rumah tersipu dan kami ni lagilah puas nak cover.

Raya maknanya mesti ada kuih raya, mesti ada rendang, mesti ada ketupat atau nasi impit. Masa kecil dulu setiap raya mak mesti buat kuih bahulu. Masa tu mana ada mesen pengisar. Kenalah pukul telur dalam pasu guna pemukul yang ada spring tu. Yang jadi mangsanya akulah. Memang tak boleh lari. Lenguh. Lenguh tangan kanan pakai tangan kiri. Lenguh tangan kiri pakai dua-dua belah tangan. Itu belum bab kena jaga lemang lagi. Sampai naik pijar muka duduk depan api. Sekarang ni banyak kemudahan. Bagi yang malas nak buat biskut raya, pergi jelah kat Warta. Tunjuk mana yang nak. Kemudian bayar saja. Dua tahun kebelakangan ini aku buat biskut raya sendiri. Sebabnya kalau beli dapat sikit. Mesti sorokkan. Kalau tidak, belum raya lagi biskut dah habis. Bila buat sendiri, dapat banyak. Makanlah. Sedap tak sedap belakang kira.

Kalau nak lemang pun, banyak dijual di tepi jalan. Tapi tengok nasib juga. Nasib kurang baik dapat lemang yang keras ataupun yang berderai. Aku pernah dapat yang seperti itu. Tahun lepas sebatang lapan ringgit. Tahun ni berapa ye. Besok baru aku nak pergi beli.

Raya maknanya mesti balik kampung. Tiga empat hari lagi nak raya, kami dah balik kampung dah. Itu satu kemestian. Pernah sekali kami beraya di Bangi. Masa tu aku baru sahaja beberapa hari melahirkan anak yang ke tujuh. Keadaan di kawasan perumahan kami gelap gelita. Ada beberapa biji rumah saja yang ada orang. Hebatnya penangan kampung halaman.

Raya tahun ini paling bermakna buat kami. Sebabnya buat pertama kali kami betul-betul beraya di rumah sendiri. Jiran-jiran kami dah banyak yang balik kampung. Kami tak balik. Abah ada di rumah kami. Emak mertua aku pun ada di rumah kami. Kami semua beraya di Bangi.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...