Followers

jom klik

TADIKA AULAD HAS BEEN MOVED TO ANOTHER LOCATION. CLICK HERE IF YOU WISH TO GO TO TADIKA AULAD

Saturday, October 18, 2008

ATUK

Datuk aku sebelah emak bernama Maaris dan sebelah abah pula bernama Mohd Nor. Kedua-dua datuk aku meninggal sebelum aku lahir. Abah beritahu, atuk Mohd Nor meninggal semasa abah belajar di Tanjung Malim. Sebaik abah sampai semula ke Tanjung Malim setelah selesai hal pengkebumian atuk, abah menerima satu lagi telegram. Kali ini memberitahu yang atuk Maaris pula meninggal dunia. Pemergian kedua-dua atuk aku hanya selang beberapa hari sahaja. Tapi atuk Maaris meninggal secara tragis. Ia hanyut di sungai semasa pulang dari sawah bersama nenek. Mayatnya juga tidak dijumpai. Hanya beberapa bulan kemudian seorang yang sedang menjala ikan nun jauh di hilir, berjumpa dengan tengkorak. Nenek dan kaum kerabat kemudian mengesahkan bahawa itulah tengkorak atuk yang dicam melalui giginya.

Aku mengenali atuk melalui cerita-cerita emak dan abah. Di antara kedua-duanya aku lebih mengenali atuk Mohd Nor dan di sini aku mahu bercerita perihalnya dan keturunannya.

Atuk adalah orang Minang yang asli datang dari daerah Minangkabau. Atuk datang ke sini dalam tahun duapuluhan. Bila atuk berkahwin dengan uwan, atuk sudah pun mempunyai isteri di Minangkabau. Kalau tidak silap aku uwan adalah isteri yang ketiga. Pada masa itu atuk selalu berulangalik dari Sumatra ke N.Sembilan dan sudah tentulah atuk mempunyai ramai anak. Abah mempunyai adik beradik tiri di daerah Minang sana tetapi tidak pernah bertemu muka sehinggalah akhirnya atuk meninggal dunia. Walaupun tidak pernah berjumpa, abah dan abangnya Aminuran dan Sarbaini selalu berhubungan melalui surat.

Pada suatu hari semasa aku di tingkatan lima, pakcik Aminuran datang ke rumah abah. Oleh kerana tidak menemuiku, pakcik Aminuran meninggalkan pesan bahawa dia teringin sangat berjumpa denganku. Dia juga memberitahu yang anak-anaknya ramai yang menetap di Jakarta. Abah ada juga sekali sekala berutusan surat dengan anak-anak pakcik Aminuran di Jakarta. Aku pula tidak tergerak hati untuk berbuat demikian. Aku tidak tahu kenapa.

Setelah berbelas tahun berlalu, aku ke jakarta pada tahun 1997. Aku tergerak untuk mencari sepupu-sepupuku anak pakcik Aminuran. Abah cuma tahu alamat kantor Marzel dan berpandukan alamat yang diberi, kami pun menjejak kasih. Namun hampa kerana Marzel sudah tidak lagi berkerja di tempat itu. Kami meninggalkan alamat hotel dan nombor telefon kepada seseorang yang mengaku mengenalinya. Ternyata ia membuahkan hasil kerana pada sebelah malamnya kami dihubungi oleh Marzel dan seorang lagi abangnya Raflis. Maka terjadilah pertemuan di antara saudara-saudara yang selama ini dipisahkan oleh lautan.

Mulai detik itu, kami sering bertemu. Aku bertemu dengan pakcik Aminuran semasa kak Amismar mengahwinkan anaknya pada tahun 2003. Ketika itu telinganya sudah kurang mendengar tetapi dia masih ingat padaku. Katanya gambar aku ada dalam simpanannya. Tidak lama selepas itu, pakcik Aminuran meninggal dunia.

Dua tahun lepas aku satu keluarga pergi ke tempat asal usul atuk. Nama kampung atuk Baruh Gunung. Letakmya lebih kurang 40 kilometer dari Paya kumbuh. Baruh gunung letaknya ditempat tinggi. Cuacanya sejuk dan airnya dingin. Pemandangannya amat cantik. Jalan untuk sampai ke kampung berbelok-belok dan sempit. Ada kalanya kereta terpaksa berhenti di tepi jalan untuk memberi laluan kepada kereta yang berselisih.

Aku berjumpa dengan ramai keturunan atuk Mohd Nor. Aku bertemu ramai sepupu dan ada yang minta dibawa pulang bersama ke malaysia. Mana bisa. Anakku Izzuddin berkata, "kita ni orang Indon ke". Aku tidak malu mengaku bahawa atukku orang Minangkabau.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...