Followers

jom klik

TADIKA AULAD HAS BEEN MOVED TO ANOTHER LOCATION. CLICK HERE IF YOU WISH TO GO TO TADIKA AULAD

Monday, February 2, 2009

Apabila tamu datang bertandang

Letih. Tidak selesa. Dengan batuk berkokol-kokol dan hidung mengeluarkan mucus berterusan menjadikan setiap pelosok anggota merasa sakit-sakit. Penyakit tidak pernah diundang tetapi ia tetap bertandang.

Bertamukan kesakitan buat minda kita merawang-rawang adakah kita sedang diuji ataupun sedang menerima balasan ke atas kesilapan. Kala inilah kita diperingatkan bahawa cipataanNya itu tidak ada yang kurang kerana apabila ditarik sesuatu daripada kita menjadikan kita tidak keruan.

Pertama kali aku merasa sakit yang seakan-akan memisahkan roh dari badan ialah ketika aku mengerjakan haji kali pertama. Aku masih muda ketika itu dan anak-anak masih kecil. Pada masa itu jemaah haji belum diberi suntikan meningitis kerana penyakit itu belum lagi menyerang jemaah sebelumnya. Aku sudah mula merasa tidak selesa sebelum berangkat ke padang Arafah. Segala-galanya tidak selesa hinggalah akhirnya aku ditempatkan di kemah kakitangan perubatan. Aku dimandikan dengan air batu sebab suhu badan yang terlampau panas. Suami setia di sisi dan sesekali aku mendengar kakitangan itu menyuruh suami memeriksa sama ada terdapat bintik-bintik pada badanku. Aku ketika tu hanya berserah. Berserah pada takdir yang bakal menimpa. Aku terkenangkan anak-anak yang masih kecil dan memerlukan kasih sayangku. Ketika dalam keadaan itu aku menghitung-hitung amalan yang telah aku lakukan. Cukupkah untuk menemankan aku.

Ternyata aku mengalami heat stroke bukan penyakit yang membawa maut itu. Ternyata juga Dia masih mahu melihat aku membelai dan membesarkan anak-anak.

Memang penyakit tidak pernah diundang. Tidak siapa mahu mengundang kesengsaraan. Taraf kita sekelumit pun tidak ada persamaan dengan para nabi dan pilihanNya. Kita hanya orang biasa yang tetap akan mengeluh ketika kita diuji.

Semasa aku hamilkan kakngah semasa kandungan berusia satu bulan, akan mengidap german measles. Rubella macam yang orang selalu sebut. Aku ingat ia cuma ruam biasa tetapi badan terasa amat bisa. Aku mendapatnya daripada suami dan suami mendapatnya dari kawannya semasa dia membuat kajian lapangan di USM. Setelah doktor mengesahkan bahawa ia bukan ruam tetapi rubella, aku jadi tidak keruan lagi kerana aku memang sudah tahu implikasi daripada penyakit itu. Doktor menyuruh aku menggugurkan kandungan. Aku tidak mahu. Suami juga tidak mahu. Aku teruskan kandunganku dalam debar. Setelah sembilan bulan kakngah lahir dengan anggota luaran yang lengkap. Tidak ada cacat cela. Pemeriksaan seterusnya baru mengesahkan bahawa jantung kakngah berlubang dan kakngah cacat pendengaran.

Kami pasrah. Itu dugaan buat kami. Dugaan juga buat kakngah. Apabila kakngah berada dalam sekolah rendah, dada kakngah dibelah untuk membetulkan keadaan jantungnya. Alhamdulillah selamat. Kakngah berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat dan dia belajar sehingga berjaya mendapatkan diploma.

Penyakit tidak diundang. Bila ia datang menyapa, kita terpaksa menerima kehadirannya. Aku rasa emak seorang yang tabah kerana dapat melayan sakit yang datang bertamu berbelas tahun. Mak melayan osterioperosis, parkinson, darah tinggi sehingga memerlukan emak duduk di kerusi roda selama berbelas tahun itu. Aku tidak nampak emak bersungut. Ada tidaknya emak katakan kakinya bengkak sebab duduk lama sangat. Aku nampak emak sentiasa juga tersenyum.

Setahun sebelum mak pergi mak mengalami sejenis penyakit gatal-gatal berair dan doktor mengatakan penyakit itu jarang-jarang sekali ditemui. Emak ku lihat sabar juga walaupun berkali-kali keluar masuk hospital. Dan pada saat-saat akhir hayatnya paru-paru mak pula berair. Emak tidak boleh menelan makanan dan perut emak terpaksa ditebuk. Tekak emak sentiasa dirodok dengan tiub untuk mengeluarkan kahak dan lendir. Emak kulihat masih sabar juga walaupun sesekali aku lihat ada air meleleh di bibir mata emak. Akhirnya emak pergi lantas menamatkan penderitaan yang emak tanggung berbelas tahun.

Penyakit tidak diundang. Apabila ia datang membuatkan kita rasa resah gelisah. Kita tidak dapat tidur lena jika yang sakit itu anak-anak kita. Malah kita tidak akan dapat memejamkan mata sekiranya anak tidak dapat tidur kerana ketidak-selesaannya. Anak kita itulah permata. Anak kita itulah nyawa. Simpati kita kepada mereka yang mempunyai anak yang ditamu dengan penyakit serius.

Aku batuk terkokol-kokol lagi. Hidung terus mengeluarkan cecair. Seluruh pelosok badan tetap lesu. Tapi aku bayangkan penderitaan emak, penderitaan mereka yang bertarung untuk hidup. Apalah sakitku ini kalau dibandingkan dengan sakit mereka. Tidak ada secubit pun persamaannya. Redhalah dengan tetamu ini.

13 comments:

iina said...

Semoga kak pah cepat baik selsema ngan batuk.. dah makan ubat ke kak? tidak pun boleh cuba minum air asam jawa utk batuk dan sakit tekak ;)

Nizam.Ariff said...

Aku pun selsema. Demam dari Jumaat lepas. Sabtu lepas dah ambik darah. Ntah doktor nak buat apa, nak jampi kut.
Tapi, pil selsema tu best woo...kepala boleh weng! 'So high..so high..'...hahaha

kakngah said...

kalau selsema.. yg xsyok skali.. hidung melecet psl asek kesat ngn tisu jek.....

lupekanje said...

bangga dengan emak kakpah..
semoga beliau mendapat Rahmat Ilahi dan dimasukkan ke syurga atas kesabaran beliau itu. Nak jadik centu gak klu diuji.

Tijah said...

aiyooo! nanti sey suh k.ungku buek'an puding caramel pok kak pah yo???

dialog..

tijah : k.ungku, puding caramel 1. antar bangi yo???"

k.ungku : siap!!

Ungku Nor said...

pitenah!!
bidaahhhh!!!

eden sumpah ko Jah, jadik noneh batu saiz 38D duo bijik.
sonang den nak buek air satu jag stok ntuk seminggu toruih!!
hahahaha..

ASH said...

Kak Pah,
semoga sihat sejahtera.

Dearest,
Tijah lawa and Ungku Nor..kalau puding tu Kak Pah tak lalu makan..past je kat rumah kita ni. Tak jauh jer dari rumah kak Pah tu. Lenggang kangkung boleh sampai.Tima kasih..

ibundo said...

kepala duk bedengung lagi tapi tak leh pisahlah dengan laptop nih..

iina.tq. kenapa asam jawa eh. tak de asam malaysia ke, asam london ke..
(bila taksehat ni mula la nak merapu...)

nizam. amek darah? kau kena denggi ke. Weh, kalau amek pil selsema tu minta lah yang mild jangan yang kuat sangat tu. memang le kau weng.

kakngah, yang tak syok nye bila time semayang hingus tu meleleh. nak hembus tak leh. huhuhu..

acik, amiinn.. rindu pada mak tak pernah padam.

tijah and ungku.
kau duo oghang jangan la bocokak. kopalo akak dah lah poning ni ha. tapi, hehe.. kalau nak anta puding tu leh yo. pakai courier. copek sikit.

ashley, tq.
huda apasai tak mai. demam juga ka. musim kot.

Nizam.Ariff said...

dokto amik darah sebab nak test paras cholesterol. Masa jumpa dia, tekanan darah 137/72. Selalunya 120/75 'ja. Dia cucuk tak jumpa urat. Abih lobam longan den sabosa syiling 50sen...haih. Dokto kasi ubat selsema power sebab dia suruh tido sabtu dgn ahad. tapi aku lawan tido, tu yang weng sana weng sini...la ni, kenyang sedut n telan hingus..sedap, masin-masin manis...eh.eh...kak pun telan gak kan?..hahaha

chekdenoor said...

Salam Kak Pah,

Terima kaseh kerana sudi menyapa chekdee di blog chekdenoor. Aha....profesion kita seakan berkaitan..... alhamdulillah...syukur kerana dapat berkenalan dengan Kak Pah.

Berblog ini memang baik buat kita yang sentiasa sibuk dengan urusan seharian...setidaknyer...dalam keadaan yang bergini...kita maseh mempunyai teman-teman dialam siber yang sentiasa berterusan memberi kata-kata perangsang dan dorongan .... chekdee dapat merasakan...berkomunikasi dengan masyarakat disini yang dipileh-pileh ....kekadang membolehkan kita terasa mudah meluahkan perasaan yang bermain-main di akal fikiran....... menceritakan hal-hal yang remeh temeh tetapi ianyer dapat melegakan......

Tahniah kepada Kak Pah yang mempunyai seorang ibu yang baik dan sentiasa tersenyum tanpa rungutan.... tabah mengharungi dugaan ....tidak seperti chekdee dan adek beradek chekdee yang lain yang sangat menderita dan terpaksa bersabar dengan kerenah orang tua yang sangat menguji keimanan dan kesabaran..... hendak tak hendak...kena juga sabar kerana ibu yang melahirkan kita ..... cuma kekadang tahap kesabaran itu selalu sangat teruji.... bukan hanya chekdee tetapi juga adek-adek chekdee..... kesian kami.... tapi inilah dugaan seumur hidup yang sangat besar.....

Sekali lagi...salam perkenalan.

NJ@Goboklama said...

salam balas,mmg setiap kali sakit manusia selalu lebih mengingatiNya,tapi bila dh sembuh, mrk sering lupa,trmasukla sy manusia biasa ini....

kak Pah beruntung mendpt kelebihan memperolehi ganjaran pahala yg brlipat kali ganda drp membesarkan kakngah,syukur alhamdulillah... :)

Mak Su said...

bila sakit datang menyapa, bagaimanakah kita menyambutnya :(

moga kakpah lega semula ya.

ibundo said...

nizam, akak kenyang makan nasi.

chekdee, terima kasih kerana singgah dan beri ulasan panjang lebar. Harap dapat menimba petua dari orang business mcam chekdee he..he.
Harap chekdee adik beradik sabar dengan kerenah orang tua. besar pahala tu.

NJ, terima kasih juga kerana sudi singgah. Adatnya kita ni begitulah. Sakit, ingatkan Nya. Bila dah sembuh, lalai kembali.

Maksu, cara kita sambut penyakit ni macam-macam maksu. Terpulang kepada kekuatan iman kita. Kakpah selalu juga mengeluh-ngeluh.Bagi mereka yang darjat imannya tinggi, mereka alu-alukan kehadiran penyakit sebagai penebus dosa.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...