Followers

jom klik

TADIKA AULAD HAS BEEN MOVED TO ANOTHER LOCATION. CLICK HERE IF YOU WISH TO GO TO TADIKA AULAD

Friday, September 26, 2008

EMAK


Hari Raya tahun ini adalah hari raya kali yang ketiga tanpa emak.Tiada hari-hari yang aku lalui tanpa aku merinduinya. Emak pergi setelah bertahun-tahun bersabar menerima dugaan yang Allah berikan.

Aku manja dengan emak, dari kecil hinggalah sudah beranak pinak. Emak tidak pernah memukul. Apabila sesekali dia memarahiku kerana degil, emak hanya akan berleter sekejap.

Aku suka masakan emak. Sambal daun kayu emak paling best di dunia. Bila emak masak ikan sungai dengan bacang ataupun dengan daun pucuk gelugur, aku akan makan sampai berpinggan-pinggan. Masa kecil emak selalu bawa aku ke sawah cari ikan darat. Kadang-kadang kami dapat ikan puyu, sepat, haruan, sembilang, sampai penuh satu baldi. Emak masak ikan dalam kuali yang dialas dengan daun kunyit. Emak masak sampai kuah pekat. Sedapnya. Aku dan abah makan tidak tengok keliling. Ikan yang lebih mak salai.

Aku selalu tengok mak menjahit baju. Emak jahit baju aku. Bila emak gunting baju ,aku tengok. Bila emak menjahit, aku tengok. Aku mula pandai menjahit baju sendiri semasa tingkatan satu Emak juga pandai jahit sulam. Cina baba di Juasseh selalu tempah kebaya dengan emak. Kadang-kadang emak juga terima tempahan jahit cadar.

Bila aku melahirkan, emak akan datang ke rumahku sebentar. Emak bantu aku menjaga anak-anakku. Mak akan tumbuk ibu kunyit dan paksa aku minum airnya. Semasa aku melahirkan kaklang, emak bawa kangah balik kampung sebab kakngah selalu tarik kaklang dari crib.

Kesihatan mak mula terganggu setelah dia jatuh semasa mahu mengunci pintu. Selepas itu emak menghidap parkinson. Tangan dan badan emak selalu menggeletar. Bila mak selalu komplen sakit di pinggul, kami bawa mak pergi Pantai MC. Rupanya tulang pinggul mak retak. Emak buat operation menggantikan tulang yang retak. Emak baik sekejap lepas itu.

Dua bulan selepas operation mak hanya duduk di kerusi roda. Emak duduk di kerusi roda berbelas tahun. Tahun-tahun terakhir emak adalah tahun-tahun yang memilukan aku. Emak keluar masuk hospital. Minggu-minggu terakhir mak, emak tidak boleh makan sendiri. Perut mak terpaksa ditebuk untuk memasukkan makanan. Emak tidak boleh bernafas sendiri. Mak terpaksa bernafas dengan bantuan oksigen.

Aku masih teringat pandangan-pandangan terakhir emak. Emak merenung aku tanpa berkelip. Bila aku tanya kenapa, mak cakap tak da apa-apa. Tapi kadang-kadang ada air di tepi mata emak.

Emak keluar hospital cuma sempat beberapa jam sahaja di rumah. Emak aku pergi jua akhirnya. Aku rindu pada mu emak. Semuga emak tenang di sana. Kami selalu mendoakan kesejahteraan mak.

3 comments:

al-brangi Online said...

sodih den

ASH said...

Ayah saya meninggal 9hb Januari 2006.Hari Wukuf. Tahun ni dah tiga raya, dia dah tak bersama.

Waktu dia meninggal, Tuan Guru Hj Sabran yang imamkan solat jenazah.

2007, Tuan Guru Hj Sabran pula menyusuli..Meninggal di Tanah suci..


DariNya kita datang, kepadaNya kita kembali..

Kembara Insan said...

'Emak' nama keramat kan ummu. Semoga dia dicucuri rahmat.Amin..

Masak lemak ayam cili api mmg kegemaran saya jika dimasak oleh ibu mertua saya (org jelebu). Kalau masak sendiri selalu tak jadi mcm dia masak.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...