Followers

jom klik

TADIKA AULAD HAS BEEN MOVED TO ANOTHER LOCATION. CLICK HERE IF YOU WISH TO GO TO TADIKA AULAD

Friday, September 19, 2008

SEJARAH PENUBUHAN TADIKA AULAD

Ia bermula pada tahun 1988, aku berhenti menjadi guru kerana masaalah kesihatan. Ketika itu aku terpaksa berulang alik dari Bandar Baru Bangi ke Sekolah Menengah Sungai Rawang. Setelah berbincang dengan suami aku akur untuk berhenti menjadi pendidik.

Setelah dua tahun menjadi suri rumah sepenuh masa dan anak pula bertambah menjadi 6 orang, aku dapati hidup seakan terkongkong di rumah. Kalau sebelumnya aku mempunyai pendapatan sendiri untuk membeli keperluan peribadi, kini aku terpaksa meminta daripada suami. Apa-apa pun aku bersyukur kerana aku mempunyai cukup masa untuk memberi pelajaran kepada anak-anak kami.

Pada ketika itu kami dapati adalah menjadi satu trend kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke tadika yang berpengantar bahasa Inggeris. Di tempat kami pada ketika itu terdapat satu tadika sahaja yang menawarkan khidmat tersebut dan cukup ramai ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sana. Malah tidak kurang juga ustad-ustad yang menghantar anak-anak ke tadika itu. Sayangnya tadika tersebut bukanlah tadika Islam.

Maka kami pun mendapat satu ilham. Kami mahu mendidik anak-anak kecil dengan cara pendidikan Islam yang sempurna dan didikan ini kami mahu sampaikan dengan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan kerana kami lihat Bahasa Inggeris sebagai bahasa komersial. Ilham itu kami jadikan realiti. Kami rasakan ilham kami itu akan dapat memberi satu pilihan untuk ibu bapa, sama ada menghantar anak mereka ke tadika Islam yang berpengantar Bahasa Inggeris atau pun ke tadika bukan Islam. Di samping itu, aku juga dapat keluar dari masalah keboringan duduk di rumah sahaja.

Pada Disember 1990 tertubuhlah Tadika Aulad. Aulad adalah bahasa Arab yang bermaksud anak-anak. Kami namakan Aulad kerana kami rasakan nama itu sungguh sesuai memandangkan di sinilah kami menempatkan anak-anak kecil untuk dicorakkan ilmu akhirat dan dunia.

Kami menganggarkan pengambilan pelajar untuk tahun pertama operasi seramai 30 orang tetapi siapa sangka pada hari pertama sesi persekolahan tadika Aulad mendapat seramai lebih kurang 100 orang pelajar. Dan mulai hari itu kami tidak menoleh ke belakang lagi.

Moto kami : AULAD IS THE ONE

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...