Followers

jom klik

TADIKA AULAD HAS BEEN MOVED TO ANOTHER LOCATION. CLICK HERE IF YOU WISH TO GO TO TADIKA AULAD

Friday, October 31, 2008

SIAPA?

Beberapa hari lepas kami menghadiri majlis perkahwinan anak kepada sahabat suamiku di Taman Tun. Tiba di dewan, kami dibawa ke sebuah meja yang masih ada lagi dua kerusi kosong. Cukup untuk aku dan suami. Aku sempat memerhatikan mereka yang telah sedia duduk menikmati hidangan di meja tersebut. Beberapa mata mendongak ke arah kami. Aku nampak muka yang di sebelah kiri macam familiar. Aku melemparkan senyuman tapi tidak pula menegur. Takut aku tersilap orang. Iras rupa yang aku kenal ada di raut mukanya. Cuma yang ini agak dimakan usia.

Kami duduk. Sang pelayan mencedokkan nasi ke pinggan kami. Nasi beriyani. Aku mengambil lauk, satu persatu. Dalam hati tetap berpesan pada diri sendiri, jangan makan terlalu banyak, jangan ambil yang itu. Dalam berkira-kira mahu ambil yang mana, sang pelayan datang lagi bertanyakan sama ada aku ingin air batu campur. Cepat saja kepala aku mengangguk. Suami tersenyum. Aku faham makna semyuman itu. Ala, sekali sekala.

Aku dengar suara orang yang aku rasa kenal tadi menegur aku. "Puan dari mana? rasa macam pernah jumpa". Mungkin dia juga seperti aku. Rasa-rasa kenal tapi muka dah lain macam sikit.
Aku beritahu yang aku tinggal di BBB. "Ooo patutlah. Saya pun dari BBB. Tinggal di fasa 3, area surau Madani. Kita jumpa di mana ye!"

Kalau orang yang aku rasa aku kenal ini adalah orang yang aku kenal, dia adalah salah seorang customer aku lama dulu. Lalu aku pun bertanya, dulu ada hantar anak di tadika Aulad ke. Dia jawab, ya. Anak dia bernama Nadia. Sekarang ini si Nadia berada dalam tahun 3 di UPM. Kami pun bertukar-tukar maklumat dan akhirnya berpisah selepas dia dan suaminya selesai makan. Kami terus menikmati hidangan.

Aku melalui situasi seperti ini banyak kali. Bukan sekali. Bukan dua kali. Banyak kali. Acap kali berjumpa dengan muka-muka yang aku rasa kenal tapi jumpa di mana ya. Adakalanya orang itu datang bersalam dengan aku. Berbual. Bertanya khabar. Aku juga mengikut lenggoknya tetapi dalam kepala asyik mencari jawapan pada soalan 'siapa lah orang ini'. Dua minggu lepas semasa di kaunter bayaran selepas memilih ikan dan sayur di pasar segar, perempuan di depan aku asyik memerhatikan aku. Aku rasa muka dia pun macam aku pernah tengok. Mulalah fikiranku berputar-putar ke zaman silam. Dia bertanya macam pernah tengok aku. Akupun buat serkap jarang. "Budak stf ke". Dia kata "haah". Junior aku rupanya.

Begitulah. Ibu bapa kepada anak-muridku dari dulu hingga sekarang teramatlah ramai. Ada yang aku kenal. Ramai yang aku dah lupa. Bagi yang tidak tahu keadaan, mungkin ada yang mengatakan aku sombong. Bukan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...