Followers

jom klik

TADIKA AULAD HAS BEEN MOVED TO ANOTHER LOCATION. CLICK HERE IF YOU WISH TO GO TO TADIKA AULAD

Saturday, November 8, 2008

ANAK AUTISME

Sepanjang tadika ini beroperasi, saya menerima beberapa orang kanak-kanak yang mengidap autisme. Ibu bapa mereka pada mulanya berasa sangsi sama ada kami menerima anak mereka ataupun tidak. Kami tidak memilih. Tapi terus terang saya katakan, kami tidak menyediakan guru khusus untuk anak-anak yang memerlukan perhatian istimewa. Kami layan mereka sama seperti anak-anak yang lain. Mungkin di sudut tertentu kami beri lebih perhatian.

Anak-anak autisme ini semacam mempunyai dunia mereka sendiri. Mereka kurang memperdulikan apa yang berlaku di sekeliling mereka. Sekiranya mereka bermain dengan pencil box, mereka akan melakukannya dengan tekun sekali tanpa menghiraukan orang lain. Sekiranya ada kawan yang mengusik, mereka akan marah dan menangis. Sebaik diam, mereka akan bermain semula dengan objek tersebut.

Ada seorang anak di Taman Mesra tersangat suka berjalan mengelilingi kelas. Dia akan berpusing-pusing sekeliling kelas seolah-olah sedang melakukan tawaf. Sambil berjalan dia akan bercakap seorang diri. Apabila guru memegang tangannya, dia akan berhenti tetapi tetap merenung ke depan. Reaksi mukanya juga tidak berubah. Apabila guru melepaskan tangannya, anak ini meneruskan perbuatannya mengelilingi kelas.

Proses pembelajaran anak-anak ini juga memang lambat. Mereka tidak faham apa yang dikatakan oleh guru. Dari awal lagi apabila ibu bapa anak-anak ini mendaftarkan anak mereka, kami mengatakan jangan mengharap terlalu banyak daripada kami. Kami akan lakukan apa yang kami termampu sahaja.

Walau bagaimanapun, saya dapati anak-anak ini mempunyai bidang-bidang yang mereka minat. Sekiranya mereka minat bidang itu, dia akan memberikan tumpuan. Contohnya, ada anak ini yang sangat suka akan matematik. Dia akan menunjukkan minat untuk belajar bila guru mengatakan akan belajar matematik. Alhamdulillah anak ini boleh membuat matematik dengan baik, iaitu mengenal angka dan boleh membuat oprerasi campur dan tolak.

Secara keseluruhannya, anak-anak yang saya terima ini memanglah tidak seperti anak-anak normal yang lain. Mereka jauh ketinggalan. Ada juga di antara mereka yang tidak diterima masuk ke darjah satu. Kesihan mereka. Ada seorang anak di Taman Jasmin masuk semula ke tadika walaupun sepatutnya dia masuk darjah satu. Ibunya cuma inginkan anak ini berkawan. Saya tidak pasti di manakah dia sekarang.

Melihat anak-anak tidak normal ini mengingatkan saya pada anak saya sendiri. Semasa saya mengandungkan anak saya yang kedua, saya mengidap rubella. Doktor meramalkan anak saya dilahirkan cacat. Memang anak saya lahir cacat. Anak saya mengidap jantung berlubang dan pekak. Tapi Allah memberikan anak saya rupa paras yang cantik dan anggota fizikal yang sempurna. Jantungnya sudah dipulihkan. Anak saya bercakap menggunakan bahasa isyarat.

Kepada ibu bapa di luar sana, anak-anak adalah pemberian Allah. Sekiranya kita mendapat anak yang kurang sempurna, Allah sedang menguji kita. Jangan abaikan pemberian Allah ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...