Ada kalanya panggilanku terbiar tidak berjawab. Adakalanya dia berlari-lari menjengah mendapatkan aku walaupun nama orang lain yang aku jerit. Dan orang yang aku jerit namanya itu elok-elok saja bermain internet di dalam biliknya.
Satu hari aku berdiri di sinki membersihkan sisa-sisa makanan di pinggan. Pandanganku aku lemparkan keluar menembusi tingkap yang terbuka terus melihatnya mengambil kain sehelai demi sehelai dari bakul, mengirai-ngirai dan menyidaikannya di ampaian. Kedengaran kaklong memanggil namanya berkali-kali kerana inginkan sesuatu. Aku perhatikan dia berhenti sebentar, cuba menelinga dan kemudian kembali mengambil kain satu persatu dari dalam bakul, mengirai dan menyidainya di ampaian. Panggilan tidak diendahkan langsung.
Bukannya aku mahu dia berkejar-kejar mendapatkan kami bila namanya dipanggil. Cukuplah sekadar menyahut supaya kami tahu sama ada dia tengah menguruskan sesuatu atau sedang bersantai-santai. Sebab kami bukannya kaki mengarah itu ini. Cuma kadang-kadang memerlukan pertolongan kerana tidak boleh membuat sesuatu itu sendiri-sendiri.
Aku luahkan pada anak-anak dan kami sepakat melabelkan dia sebagai degil.
Sehinggalah dia mengadu telinganya sakit sebab dikorek berkali-kali dengan cotton bud.
Aku membawanya ke pakar ent dan mengekorinya sehingga ke dalam bilik doktor. Penemuannya agak memeranjatkan aku. Doktor itu memberitahu aku bahawa gegendang telinga sebelah kiri iaitu telinga yang sakit itu sebenarnya sudah berlubang. Sudah lama berlubang. Mungkin berlaku jangkitan semasa kecil dan tidak diubati. Kecacatan itu menyebabkan telinga kirinya kurang daya dengar. Dia mendengar dengan banyak menggunakan telinga sebelah kanan sahaja menyebabkan percakapan yang datang dari arah selain daripada berhadapan dengannya akan menyebabkan kekeliruan. Dia akan tercari-cari dari arah mana suara itu datang.
Barulah aku faham. Barulah persoalan terjawab. Aku bukan saja melabelkannya sebagai degil tetapi kadang-kadang juga bila api kemarahan menguasai diri aku akan berkata dalam hati, budak ni pekak ke hape.. Realitinya memang benar dia pekak sebelah.
Kini aku menilai dia dari sudut yang berbeza. Memang bukan senang mendapat pembantu rumah yang memenuhi kehendak kita sepenuhnya. Namun aku bersyukur pembantu aku tidak seperti pembantu idah yang dikatakan langsung tidak pandai membuat kerja sehinggakan baju anaknya yang tercemar najis tidak dibersihkan terlebih dahulu sebelum memasukkannya ke dalam washing machine walaupun sudah diberitahu berkali-kali dan berkali-kali.
kakpah