Followers

jom klik

TADIKA AULAD HAS BEEN MOVED TO ANOTHER LOCATION. CLICK HERE IF YOU WISH TO GO TO TADIKA AULAD

Sunday, December 21, 2008

TIDAK SIAPA DAPAT MENENTANG YANG INI........

Aku di sebuah butik. Sudah lama tidak membeli baju baru ingin rasa-rasanya menambah koleksi. Aku berjalan membelek sepasang demi sepasang. Tidak ada yang perkenan di hati. Warnanya, tidak sesuai denganku. Coraknya, tidak sesuai juga. Fesyennya? Kenapa lengannya melebar dihujung. Bukankah menyusahkan sekiranya baju ini mahu dipakai ke majlis makan. Pasti meleret masuk ke dalam lauk mendahului tanganku.

Langkahku menyusur rak-rak gantungan baju diekori oleh sepasang kaki. Setapak aku melangkah, setapak juga kaki itu menapak. Aku berhenti, kaki itu juga berhenti. Kenapa tidak dibiarkan saja aku bersendirian melayan-layan tangan dan fikiranku. Dan suaranya juga meledak gegendang telinga.

"Makcik, yang ini fesyen baru makcik. Warna pun cantik"
"Makcik, yang ini baru sampai. Ada diskaun"

Ada kah aku minta pendapatnya? Aku rasa tidak. Kalau tidak diberitahu ada diskaun pun aku dapat membaca tulisan yang tergantung di situ. Aku menyusur rak-rak menghala ke pintu dan terus keluar, meninggalkan gadis itu yang mungkin kecewa kerana tidak melariskan baju majikannya.



Aku bertemu seorang rakan yang telah lama tidak kutemui. Bersalam, berpeluk muah..muah.. kami berbual-bual. Berbual sebentar sahaja. Dia mempunyai urusan dan aku juga perlu menyelesaikan urusanku pula.
"Dah berapa cucu kau sekarang" Dia bertanya.
"Belum ada rezki. Dah dua kali gugur tapi insyaAllah dalam proses" Jawab aku.
"Cucu aku dah tiga orang dah. Hiruk pikuk rumah aku dengan gelagat mereka".
"Seronok engkau ye"

Setelah berbalas-balas maklumat kami berpisah dengan salam muah..muah sekali lagi sambil bertukar-tukar nombor telefon. Dia mengingatkan aku supaya menjemputnya sekiranya aku mahu membuat kenduri mengahwinkan anak aku lagi.




Aku bertemu lagi dengan seseorang yang aku kenali juga. Itupun setelah aku memerah otak memikirkan siapalah orang yang menegur aku itu. Lama memikir baru aku teringat yang dia adalah bekas guru yang pernah mengajar di tadika. Sudah lama sangat. Dia membawa dua orang anak kecil bersama.
"Ini anak saya."
"Oo.. dah berapa orang."
"Ni lah dua orang. Dua ni pun kelam kabut saya dibuatnya. Ain, Mira, salam nenek."
Anak kecil itu menghulurkan tangan mongel mereka dan aku menyambut mesra sambil mencubit geram pipi pipi yang gebu.



Di dalam kereta aku tersenyum sendiri.

Tidak ada lagi panggilan kakak buat aku. Hanya sekali sekala. Panggilan adik jauh sekali. Yang sering aku dengar "Terima kasih makcik". "Makcik nak beli apa?". "Saya jual ye makcik."


Kalau dulu bila bertemu kawan, mereka akan bertanya:
"Anak kau dah berapa orang"
Kemudian bertukar:
"Anak kau dah masuk universiti?"
Kemudian bertukar lagi:
"Anak kau dah kawin ke belum"
Sekarang:
"Cucu kau dah berapa orang"


Tiba di rumah dah setelah selesai membersihkan diri, aku mengadap cermin. Aku menyisir dengan jari-jariku akan rambut yang sudah berubah warna. Aku membelek garis-garis yang makin ketara.
Face lift?
Laser?
Filler?
Vitamin?
Botox?

Semua benda mengarut. Berapa ramaikah wanita yang terpedaya dengan benda-benda mengarut seperti itu. Yang pasti apa yang aku lihat di cermin itu adalah satu amaran.


Januari bakal menjelang. Januari bulan kelahiranku. Umurku akan bertambah ke satu angka lagi.

1 comment:

keireen said...

ala mak...
lek arr...
mak tetap nampak mude kat mata kitorang...
kekekekke...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...