Basikal tua nyanyian Sudirman mengingatkan aku kepada arwah nenek. Nenek mempunyai sebuah basikal antik. Besar dan gedabak. Ada tempat kariya (carrier) di belakang, besar dan lebar. Mudah digunakan untuk membawa getah yang sudah siap dikeringkan untuk dijual. Juga untuk membawa padi ke kilang pengisar. Nenek gigih mengayuh basikal tua dan besar itu ke hulu kehilir. Kadang-kadang dengan muatan. Kadang-kadang kosong.
Aku selalu membonceng di belakang basikal. Apabila nenek menyogok aku ke kedai bersamanya, nenek akan alas tempat duduk dengan kain batik beberapa helai supaya punggung tidak berasa sakit apabila terhentak-hentak disebabkan jalan yang tidak diturap. Tidak ada jalan tar. Tidak ada jalan tanah merah. Cuma denai yang berdebu dimusim panas dan becak berair dimusim hujan. Bila aku tercongok di atas kariya, nenek akan mengingatkan berkali-kali supaya tidak meletakkan kaki rapat dengan roda basikal. Dan nenek akan mengayuh kriuk..kriuk..menuju ke kedai. Bila tiba di tempat yang mendaki, nenek akan turun menyorong basikal tua itu. Aku seronok-seronok sahaja duduk.
Apabila aku lahir nenek sudah keseorangan. Datuk meninggal lama sebelum aku dilahirkan. Nenek kerja kampung. Begitu juga datuk. Satu hari setelah selesai mengerjakan sawah, nenek dan datuk menyeberang sungai untuk balik ke rumah. Datuk tidak sampai ke rumah pada hari itu. Nenek pula hanya dapat terpekik terlolong memerhatikan datuk hanyut di bawa arus. Tengkoraknya ditemui sebulan selepas kejadian.
Nenek banyak mengajar aku erti tabah dan susah. Nenek ada anak-anak yang membantunya dari segi kewangan tetapi nenek tetap mahu mencari rezki sendiri. Kebun getah yang sekangkang kera itu nenek kerjakan. Hasilnya tidaklah banyak tapi cukup buat nenek membeli ikan kembung dan sayur. Cukup untuk nenek membeli susu dan gula. Dan cukup juga untuk nenek membelikan roti canai atau cendol atau aiskrim buat aku.
Beras tidak payah dibeli sebab padi berlonggok-longgok dalam kepuk. Apabila beras sudah hampir habis, nenek cuma perlu jemur padi di atas tikar mengkuang. Aku ditugaskan untuk menjaga padi daripada habuan ayam dan burung. Sekiranya ayam datang mematuk padi, aku akan melastiknya ataupun menghambatnya keliling kampung. Sehingga ayam itu jeran untuk datang lagi. Nenek akan tahu bila masanya padi itu perlu diangkat. Nenek akan ambil sebutir padi dan membuang kulitnya. Nenek masukkan dalam mulut dan gigit. Kalau belum nenek akan kata, belum lagi. Kalau sudah, nenek akan kata sudah dan memasukkan padi ke dalam guni. Nenek akan memberi aku dua puluh sen bila tugas aku selesai.
Kadang-kadang nenek ajak aku ambil sagu. Aku sudah lupa sagu ini dari pokok apa. Tapi nenek akan bawa balik beberapa potong. Sagu itu nenek akan cincang-cincang untuk makanan ayam. Dan ayam nenek banyak. Kalau mahu makan ayam, sembelih saja ayam nenek. Nenek tangkap ayam dan abah akan sembelih. Masa kecil aku suka makan telur ayam mentah. Pantang kedengaran ayam bertelur, aku akan cari dan makan telur itu di situ juga. Aku kecik lagi. Manalah aku tahu yang telur itu mesti di basuh dulu. Tak ada orang yang beritahu. Sehinggalah pada suatu hari aku tersilap ambil telur. Aku termakan telur yang sudah ada jasad.
Nenek juga mengajar aku menangkap ikan di lubuk. Di tepi sawah ada satu lubuk kecil. Memang nenek dan emak buat lubuk itu untuk memerangkap ikan dari tali air. Bila teragak mahu makan ikan darat, aku ikut nenek atau emak ke lubuk. Nenek tutup tempat yang air mengalir masuk dengan lumpur. Air tidak masuk lagi. Kemudian air yang ada dalam lubuk itu, nenek timba. Aku cuma perhatikan sahaja sebab aku kecil lagi. Kudrat aku belum cukup. Bila air sudah kering, ikan-ikan yang ada menggelepar mencari air. Nenek tangguk ikan itu. Nenek bagi aku satu tangguk kecil dan mengajak aku turun ke dalam lumpur. Aku sama-sama menangkap ikan dengan nenek. Semasa makan malam berlaukkan ikan sepat, puyu dan sebagainya, aku akan bercerita dengan emak dan abah tentang kehebatan aku menangkap ikan ikan itu. Dan cerita itu semestinya aku perbesar-besarkan.
Nenek juga pandai menganyam tikar. Di tepi sungai di belakang rumah mak tua ada banyak pokok mengkuang. Nenek akan ambil daun mengkuang, membuang durinya dan menghirisnya dengan alat khas menjadikan daun itu helaian halus yang panjang. Nenek akan mewarnakannya sekiranya mahu mengasilkan tikar berwarna warni. Sekerapnya, nenek biarkan sahaja dengan warna original. Aku lihat nenek menganyam tikar pada waktu malam bertemankan cahaya pelita yang malap. Api pelita meliuk lentok mengikut arah jari nenek. Tengok sini, nenek akan kata. Aku tengok. Cuba engkau buat pula, nenek akan kata lagi. Aku ambil alih tempat nenek dan cuba meniru gaya nenek. Nenek memuji aku pandai.
Semasa nenek mahu mengerjakan haji, aku ajar nenek sifat 20. Aku sudah hafal sifat 20 semasa aku darjah satu. Semasa ketiadaan nenek kerana mengerjakan haji aku terasa kehilangan. Nenek pergi haji terlalu lama. Tiga bulan kalau tidak silap. Waktu nenek pergi haji belum ada lagi khidmat kapal terbang. Nenek pergi naik kapal laut. Nenek pergi haji bawa bekal beras, lesung batu, cili dan sebagainya. Aku hantar nenek sampai ke Port Swettenham. Kapal yang nenek naik itu besar. Terlalu besar pada pandangan budak kecil macam aku ketika itu.
Lagu Basikal Tua nyanyian Sudirman memang membawa kenangan aku terhadap nenek. Nenek berbasikal sehingga kesihatannya tidak mengizinkan. Dan basikal itu akhirnya terperosok di belakang reban ayam. Kemudian hilang entah ke mana.
13 comments:
beskal tu org jual besi yg amik
Kak.. sodih den baco cito akak maso kocik2 marin.. uwan kak ado laei ko? Kuat sungguhkan org dulu2 kan kak.. tak macam org mudo2 (termasuk ler den nie ahh).. tapi nasib dulu maso kocik2 byk maso abis kek kg rotilah jugo buek kojo kg yg mudah2.. tapi takdolah smpi poei bersawah bagai sobab banting mano ado sawah pokok kelapa bali yolah.. Bilo akak cito gini toruih den ingat arwah nenek.. ;) syahdu sat lah kak ;)
best melesek kek kampung kan? sey maghin ghoma ikut atok cr kobau potang2. berkubang lam sungai. bakar sabut topi kandang. cucuh lampu ayan mlm2...byk boto la xtvt.
Bestnyer...tapi kak, aku boleh buat semua tu sampai sekarang, cuma ikan dalam sawah dah tak banyak sebab asyik kena racun je...
Masa kecik dulu, kakak bawak aku naik basikal, aku duduk kat belakang, kaki aku terperosok dalam jejari roda belakang sebab tak ikat kaki. Kesannya ada sampai sekarang.
kueh bakar, akak ingat macam tu juga. mesti ada orang amek dan jual.
ina, banyak kenangan masa kecil dulu. sawah tu dah tak ada lagi sekarang. ada orang sewa buat tanam buah naga. lagipun tak ada sapa dah nak kerja sawah.
tijah. tak sangko kau pun goma bokubang yo. Uwan akak tak ado bolo kobau tapi akak solalu botenggek ateh kobau oghang. Pergh.. berangan jadi koboi.
nizam, sawah tu dah kering kontang sekarang ni. dah tak ada ikan. nostalgia la. teringat juga lari ke hulu ke hilir atas pematang sawah. juga buat serunai dari batang padi.
weh.. sakit bila kaki terperosok dalam jejari tu.
kenangan mengusik jiwa. Banyak kenangan manis kakpah bersama nenek kan?
Saya pernah naik basikal bersama ayah, ibu dan adik saya dari jalan besar ke kampung yg terletak lebih kurang 3 batu dari jalan besar. Saya boleh cakap kpd ayah saya "takde enjin tapi boleh jalan basikal ni?" dlm nada hairan.
Ayah saya terus menyergah dgn berkata "habis yg ayah ko kayuh ni apa?"
YB haha.. lawaknya. Pertanyaan budak-budak selalu datang dari naluri ingin tahu. kadang-kadang tak logik pun kan?
memang banyak kenangan bersama nenek. banyaaakk lagi...
wwaaaaa..... cukup bln nak balik kampung jompo nenek.... sob!sob!sob!
kakngah, balik ngah.. balik. nenek dah ghindu kek kau tu.
rindu kat nenek ya? beskal tu ada worang jual timbang kati tak?
pengalaman menarik, zaman sekarang ni mana dah nak dapat pengalaman macam tu, zaman ni segalanya mudah.
Kak pah,
Opah saya naik basikal pergi pekan sehari nak beli barang barang untuk kenduri pakcik saya. Time balik.Lepas tu kena gelek ngan lori dari belakang. Meninggal kat situ juga..Nanti saya cerita..
maksu, memang rindu kat nenek. Orang kata nenek lebih sayangkan cucu daripada sayangkan anak. nantilah kpah jadi nenek dulu, baru nak tau.
ashley, siannya. nanti cite e.
jual x basikal tua ni? hehe
Post a Comment