Followers

jom klik

TADIKA AULAD HAS BEEN MOVED TO ANOTHER LOCATION. CLICK HERE IF YOU WISH TO GO TO TADIKA AULAD

Thursday, April 30, 2009

BIBIK

Dua tiga hari lepas bibik aini kuat termenung. Buat kerja sikit, termenung. Buat kerja sikit, termenung lagi. Aku pun tertanya-tanya juga apasal asek termenung saja. Bercakap pun tak berapa ramah.

Sampaikan kerja tampal menampal yang aku suruh tampal kat buku anak-anak tadika aku pun lintang pukang dibuatnya. Bukan susah, gunting cerita yang aku dan fotostat tu dan tampal dalam exercise book. Latihan untuk budak-budak membaca. Aku dah bagi arahan betul-betul. Bila aku tanya faham ke tak, dia kata faham. Akhirnya aku juga yang nak termenangis sebab geram benda yang dibuatnya salah. Puas aku mengopeknya semula. Bila aku mengadu dengan atuk, atuk marah aku balik. Dia kata lain kali jangan bagi dia buat kerja yang perlu gunakan otak.

Dua minggu lepas semasa ke tesco dia bertanya pada aku.
"Buk kalau Ros yang gantikan saya, boleh?" Ros itu adiknya di Jakarta. Dia tambah lagi bila aku tanya kenapa.
"Luluk yang menjaga anak saya mahu berpindah ke Jawa tengah. Jadi anak saya tidak ada siapa yang ngurusin. Ibu saya nggak boleh. Ros sekarang dalam proses penceraian sama suaminya kerna tidak tahan dipukul. Boleh ngak buk kalau saya pulang, Ros yang gantikan tempat saya"

Hati aku mula menggelabah bila dia cakap nak berhenti. Memanglah adik dia boleh gantikan tempat dia tapi bukan senang senang. Macam-macam urusan nak kena buat. Passport, medical, imigresen, kedutaan. Dia ingat boleh ganti-ganti macam tu je ke. Dah tu pula, yang datang nak gantikan dia tu kita tak tahu lagi peel, perangai dan iq dia. Kalau tahap iq lebih kurang dengan bibik ni, hmm sabar je lah. Si aini ni dulu pun dua tahun aku kena bimbing dan asah. Itupun masih banyak yang blur.

Setelah berbincang dengan suami, kami bersetuju untuk menguruskan permit adiknya. Kalau orang dah nak berhenti kerja, kita tak boleh tahan-tahan. Bila dia kata nak balik, baiklah hantar balik. Tapi aku cakap dia kena tunggu sampai adik dia datang dulu baru boleh balik sebab nanti aku tak cukup kakitangan.


Jadi, bila dia termenung sana termenung sini, aku tanya balik.
"Aini, kau nak kerja lagi ke tak nak. Kau dah nak balik sangat ke"

"Ah, nggak la buk. Saya tunggu sampai Ros datang."

"Habis yang kau termenung tu kenapa. Sakit ke."

"Ah nggak apa-apa la buk."

Aku tak pandai nak membaca fikiran orang. Tapi aku agak dia sedang mengenangkan perihal nasib dia. Dia nak berkerja lagi untuk membesarkan anak-anak tapi masalah pula tiba. Dulu dia berkerja di pusat spa di jakarta. Tapi gaji baru enam ratus ribu rupiah. Duit kita tak sampai dua ratus pun. Kerja kat sini boleh dapat dalam dua juta. Tu yang buatkan dia termenung agaknya. Mungkin.


Haihhh...... (tengah mengeluh ni) .. akan pergilah tukang urut aku.

Wednesday, April 29, 2009

Aku Layak Bercuti

Hari Jumaat ini,
1 Mei ini,
adalah hari pekerja.
Semua pekerja cuti.
Layak cuti.
Mesti cuti.
Isteri,
yang saban hari kelepak kelepuk,
kelentang kelentung di rumah,
pekerja juga kan?
Layak cuti kan?
Mesti cuti kan?


Atuk,
jumaat ni uwan nak cuti.
Cuti masak.
Cuti basuh pinggan.
Uwan nak relek-relek sambil layan astro.
Sambil layan cucu gak.
Ni uwan apply siang-siang ni
untuk memudahkan atuk membuat perancangan.
Mana tau,
atuk nak bawak uwan makan-makan kat equatorial ke.



Atuk standby je lah ye.
Breakfast beli kat kampuchea.
Lunch kat Limau nipis.
Dinner?
Ha yang tu atuk kena pikir-pikir lah ye.
Uwan cuti.
He..he..




Tuesday, April 28, 2009

TAKUT

Kecik dulu aku selalu tidur di rumah nenek. Rumah nenek rumah limas. Ada bahagian depan, tengah dan bahagian dapur. Masa tu dapur nenek dapur kayu. Bila nak hidupkan api, nenek guna umpan getah sekerap. Kemudian bila dah ada bara, nenek tiup dengan buluh kecil yang dah dipotong pendek sepanjang satu kaki. Nenek panggil buluh itu teropong. Bila nenek masak, asap akan keluar berkepul-kepul. Dinding dan atap jadi hitam penuh dengan jelaga. Belanga, cerek dan kuali juga jadi hitam. Nenek bersihkan belanga dan cerek yang hitam dengan pasir sungai. Nenek gesek pasir gunakan sabut kelapa. Tak ada berus dawai macam sekarang.


Aku suka tidur di rumah nenek sebab nenek suka bercerita. Nenek suka cerita hantu. Memang takut. Tapi bila nenek berhenti bercerita aku suruh sambung lagi sebab seronok. Seronok dalam takut. Masa tu aku ingat semua cerita itu cerita benar tetapi bila aku dah besar aku dapat rasakan bahawa semua cerita nenek itu adalah cerita rekaan semata-mata. Tak ada kena mengena dengan yang hidup ataupun yang telah mati.


Bilik air di rumah nenek nun jauh di bawah. Kalau malam-malam terasa hendak melepaskan hajat, terpaksalah turun ke bawah berpandukan cahaya pelita yang malap-malap ataupun lampu suluh. Memang terasa susahnya terutama selepas mendengar cerita yang menakutkan dari nenek. Walaupun nenek ada menemankan, dia tetap menakut-nakutkan aku sambil tergelak-gelak.




Takut. Aku memang penakut orangnya. Aku rasa semua orang juga ada perasaan takut ini. Bezanya cumalah degree ketakutan yang ada pada setiap orang. Sebenarnya aku nak menyentuh sedikit pasal rasa takut tetapi menyeleweng sekejap ke kisah silam.


Rasa takut memang dah ada sejak lahir lagi. Dan rasa takut itu berubah-ubah mengikut fasa kehidupan yang kita lalui. Bayi akan menangis bila diambil oleh orang yang mereka tidak kenali. Toddler akan menangis juga bila diajar tidur berasingan daripada ibu bapa. Kanak-kanak tadika ramai yang takutkan bayang-bayang dan kegelapan. Anak-anak yang masuk ke sekolah juga takut tidak mendapat kawan.


Anak-anak gadis takut tidak mendapat pacar. Ada juga yang takut tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan semasa, tidak diterima dalam kumpulan. Ada juga yang takut tidak dapat memenuhi kehendak ibu bapa yang mengharapkan mereka berjaya cemerlang dalam pelajaran. Pendek kata, alam remaja berserabut dengan ketakutan. Ketakutan yang dihadapi oleh remaja itu sendiri dan ketakutan yang dialami oleh ibu bapa kepada remaja-remaja tersebut.

Aku, dalam umur sebegini masih berasa takut. Takut menghadapi hukum alam. Dan yang paling aku takut, aku pergi dengan amalan yang tidak cukup untuk dijadian bekalan.


Monday, April 27, 2009

Alasan Lagi

Tengahari tadi tengah main-main dengan Faris, loceng gate berbunyi tingtong tingtong. Jam lagi lima minit ke pukul dua. Bila aku menjengah nak tahu siapa yang picit loceng aku tengok anak aku adik tersengeh-sengeh luar gate.

"Ni apasal balik ni. Tak ada kelas tambahan ke" aku dah tembak dengan peluru potpet semasa dia menanggalkan kasut. Adik hanya tersengeh-sengeh. Biasalah dia tu. Bila orang tanya, tersengeh dulu sebelum menjawab.

"Ada...tapi.." dia tersengeh lagi.

"Hah..monteng la tu" kaklong mencelah dari dalam.

"Adik tengok hari nak hujan lah mak.." dia jawab sambil tersengeh-sengeh juga.

Bila dia melangkah ke kaki lima rumah tanpa menyusun kasut, aku menyuruhnya berundur semula ambil kasut sekolah tu dan simpan di atas rak. Pantang nenek moyang ayah dia kalau kasut dibiarkan bersepah-sepah. Nenek moyang aku tak ada pulak pantang macam tu tapi aku tak suka jugalah kalau tanggal kasut lepas tu biarkan je kasut tu terlepak depan muka pintu.

Anak ku Imah sedang buat internship di Rahmah & co dan kebetulan dia pulang untuk makan tengahari. Bila dia mendengar jawaban adik, cepat-cepat dijerkahnya.

"Adik... apalah adik punya alasan nih. Tak logik betul. Kalau hujan kan kat luar yang hujan." Adik buat derk saja.

"Entahnya. Cikgu buat kelas tengah padang ke." Aku pulak sambung. Adik terus je meluru ke meja makan dan membuka tudung saji.

Adik sekarang ni dalam tingkatan tiga. Tahun ni PMR. Aku kagum dengan usaha guru-guru sekolahnya yang sentiasa mahu membantu murid mencapai gred yang baik. Selalunya adik tak pernah monteng. Cuma harini pulak dia malas nak pergi.

Alasan. Aku selalu cakap yang manusia ini suka memberi alasan. Alasan yang diberi kadang-kadang logik dan kadang-kadang tidak logik langsung. Kita memberi alasan untuk melepaskan diri, untuk membenarkan perbuatan kita.

Ada sekali haritu aku ke warta, dan bila aku mahu membuat bayaran di kaunter aku lihat cashier di kaunter itu mempunyai kuku jari kelingking yang panjang. Teramat panjang. Dalam hati aku berkata ; ni kalau basuh berak mahu tercicir taik dalam kuku ni. Aku mahu menegur tetapi berat pulak mulut aku ketika itu. Tetapi alasan yang selalu diberi oleh orang yang suka menyimpan kuku panjang ini ialah senang nak garu kulit kepala yang gatal. Ataupun tak ada ketip kuku (ishh..). Ataupun dah memang trend.



"Jom ikut mak pergi kedai"

"Malas lah"

"Apasal"

"Baju tak bergosok"

Kalau baju tak bergosok kan boleh je gosok sekejap. Kan alasan je tu. Sebab sebenarnya tak nak ikut. Taknak temankan emak. Dulu-dulu masa kecik-kecik tak payah ajak pun. Nampak je emak ayah bersiap diaorang yang dulu masuk kereta.



"Meh sini tolong mak masak"

"Ala.. orang banyak homework ni" Aku lah tu. Antara alasan yang aku bagi bila emak ajak aku masuk ke dapur. Sebenarnya malas.





Gambar ni saja je tempel. Pagi tadi aku lambat sikit ke tadika. Bila anak murid tanya kenapa ummu lambat sampai aku cakap aku ada baby kat rumah. Alasan. Anak murid aku tu pegang-pegang perut aku.



Manusia selalu sahaja mencipta alasan. Kalau tak orang, kita. Bila memberi alasan tu, fikir-fikirkan lah sama ada ia boleh diterima atau pun tidak. Logik ke tidak. Bila kita tak update entry kita akan bagi alasan juga kan?


Saturday, April 25, 2009

BUKAN TAK PANDAI, KURANG JE SIKIT.......

Di tadika aku ada satu budak namanya Amir (bukan nama sebenar). Amir dah berumur enam tahun. Dah sepatutnya pandai membaca dan mengira tetapi dia masih terkial-kial dalam hal-hal itu. Budaknya lasak dan selalu nak mengerjakan orang saja. Kasut atau selipar budak-budak lain selalu saja hilang. Bila ditanya siapa sorokkan kasut si anu budak-budak lain akan sepakat suara menuding kepada Amir. Amir hanya akan tersengih-sengih apabila ditanya. Bila digertak, barulah dia tunjukkan di mana kasut itu disorokkannya. Selalunya dibuang di dalam semak di luar pagar belakang tadika. Terpaksalah aku memanggil bibik untuk mengambil kasut yang telah dibuang itu.


Amir berbadan agak tinggi tetapi tidaklah besar sangat. Dia datang ke tadika dengan memakai selipar jepun. Seliparnya jauh lebih besar daripada kakinya dan apabila berjalan maka berbunyilah kelepek.. kelepek. Budak-budak akan mentertawakan dia.


Amir suka meletakkan seliparnya sesuka hati apabila masuk ke kelas. Mula-mula dulu aku tidak tahu selipar siapakah yang selalu terlepak di muka pintu. Bila aku nampak selipar jepun itu tidak bersusun di atas rak, aku laung dari kelas ke kelas 'siapa punya selipar jepun gedabak depan muka pintu tidak disusun'. Budak-budak lain sebulat suara berkata "Amir punya!...." Femes betul Amir. Glemer betul Amir. Sampaikan selipar dia pun orang kenal.


Amir bukannya budak baru. Sudah bertahun-tahun dia di Aulad. Sejak baby lagi. Masa dia baby dulu, dia di taska saja. Bila dah masuk empat tahun, Amir masuk ke tadika pula. Bayangkan, Amir dah belajar dua tahun lebih di tadika tetapi masih belum berapa pandai. Aku tak boleh nak salahkan cikgu. Mak bapak dia pun tak boleh nak salahkan cikgu sebab cikgu-cikgu ajar budak-budak lain boleh pula pandai. Tapi Amir ni bukanlah tak pandai langsung. Cuma pandai sikit-sikit saja.


Dulu dia ada dua orang abang yang belajar di Aulad. Abang-abang diapun lebih kurang macam dia juga. Semasa abang-abang dia belajar di tadika, Amir masih baby lagi. Dulu mereka tiga beradik ini duduk di taska sampai petang. Apabila siabang masuk darjah satu, dia dah tak duduk taska lagi. So, tinggal dua orang yang duduk taska. Bila abang yang lagi satu masuk darjah satu, dia juga dah tak duduk taska lagi. Tinggallah Amir sorang-sorang.


Semasa ketiga-tiga beradik ini duduk di taska, cikgu taska selalu komplen. Tak bawa baju lah. Tak ada towel lah. Baju kotor yang semalam masih lagi ada di dalam beg lah. Satu hari (kebetulan pada waktu itu aku ada di taska) berlaku satu kejadian di luar dugaan yang menyebabkan aku dan cikgu taska terbahak-bahak terguling-guling. Ceritanya, mereka ni baru lepas mandi petang. Cari-cari baju dalam beg terjumpa satu spenda. Bila dikeluarkan, punyalah besar spenda tu. Bila ditanya pada abang si Amir ni siapa punya spenda besar gedabak ni. Dia cakap ayah saya punya. HAHAHA.... Dah dalam beg tu pula ada baju selai saja. Takkanlah pulak nak pakai baju dengan spenda bapak dia yang bila disarung sampai ke ketiak tu. Agaknya mak bapak dia terlalu sibuk dengan kerja hinggakan tak sempat untuk membuat persiapan yang rapi untuk anak-anak.


Berbalik cerita Amir. Satu hari cikgu dia bercerita.
"Aku tengah tulis kat whitewoard membelakangkan budak-budak. Bila budak-budak dah mula bising, aku suruh diorang senyap jangan bercakap. Semua senyap. Bila aku dah selesai menulis, aku paling pada budak-budak semula. Aku tengok Amir tak ada. Diorang kata Amir keluar."


Cikgu dia dah mula nak tergelak-gelak tapi dia sambung;
"Tak lama lepas tu Amir masuk balik. Aku tanya dia pergi mana. Dia jawab pergi dapur, minum. Aku kata kenapa tak cakap dengan cikgu. Engkau tau dia cakap apa?"

"Hah, apa dia cakap"

"Dia cakap kan tadi cikgu suruh jangan bercakap" Cikgu dia mengekek-ngekek ketawa. Aku pun ketawa gak.


Aku pun dah tak tau nak buat apa dengan budak ni. Mintak-mitak sampai hujung tahun dia dah boleh membaca dengan baik. Tak mahulah nanti dia masuk kelas pemulihan semasa darjah satu.

Perasan Dah Betul

Pagi tadi pergi dengar ceramah haji di masjid Hasanah. Mana tahu tahun ni nama naik. Bila ustaz tu menyentuh tentang miqat aku teringat pada Masjid Jaaranah.

Sekarang masjid Jaaranah sudah berubah rupa. Sudah dibesarkan dan cantik. Tandas dan tempat mengambil wudhu' juga sudah berderet. Jauh berbeza daripada sebelumnya.

Dulu semasa pertama kali aku menjejakkan kaki ke tanah suci bersama emak dan abah, di masjid itu masih ada perigi. Para jemaah sering mengambil air dari perigi ini samaada untuk dibuat minum ataupun untuk tujuan lain. Ada juga aku dengar bahawa air perigi di masjid Jaaranah boleh menyembuhkan penyakit ataupun menerangkan hati-hati yang gelap.

Betul atau tidak, pikir-pikirlah sendiri tetapi ada papantanda di situ mengatakan yang air perigi itu tidak ada bezanya dengan air di tempat lain.

Lebih kurang tiga empat tahun dulu, papan tanda ini masih terpacak di tepi masjid Jaaranah tetapi diturunkan bila masjid diubahsuai.

Kami ketawa berdekah-dekah apabila membaca tulisan di papantanda ini. Nasib baik sempat mengambil gambar untuk dijadikan kenangan. Mungkin ada di antara anda yang sempat melihatnya semasa berkunjung ke sana. Mungkin ada juga yang tidak sempat melihatnya.


Walau apa-apapun, bacalah sebagai hiburan pada sabtu ini.........
Pak-pak Arab ni main bantai je bila menulis. Tak ada yang nak mengedit. Perasan dah cukup betul dah tu...

Friday, April 24, 2009

PENING PENING LALAT

Pening. Satu perkataan yang pendek tetapi mempunyai makna yang pelbagai.


"Kepala aku ni tetiba pulak pening" sambil memicit-micit dahi.
"Makan je panadol" kawan kita memberi saranan.

Pening tersebut menunjukkan sakit kepala yang mungkin disebabkan oleh cuaca panas, ketegangan, terlalu banyak berfikir dan sebagainya. Selalunya ia akan beransur pulih bila kita makan panadol ataupun berehat seketika.




"Pening aku tengok perangai kau ni lah"

Pening ini pula lebih kepada fikiran yang berserabut terutamanya apabila melihat sesuatu yang tidak disukai atau yang tidak kita perkenan. Bila kita tengok di atas meja kita melambak dengan fail-fail yang mesti kita siapkan, kita pening juga. Pening yang ini tak perlulah makan panadol. Membazir saja.





"Kau tengoklah budak tu. Pening ke hapa" kita tujukan percakapan ini untuk seseorang sambil memutar-mutarkan jari telunjuk di sisi kepala kita.

Pening yang ini pula merujuk kepada orang yang tidak berapa benar atau tidak berapa cukup. Istilah lain, ada skru yang longgar di kepala orang itu. Pening yang ini juga tidak perlukan panadol.





Pening.
Apasal anda ingat aku tengah pening. Aku tak pening. Pening lalat pun tidak. Anda pandai je nak speku kan. Aku siap pergi tesco lagi tadi. Beli barang tiga trolley lagi tu. Seperti biasa trolley tu yang berjalan senget macam ketam dan menyusahkan aku memegang stereng. Mungkin betul jugak cakap acik haritu. Mungkin akulah penyebab trolley tu semua jalan senget macam tu sebab terlebih muatan ha..ha..


Taklah. Aku tak pening. Aku tengah bergembira sekarang ni. Gembira sebab aku mendapat satu anugerah yang tidak ternilai. Muhammad Faris Hafizin, uwan sayang kamu.

Thursday, April 23, 2009

APA APA SAJA LAH

Ada orang panggil opah. Ada orang panggil nenek. Ada orang panggil mamatok. Ada orang panggil uwan. Ada orang panggil nekwan. Walau apapun panggilannya, ia menjurus kepada yang satu : seorang perempuan yang telah bercucu.


Semasa kaklong berkahwin, ipar duai menyakat "tak lama lagi jadi nenek le awak".
Aku melawak, tak main la nenek nenek ni. Aku nak kena panggil datin. Dan kami tergelak berderai-derai.


Dalam masa tiga tahun berkahwin kaklong mengalami keguguran sebanyak dua kali. Jelas terbayang kekecewaan mereka suami isteri diatas dua kehilangan itu. Aku cuma dapat memberi kata pujuk bahawa Allah belum mahu memberi rezeki lagi. Bersabar saja kerana Allah sentiasa bersama orang yang sabar.


Memang perit bila tidak mempunyai anak. Orang akan sentiasa bertanya. Pasangan halal mana yang tidak mahukan anak tetapi bukan pilihan kita manusia ini untuk menentukan. Kita tidak ada kuasa untuk itu. Yang mampu kita lakukan hanya berdoa sahaja. Semuga Allah mendengar doa dan rintihan kita.


Semasa aku mengerjakan umrah hampir setahun yang lalu, kaklong meminta aku mendoakanya. Dan di depan kaabah itu aku meminta sungguh-sungguh serta membuat nazar sekiranya doaku dimakbulkan. Mungkin ayahnya juga bersama-sama mendoakan dan alhamdulillah akhirnya kaklong disahkan mengandung dua bulan selepas itu. Bayangkan kegembiraan kami sekeluarga setelah dia mencuba untuk mendapatkan zuriat setelah hampir lima tahun berkahwin.
(kaklong bernikah pada hari konvokesyennya di UKM. Pagi pergi konvo, balik kelamkabut untuk majlis pernikahan pula)


Kawan aku pula bertanya, "nanti cucu nak panggil kakpah apa"

"Panggil grandmother" aku melawak lagi.

Di kampung aku, kebanyakan cucu-cucu memanggil nenek mereka dengan panggilan uwe. Aku tidak tahu dari mana asal usulnya perkataan itu. Mungkin berasal daripada perkataan uwan yang telah di bahasa-kelantankan. Tetapi apabila aku bertemu dengan sepupuku yang berdarah minang asli, mereka memanggil nenek mereka uwo. Dari situ aku buat konklusi sendiri bahawa uwe itu sebenarnya berasal daripada uwo. Mungkin kerana banyak sangat cucu-cucu di kampung aku yang pelat, maka perkataan itu terus bertukar menjadi uwe dan berterusan disebut begitu.


Aku memanggil nenek aku uwe. Anak-anak aku memanggil emak aku uwe.

Kirin anak aku di MMU berkata pada kawannya;
"Aku panggil nenek aku uwe"
"Kurang ajar kau", kata kawannya.
"Apasal pulak!!!!! "
"Ada ke engkau panggil nenek kau wey!!! " kata kawannya lagi. Maksudnya panggil nenek di wey weykan gitu.

Aku pun tergelak besar mendengar lawak yang tak lawak sikit pun itu.


Datin Pah? gelaran tu dah kena reject.



Wednesday, April 22, 2009

Naik Pangkat

Ramai orang mengidamkan gelaran. Kalau bukan kita, orang. Setiap kali ada nama yang naik untuk menerima anugerah datuk, ramai yang berkata kenapalah bukan nama aku yang naik. Gelaran itu membayangkan prestij, kuasa, pendabik-dadaan (is there such a word?), kepura-puraan. Again, this is a general statement. It does not apply to everyone.


Semalan 21 April suami aku menerima anugerah. Suami aku dianugerahkan dengan pangkat datuk setelah sekian lama menunggu. Dan aku melihat dia terus terusan tersengeh lebar. Seperti juga aku yang mengikut tersengeh sampai ke telinga kerana dengan secara langsung aku sekarang telah menjadi Datin Pah.


Gambar SRK ni sengaja aku tepek di sini dan sampai sekarang aku masih tak puas hati kenapa Melaka begitu bermurah hati sangat memberi gelaran datuk padanya. Padahal ramai anak-anak melaka yang telah menabur bakti (termasuklah suamiku).





Inilah anugerah yang dikurniakan kepada suamiku:

.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.










Anakku kaklong telah selamat melahirkan anaknya pada jam 10.04 malam. (Baru lagi rasanya aku menggendong kaklong). Baby bernama Muhammad Faris Hafizin. Dahi tu merah sebab kena forcep.



Kalau suami aku Datuk, aku datin lah kan? kan? kan?
Kau jangan ngengada nak panggil aku nenek, tijah....


Tuesday, April 21, 2009

Rusa Baru Kembang Ekor

Anak rusa nani
baru kembang ekor
apa dosa kami
lalu tidak tegur

Satu lagu kanak-kanak yang telah lama aku tahu. Masa aku kecil-kecil dulu aku dan kawan-kawan selalu terpekik terlolong menyanyikan lagu ini. Tapi biasalah kanak-kanak. Pandai menyanyi saja tanpa faham akan maksudnya.


Ada beberapa perkara dalam lagu ini yang boleh dibuat perbincangan.
Pertama:
Kadang-kadang kita berhadapan dengan situasi canggung bila ada orang yang kita kenali tiba-tiba sahaja tidak mahu bertegur sapa dengan kita. Kitapun terpikir-pikir, apalah salah yang sudah kita buat sehinggakan orang itu memandang kita pun dah tak mahu lagi. Yelah, manusia biasa seperti kita ini tidaklah sesempurna mana dan mungkin kita melakukan kesilapan yang tidak kita sedari. Kalau ada orang yang tak mahu menegur kita lagi, kan kita akan tertanya-tanya akan kesilapan kita?


Kedua:
Lagu ini juga mengingatkan aku perihal rusa yang mempunyai tanduk yang cantik bercabang-cabang. Ada satu cerita kanak-kanak yang mungkin anda sudah biasa dengar atau baca iaitu perihal rusa yang sombong kerana perasan dia cantik. Ini boleh kita kaitkan juga dengan perempuan-perempuan cantik atau yang perasan diri cantik tetapi sombong tak tentu pasal. Megah kerana dia dianugerahkan dengan rupa yang sempurna serta memandang rendah pula akan orang yang tidak cantik dan jelek. Padahal yang cantik itu bukan hanya pada paras rupa. Yang kekal cantik adalah hati kita.


Ketiga:
Sebenarnya inilah yang aku nak celotehkan. Tiba-tiba je aku teringat yang pada satu masa dulu aku selalu makan daging rusa. Semasa aku kecil, abah selalu pergi memburu. Abah selalu masuk hutan bersama-sama dengan geng-geng memburunya.

Masa aku dalam darjah tiga, abah dipindahkan menjadi guru besar di sekolah air hitam di bahau. Air hitam ialah tanah rancangan felda yang baru diterokai. Semasa kami berpindah ke sana tempat itu masih dipenuhi semak samun dan sedikit hutan. Kami tinggal di kuarters guru yang disediakan. Bayangkan, kalau mahu makan ayam denak abah cuma perlu mencangkung di belakang rumah dan menunggu sehingga ayam denak keluar. "Pang!... abah akan tembak ayam denak.

Kalau mahu makan daging pelanduk, abah akan masuk sedikit ke dalam hutan. Kalau jumpa, abah tembak. Kadang-kadang abah pasang beberapa perangkap. Selalunya perangkap ini akan mengena. Abah bawa balik pelanduk yang telah masuk dalam perangkap dan menyimpannya di dalam sangkar. Bila teragak nak makan pelanduk, abah sembelih.

Oleh sebab kawasan di sekelilingnya masih hutan, abah dan pakcik Bakar dan pakcik Malek selalu masuk ke dalam hutan mencari rusa. Kalau abah masuk hutan, bila dia balik mesti dia membawa binatang buruan. Kalau tak dapat rusa, dapat kijang atau pelanduk sekurang-kurangnya.

Daging rusa rasanya sedap. Manis. Kalau dapat rusa, abah akan membahagi-bahagikan dagingnya di antara kawan-kawannya. Daging yang banyak itu tidak habis dimakan oleh kami bertiga. Emak selalu buat gulai lemak atau rendang. Daging selebihnya emak salai. Pada masa itu mana ada peti ais. Letrik pun tak ada.

Entah kenapa pula pagi-pagi ni aku teringatkan daging rusa. Dah lama dah ni tak makan daging rusa. Sekarang ni susah nak dapat. Orang pun tak senang-senang lagi memburu seperti dulu.

Ishh... buek rondang daging ruso sodap ni.....

Monday, April 20, 2009

SESI BERGAMBAR LAGI......

Aku tengah gian ambil gambar. Gambar potret ni aku belum berapa mahir nak snap. Kalau ada sesiapa di luar sana yang boleh ajar aku macamana nak ambil gambar yang sharp dan berseni silalah ajarkan aku yang tak berapa pandai ni.

Pagi tadi aku ke tadika dengan gaya paparazi. Aku kejar bebudak ni ke sana kemari nak jadikan objek. Inilah beberapa hasil. Masih belum memuaskan.













Apamacam. Berapa markah nak bagi?

Orang Menyusahkan kita atau Kita menyusahkan Orang.

Selalu-selalulah kita berdoa supaya kita tidak menyusahkan orang. Walaupun anak kita sendiri. Iman kita ni tak adalah sekuat mana pun.


Dah banyak dah aku lihat yang anak tidak dapat menjaga emak sebagaimana emak menjaga anak. Yelah, sakit ajal maut semua ketentuanNya. Kita tak mahu anak jatuh ke dalam kategori yang menderhaka. Aku lihat sendiri bagaimana seorang anak menengking ibunya kerana siibu tidak terkencing di lubang yang diarahkan. Terpaksalah anak mencuci lantai yang telah dinajisi itu. Aku lihat juga ada air meleleh di pipi si ibu. Bukannya dia yang meminta untuk sakit.


Aku lihat juga sedara di sebelah suamiku menahan ibunya daripada makan dan minum. Hanya diberi sedikit sedikit sahaja. Sebabnya sianak tidak mahu ibu terkencing dan terberak berciciran. Ya, bukan siibu yang meminta untuk sakit.


Aku berdoa supaya aku tidak melalui saat-saat seperti itu sebelum hayatku diambil. Aku tidak mahu menjadi ibu yang menyusahkan anak.




Kita jangan suka menyusahkan orang. Ada orang yang saja-saja suka menyusahkan kita. Misalnya kalau tak ada duit dia datang jumpa kita. Kita bagi. Nanti bila tak ada duit dia datang lagi. Macamlah kita ternak duit. Macamlah kita kuis-kuis batu tepi jalan kita dapat duit. Macamlah kita main petik je duit tu kat belakang rumah.

Kita cari duit dengan keringat. Walaupun kerja dalam bilik aircond tapi nak keluar rumah tu tak ke berpeluh-peluh. Tambah-tambah lagi kena musim panas macam ni. Ada duit lebih sikit-sikit tiap bulan, kita kumpul. Kita nak pergi haji, pergi umrah nak guna duit. Ataupun kita kumpul nak beli gelang setebal satu inci kat poh kong. Ataupun nak beli netbook yang boleh kita hayak ke sana kemari supaya kita senang nak post entry. Senang-senang pulak orang menyusahkan kita nak pinjam duit.


Bila kawan kita datang bertamu di rumah, kita alu-alukan. Kita suka bila kawan kita datang. Boleh kita berborak-borak bertanya khabar bagai. Tapi bila datang tu janganlah berlama-lamaan. Janganlah sampai dah jejak azan maghrib tak tahu nak balik. Kita tuan rumah takkan nak halau. Bila kita ajak solat dia jawab pula takpelah, dah nak balik dah ni tapi tak balik-balik juga. Kita janganlah buat macam tu. Bila kita bertamu ke rumah orang, ala-ala kadar je lah. Bila dah sampai waktu kita kena balik jangan teragak-agak. Balik. Tak baik menyusahkan tuan rumah.

Satu lagi, bila kita ke rumah orang dan semasa kita sampai tu tuan rumah dah bersiap-siap nak keluar. Tak payahlah masuk. Katakan saja yang kita akan datang lain kali. Tapi ada juga yang tak ada perasaan. Dia dah tahu kita nak keluar tapi tetap nak jumpa juga. Kejap je, katanya lah. Kejap dia tu dah naik setengah jam. Kadang-kadang lebih. Kita ni dah resah gelisah. Anak-anak pun pun asek bagi signal. Jangan. Jangan menyusahkan orang macam tu.



Kalau kita tak suka orang menyusahkan kita, orang juga tak suka kita menyusahkan mereka. Pikir-pikir dan renung-renungkanlah.

Sunday, April 19, 2009

Moh Kito Bogamba





Harini mendung dan hujan. Mood untuk menulis blog pun ikut mendung. Aku nak download gambar je yang aku ambil lepas hujan tadi di luar rumah. Jeles tengok photo yang cantik-cantik dalam blog dilla.










Tijah, kakpah tak ado tanam pokok lalang. Sobab tu tak ado bungo lalang nak snap.






Yang ni bibik siti. Bibik yang aku nak masak meehun sup dibuatnya bubur tu.

Yang ini bibik Aini. Pandai speaking omputih. Tapi kadang-kadang boleh tahan juga bengapnya hik..hik..


Sekian.

Saturday, April 18, 2009

MAIN MASAK-MASAK

Aku anak gadis yang tak pandai masak. Betul aku cakap. Alasan aku ialah aku sibuk dengan kerja sekolah, aktiviti sekolah. Bila emak ajak masak di dapur, aku cakap aku nak buat homework ataupun aku nak study untuk periksa. Emak pula tak pernah merungut. Ala.. apa sangatlah nak dimasak untuk tiga orang. Itulah yang selalu aku katakan dalam hati.

Pertama kali aku tanak nasi semasa aku ditingkatan satu, nasi itu mentah. Emak membebel mengatakan aku masak nasi pun tak reti. Dah tingkatan satu tak tahu masak nasi. Orang dah nak duduk makan tapi nasi tak boleh pakai. Kenalah emak masak nasi yang lain. Masa tu mana ada periuk letrik. Tak usahkan nak guna periuk letrik, letrik pun belum masuk ke kampung aku.

Emak kata, dulu-dulu budak sebaya aku dah jadi bini orang. Ni macamana nak kawin kalau masak nasi pun tak tahu. Aku sengeh-sengeh saja bila emak cakap macam tu. Kawin? Belum lagi masuk dalam kamus hidup aku.

Emak ajar aku masak nasi guna ukuran jari. Mak kata, masukkan jari hantu untuk mengukur paras beras dan tandakan paras beras di jari hantu itu dengan meletakkan jari ibu. Lepas itu untuk mengukur paras air, letakkan jari hantu tadi di atas paras beras. Paras air dari paras beras tadi mestilah sama. Aku gunakan ajaran emak untuk masak nasi dan selepas itu nasi aku tak pernah mentah lagi.

Aku memang malas ke dapur. Aku tahu makan saja. Lepas makan tolong kemas-kemas. Tapi mak masak masakan yang sama saja tiap-tiap hari. Masak lemak cili api. Ikan masak lemak cili api. Ayam masak lemak cili api. Daging masak lemak cili api. Keladi masak lemak cili api. Jangan haraplah nak makan chicken chop ke tomyam ke. Masa tu makanan yang ganjil-ganjil memang aku tak tahu pun. Malah tak pernah dengar.

Malas aku menjadi-jadi bila aku masuk sekolah di Johor Bharu. Lagi lah aku banyak alasan untuk tak masak. Bila balik bercuti aku kata nak relek sebab dah penat belajar. Banyaklah aku punya alasan. Nasib baiklah emak aku tak bagi pelempang.

Bila aku kahwin, baru aku tahu apa pentingnya masak ni. Barulah aku menggelabah tanya emak itu ini. Masa tu emak pun memulangkan paku buah keras. Dulu mak suruh belajar masak kau taknak belajar. Sekarang baru nak terhegeh-hegeh tanya mak macam-macam, begitulah antara bebelan emak. Aku tersengeh-sengeh juga sambil mengurut-ngurut lengan emak.

Antara masakan yang aku tidak lupa hingga sekarang ialah daging goreng. Dulu dah ada aku cerita pasal ni tapi aku nak ulang lagi sekali. Suami aku menyuruh aku menggoreng daging. Aku hiris-hiris daging tu dan aku sepuh dengan garam dan kunyit. Aku goreng macam aku goreng ikan. Sampai daging tu kering dan garing. Bila suami aku makan aku lihat dia menyeringai menggigit daging tak putus-putus. Dia tak boleh nak salahkan aku sebab arahannya, goreng daging. Manalah aku nak tahu kena taruk bawang, air bagai.

Lepas dua tiga minggu kawin aku dan suami ke US. Di sanalah aku pandai membawa diri. Aku belajar masak dari kengkawan, dari buku-buku resipi. Walaupun belum cukup pandai, tetapi dah bolehlah aku membanggakan diri. Suami pun tak malu-malu lagi mengajak kawan-kawannya datang makan di rumah.

Sekarang? Jangan tanya pasal sekarang. Kalau nak suruh jadi chef pun dah boleh walaupun tak ada sijil, wakaka... Tengahari tadi aku masak macam-macam. Tengok nih..


Pucuk paku masak lomak cili api campur dengan terung telunjuk, udang dan petai dikikis kulit.



Ayam organik masak kari. Siapa yang tak boleh makan ayam, tolong tutup mata.


Kerabu jantung pisang.


Tengahari tadi kami anak beranak makan sampai berpeluh-peluh.




Friday, April 17, 2009

BEGITU BEGINI

Pagi tadi sesampai saja di pintu pagar tadika, beberapa anak murid aku berlari menerpa menghulur tangan mengajak salam. Aniq merebut bag di tanganku. Hakim pun berebut sama.

"Eee.. bagi lah kita bawak"

"Kita yang ambek dulu"

"Dah..dah.. jangan berebut. Aniq pegang tangkai sebelah, Hakim pegang lagi sebelah" Aku meleraikan.

Begitulah selalu pagi-pagi. Masing-masing berebut-rebut nak bawakan beg yang berisi buku-buku aku ke kelas.

"Ummu, henbeg ummu tak nak letak dalam kelas ke" Amirah yang terlepas peluang untuk merebut bag aku tadi merengek menepuk-nepuk henbeg aku pula.

"Ha, yang ni biar ummu yang pegang. Dalam ni ada bom. Nanti meletup!!" Aku mengekek sengaja menyakatnya.

"Apa lah ummu ni. Mana boleh bom letak dalam henbeg" katanya sambil menepuk-nepuk lengan aku.



Bila aku masuk ke kelas selepas loceng berbunyi aku lihat di atas meja aku ada sebungkus donat. Belum sempat aku mahu bertanya, Alia berkata,

"Ummu, atas meja tu donat untuk ummu. Saya belikan."

"Kamu yang beli ke ataupun kamu suruh emak kamu yang beli"

Alia cuma tersengeh-sengeh. Hmm donat.. memang aku cuba larikan diri daripada memakan donat ini tetapi bila anak murid yang bagi takkan nak tolak pula. Budak kecil pun pandai terasa hati. Bila tiba waktu rehat dan masing-masing tengah menikmati mihun goreng, alia bertanya lagi kenapa aku tak makan donat yang dia bagi. Aku katakan yang aku belum cukup lapar.

"Ummu bawa balik ye. Nanti ummu makan kat rumah" Aku bagi alasan. Dia mengangguk-angguk.

Ada-ada saja yang dibawa oleh anak-anak murid aku. Kadang-kadang air kotak. Kadang-kadang kuih karipap. Kadang-kadang cekodok pisang. Milo 3 in 1 sepeket kecik itupun diaorang bagi aku juga , suruh aku buat air dan minum depan diorang.


Aku meninggalkan kelas setengah jam lebih awal. Period terakhir adalah amali solat dan aku meminta pembantuku mengambil alih kelas.

"Ummu nak kemana?" masing-masing sibuk bertanya.

"Ummu nak pergi tesco"

"Ha?.. ummu nak pergi disco?"

La.. takkan penyakit pekak badak dah berjangkit kat kelas aku pulak.

"Bukanlah.... ummu nak pergi tesco lah...."

"Nak salam.. nak salam.. Nak cium..." Selepas berebut-rebut bersalam dan berciuman (habis pipi aku bertepek-tepek dengan air liur dan air hidung) akupun keluar balik ke rumah ambil kereta.



Di tesco aku mendapat panggilan dari seorang kawan. Aku kalau boleh cukup aku nak mengelak daripada bercakap dengan dia ni di telefon. Tapi masa aku mengangkat telefon, namanya tak keluar di screen. Aku jawab sebab aku ingat panggilan dari parent.

"Pah, kak Jah ni. Kau kat mana pah."

"He..he.. kat malaysia"

"Kik..kik.. pandai lah kau buat lawak ye pah. Bla..bla..dah lama tak buat sale..bla..bla.. nak beli barang ke...bla..bla..ada ofer ni.. bla..bla.."

"Haah.. okay."

"Bla..bla.. rugi .. bla..bla.."

"Okay.. okay"

"Bla..bla.. kakjah boleh belikan bla..bla.."

"Okay.. nanti saya bagitau la.."

"Kakjah boleh hantar ...bla..bla.."

Dah sepuluh minit dia potpet potpet. Bila lah nak sudah bercakap. Aku cakap aku tengah sibuk dia tak paham-paham juga. Kang aku terus matikan henpon dia kata aku kurang asam pula. Aku gunalah trik selalu.

"Apa?... H'a?... Tak dengar..tak dengar... line tak clearlah kak"

"Kau ni asek line tak clear je. Tukar je talipun tu. Duit banyak-banyak buat apa"

"Apa kak?.. tak dengar lah. Putus-putus ni... " Tup aku putuskan talian.


Aku terus memenuhkan barang-barang ke dalam trolley. Trolley yang seperti biasa berjalan senget macam ketam, membuatkan lenganku sakit sebab nak kontrol stereng. Bilalah tesco nak ganti trolley yang baik-baik nih.

Thursday, April 16, 2009

Sila Dengar Baik-Baik.

"Oi pak Aji, betulkan pagar ke!!"

"Ha? Sapa yang kena langgar. Kat mana. Teruk ke!!"

Lain yang orang cakap lain pula yang dia dengar. Kalau ada adegan pekak badak seperti ini di kaca tv mesti ada orang yang mengekek-ngekek ketawa. Kesian dia. Dahlah pekak, dibadakkan pula.


Di alam realiti berapa kerapkah anda bertemu dengan orang seperti ini. Mungkin selalu. Mungkin kadang-kadang. Mungkin tak pernah langsung.


Untuk orang yang ada sound problem ini, kita mempunyai perasaan yang berbeda-beda terhadap mereka. Ada kalanya kita rasa simpati. Ada kalanya kita rasa lucu dan menjadikannya satu bahan ketawa. Ada kalanya pula kira rasa geram kerana orang yang kita lawan bercakap itu tidak dapat mendengar dengan betul apa yang kita katakan.


Satu tengahari aku memberitahu bibik.

"Siti, petang ni tak payah masak nasi. Aku nak buat meehun sup"

"Ya buk!!"

Tentu ramai yang berkata beruntungnya kakpah dapat bibik yang "ya buk.. ya buk.." gitu.
Bila aku masuk ke dapur selepas asar aku lihat ada periuk tengah terjerang di atas tungku. Aku jengah isinya.

"La.. apasal masak bubur pulak ni!!"

"Kan tadi ibu yang suruh masak bubur"

pek..pek..pek.. aku menepuk dahi. Bila masa pulak aku suruh masak bubur. Aku rasa aku cakap yang aku nak masak meehun sup. Aduh.... ni kes sound problem ke kes IQ problem ni. Tolong bagi habaq sat.

Wednesday, April 15, 2009

Mata Ku Sakit

Mata sakit

Bila tengok perempuan memakai pakaian menjolok mata. Tambah sakit pula bila yang memakai itu mempunyai pinggang yang terlebih lemak tetapi masih mahu menayangkannya kepada orang ramai. Suami selalu menjuihkan bibir,
"Tengoklah tu ha. Kok cantik pulak tu."
Aku lagi la tak berselera nak tengok sebab mata dah sakit.


Bila kadang-kadang aku naik commuter aku melihat anak-anak muda yang berpasangan ini tidak segan silu bercengkerama. Dah lah aku berdiri tak dapat tempat duduk, mereka pula enak-enak bermesra-mesraan tanpa segan silu. Bila mata aku dah sakit mulut aku dah tak boleh duduk diam.

"Sakitnya mata aku" Aku luahkan fikiranku tetapi budak dua ekor itu buat-buat tak dengar.

"Awak ni orang Melayu kan? Islam ke. Tak malu ke buat perangai tak elok ni depan orang ramai. Kesian kat mak bapak awak tau!!!!!" Aku jerkah je bersahaja. Orang tepi-tepi tu tengok aku tak peduli. Kalau budak tu nak malu pun aku peduli apa. Diorang berpegang-pegang, bercuit-cuit, cium-cium lengan, tak malu ke. Lagi besar malu tu.

Aku tengok yang lelaki merenung aku. Dia ingat aku takut ke. Kurang asam punya budak. Aku tenung dia balik. Aku besar-besarkan biji mata aku. Lama-lama dia tunduk mengalah. Padan muka. Dengan aku pulak nak tunjuk samseng. Lepas tu aku tengok diorang duduk je diam-diam tak bercakap apa-apa dan aktiviti sebelumnya terbantut begitu saja sampaikan henfon dia berdering pun dia tak angkat.


Bila ada jiran yang sengaja melonggokan sampah di tepi pagar berdekatan dengan rumah. Dan sampah itu pula makin lama makin tinggi makin lama makin tinggi. Memanglah ada lori yang datang mengangkat buangan dahan-dahan pokok ni tapi dua tiga bulan baru datang. Sementara nak datang tu mata aku dah sakit yang teramat sangat.

Aduh, nak komplen kang, jiran (ni jiran tadika lah ni). Pokok rambutan dia tu bila berbuah tak de pula nak mengofer kat kita. Bila mencantas dahan-dahan yang tak elok tu, tahu pula nak bagi kat tempat kita. Memanglah sakit mata.


Bila tadi di pekan kuala pilah aku nampak ada seorang budak perempuan yang masih berbaju sekolah berjalan berpegangan tangan dengan seorang budak lelaki. Aku rasa umur mereka masih di dalam awal belasan tahun. Umur baru setahun jagung dah pandai pegang-pegang tangan macam tu.

Sakit mata aku. Daripada mata aku terus sakit, baik aku pergi makan cendol. Petang tadi aku makan cendol asli kuala pilah. Sodaaaappp....


Sakit mata.
Dah dua minggu mata kucing aku si jordan sakit. Pergi kelinik kena cucuk dua jarum tapi masih juga belum sembuh. Kesian pulak aku tengok. Nak letak gambar dia, entah kemana pula dia merayap.

Sekian.

Tuesday, April 14, 2009

MASIH ADAKAH SINAR MENTARI



Aku keluar dari lif yang berasak-asak dengan manusia. Menoleh ke kiri dan terus menuju ke ruang legar yang betul-betul berhadapan dengan kaunter. Aku teragak-agak samaada mahu mengikut ke kanan atau ke kiri sambil juga memerhatikan nombor-nombor yang terpapar di dinding.

"Dik, tumpang tanya. Bilik nombor lapan mana?"

Dia baru dipindahan ke tingkat enam. Baru petang semalam.

"Akak jalan depan sana, bilik sebelah kanan. Ada nombor di luar pintu bilik"

Aku mengikut arah yang ditunjukkan, melangkah melintasi bilik-bilik yang tidak tertutup. Mataku sempat melingas memerhatikan keadaan penghuni penghuni di bilik-bilik tidak tertutup itu. Jelas terbayang kebosanan, keperitan, kepayahan dan kesakitan di wajah-wajah mereka.

Aku memasuki bilik nombor lapan. Aku perhatikan abangku sedang menikmati makan tengahari walaupun ia nampaknya tidak berapa nikmat dengan makanan tersebut. Nasi di pinggannya dikuis-kuis dengan sudu.

"Salamalekom" kataku sambil menghulurkan tangan menjabat salam.
"Kenapa tak makan"

"Tak ada selera nak makan. Nasi keras, tak sedap"

Aku menjeling memandang nasi di pinggannya. Memang nampak keras macam ditanak tidak cukup air.

"Lauk sedap hah, kari ayam" aku hidu-hidu aroma dari kari ayam di mangkuk. Ternyata bau hanyir di bilik itu lebih menguasai deria bauku.

"Kalau nak, makan lah. Ambong dah sudah dah." Katanya sambil menolak sedikit dulang di atas meja ke arahku. Aku menggelengkan kepala menolak pelawaannya. Bau di bilik itu membantutkan selera sesiapa saja malah yang sedang lapar kebuluran pun.

"Tak pe lah. Dah makan dah tadi"

"Duduklah kat kerusi tu ha", katanya menjuihkan mulut ke arah kerusi di sisi katil. Mataku beralih ke kerusi. Aku lihat di atas kerusi itu ada sebiji mangkuk yang sudah separuh penuh dengan kahak. Lendir yang bercampur darah bergenang-genang di dalam mangkuk itu. Patutlah bilik berbau. Hanyir darah dan lendir kahak dibiarkan tidak di apa-apakan. Di mana perginya nurse yang bertugas? Beginikah caranya melayan pesakit yang memang sudah tentunya sakit.

Aku meletakkan punggung di hujung katil. Aku berfikir-fikir yang aku akan menggunakan baju yang aku pakai itu nanti untuk solat zohor. Aku tak rela duduk dikerusi yang aku tidak was-was lagi memang tercemar itu.

Aku perhatikan abangku dari hujung rambut hingga ke kaki walaupun kakinya bertutup dengan gebar. Aku lihat wayar yang berselirat semasa dia berada di CICU sudah tidak ada lagi. Yang tinggal cuma satu tube yang masih melekat di bahagian badannya, untuk mengeluarkan darah kotor dari bekas bedahan. Tidak ada juga lagi serkup oksigen yang menutup hampir keseluruhan mukanya yang kecil dan keding. Yang ada cuba tiub kecil yang dimasukkan di kedua lubang hidung. Tiub itu juga boleh ditanggal-tanggalkan mengikut keselesaannya.

"Dah boleh benapas sendiri ke"

"Dah boleh sikit-sikit" Katanya terbatuk-batuk kecil sambil menekan-nekan dada. Sakit agaknya. Maklumlah baru saja menjalani pembedahan membuang nanah di paru-paru. Katanya separuh daripada paru-parunya yang rosak itu juga dibuang. Itulah bahananya menjadi penghisap rokok tegar. Berpuluh tahun toksik yang dihisap itu terkumpul di paru-paru. Dulu orang cakap tak percaya. Macam-macam helah untuk membenarkan perbuatan. Sekarang siapa yang menanggung. Benarlah kata orang, belajar daripada pengalaman sendiri itu teramatlah perit.


"Petang semalam ijal datang" Katanya merujuk kepada anak lelakinya.
"Dia cakap lepas keluar hospital ni nak ajak ambong duduk kat rumah dia" Katanya lagi berdehem-dehem untuk melekangkan kahak yang melekat di kerongkong.
"Terkurung ambong duk dalam flat tingkat enam tu. Kang dia pergi keje. Bini dia pun pergi kerja. Akak kau takkan ada nak jaga ambong de" Sambungnya.
"Masa kat sepital ni pun ada tiga kali je akak kau datang"

Aku tunduk memintal gebar di hujung katil. Pikiranku terarah kepada isterinya yang macam endah tak endah untuk menjaganya yang sedang terlantar sakit. Dia lebih merisaukan cucunya yang katanya tidak ada orang yang nak menjaga.

"Ambong rasa ambong nak numpang rumah kau jelah sampai ambong sembuh betul. Boleh ke!"
Patah-patah perkataan yang keluar dari mulutnya terasa sayu. Mungkin dia terasa seperti orang yang terabai. Tidak sampai hati aku untuk menempelak perbuatannya yang lalu-lalu. Aku berdoa semuga Allah memberinya peluang untuk membetulkan apa saja kesilapan yang pernah dilakukan. Sesungguhnya Allah itu maha pengasih.

"Kalau ambong nak duduk Bangi tak ada apa masalah. Ambong bincanglah dulu dengan akak dan budak-budak. Kalau akak nak duduk Bangi jaga ambong pun lagi bagus", jawabku.


Sebelum aku beredar pulang aku sempat turun membelikannya sedozen air milo kotak. Aku belikan juga pau berinti kacang merah yang masih panas dan aku lihat dia memakannya dengan sungguh berselera.

Monday, April 13, 2009

BERBALOIKAH !!!!!!!!

"Kletak kletuk kletak kletuk"

Beberapa pasang biji mata menoleh ke arah bunyi. Dan beberapa pasang mata itu terus terpaku mengikut gerak hayun bunyi tersebut.

"Kletak kletuk kletak kletuk"

Aku juga terpaku melihat liak lentok tubuhnya. Kakinya terus mengatur langkah ala-ala catwalk dengan punggung terlentik ke belakang dan berbuai ke kiri ke kanan mengikut hayunan kaki. Aku pasti mata-mata nakal tidak lekang daripada terus memandang.

"Opocot mak kau"

Telingaku menangkap hilaian mata-mata nakal tadi. Ada yang berderai kuat dan ada yang ditahan-tahan. Aku sendiri tidak dapat menahan diri daripada ketawa halus apabila dengan tidak disangka-sangka langkah perempuan ayu yang berkasut tumit tinggi itu tiba-tiba sumbang dan dia jatuh terjelepok di atas tar. Perempuan itu bingkas bangun dan berlalu dengan gaya yang telah berubah menjadi elephantwalk.


Itu adalah adegan yang aku petik dari memori aku lama dulu.



Semasa aku balik ke kampung beberapa bulan lepas aku terjumpa dengan sepasang kasut tumit tinggi yang pernah aku pakai semasa zaman sebelum aku kahwin. Tinggi. Runcing tapaknya. Mungkin tingginya dalam dua inci setengah. Aku terpikir-pikir malah kurang percaya bahawa aku pada satu masa dahulu berupaya memakai kasut seperti itu. Kurang percaya juga bahawa aku rela menyakitkan diriku sendiri dengan menyarungkan kaki aku ke dalamnya. Bukankah wanita ini rela merasa sakit untuk kelihatan cantik? (ini adalah satu statement umum. Kalau anda bukan jenisnya, jangan terasa).


Berkasut tumit tinggi kalau kena gayanya, seorang wanita itu kelihatan cukup anggun. Yang rendah akan kelihatan tinggi dan yang telah sedia tinggi akan kelihatan lampai. Kalau dikenakan dengan pakaian yang kena gaya dan aksesori yang secocok, memang tidak menjemukan mata yang memandang.


Tapi berhati-hatilah bila mengenakan kasut bertumit tinggi ini kerana kekerapan memakainya mungkin akan merosakkan struktur kaki. Bukan itu sahaja, kaki akan berasa sakit, betis lenguh-lenguh dan kemungkinan juga sakit tulang belakang. Itu belum masuk lagi risiko terpelecok bila tersalah langkah.



Aku? Dalam usia sebegini aku lebih selesa berkasut leper. Dalam berhati-hati itu pun aku selalu meminta-minta pada bibik,
"Aini, malam ni urut ibuk....."
Apatah lagi kalau aku masih bertumit tinggi. Alahai.....

Sunday, April 12, 2009

BERAKHIRNYA SEBUAH PENANTIAN


Alhamdulillah. Sukan tadika selesai dengan okay. Semua berjalan lancar dan cuaca pun amatlah bagus sekali. Namun penat belum hilang dan hitam berjemur pun agak-agak seminggu boleh hilang tak.

Buat sukan bukannya senang walaupun hanya sukan tadika.
"Eleh!.. sukan tadika . Kacang je"
Jangan sangka macam tu. Macam-macam nak difikirkan bermula dengan menetapkan tarikh, menempah stadium, memikirkan acara, membeli hadiah bla..bla.. Kalau sukan sekolah rendah atau sekolah menengah mungkin cikgu-cikgu tak perlu nak fikirkan hadiah untuk yang tidak menang, tapi untuk budak-budak tadika jangan sekali-kali mengabaikan mereka yang tidak memang ini. Mahu meraung golek gelantang satu stadium kalau tak dapat hadiah. Yang kalah pun kena dicarikan hadiah juga sebab mereka dah 'masuk sukan' dan dah dua tiga minggu asek mengigau nak pergi sukan je.

Oleh sebab peserta ramai, kami bahagikan mereka ini kepada dua kumpulan iaitu kumpulan A dan kumpulan B dan acara bagi kedua-dua kumpulan berjalan serentak. Selain menjimatkan masa, setiap kumpulan sudah pasti mendapat nombor satu, dua dan tiga. Semua orang dapat trophy. Cuma acara relay, lari pecut dan tarik tali sahaja kumpulan A dan B digabungkan. Di sinilah perlunya hadiah saguhati bagi yang tidak menang.


Gambar dia atas adalah hadiah peserta dan juga hadiah rezki siapa. Hadiah untuk rezki siapa memang cukup banyak. Hamper saja dekat dua puluh belum termasuk hadiah-hadiah lain. Hadiah utama berupa tiga barangan elektrik dan satu cadar english style. Dan seperti yang aku beritahu sebelum ini, sebanyak-banyak nombor yang disebut-sebut itu, tidak satu pun yang menyebut nombor aku. Aku tak paham betul dengan si ashley ni entah jampi serapah apa yang dia pakai. Dia anak-beranak je dapat empat hadiah. Nasib baik suami dia dan anak yang lagi tujuh tu tak masuk padang. Woi ashley, ada pasang ilmu ka.....he..he..

Layan je lah gambar di bawah ye. Penat belum habis ni..



Cuba lihat emak yang memakai baju pink itu. Begitu terujanya dia bila si anak menang dalam perlumbaan itu. Begitu juga dalam gambar di bawah. Lihat si bapa yang sama-sama memberi perangsag kepada anaknya hehe..








Anak-anak Aulad.




Antara gaya johan.


Sekian laporan sukan. Besok tadika Aulad cuti tapi khidmat daycare berjalan seperti biasa.

Friday, April 10, 2009

Tak Boleh Tunggu Ke?

Banyak nasihat yang ku dengar supaya kita tidak mementingkan diri sendiri. Kita hendaklah juga menjaga kepentingan diri orang lain. Jangan nampak diri kita saja yang susah dan menidakkan kesusahan orang lain.

Dalam kehidupan kita hari-hari kita pasti akan bertemu dengan manusia yang hanya berfikir tentang diri mereka sahaja. Berfikir tentang susah mereka sahaja. Berfikir tentang payah mereka sahaja. Dan untuk mengatasi kesusahan dan kepayahan mereka itu, mereka sanggup bertenggek atas kesenangan orang lain. Biar orang lain susah asal mereka senang. Bukankah itu mementingkan diri?


Pagi tadi aku ke tesco lagi. Membeli barang penuh dua trolley seperti biasa. Selesai membeli belah aku dan bibik mendorong trolley yang seperti biasa tersenggut-senggut bergerak senget seperti ketam berjalan, menuju ke kaunter. Tidak banyak pula kaunter yang dibuka pagi tu. Kami berbaris di belakang seorang apek. Di depan apek ada pula seorang amoi cun yang sedang membantu cashier itu memasukkan barang-barangnya ke dalam beg plastik.

Aku lihat trolley si apek di depan aku tu penuh dengan sayur sawi dan kangkung. Hati aku meneka-neka mesti apek ni ada kedai makan ataupun dia mempunyai keluarga besar dan semuanya vegetarian yang makan sayur sawi dan kangkung sahaja. Aku menupang dagu meletakkan siku ke atas handle trolley sambil memerhatikan apek mengeluarkan sayur-sayurnya satu persatu.

Bibik mula meangeluarkan barang-barang dari dalam trolley dan meletakkannya ke atas kaunter. Tiba-tiba datang seorang minah dari arah belakang.

"Kak, mintak maap kak. Boleh tak akak bagi saya dulu. Barang saya sikit je ni. Barang akak banyak"

Aku menoleh dan memandang tepat ke mukanya. Ada bisikan di dalam kepala aku menyuruh aku menelan minah ini hidup-hidup. Ada juga bisikan yang menyuruh aku melempang mukanya dengan satu tamparan jepun. Tapi dia hanya tersengih-sengih.

Kalau suami aku ada mesti minah tu dah kena tengking. Tapi aku malas nak berdrama.

"Boleh tak kak" dia mendesak pula.

Aku cuma kata "hmmmmmmmmmmm...' dan dia pantas meletakkan barangnya di atas kaunter. Memanglah tak banyak tetapi dia kena tahu menunggu giliran. Aku dah mencanguk di situ agak lima belas minit. Takkan dia tak boleh tunggu. Dia tahu nak cepat saaja. Aku ni tak nak cepat ke?

Begitulah contohnya orang yang mementingkan diri sendiri. Mintak maaplah cikgu, poin tak cukup. Kepala tengah berserabut ni mikirkan sukan. Doakan hari tak hujan ya!...

Thursday, April 9, 2009

Tuah Itu Kepunyaan Siapa?

Aku pelik betul. Tiap kali ada acara cabutan nombor bertuah mesti nombor aku tak kena cabut. Memang dari zaman sekolah sehinggalah ke zaman beranak pinak. Sebab tu kalau aku ke majlis dan ada pula cabutan nombor bertuah (sekarang orang dah panggil rezeki untuk siapa. Lagi sedap nak sebut) aku memang tak kesah kerana dah tahu dah memang nombor aku tak kena panggil.

Sehinggalah lebih kurang tujuh lapan tahun yang lalu sewaktu aku menghadiri satu majlis, dengan tak disangka-sangka nombor aku disebut-sebut. Aku dah nak balik pun masa tu dan kawan yang bersama aku masa tu menyinggung tangan aku:
"Dia panggil nombor engkau la".

Selepas itu setiap kali ada acara rezeki untuk siapa, aku pun dapat rezeki juga. Tak mis. Dan aku ingat tuah aku sudah berubah sepenuhnya. Rupa-rupanya panas tak sampai ke petang kerana tengahari je dah hujan. Tuah aku berubah semula 360 darjah. Jeritlah nombor banyak mana pun, mesti tak ada untuk aku.

Macamana kita nak tahu kita ni ada tuah ke tidak ye. Tak macam ayam, tuah nampak kat kaki. Tapi bertuah ayam pun akan kena sembelih juga.

Kita tak boleh nafikan setengah orang mempunyai rezeki yang amat murah. Selalu mendapat ganjaran yang datang dari sumber yang tak disangka-sangka. Kadang-kadang kita rasa cemburu juga apasal asek dia yang dapat padahal kita juga mempunyai peluang yang serupa. Itulah rezeki namanya. Rezeki dia bukan rezeki kita.

Tahun lepas anak murid aku memberi aku satu kejutan.
"Ummu, semalam kan ayah saya dapat hadiah kereta" kata puteri gunung ledang dengan bangganya.
(Sebenarnya nama dia puteri nurul aishah. Aku suka menyakat dia dengan panggilan puteri gunung ledang. Tiap kali aku panggil dia dengan nama itu dia kan meregus..
"Ala ummu ni... kita tak suka tau....")

"Ayah awak dapat hadiah kereta? Dapat kat mana?" Aku pun dah teruja nak tahu. Ish.. kereta kat rumah dah berderet, dapat sebijik lagi. Tak boleh jadi. Mulalah setan mengapi-apikan aku dengan rasa cemburu.

"Dekat petronas......"

Waktu tu kan petronas ada menganjurkan satu peraduan yang memberikan banyak hadiah lumayan dan di antara hadiah itu ialah kereta. Dalam hati aku mestilah dia dah menang peraduan yang itu.

"Ayah dapat dua bijik!.."

Eh.. eh, dua bijik? Keterujaan aku megendur. Biar betul budak ni. Sebijik aku boleh percaya tapi kalau dua biji?

"Dua? Betul ke ni"

"Betul ummu. Kereta tu besar macam ni........". Dia meletakkan kedua-dua tangannya ke depan, tapak tangan saling hadap menghadap. Jarak di antara kedua tapak tangan lebih kurang enam inci.

Ek ele... kereta mainan rupanya. Tapi itupun rezeki juga kan. Orang yang tak ada rezeki, habuk pun tak dapat.

Wednesday, April 8, 2009

Membesar Sebagai Johan

Salam.
Dua tiga hari ni bizi yang teramat sangat. Ke hulu ke hilir menguruskan hal-hal sukan yang akan diadakan pada hari ahad ini. Minta sama-sama mendoakan supaya pada hari tersebut cuaca baik dan segalanya berjalan lancar seperti dirancang.

Ina, sumbangan ina akak belikan hadiah seperti di dalam gambar ini. Terima kasih banyak-banyak.


Sekian saja laporan. Hari ini akan bizi lagi. Begitu juga besok dan besok dan besok. Majulah sukan untuk... untuk apa hah?

Monday, April 6, 2009

Tidak Adakah Penyesalan?

Petang itu aku diberitahu yang dia (biarlah aku namakannya ujang) dimasukkan ke hospital dan anak-anaknya tengah menguruskan pemindahannya ke hospital universiti. Aku menerima khabar itu dengan rasa agak simpati. Maknanya bukan bersimpati sepenuhnya kerana dalam hati ini masih ada perasaan mahu 'memadankan mukanya'.


Ujang sudah berumur 64 tahun tetapi entah apa dosanya dia sering disalah anggap sebagai anak kepada bapanya sendiri. Bertubuh kurus, berkulit hitam, berambut dan berjanggut sejemput yang kesemuanya sudah bertukar putih, menjadikan rupanya seolah-olah seorang datuk yang sudah kerepot. Realitinya memang dia seorang datuk. Datuk kepada beberapa orang cucu yang diberikan oleh anak-anaknya.


Semasa ujang dimasukkan ke hospital dia bersendirian. Tidak ada isteri yang meneman dan tidak juga ada anak-anak yang menguruskan. Kebetulan pula dia hanya ke pusat kesihatan kecil kerana masalah pernafasan dan dari situ dia dikejarkan ke hospital daerah dengan menaiki ambulan kerana masalah pernafasan yang agak kronik. Anak yang satu-satunya tinggal di kampung menghantar sms kepada isteri dan anak-anak yang lain di kl. Nasib baik mereka mahu juga balik menguruskannya.


Isterinya di kl, tinggal bersama anak perempuannya. Aku tidak menyalahkan isterinya kenapa sudah berbulan-bulan tidak mahu tinggal bersamanya di kampung. Hanya sesekali sahaja balik menjengah. Ada juga sesekali aku meluahkan rasa bahawa seorang isteri sepatutnya sentiasa berada di samping suami baik semasa senang ataupun susah. Tetapi seperti yang aku katakan, aku tak dapat nak menyalahkan isterinya seratus peratus kerana salah silap datang dari ujang sendiri. Banyak salahnya. Banyak silapnya.


Dulu ujang seorang askar. Selepas berhenti jadi askar dia balik ke kampung. Dia tidak pula mencari perkerjaan. Kerjanya hanyalah makan tidur makan tidur. Isterinyalah yang berhempas pulas mencari pendapatan untuk membesarkan anak-anak. Bapa ujang memberi modal untuk berniaga. Isterinya jugalah yang berhempas pulas menjalankan perniagaan. Ujang hanya makan tidur makan tidur. Lama-lama perniagaan pun lingkup. Maka terkapai-kapailah isteri dan anak-anaknya mencari duit untuk terus hidup. Nasib baik jugalah ada tempat untuk mengadu. Bapa ujang seorang yang pemurah dan sering memberi wang bila mereka dalam kesempitan. Mungkin ini jugalah yang membuat ujang menjadi mua.


Dipendekkan cerita, ujang tidak berkerja setelah dia berhenti menjadi askar walaupun semasa dia berhenti itu umurnya baru tiga puluhan. Untuk membesarkan anak-anak isterinya terpaksalah berkerja di restoren sebagai tukang masak dan juga berkerja di kantin sekolah. Dapatlah menampung keluarga, membayar bil-bil yang sering tertunggak. Bayaran bulanan rumah yang didudukinya (rumah murah itupun bapanya yang beri) dibiarkan tidak berbayar sehingga tertunggak berbulan-bulan padahal bayarannya tidak sampai seratus ringgit sebulan. Bila datang surat notis berwarna merah dia akan mengadu pada bapanya atau kepada adiknya mengatakan dia tak ada duit untuk membayar hutang tertunggak itu. Bapanya yang kesian akan memberinya wang. Adiknya yang kesihan juga aka memberinya wang. Mungkin sebab itulah dia mua. Tapi kalau tidak diberi, mereka kasihankan anak-anak dan isterinya yang tak bersalah itu.


Perangai buruknya bukan setakat itu sahaja. Orang selalu nampak ujang di kedai nombor ekor. Buat apa di kedai itu tidaklah aku ketahui tetapi bila sudah berada di situ tentulah orang boleh membuat tekaan dan spekulasi. Aku tidaklah berani menuduh kerana aku tidak nampak dengan mata kepala aku sendiri. Aku cuma mendengar kata-kata orang dan antara orang yang berkata itu ialah anaknya sendiri.


Jadi, aku tidaklah menyalahkan isterinya kenapa dia membawa diri ke kuala lumpur di rumah anaknya. Sudah puas dia menanggung biawak hidup sehinggakan badannya pun sakit-sakit kerana sering sangat mengangkat periuk besar yang berat-berat. Kali terakhir aku berjumpa dengannya dia mengadu perutnya sering mengeras. Aku kata pergilah jumpa dengan doktor. Dia memberitahu sudah membuat xray bagai tapi doktor mengatakan tidak ada apa-apa masalah.


Satu perkara yang membuatkan aku mahu 'memadankan muka' ujang ialah hal dia tidak memperdulikan emaknya semasa emaknya masih hidup. Emaknya sakit berbelas tahun dan boleh dikira dengan jari berapa kali saja ujang datang menjenguk. Emaknya sering menyebut-nyebut nama ujang. Maklumlah anak. Walau macamana degil dan jahatnya seorang anak, emak tetap akan tidak melupakannya terutama apabila mengingatkan kembali detik-detik emak itu meneran untuk mengeluarkan anak dari rahimnya. Dia langsung tidak menghiraukan emaknya padahal rumahnya dengan rumah emaknya hanyalah sepuluh minit naik motosikal.


Semasa emaknya di hospital, tidak sekali dia datang menjenguk. Anak apakah itu? Adiknya memerlinya beberapa kali. Mahu dimarah, dia masih terikat dengan rasa hormat kepada seorang abang. Dan seperti biasa ujang akan memberi hujahnya sepertilah dia seorang alim yang maha mengetahui. Lama kelamaan adiknya pun naik bosan dan 'menggasakkannya' saja.


Dikesempatan pada petang itu, aku melawatnya di hospital universiti. Aku melihatnya begitu fragile sekali. Hidungnya diserkup dengan topeng oksigen. Aku lihat dia bernapas dengan susah payah. Dadanya berombak-ombak mencari oksigen. Aku melihatnya dengan mata simpati. Aku teringat akan emak aku yang di akhir-akhir hayatnya terpaksa bergantung kepada bantuan seperti itu. Aku teringat pada pandangan dari mata emak yang merenung aku seolah-olah dia tahu yang waktunya utuk kembali sudah kian hampir. Aku teringat pandangan mata emak yang seolah-olah berkata kenapa anaknya yang seorang itu tidak datang-datang menjenguknya.


Di mata ujang, aku tidak nampak apa-apa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...